Rabu, 12 Jun 2013

BN Tidak Perlu Dua Pertiga Untuk Menang Besar PRU14

Tulisan Terbuka
12 Jun 2013

Masih teringat kelazatan minuman B10 di kafe strawberry minggu lalu dan masih juga terngiang-ngiang gelak bahak Abg Mat ketika itu menjamah beberapa cucuk satay dan cendawan goreng. Beliau tidak dapat sembunyikan perasaan lucu apabila mendedahkan bahawa beliau sedang menyiapkan satu post mortem mengengai pilihanraya

Saya bertanya, apakah sudah terlalu lewat untuk kaji selidik dan bedah siasat bagi PRU-13? Lalu Abang Mat menjawab, post mortem yang akan dibentangkan itu bukanlah untuk PRU-13 tetapi untuk PRU-14, bedah siasat yang menunjukkan bagaimana gerakan hebat reformasi 1998 yang digemakan semula pada tsunami 2008 akan berkubur pada 2018 di medan PRU-14. Seraya itu Abg Mat menyambung gelak bahaknya hah hah hah!

Memang seram bila memikirkan perihal yang disebut oleh Abg Mat, tetapi lebih seram bila ada pihak yang minta supaya rakyat jangan gopoh dan terus bersabar. Mujurlah pihak yang redho menerima kekalahan PRU-13 seadanya sangat minima. Selebihnya majoriti besar rakyat mahukan sesuatu dilakukan dengan berani. Rakyat berani turun jalanraya pada 22 Jun nanti manakala Ahli Parlimen yang berani pula bersatu memulaukan majlis angkat sumpah pada 24 Jun 2013 dan bersama dengan rakyat di luar pintu parlimen pada hari tersebut.

Keberanian dari pihak rakyat dan pihak pemimpin khususnya ahli parlimen harus ditonjolkan secara maksima. Semua pihak wajib bangkit dan lawan penipuan yang sudah berlaku pada PRU-13 dan terus berlaku bagi mengekalkan kerajaan legasi penjajah. SPR harus segera letak jawatan dan jangan sesekali mimpikan aksi persempadanan semula.

Hari ini terbaca dari dinding muka buku seorang sahabat yang melahirkan kekhuatiran akan berlaku satu gabungan baru kerajaan perpaduang di antara Umno dan PAS, dengan helah supaya BN mempunyai majoriti dua per tiga. Namun saya menyanggah dengan beberapa fakta di atas pengetahuan serba sedikit yang diiktiraf di meja kafe strawberry. Saya bukan menyanggah hasrat PAS yang nak bergabung dengan Umno kerana bagi saya ia tidak logik selagi TG Nik Aziz hidup, tetapi saya menyanggah perkara lain.

Persempadanan semula boleh berlaku walaupun tanpa majoriti dua per tiga parlimen, yang juga bermakna ia boleh berlaku tanpa gabungan Umno dan PAS. Hanya persempadanan semula yang melibatkan pertambahan kerusi parlimen sahaja yang memerlukan persetujuan 148 ahli parlimen yang mana BN hanya ada 133 sahaja, tidak cukup. Tetapi untuk Barisan Nasional menang bergaya pada PRU-14 dengan memperolehi semula majoriti dua per tiga tidak memerlukan sokongan dua per tiga parlimen hari ini. 

Persempadanan semula tanpa pertambahan kerusi parlimen yang mana diperuntukkan boleh berlaku selepas cukup 11 tahun dari persempadanan semula yang lalu, iaitu tahun 2003. Ini bermakna persempadanan semula yang seterusnya ialah pada tahun 2014. Sekarang bab paling penting - Bagaimana Barisan Nasional menang PRU-14 dengan persempadanan semua yang dibenarkan ini?

Mudah! Hanya gunakan SPR. Sempadan boleh dialihkan mengikut telunjuk bagi memastikan BN menang. Contohnya di Shah Alam, Khalid Samad menang besar di kawasan sempadan Klang maka dialihkan sempadan supaya majoriti Charles Santiago menjadi 35 ribu pada PRU14 berbanding 24 ribu pada PRU13. Kesannya, Khalid Samad akan tumbang pada PRU-14 dengan 5 ribu undi majoriti. Ini natijah persempadanan semula.

Contoh kedua ialah Parlimen Lembah Pantai. Nurul Izzah punyai majoriti hampir 2 ribu, menang banyak di kawasan Sentosa dan Brickfield. Persempadanan semula tahun 2014 menyaksikan Sentosa dan Brickfield masuk ke Parlimen Seputeh. Maka akhirnya kita ucap tahniah kepada Teresa Kok kerana mempunyai majoriti terbesar iaitu 65 ribu majoriti manakala Nurul Izzah di Lembah Pantai akan tewas dengan majoriti hampir 10 ribu.

Situasi seperti ini boleh berlaku di lebih 30 kerusi Parlimen. Akhirnya Barisan Nasional akan perolehi semula majoriti dua pertiga di atas usaha keras transformer si Najib Razak, iaitu SPR. Persempadanan semula ini juga bakal menyaksikan BN hanya perlu 30% undi popular untuk terus memerintah negara ini.

Maka selamat tinggal Reformasi 1999 dan selamat tinggal juga Tsunami 2008 sekiranya kita hari ini di tahun 2013 yang mengalami #Black505 tidak bangkit memastikan SPR dihumban dan demokrasi kembali ditegakkan. Kalau terus sabar ketika ibu pertiwi dirogol, maka teruslah menjadi bangsa yang dayus.

Akhir sekali saya simpulkan, inilah antara faktor mengapa SAMM dan penggerak massa yang lain bertekad untuk lawan penipuan PRU13 habis-habisan, bukan soal PRU14 tetapi PRU13. Kami juga menuntut Ahli Parlimen yang dipilih oleh 51% rakyat supaya menjalankan peranan pelindung rakyat dengan berani dengan tidak mengangkat sumpah pada tarikh 24 Jun 2013, hari lain angkatlah.

Ohh lupa nak maklumkan pasal minuman B10 tadi, ia satu minuman yang cukup eksotik - Minuman shake buah markisa. Boleh pesan di kafe strawberry dengan menulis nombor B10 di ruangan minuman. Terima kasih kepada Abang Mat kerana belanja kami minum dan makan satay, terima kasih juga di atas ilham yang dikongsi.

Tipu pilihanraya, rakyat turun jalanraya dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan