|
Zairil Khir Johari Roketkini,
|
13 Okt 2013
|

KETIKA
Datuk Seri Najib Razak awal-awal menjadi Perdana Menteri, beliau
menjanjikan perpaduan nasional melalui kempen 1Malaysia dan Model
Ekonomi Baru (MEB). Dasar ekonomi yang diuar-uarkan ini dikatakan akan
mengambil pendekatan tindakan afirmatif berasaskan keperluan, yakni
kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah tanpa mengira kaum.
Usaha
ini menandakan pemisahan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini
yang berasaskan kaum. Dengan anjakan paradigma ini, Najib mengisyaratkan
bahawa pembangunan ekonomi negara pada masa depan akan bertunjangkan
prinsip keterangkuman sosial, di mana setiap rakyat Malaysia akan
dihitungkan, khususnya mereka yang paling memerlukan bantuan.
Malangnya,
janji Najib semua sudah terbatal. Konsep 1Malaysia kini menjadi tidak
lebih daripada jenama bagi kedai runcit subsidi, klinik bergerak, skim
perumahan mampu milik, menu makanan bajet, serta peruncit tekstil dan
lain-lain lagi.
Pada masa yang sama, MEB pula jelas dipinggirkan oleh NEB versi baru yang dinamakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB).
Dasar
PEB yang baru dilancarkan ini membabitkan pelbagai inisiatif berasaskan
kaum, termasuk pembentukan Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera,
penubuhan Unit Pembangunan Bumiputera di setiap kementerian, jaminan
bahawa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) utama akan meningkatkan
penyertaan vendor Bumiputera, serta pelancaran 10 bilion unit saham baru
Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) oleh Permodalan Nasional Berhad
(PNB).
Sementara MEB menawarkan liberalisasi pasaran dan
tindakan afirmatif berasaskan keperluan yang akan memberi tumpuan kepada
usaha merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin, PEB pula
seolah-olah usaha untuk mengembalikan DEB yang terbukti gagal membela
golongan Melayu miskin, tetapi sebaliknya lebih memanfaatkan golongan
kapitalis Melayu yang mempunyai hubungan akrab dengan parti pemerintah.
Hakikat
ini adalah jelas apabila kita pertimbangkan perangkaan yang menunjukkan
bahawa setelah empat dekad bantuan yang kononnya disasarkan kepada
Bumiputera, masih terdapat 40 peratus isi rumah Bumiputera yang hidup
dengan pendapatan bulanan RM1,686 secara purata. Pada masa yang sama, si
kaya yang mempunyai hubungan politik mampu untuk membeli rumah banglo
RM7 juta dengan begitu sahaja.
Justeru, cadangan pelancaran 10
bilion unit ASB2 adalah sangat meragukan. Siapakah yang sebenarnya
mendapat manfaat daripada saham ASB tambahan yang bakal disediakan?
Adakah kumpulan 40 peratus isi rumah Bumiputera terendah dapat melabur
dalam saham yang berhasil tinggi ini sedangkan pendapatan mereka hanya
cukup makan dan pakai?
Menurut laporan tahunan PNB, pelaburan
purata pelabur Bumiputera adalah RM14,097 seorang pada akhir 2012.
Sekali pandang, angka ini tampak menunjukkan bahawa ramai orang Melayu
sudah mencapai kadar simpanan yang agak selesa.
Bagaimanapun,
apabila laporan ini diperhalusi, angka ini benar-benar mengelirukan.
Setelah dicerakinkan, didapati bahawa 74 peratus atau hampir tiga
perempat pelabur Amanah Saham Bumiputera sebenarnya mempunyai pelaburan
purata hanya RM611 setiap seorang. Angka ini jauh berbeza dengan purata
keseluruhan pelabur dan lebih mencerminkan realiti rakyat.
Dalam
erti kata lain, hanya golongan pelabur elit Bumiputera yang mampu
melabur dengan jumlah yang ketara, sementara majoriti pelabur Bumiputera
yang lain ternyata tidak mampu menikmati tawaran saham ini. Oleh itu,
bagaimanakah mungkin langkah Kerajaan untuk menyediakan lebih banyak
unit ASB dapat memberi manfaat kepada Bumiputera kebanyakan?
Malah,
satu kajian oleh pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid mendapati
bahawa perbezaan kekayaan antara pelabur ASB adalah sangat mencolok, di
mana 0.1 peratus teratas pelabur Bumiputera mempunyai portfolio
terkumpul yang bernilai 1,526 kali lebih banyak berbanding gabungan 80
peratus pemegang saham terbawah. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa
kumpulan elit Bumiputera ini juga yang akhirnya akan mendapat manfaat
daripada tambahan 10 bilion unit ASB2, dan bukannya Melayu biasa yang
sekadar mampu untuk melabur sebanyak RM611.
Maka, persoalannya – untuk siapakah ASB2 ini sebenarnya? Pastinya bukan untuk Bumiputera kebanyakan.