Misteri 'terowong Jepun' Palekbang akan didedah
Rizal Tahir, | 13 Dis 2012 |
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata sehingga kini kajian sedang dijalankan dan hasil rumusan kajian itu akan didedahkan kepada umum.
Pencarian setakat ini katanya, berhasil menemui beberapa artifak antaranya syiling lama yang menunjukkan zaman pentadbiran kerajaan silam Kelantan.
Syiling itu katanya dipercayai dari Timur Tengah dan memberi gambaran kemungkinan Palekbang merupakan pelabuhan yang terkenal di zaman dahulu.
“Bagaimanapun ianya masih dalam kajian untuk mengetahui tahun sebenar ianya dikeluarkan,”ujarnya kepada media selepas mesyuarat exco di sini semalam.
Beliau bagaimanapun berkata, kajian lanjut sedang dilakukan di kawasan itu khususnya terhadap artifak yang berkemungkinan dari tiga zaman, iaitu zaman Melayu lama, zaman British dan Jepun.
Sebelum ini, seluruh Kelantan gempar dengan penemuan misteri terowong yang didakwa peninggalan Jepun ketika perang dunia kedua di Kampung Palekbang berdekatan Pangkalan Pasir Haji Manaf di negeri itu.
Ekoran itu, mula tersebar cerita mengatakan terowong bawah tanah itu panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke Lalang Luas, Machang.
Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi.
Beberapa buah telaga yang dijumpai di kawasan tersebut didakwa lubang untuk turun ke terowong panjang terbabit.
Bagaimanapun ada pihak telah menafikan kewujudan terowong itu, malah lubang yang ditemui itu hanya telaga dan di bawahnya ada saluran air yang tembus ke Sungai Kelantan.
Mengulas lanjut Husam berkata, telaga yang ditemui di situ besar kemungkinan ianya di zaman British dan bukannya sewaktu kedatangan Jepun.
“Saya yakin kawasan ini akan menjadi pusat pelancongan baru yang bakal menarik perhatian masyarakat dalam dan luar negara apabila ianya dijayakan sepenuhnya,”ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan