Selasa, 25 Jun 2013

Apabila Nasib Majoriti Ditentukan Minoriti!



Kes jenayah menjadi "tema" akhbar bahasa Cina baru-baru ini. Wanita dirogol ketika membeli kek dalam sebuah kedai di Kepong, pelanggan disimbah air najis ketika menjamu selera di gerai makanan, restoran dirompak, kes ragut berlaku di mana-mana... Kini, "Namakan tempat yang selamat di Malaysia" menjadi soalan cepumas yang paling mencabar.

Kereta dipecah cerminnya, rumah dipecah pintunya. Malah seorang rakan saya yang merancang untuk pulang ke Malaysia selepas beberapa tahun mencari rezeki di luar negeri secara berseloroh bertanya, "Senjata mana yang lebih baik untuk saya setelah balik ke Malaysia, parang atau kapak?"

Jawapan rakannya di laman sosial Facebook mencuit hati. "Kalau tidak membawa apa-apa, paling dahsyat kamu ditetak, tidaklah sampai mati. Tapi seandainya kamu membawa parang/kapak ketika berjalan-jalan, dan jika ditemui polis dan kemudian ditahan dalam lokap, matilah kau."

Apa yang tersirat di sebalik sindiran ini adalah ketidakpuasan rakyat terhadap polis yang menzalimi suspek sebelum tahanan lokap dibuktikan bersalah, di samping ketidakcekapan polis untuk mengurangkan kes penjenayahan yang semakin hari semakin melonjak. Lebih-lebih lagi, tangkapan dan tahanan politik mengeruhkan keadaan. Ketika perhimpunan diadakan di luar Lokap Berpusat Jinjang sebagai tanda solidariti kepada Adam Adli, polis cuba menyuraikan perhimpunan dengan memulakan penangkapan. Lantas seorang aunty Cina yang berada di situ mengejek, "Alangkah baiknya kalau kehebatan sedemikian digunakan untuk menangkap penjenayah!"

Isu keselamatan semakin meresahkan masyarakat Malaysia, khususnya golongan bandar. Ia bukan sekadar menyasarkan kaum Tionghua, kerana sahabat Melayu saya turut merasai "bahaya" apabila berjalan di lapangan letak kereta, di pusat beli belah dan sebagainya. Kegelisahan ini dikongsi bersama oleh penduduk bandar.

Tiba-tiba ia mencungkil ingatan saya terhadap pengalaman sepanjang tempoh kempen PRU 13. Kami sekumpulan dari bandar cuba menembusi kampung, termasuk kawasan ladang dan FELDA untuk berkempen. Kami menceritakan betapa bimbangnya diri kami terhadap isu keselamatan, dengan peningkatan kes penjenayahan yang berlaku di sekitar kami. Hampir semua daripada kami mempunyai pengalaman dirompak atau diragut, setidak-tidaknya kawan dan saudara kita pernah menjadi mangsa. Namun demikian, kami perhatikan bahawa penduduk kampung itu seolah-olah tidak tersentuh dengan isu yang cuba kami bawa.

Pengalaman ini memanjangkan renungan saya. Saban hari golongan penduduk bandar terhimpit dan terdesak dengan tekanan hidup, dengan kadar inflasi yang melonjak, sewa rumah, kos pengangkutan, hutang yang membebankan dan sebagainya. Tetapi agak jelas masalah ini tidak menimpa golongan penduduk FELDA dan kawasan kampung di pedalaman. Mereka memiliki tanah dan ladang sendiri. Mereka mudah ke mana-mana dengan pengangkutan sendiri. Pendek kata, "Hidup mereka okay saja! Tiada masalah!"

Maka saya tersenyum sinis dalam hati. Alangkah pandainya BN. Mereka hanya perlu mengekalkan bilangan yang tertentu untuk kawasan parlimen sebegini, dan menjaga kepentingan pengundi kawasan ini sebaik-baiknya. Kemudian, ditambah dengan 25% kerusi parlimen yang dipertandingkan di Sabah dan Sarawak, maka dengan senang BN dapat mempertahankan kuasa kerajaan persekutuan.

Hakikatnya, 65% kerusi parlimen Malaysia berada di kawasan kampung, meskipun 70% populasi Malaysia kini berada di bandar. Malah, menurut Andrew Khoo dari Majlis Peguam, BN menawan 112 dari 130 kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan parlimen yang kecil dalam PRU13. BN memenangi kira-kira 2.21 juta undi popular di 112 kawasan parlimen ini. Dengan kata lain, BN hanya memerlukan 19.97% undi popular untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah.

Persempadanan kawasan yang tidak adil ini sudah diketahui umum. Barang siapa yang menafikan hakikat bahawa "PRU Malaysia tidak adil" harus digoncang otaknya sekuat mungkin. Usahlah untuk saya panaskan isu yang sudah basi. Tetapi saya ingin mengingatkan bahawa selangkah demi selangkah kita menghampiri kemelut apabila jurang dalam masyarakat ini semakin melebar.

Hari ini majoriti 51% pengundi Malaysia gagal menentukan nasib negara dan dirinya melalui sistem pilihan raya yang sedia ada. Nasib populasi bandar ditentukan warga kampung yang tidak berkongsi masalah harian dan masalah hidup penduduk bandar. Untuk golongan bandar, inflasi kekal melambung, penjenayahan tetap berleluasa, hutang terus melambak selagi BN menerajui tampuk kuasa. Tapi komuniti kampung tidak terpanggil untuk berubah kerana segala-galanya "okay" untuk mereka.

Lebih-lebih lagi, pengundi kampung tidak berkongsi nilai yang sama sebagaimana yang dipegang pengundi bandar. Penduduk bandar jemu dengan hujah perkauman, sebaliknya memandang berat isu hak asasi dan kebebasan. Sementara itu, sentimen perkauman kekal mujarab di kalangan sesetengah penduduk kampung, dan mereka semacam langsung tidak peka dan tidak berminat dengan isu hak asasi dan kebebasan.

Akhirnya, pertentangan antara penduduk kampung dengan penduduk bandar semakin meruncing. Kerajaan akan menggubal dasar untuk menjaga kepentingan minoriti di kampung - kubu yang mempertahankan kuasanya. Sementara itu, majoriti warga di bandar menyalahkan pilihan pengundi kampung, yang menyebabkan warga bandar terus tersepit dalam kesusahan hidup, malah sering terancam dengan penjenayahan yang tidak terkawal. Maklumlah, apabila undi kita boleh dirompak dengan sistem yang tidak adil, maka kita tidak akan selamat di mana-mana. -Lim Hong Siang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan