Ahad, 20 Januari 2013

Pengajaran daripada isu “Listen Listen Listen”

Pengajaran daripada isu “Listen Listen Listen”



6 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Dalam tempoh seminggu ini, tiba-tiba seluruh Malaysia mengfokus kepada dua nama baru iaitu Bavani KS dan Sharifah Zohra. Yang menariknya, pandemik yang dikenali sebagai isu “Listen Listen Listen” ini hanya meletup di alam maya. Video yang memaparkan adegan Bavani sedang bertanya soalan dalam sebuah forum di UUM telah dihalang oleh Sharifah Zohra selaku moderator ini, telah ditonton oleh hampir 0.7 juta penonton di laman Youtube dan dikongsi oleh lebih 31 000 pengguna facebook. Video ini juga telah mendapat respon oleh beberapa tokoh politik negara, 
tokoh masyarakat, agamawan, presiden MPP universiti-universiti , dan NGO-NGO di Malaysia. Pelbagai kartun, lagu parody, iklan produk, dan lawak jenaka yang berkaitan isu ini juga telah tersebar luas di laman sosial. Isu ini bukan sekadar sebuah peristiwa semata-mata, tetapi banyak pengajaran tersurat yang patut dipandang  oleh semua.
Pertama, hujah fakta lawan hujah auta. Sentimen orang tua vs orang muda sering kali dijadikan modal untuk mematikan hujah orang yang lebih muda dari kita. Inilah praktikaliti peribahasa “hormati yang tua, sayangi yang muda” yang telah disalahgunakan. Malah, kes seperti ini pernah berlaku dalam dewan rakyat sebagaiman yang telah tersebar di lama youtube, apabila Ahli Parlimen Pasir Salak menidakkan fakta-fakta dari Ahli Parlimen Gombak dengan hujah supaya Ahli Parlimen Gombak jangan kurang ajar dengan orang tua sepertinya. Sentimen karut ini perlu segera di-bakul sampahkan dari minda masyakat Malaysia, atau kita akan berhadapan dengan lambakan anak muda yang sekadar menjadi pak turut dan bengap berfikir.
Kedua, pembodohan mahasiswa. Agenda pembodohan supaya mahasiswa menjadi hamba kerajaan sangat ketara di universiti-universiti. Tindakan mewajibkan mahasiswa hadir ke program “brainwash” atau akan berhadapan dengan pemotongan merit, mengumpan dengan hadiah lumayan, mengugut mahasiswa yang ingin berpolitik, ugutan biasiswa dipotong, momokan supaya “mahasiswa bersyukur pada kerajaan”, dan lain-lain bentuk pembodohan. Mahasiswa yang akan ke luar negara diwajibkan hadir ke kursus “brainwash” Biro Tatanegara (BTN) yang kononnya memupuk sifat patriotisme, tapi hakikatnya diselit dengan cerita perkauman, memburukkan pemimpin parti lawan, dan bermotifkan kepentingan politik. Mahasiswa yang tidak bodoh sahaja akan menyedari bahawa mereka telah terjerat dengan agenda pembodohan.
Ketiga, isu pendidikan percuma kembali bergema. Sikap masyarakat Malaysia rupanya sangat bergantung pada peristiwa. Cakna kepada isu Palestin hanya bangkit apabila Israel menyerang. Isu Pendidikan percuma hanya dijulang apabila berlaku peristiwa penurunan bendera oleh Adam Adli & tragedi malam merdeka di UPSI. Tahniah kepada Bavani yang sekali lagi jadi pencetus kepada perbincangan tentang Pendidikan percuma. Momentum kesedaran tentang peri penting dan kemampuan negara untuk melaksanakan pendidikan percuma harus sentiasa dihangatkan sehingga PRU-13 nanti, seandainya masyarakat ingin melihat cadangan ini berjaya dilaksanakan.
Keempat, kuasa media alam maya. Andai dahulu jatuh bangun populariti seseorang bergantng pada cerita dari media kerajaan, tapi sekarang tidak lagi. Arab Spring juga dimulakan melalui letupan isu di alam maya. Fenomena Ustaz azhar Idrus juga tersebar melalui alam maya. Malah, BN sendiri mengakui tsunami PRU 2008 lalu juga adalah kesan kesedaran di alam maya. Dalam isu Bawani ini, sekalipun nama mereka berdua ini tidak pernah disebut di media kerajaan, tapi gelombang di media alam maya seolah telah menobatkan Bavani sebagai heroin Malaysia, dan Sharifah Zohra dijangka mengalami tekanan minda yang hebat untuk berhadapan dengan maysrakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan