Khamis, 24 Januari 2013

Rasulullah gilap OKU demi perjuangan Islam

Rasulullah gilap OKU demi perjuangan Islam

Mohammad Faizal Che Yusof, 24 Jan 2013
SEBAGAIMANA biasa setiap kali tibanya 12 Rabiul Awal akan dianjurkan pelbagai acara memperingati lahirnya seorang rasul junjungan, pembawa rahmat sekalian alam. Sambutan tahun ini seharusnya lebih bermakna kerana umat Islam turut berhadapan dengan suatu pilihan raya yang penuh sejarah di Malaysia.
Mahu tidak mahu, suka atau tidak, urusan pilihan raya tidak boleh dipisahkan dengan apa yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Baginda bukan sekadar pendakwah biasa, Baginda adalah segala-galanya. Demikianlah dalam hal kenegaraan, Baginda telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana Islam perlu dimartabatkan di mana saja seorang pemerintah Islam itu berada.

Saya akan menfokuskan perbincangan kita dalam suasana yang ada ini bagaimana Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat memberi teladan yang amat hebat dalam membangunkan OKU. Sesungguhnya teladan itulah menjadi aspirasi untuk saya mengenengahkan apakah model pembangunan OKU yang perlu di Malaysia.

Mari kita telusuri, apakah yang telah dibentangkan dalam perjalanan sirah Islam yang amat mengkagumkan itu.

Sikap meraikan keperluan OKU di kalangan sahabat-sahabat telah mula dilakukan sejak zaman awal Islam, di kota Mekkah lagi. Antara kisah yang dapat dikesan bagaimana Saidina Abu Bakar Al-Sidiq telah diberi suatu jaminan oleh keluarga Ad-Daghna seorang terhormat di Mekah.

Dalam satu tempoh, Ad-Daghna telah memberi jaminan keselamatan kepada Saidina Abu Bakr As-Sidiq untuk beliau melakukan ibadat sebebasnya tanpa gangguan dari kaum Quraisy Mekah. Jaminan tersebut telah diberikan kerana sikap Saidina Abu Bakar yang amat penyantun kepada golongan daif termasuk OKU. Dalam suasana umat Islam ditindas oleh kaum Quraisy, Saidina Abu Bakar masih utuh menjaga keperluan-keperluan OKU yang ada di Mekah ketika itu.

Sikap Saidina Abu Bakar ini diteruskan hinggalah ke akhir hayatnya. Bagaimana sebaik kewafatan Baginda Rasulullah SAW, beliau telah menanyakan kepada anaknya Saidatina Aishah RA adakah lagi yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW yang masih belum beliau kerjakan.

Aishah RA telah menceritakan bagaimana setiap hari Baginda Rasulullah SAW telah menziarahi seorang Yahudi yang buta dan memberikan beliau makanan dengan menyuapkan langsung ke mulut Yahudi itu. Walhal Yahudi yang buta mata itu tidak pernah berhenti dari mencaci Baginda Rasulullah SAW tanpa disedari bahawa orang yang dicacinya itulah yang memberikan beliau makan.

Saidina Abu Bakar kemudiannya bergegas ke tempat yang diceritakan oleh anak perempuannya itu dan membuat sebagaimana dikhabarkan oleh Aishah RA. Sebaik beliau menyuapkan Yahudi yang buta itu, berkatalah sibuta itu “Siapakah kamu?”. Saidina Abu Bakar menjawab, “Akulah orang yang biasa menyuapi kamu”. Yahudi itu lalu membentak, “Bukan, bukan. Kamu bukan yang biasa itu. Dia menyuapkan aku dengan amat lembut tidak macam kamu”.

Mendengar kata-kata Yahudi yang buta itu, Saidina Abu Bakar terus mengalir air matanya mengenangkan hebatnya jasa Rasulullah SAW. Kemudian Saidina Abu Bakar menceritakan siapakah beliau dan kewafatan Rasulullah SAW. Si Yahudi itu lalu menangis dan merasa kesal atas sikapnya yang tidak henti-henti mencaci orang yang sebenarnya menyuapinya setiap hari.

Yahudi yang buta itu akhirnya memeluk Islam atas kehebatan sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar As-Sidiq.

Dua contoh di atas cukup memberi pengajaran bagaimana pemerintah perlu menyantuni OKU dari aspek kebajikan dan keperluan asasinya.

Jika nak dibincangkan, masih banyak contoh yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah dan para sahabat dalam menjaga kebajikan OKU hinggakan mereka cukup senang dalam menempuh kehidupan sebagai hamba Allah yang cacat.

Jika Rasulullah SAW dan para sahabat telah menyediakan satu teladan hebat dalam aspek kebajikan, demikianlah juga dalam aspek hak-hak asasi OKU.

Bagaimana sikap Rasulullah SAW kepada seorang buta yang masyhur iaitu Abdullah Ibn Ummu Maktum? Beliau yang buta telah diberikan kepercayaan yang cukup besar setelah dibekalkan ilmu oleh Baginda Rasulullah SAW. Bermula sebagai pendakwah ke Madinah sebelum era hijrah, hinggalah imam solat menggantikan Rasulullah SAW, muazin dan penjaga kota Madinah ketika Rasulullah SAW keluar berperang. Bahkan di zaman khulafah al-Rasyidin kedua, Saidina Umar RA telah membenarkan untuk beliau menyertai tentera Islam dan beliau akhirnya syahid dalam pertempuran tersebut.

Selain itu, Ammar Ibn Jumuh yang seorang OKU anggota telah dibenarkan untuk menyertai tentera dalam Perang Uhud. Beliau sekali-kali tidak menjadikan kecacatannya sebagai helah untuk tidak berjihad. Bahkan beliau menyebut bila ditanya apakah beliau ingin berperang dengan keadaannya yang cacat itu, beliau menjawab “Kaki aku yang cacat inilah akan mendaki tangga-tangga syurga”. Ammar ibn Jumuh kemudiannya telah syahid di Medan Uhud.

Lebih dari itu, Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat mampu melihat potensi setiap OKU di Madinah untuk digilap demi perjuangan Islam.

Jika dunia hari ini membicarakan betapa OKU perlu dibangunkan dari aspek kebajikan dan hak, Islam telah awal mengiktiraf prinsip-prinsip tersebut dengan ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW dan para sahabat radhiallahuanhum.

Nah, apa lagi yang perlu kita tunggu? Kehebatan tamadun Islam dalam membangunkan OKU kini terus diamalkan oleh dunia barat hari ini. Pelbagai dokumen telah diadakan sebagai komitmen mereka kepada golongan dhaif yang sengaja dicipta Allah SWT guna menunjukkan kekuasaan-Nya yang Maha Agung.

Kini terpulanglah kepada kita untuk menteladani apa yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat. Impian itulah menjadi cita-cita saya bersama Malaysia baru pasca PRU13, Insya Allah.

Penulis ialah Sekretariat Prihatin OKU LKKP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan