Umno sudah kehilangan hidayah
Aspan Alias, | 10 Nov 2012 |
Komen saya senang sahaja. Untuk satu-satunya persepsi itu melekat kepada UMNO itu mesti ada sebabnya. Persepsi-persepsi buruk terhadap UMNO itu bukannya wujud dengan sekelip mata dan ia tidak wujud dengan senang sahaja. Ia tentunya wujud di atas isu yang ‘real’ dan nyata. Jika isu terhadap UMNO ini tidak ‘real’ bagaimana persepsi buruk itu boleh melekat dan menjadi ‘stigma’ yang tidak dapat ditanggalkan lagi dengan parti yang telah memerintah sejak merdeka dahulu.
Dalam politik, persepsi rakyat itulah yang menjadi penentu samada parti itu kekal kukuh atau dilontarkan jauh-jauh oleh rakyat. Sebenarnya UMNO sememangnya sudah patut diketepikan lama dahulu kerana isu besar yang telah menyakitkan rakyat begitu banyak di hadapan mata kita. Tetapi semasa itu rakyat belum lagi menyedari yang perubahan itu adalah elemen penting untuk berlaku di dalam sesebuah negara yang telah matang dan lama bebas memerintah sendiri.
UMNO kini sedang dikaitkan oleh rakyat dengan senarai-senarai negatif yang terlalu banyak sehinggakan parti itu telah dipersepsikan sebagai sebuah parti yang bermasalah besar. UMNO telah membiarkan segala perkara buruk untuk berlaku di dalamnya kerana pimpinan parti itu sejak 30 tahun dahulu tidak menghiraukan isu mempertahankan imej yang baik dengan serius. Pucuk pimpinan negara dalam tiga dekad yang lalu lebih mementingkan kehendak peribadi mereka sahaja dan tidak mengangkat jari untuk memperbetulkannya.
Tetapi apabila masalah sudah menjadi besar barulah pimpinan UMNO bergegas untuk memperbaikinya dan usaha ini sudah terlalu lambat kerana yang hendak menyelesaikan masalah-masalah ini adalah di kalangan mereka yang terbabit dengan isu-isu yang besar di dalam negara sekarang ini.
Persepsi buruk bukan datang dengan saja-saja. Misalnya bagaimana hendak menolak persepsi buruk terhadap kerajaan dalam isu NFC misalnya. Tidak payah kita melarutkan isu ini oleh kerana semua orang sudah memahami tentang isu ini. Bukankah isu pembinaan stesen LRT Ampang itu merupakan isu penyelewengan yang ‘real’? Bagaimana rakyat tidak terbentuk persepsi buruk terhadap pimpinan kita kerana jelas-jelasnya harganya yang ditambah terhadap kontrak pembinaan stesen itu mencecah hampir RM1billion?
Isu PKFZ yang melibatkan RM12 billion, kerugian perdagangan wang antarabangsa yang dilakukan oleh Nor Mohamad Yakcop atas arahan Dr Mahathir yang melibatkan kerugian RM30 billion dan banyak lagi isu yang sangat besar berlaku di hadapan mata kepala kita. Isu pembotakan hutan yang dilakukan oleh penyangak hutan di Negeri Sembilan yang melibatkan keluasan 8,616 ekar tanah hutan simpan yang ada di Negeri Sembilan.
Isu perlakuan pemimpin-pemimpin BN yang bersikap seperti gangster seperti Nazri Aziz. Kalau dahulu Nazri diisukan dengan permit teksi yang beribu-ribu permit yang beliau ambil, sekarang timbul isu menggunakan kuasa melindungi Micheal Chiah dan Musa Aman tentang wang misteri sebanyak RM40 million itu. Nazri mempunyai seorang anak yang hidup seperti ‘anak maharaja Arab’ dengan kereta besar yang begitu sombong dan anaknya ini telah dikaitkan dengan banyak isu-isu jenayah yang diketahui umum.
Cakap-cakap takbur Nazri kita dengar selalu. Beliau seolah-olah seorang yang begitu besar dan kuat seperti dunia ini pun dia boleh alihkan. Sikap kesombongannya seolah-olah beliau mampu untuk menahan dunia ini daripada menghadapi kiamat.
Apabila umum mengetahui isu-isu ini dan mereka lihat dilakukan oleh pemimpin dan keluarga yang berkuasa pula, maka dengan sendirinya persepsi buruk terhadap UMNO itu terbentuk kerana tidak ada contoh-contoh peribadi yang baik dalam pimpinan BN pada hari ini.
Sikap mengaut kekayaan dengan menggunakan pengaruh keluarga dan pimpinan UMNO sudah menjadi budaya pada hari ini. Anak-anak Dr Mahathir kaya-raya dengan pengaruh Mahathir yang telah menjadi PM selama 22 tahun. Anak-anak Dr Mahathir berniaga dengan jalan mudah tanpa menggunakan kepakaran mereka kerana jika mengalami kerugian pun Mahathir telah menggunakan dana rakyat dalam jumlah yang berbillion untuk menyelamatkan perniagaan anak beliau (Mahathir).
Satu persatu pemimpin-pemimpin UMNO ada isu peribadi bersama mereka. Tidak ada yang tidak melakukan jenayah ‘kolar putih’ di antara mereka. Rakyat sekarang sudah sampai ke tahap hilang sabar dan mereka sedar UMNO dan pimpinannya tidak mungkin boleh pulih daripada ketagih rasuah ni. Justeru orang Melayu dan rakyat keseluruhannya mahukan BN dibersarakan dari memimpin negara ini.
Persepsi UMNO sudah terlalu buruk dan tidak mungkin mampu dipulihkan lagi. Jadi apa yang dikatakan oleh Setiausaha Agong UMNO yang UMNO hanya bermasalah dengan persepsi, kita nyatakan dengan jelas di sini yang persepsi-persepsi buruk itu semuanya terlandas di atas isu yang ‘real’ dan sahih.
Di atas persepsi yang buruk inilah kita rakyat akan melakukan apa sahaja yang halal mengikut undang-undang untuk mengenepikan BN kali ini kerana isu-isu buruk yang real yang dilakukan oleh pimpinan BN pada hari ini.
Kepada Hishamudin dan Tengku Adnan yang ramai menganggap masih seorang ‘novice’ dalam politik ini, elok memahami isu yang sebenar yang mereka sedang hadapi. Tetapi mereka tidak mungkin faham apa dia UMNO itu kerana mereka menyertai UMNO setelah UMNO dalam proses kehancuran yang sudah hilang segala-galanya, dari perjuangan sehinggalah ke identiti parti mereka sendiri.
Mereka ini menganggap mentadbir UMNO dan negara ini serupa seperti mentadbir sebuah ‘kilang padi’ sahaja. UMNO sudah hilang pimpinan yang mempunyai pemikiran. Yang ada dalam UMNO hari ini hanyalah mereka yang tidak tahu atau tidak mahu berfikir atau tidak tahu apa yang hendak difikirkan. Mereka mentadbir hanya dengan menggunakan kaki, tendang orang ke sana ke mari kerana mereka tidak mengerti untuk berfikir dengan menggunakan otak anugerah Tuhan yang membezakan di antara manusia dan haiwan.
Oleh kerana pimpinan UMNO kurang berkemampuan untuk berfikir, kali ini biar rakyat yang memikirkannya dan kita lihat apa yang mereka (rakyat) lakukan tidak lama lagi dalam pilihanraya nanti.
Mungkin cara untuk membuatkan pimpinan UMNO ini untuk belajar berfikir ialah dengan meletakkan di sebelah pembangkang di setiap Dewan Legislatif, samada di Persekutuan atau di Negeri-Negeri yang terlindung di dalam Tanah Persekutuan ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan