KUALA LUMPUR:
Selalunya kehidupan orang yang baru mendapat nikmat ini hidup mereka
kadang kala adalah 'fake' dan tidak natural, tulis Aspan Alias
(gambar).
“Dalam
waktu membuat ‘adjustments’ dengan keadaan dan situasi baru itu, ia
menyakitkan mata dan hati banyak pihak yang bersangkutan dengan orag
ramai,” tulis beliau di dalam blognya, kelmarin.
Kata-kata orang
tua dahulu kala ada berbunyi, ‘seorang yang berdarah raja itu, jika
menjadi buruh pun ia tetap raja, tetapi jika seorang 'toman' (singkek),
jika diletakkan mahkota di kepala mereka sekali pun, ia tetap dengan
sikap 'toman'nya.
Tulisan penuh beliau sebagaimana di bawah.
Dulu-dulu orang kampung seperti saya ini pergi sekolah naik bas dan
naik bas pula tidak seperti orang di bandar. Saya menaiki bas pada pukul
6.30 pagi tetapi belum tentu sampai ke sekolah jam 8 pagi.
Pertamanya
ialah kerana bas di kampung selalunya bas yang sudah tua. Kadang kala
bukan bas yang membawa kita, sebaliknya kita pula yang terpaksa menolak
bas apabila bas melalui jalan lumpur yang tidak ada tar.
Sekarang
ini zaman lain. Sekarang semuanya sudah ada jalan sampai ke pintu pagar
setiap individu terutamanya di negeri-negeri pantai barat di
Semenanjung.
Kereta pun sudah banyak dan semua jalan adalah
jalan tar. Bukan sahaja semua orang pergi ke mana-mana dengan bas dan
kereta yang baik, bagi mereka yang pandai terutamanya yang kuat berjuang
sebagai ‘social climbers’ pergi ke mana-mana naik jet peribadi.
Kalau
tak mampu beli jet sendiri, rakyat ramai yang membayar semua kos itu
hingga jutaan ringgit harganya. Kalau di setengah negara pergaduhan
berlaku kerana kemiskinan, tetapi sekarang manusia bergaduh kerana
barangan dan perkhidmatan yang mewah yang tidak termimpi oleh mereka
yang sedang mendapat nikmat besar tadi.
Kemajuan peribadi begitu
mendadak sehinggakan tidak sempat untuk melatih diri untuk tidak
terlalu gelojoh dengan nikmat yang datangnya dari pengaruh politik suami
atau isteri masing-masing.
Nikmat yang didapati oleh mereka yang
belum sempat membentuk diri yang secocok sebagai manusia dalam tahap
‘social’ yang tinggi, maka terjadi dan terbentuklah situasi dalam mana
mereka seperti ini hidup dalam ‘glamour’ yang keterlaluan.
Mereka
yang baru masuk dalam kumpulan ‘orang kaya baru’ ini akan terlajak
dalam semua hal dalam proses menyesuaikan diri dengan keadaan baru
mereka itu.
Berlainan dengan mereka yang sudah tersedia lahir dan
hidup dan dibesarkan dalam keluarga yang kaya dan tahap ‘social’ yang
tersedia tinggi. Mereka yang dari kumpulan ini hidup mereka lebih
‘natural’ dan ‘glamour’ itu bukan perjuangan atau niat mereka dalam
semua langkah kehidupan mereka.
Mereka dalam kumpulan ini boleh turun dan boleh naik di mana-mana dan selalunya tidak akan memikirkan hal ‘glamour’ itu lagi.
Mereka
dalam kumpulan ini, jika memakai pakaian yang murah pun nampak seperti
memakai pakaian yang mahal. Mereka tidak perlu lagi menempelkan imej
baru kerana dari lahirnya mereka sememangnya sudah berada di tahap itu.
Maka tidak ada risiko memakan dan berbelanjakan wang awam untuk menambah
dan menempelkan imej yang mereka mahu masyarakat melihatnya.
Mungkin
ramai yang tidak faham apa yang saya nyatakan ini tetapi untuk
memudahkan kefahaman itu elok kita tengok filem arahan P Ramlee, Ali
Baba Bujang Lapuk. Kita boleh belajar banyak nilai kemasyarakatan .
Aziz Satar terpaksa belajar cara berjalan sebagai orang kaya setelah terjumpa harta karun yang bertimbun.
Aziz
berfikir jika sudah jadi kaya cara berjaan pun kena ubah. Aziz menjadi
bahan ketawa penonton dan itu adalah satu keadaan yang hakiki yang
sedang berlaku dalam masyarakat kita khususnya yang baru mendapat
kekayaan dan kedudukan yang tinggi.
Selalunya kehidupan orang yang baru mendapat nikmat ini hidup mereka kadang kala adalah 'fake' dan tidak natural.
Dalam
waktu membuat ‘adjustments’ dengan keadaan dan situasi baru itu, ia
menyakitkan mata dan hati banyak pihak yang bersangkutan dengan orag
ramai.
Kata-kata orang tua dahulu kala ada berbunyi, ‘seorang
yang berdarah raja itu, jika menjadi buruh pun ia tetap raja, tetapi
jika seorang 'toman' (singkek), jika diletakkan mahkota di kepala mereka
sekali pun, ia tetap dengan sikap 'toman'nya. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com/