Rossem, | 13 Mei 2013 |
Ketika itu usia belasan tahun, menuntut disebuah institusi pembelajaran di pinggir Kuala Lumpur, tiba-tiba seorang pegawai Polis pangkat tinggi datang “Sesiapa mahu menjadi sukarelawan polis boleh daftar nama sekarang juga”
Setelah mendaftar nama bersama ratusan teman-teman pelajar. Esoknya dibekalkan selaras senapang setiap seorang dengan 10 biji peluru penabur. Kartu berwarna kuning dengan lambang polis yang tertera nama pemilik diberikan.
“Tugas kamu membantu mengawal pengungsi (pelarian) yang melarikan diri dari kawasan awan ke lokasi selamat yang disediakan pemerintah, iaitu di Stadium Negara dan Stadium Chinwoo yang berdekatan,” kata pegawai polis itu kepada komandan sekolah kami belajar.
Melihat anak-anak kecil yang menangis, ibu-ibu yang ketakutan, dan orang tua yang uzur dan saling curiga mencurigai tinggal dalam kondisi bersesak -sesak sehelai sepinggang dalam stadium, dengan bekalan air minum tak mencukupi apalagi untuk mandi, tandas tak sampai sepuluh buah untuk menampung ribuan penggusi, lalu pertanyaan pun timbul “Politik apa ini?”
Senasib dengan pengungsi ialah petugas seperti kami yang berkerja terus menerus siang malam tanpa ganti, stadium sudah menjadi rumah kami, makan ala kadar dan tanpa gaji atau elaun.
Dalam kepenatan itu, sambil baring, kami menolog “Wahai pemuka-pemuka negara yang bijaksana, kenapa kamu memilih politik perkauman seperti ini?”
Hari ini, genap 44 tahun tragedi Mei 13 berlalu, kita masih bersedih, ada lagi rupanya parti politik yang mengamalkan sikap perkauman!
Lalu teringat ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Seminar Keharmonian Masyarakat Majmuk Pengalaman Kelantan, 8 Oktober 2011, PCB Resort, Kota Bharu.
“Perbalahan kaum seperti terjadi di Kuala Lumpur itu tak berlaku di Kelantan yang ketika itu di bawah pemerintahan PAS,” ujar Tok Guru.
“Ini bukan secara kebetulan, tapi lebih kepada usaha yang dilakukan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Asri Haji Muda memanggil semua penghulu seluruh Kelantan ke JKR 10, memberitahu mereka; "Kerajaan Kelantan tak mahu melihat walau setitis darah orang Cina tumpah di bumi ini, atau sehelai bulu roma terlerai dari badan,” sambung Tok Guru. Khalayak non-Muslim yang hadir pun senyum lebar.
Sebuah harapan dari seorang pemimpin yang meletakkan Islam segala-galanya melebihi ras.
Sekarang perjuangan itu diteruskan sosok yang baru, Datuk Haji Ahmad Yakob.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan