Ahad, 13 Mei 2012

Himpunan Umno tak boleh saingi Bersih 3.0

Himpunan Umno tak boleh saingi Bersih 3.0




20 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] - KEPALA BATAS, 12 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berpendapat perhimpunan sempena Ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Bukit Jalil malam tadi tidak boleh menyaingi perhimpunan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 pada 28 April lalu.

Ini, katanya kerana peserta Bersih 3.0 datang dengan hati yang ikhlas supaya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bertindak adil menguruskan sistem pilihan raya berbanding Umno diangkut secara percuma dengan sedikit habuan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh sama sekali mengukur kedatangan orang ramai ke sambutan ulang tahun Umno itu sebagai bukti maruahnya telah pulih dan kembali mendapat sokongan rakyat jelata,

"Perhimpunan yang datang dari hati yang suci semata-mata inginkan pilihan raya bersih jauh dari perbuatan yang kotor tidak sama dengan ulang tahun Umno ke 66 di mana kedatangan mereka dari kalangan ahli Umno dan penyokong tegar yang diupah serta diangkut dari pelosok negara," jelasnya mengulas ucapan Najib semalam yang yakin Umno sudah mendapat sokongan dengan manusia membanjiri stadium berkenaan.

Katanya, peserta Bersih 1.0, 2.0 atau pun 3.0 baru-baru ini bukan diundang dengan habuan atau kenderaan percuma tetapi kedatangan mereka disebabkan mahukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR mempertimbangkan saranan Bersih agar pilihanraya di Malaysia berjalan dengan baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena yakin Umno sukar dipulihkan kerana kepimpinanya terlalu sinonim dengan rasuah dan mengabaikan rakyat bawahan yang mengharapkan simpati.

Keadaan bertambah parah kata Mahfuz, apabila pasukan polis bertindak kejam terhadap peserta Bersih 3.0 sekaligus mencalarkan maruah dan kepercayaan orang ramai terhadap polis.

Justeru itu, ujarnya Najib terpaksa menggunakan bekas perdana menteri dan dua bekas Ketua Polis Negara sebagai talian hayat menjelang pilihan raya umum ke 13 apabila di samping menubuhkan panel penasihat bebas.

"Gunalah siapa pun rakyat kini sudah bijak menilai, ukan macam rakyat 1970-an, 1980-an atau 1990-an yang rela angguk setiap kali pilihan raya," ujarnya. - Harakahdaily


Tiada ulasan:

Catat Ulasan