Sejuk hati bila pemimpin DAP pertahan PAS
Ahmad Lutfi Othman, | 25 Okt 2012 |
Nampak jelas, sekali Umno dirundung malang, hilang segera kewarasan berpolitik, juga kebijaksanaan mengatur strategi. Segala yang tercapai dek tangan digapai bagi menyelamatkan diri daripada terus tenggelam.
Sentimen dan api perkauman dinyalakan. Media dan alat propaganda yang dikuasai Umno, misalnya Utusan Malaysia dan TV3, bebas memercikkan bahang panas menggugat sensitiviti. Jika saingan politiknya, seperti PAS ataupun DAP, berbuat demikian, pemimpin dan aktivisnya pasti diserkup pelbagai akta. Apa pun, rakyat semakin matang dan cermat memerhati aksi golongan terdesak itu.
Memikirkan pengundi masih bermentaliti lapuk, mudah dikelirukan isu-isu sensasi dan cepat melupakan persoalan kritikal -- seperti korupsi, salahguna kuasa, peningkatan kadar jenayah, kenaikan kos hidup -- Umno dan kembarnya, MCA, mencari jalan pintas demi mempertahankan Putrajaya.
Kepada audien Melayu-Islam, Umno ghairah menggambarkan PAS begitu kemaruk kuasa, sanggup menggadai prinsip perjuangan dan rela memeluk rakan barunya, DAP, yang dipersepsikan sebagai musuh agama dan bangsa. DAP pula diunjurkan menjadi parti paling dominan dan mempunyai kuasa penentu dalam Pakatan Rakyat. Segalanya bertujuan untuk menakutkan pengundi Melayu terhadap usaha Pakatan membentuk kerajaan alternatif.
MCA, yang kalah pada kebanyakan kerusi majoriti pengundi Cina, menggunakan lenggok bahasa dan penekanan isu berbeda. PAS yang disifatkan Umno sebagai kuda tunggangan DAP, telah diangkat Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek -- ketika berdepan masyarakat Tionghua -- menjadi parti paling berpengaruh dan bakal menerajui kerajaan Pakatan di peringkat persekutuan.
Untuk mengusik emosi penyokong tradisinya, konsep Negara Berkebajikan dikritik hebat media Umno, dan PAS ditohmah sanggup melupakan cita-cita menubuhkan Negara Islam, sekali gus meremehkan Hudud. Bekas pemimpin PAS, seperti Dr Hasan Ali dan dua tiga kerat ulamak tertentu diperalatkan bagi memalitkan imej buruk ke wajah Parti Islam itu.
Dalam masa sama, lidah pemimpin MCA terutama Soi Lek, semakin fasih mencerca Hudud dan membayangkan satu undi kepada Pakatan bermakna satu undi kepada pelaksanaan undang-undang Islam, yang sengaja digambarkan sebagai peraturan kolot, menindas dan zalim.
Bukanlah isu besar jika MCA menolak Hudud, memandangkan Umno turut mengambil pendirian hampir sama. Malah sekutu rasminya dalam Perikatan sejak 1953 -- Umno -- melalui pemimpin utamanya kerap melemparkan ungkapan mempersenda dan menghina Islam.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merumuskan dengan baik situasi ini: "Dulu ketika Umno tidak pandai lagi menggunakan hujah dalam ilmu-ilmu Islam seperti maqasid syariah untuk menolak perlaksanaan hukum Islam, para pemimpin dan pengikutnya mencaci dan mencerca hukum Islam habis-habisan dan menuduh hukum Islam primitif, menimbulkan huru hara dan sebagainya.
"Kerja jahat itulah yang kini disambung oleh Chua sekarang dengan restu Umno yang sengaja berdiam diri dengan perbuatan Presiden MCA itu menghina Islam."
Ketika Soi Lek memberikan gambaran salah terhadap apa yang didakwanya perlaksanaan Hudud di negara-negara yang dianggap "paling korup, tidak stabil dan tidak selamat", dalam perhimpunan agung MCA baru-baru ini, banyak pihak mengecam sikap membisu Perdana Menteri, Najib Razak yang merasmikan majlis berkenaan. Soi Lek juga tidak menyokong tohmahannya itu dengan fakta dan data sahih.
Dalam perhimpunan itu, Naib Pengerusi Wanita MCA, Senator Heng Seai Kie, yang juga seorang timbalan menteri, memutarbelitkan ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis kempen menutup aurat di Kelantan, dengan mendakwa Mursyidul Am PAS itu menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam kerana mendedahkan aurat. Satu kenyataan paling biadab, kurang ajar dan cukup celupar!
Najib sebelum itu turut enggan mengulas dakwaan Soi Lek (yang hanya bersumberkan satu SMS diterimanya daripada individu yang tidak dikenali) bahawa 1.2 juta rakyat akan hilang pekerjaan jika Hudud dilaksanakan. Presiden MCA menyenaraikan pelbagai industri yang terjejas dengan kehilangan pekerjaan yang didakwanya itu, antaranya, pekerjaan di resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan juga rumah urut.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam satu majlis ceramah membidas Najib: "Presiden MCA boleh berucap menyerang Islam begitu biadap sekali dan dia boleh duduk senyum. Kemudian bila berucap tak tegur pun. Mana dia maruah sebagai umat?"
Namun apa yang ditunjukkan Soi Lek bukan lagi sekadar penolakan Hudud (sesuatu yang boleh dianggap lazim bagi seorang bukan Islam), tetapi ia usaha terancang dan bermotif untuk menghina dan merendahkan Islam bagi meraih sokongan. Menyedari MCA mungkin menjadi sejarah selepas PRU13, Soi Lek cuba menampilkan imejnya sebagai "pembela dan penyelamat" bagi masyarakat Cina daripada "kezaliman Hudud".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan