Umno bimbang trauma 1999 berulang kembali
Aslani M, |
KOTA BHARU, 10 Jan: Trauma kerana kehilangan sokongan majoriti orang Melayu pada pilihan raya umum 1999 mungkin menjadi tanda aras kes liwat II tidak menyebelahi pihak pendakwa.
Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Hafiz Musa berkata, Umno/Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan sebahagian besar orang Melayu ketika itu.
“Jika situasi itu berlaku sekali lagi, rejim Umno/BN diyakini akan kehilangan undi majoriti dalam pilihanraya umum akan datang.
“Seterusnya pemerintahan BN di Malaysia pasti akan berakhir,” katanya di sini.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan kes liwat II setelah pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti menyakinkan.
Oleh itu kata Hafiz Pemuda PAS Kelantan melihat keputusan di luar jangka tersebut sebagai satu perkembangan amat baik terhadap institusi kehakiman negara kerana dibebaskan daripada kongkongan rejim Umno/BN.
Bahkan katanya pembebasan tersebut sewajarnya dilihat sebagai petanda di mana pengamal perundangan berjaya mengikis rasa takut terhadap rejim yang mentadbir negara sekarang.
Sedangkan menurutnya senario itu amat berbeza dengan apa yang berlaku dalam kes liwat 1, di mana institusi kehakiman berada di bawah kongkongan rejim pemerintah.
“Kes tersebut membawa gelombang kebangkitan apabila Dato' Seri Anwar dipenjara mengikut telunjuk pemerintah ketika itu, walaupun pendakwa juga gagal membawa bukti mensabitkan beliau,” katanya.
Oleh itu Pemuda PAS Kelantan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dilepas daripada tuduhan liwat II.
Menurutnya ia dianggap sebagai tamat episod siri fitnah dan permainan politik kotor yang memalukan negara di mata dunia.
“Pembebasan Anwar membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya selama ini hanyalah merupakan fitnah yang direka,” katanya.
Hafiz juga berkata, sudah tiba masanya semua pihak dalam Pakatan Rakyat memfokus gerak kerja menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan