
Ekoran
rungutan berterusan orangramai mengenai kos sara hidup yang kian
meningkat berikutan berlakunya siri kenaikan harga barang dan
perkhidmatan, Najib Razak semalam mengumumkan penubuhan Makmal Mengenai
Kos Sara Hidup di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan atau
Pemandu bagi mengkaji dan merangka langkah-langkah susulan menangani
masalah itu.
Menulis di laman sosial Facebooknya, Perdana Menteri
berkata, beliau sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat berkenaan
kenaikan kos sara hidup dan sedang mencari formula sesuai untuk menjaga
kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Disebabkan itu, katanya, kerajaan bersetuju menubuhkan makmal tersebut yang diletakkan di bawah Pemandu.
Respons
Najib ini adalah jelas untuk menunjukkan beliau tetap seorang pemimpin
yang prihatin kepada kesejahteraan rakyat berikutan pelbagai kenaikan
yang berlaku sejak selepas PRU13 lalu lebih memperlihatkan beliau
seolah-olah bukan lagi Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat serta
tidak mempedulikan rungutan yang kian meningkat.
Najib dilihat
memilih cara mudah untuk menambah pendapatan negara iaitu dengan cuba
mengambil lebih banyak wang daripada poket rakyat melalui kenaikan cukai
dan menghapuskan subsidi serta dalam masa yang diminta berkorban dan
berjimat-cermat.
Namun yang menjadi persoalan ialah kenapa baru
sekarang beliau tergerak hati mahu menubuhkan makmal mengenai kos sara
hidup itu. Apakah sebelum menaikkan harga barang, beliau tidak pernah
memikirkan kos sara hidup rakyat? Makmal ini sepatutnya ditubuhkan
sebelum sebarang kenaikan dilakukan dan bukannya selepas banyak kenaikan
dilakukan.
Benarlah kata orang, kehidupan sebagai anak bangsawan
menyebabkan beliau tidak dapat memahami derita rakyat miskin. Kehidupan
serba mewah sejak lahir menyebabkannya tidak pernah merasai denyut nadi
rakyat bawahan dan pemahamannya mengenai kemiskinan hanyalah sekadar
memandang melalui jendela dari sebuah rumah banglo.
Dengan
menubuhkan makmal hanya setelah melakukan pelbagai kenaikan dan
meletakkan rakyat dalam kehidupan hampir "nyawa-nyawa ikan", menunjukkan
Najib seorang yang tidak memandang ke hadapan, tiada perancangan
konkrit dalam mengurus negara dan menjaga kebajikan rakyat. Semua urusan
negara seolah-olah dilakukan berdasarkan pendekatan "ad-hoc" dan konsep
"trial and error" saja.
Apa yang berlaku sekarang memperlihatkan
Najib sedang mengamalkan pendekatan terbalik dalam mengurus negara dan
kerajaan iaitu dengan melakukan sesuatu terlebih dahulu, kemudian
barulah membuat kajian sedangkan sepatutnya kajian dan fikiran mendalam
dilakukan terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan mahu dibuat.
Sekiranya
makmal ini ditubuhkan sebelum pelbagai kenaikan dilakukan, Najib pasti
mendapat lebih maklumat mengenai kesan kenaikan harga barang dan
perkhidmatan kepada kehidupan rakyat dan tidak menjadikan dirinya
pemungkir janji paling zalim di mata rakyat.
Selain itu, dengan
meletakkan makmal ini di bawah Pemandu, persoalan yang timbul ialah apa
sudah jadi dengan jentera kerajaan sedia ada? Apakah Najib tidak
mempercayai lagi pelbagai jentera dan agensi kerajaan untuk melakukan
kajian yang melibatkan kehidupan rakyat ini?
Untuk mendapat
maklumat mengenai kos sara hidup ini, Najib juga boleh mendapatkannya
melalui UMNO dan parti-parti komponen BN yang rangkaiannya lebih
menyeluruh dan mempunyai cawangan di serata tempat. Pemimpin peringkat
cawangan, bahagian, penghulu dan ketua kampung sebenarnya boleh
mendapatkan maklumat dan kajian lebih tepat mengenai kos sara hidup ini
kerana mereka lebih bergaul dengan pelbagai jenis kelompok rakyat.
Kenapa
Pemandu juga yang dipilih oleh Najib sedangkan untuk mendapatkan
maklumat mengenai kenaikan kos sara hidup bukanlah suatu kerja yang
susah sangat?
Dengan menyerahkan kepada Pemandu untuk menjalankan
makmal ini, persoalan yang timbul juga ialah berapa juta lagi kos yang
mahu dikeluarkan oleh kerajaan mengenainya. Sudah tentu Pemandu tidak
punya kakitangan dan dan upaya untuk melakukan kajian ini, sebaliknya
akan menyerahkannya kepada perunding luar untuk melakukan kajian bagi
pihaknya.
Jika sebelum ini Parlimen sudah diberitahu bahawa
sepanjang lima tahun Najib menjadi Perdana Menteri, beliau sudah
membelanjakan RM7.2 bilion untuk mengupah perunding atau konsultan luar
bagi melakukan pelbagai tugas sehingga mereka ini layak digelar
con-sultan atau con-setan, dengan adanya makmal mengenai kos sara hidup
ini tentunya sekali lagi duit rakyat akan dirobek bagi tujan itu.
Mungkin
puluhan juta terpaksa dibelanjakan bagi mengupah perunding luar ini
sedngkan hasil kajiannya belum pasti membuahkan sesuatu yang
menggembirakan kepada rakyat.
Persoalan lain yang timbul ialah
berapa lamakah makmal ini diberikan masa untuk menjalan tugasnya. Jika
contohnya enam bulan baru hasil kajian itu dapat diperolehi, apakah
sepanjang tempoh enam bulan itu rakyat hanya dibiarkan saja menanggung
beban derita kehidupan mereka?
Isu kenaikan kos sara hidup adalah
isu kritikal ketika ini. Majoriti rakyat terbeban kehidupannya. Najib
seharusnya mengambil langkah lebih pantas untuk menanganinya. Sekarang
bukanlah lagi masa untuk beretorik dan melakukan kejian dengan
menubuhkan makmal atau seumpamanya. Sekarang adalah masa untuk beliau
bertindak segera.
Menubuhkan makmal kajian yang akan memakan masa
beberapa bulan, hanyalah bertujuan melengahkan masa untuk bertindak
dalam membantu rakyat. Ingatlah bahawa rakyat sudah lama terbeban
kehidupannya dan kajian demi kajian tidak akan merubah apa-apa.
Mengaku
mendengar keluh-kesah rakyat saja tidak lagi memadai. Mendengar mesti
disusuli dengan tindakan yang segera dan pantas. Di ketika ini, Najib
mesti berfikir seperti seorang doktor untuk mengubati penyakit dan
bukannya seperti seorang peguam yang suka melengah-lengahkan masa. -
http://shahbudindotcom.blogspot.com/