Khamis, 19 September 2013

: Maksud korban nazar


Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 19 Sep 2013
Soalan;
Boleh tolong jelaskan kepada saya tentang korban nazar dan bagaimanakah sesuatu korban itu boleh menjadi korban nazar.

Jawapan;

Hukum asal ibadah korban menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie) ialah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut dan makruh meninggalkannya bagi yang mampu. Ia berubah menjadi wajib apabila dinazarkan. Nazar bermaksud; seorang mukallaf dengan pilihannya sendiri telah melafazkan ucapan untuk mewajibkan ke atas dirinya suatu amalan yang asalnya tidak wajib (iaitu sunat sahaja), dengan ucapannya itu amalan tersebut menjadi wajib atas dirinya. Ucapan nazar itu boleh dengan bahasa nazar itu sendiri seperti berkata; ‘Jika sembuh sakitku, aku bernazar untuk bersedekah” dan boleh juga dengan bahasa lain yang mewajibkan ke atas diri seperti berkata; “Jika Allah menyembuhkan sakitku, wajib atas diriku bagi Allah sedekah dengan nilai sekian-sekian”.

Bagi ibadah korban, ia menjadi nazar apabila seorang berkata; “Aku bernazar untuk berkorban pada tahun ini,” atau berkata; “Wajib ke atas diriku bagi Allah berkorban pada tahun ini” atau berkata; “Jika sakitku sembuh, wajib atas diriku untuk berkorban pada tahun ini”. Bagi lafaz terakhir (iaitu “jika sakitku sembuh, wajib atas diriku berkorban”) korban hanya menjadi wajib jika perkara yang diikat dengan korban itu benar-benar berlaku (dalam kes ini; sembuh dari sakit). Ia dinamakan nazar muqayyad (iaitu nazar berkait). Adapun nazar dengan lafaz sebelumnya dinamakan nazar mutlak (nazar bebas).

Nazar wajib dilaksanakan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “(Di antara sifat orang-orang yang baik/taat ialah) mereka memenuhi nazar mereka…” (surah al-Insan, ayat 7). Nabi SAW bersabda; “Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah (yakni bernazar untuk melakukan suatu amalan ketaatan), hendaklah dia mentaati Allah (dengan melaksanakan nazarnya itu)” (Soheh al-Bukhari; 6696, dari ‘Aisyah RA).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Isnin, 16 September 2013

Chin Peng meninggal dunia pagi ini


Harakahdaily, 16 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng meninggal dunia di Bangkok, Thailand pagi ini pada usia 90 tahun, lapor The Malaysian Insider.

Menurut laporan Bangkok Post, beliau meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Setiawan, Perak pada bulan Oktober, 1924.

Memetik Wikipedia, Chin Peng yang dilahirkan pada 21 Oktober 1924 sebagai Ong Boon Hwa merupakan seorang ketua Parti Komunis Malaya. Beliau telah dianugerahi Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua.
Beliau merupakan seorang Cina berketurunan Kantonis yang mendakwa dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak.

Bagaimanapun, dalam perbicaraan memohon dibenarkan masuk Malaysia, dia gagal mengemukakan sijil kelahirannya.

Dia merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930.

PBS: PAS Sarawak khuatir nasib guru, murid pedalaman

Harakahdaily, 16 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak menggesa pihak Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) agar dapat membantu guru dan memberi kebaikan kepada para pelajar untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Jofri Jaraiee (gambar) berkata, perkara itu harus dipandang serius oleh pihak kementerian terutama nasib guru dan pelajar yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan talian internet.

“Harap pihak yang berkenaan dapat memberi perhatian yang sewajarnya untuk mengatasi masalah PBS ini dari terus berlarutan yang boleh membebankan tugas guru dan prestasi pelajar juga boleh terjejas akibat perlaksanaan PBS yang tidak sistematik, teratur dan sempurna,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) adalah bentuk holistik penilaian yang menilai aspek kognitif (intelektual), afektif (emosional dan spiritual), psikomotorik (fisik) dan sosial iaitu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS menilai proses dan produk dalam penilaian formatif dan sumatif dari konsep assessment for learning and assessment of learning.

PBS yang dilaksanakan oleh pihak kementerian pelajaran ini mendapat beberapa pandangan dari kalangan warga guru. Di sini kita menerima beberapa pandangan dari warga guru yang mahu PBS dibaik pulih sepenuhnya agar ianya tidak membebankan tugas harian guru.

Pada dasarnya pelaksanaan PBS ini adalah suatu yang baik jika dilihat dari fikiran yang positif, tidak membebankan, cuma masih ramai di kalangan warga guru yang belum memahami konsep pelaksanaan PBS ini secara mendalam.

Prasarana untuk pelaksanaan PBS ini masih kurang diberi perhatian, jika PBS dapat dilaksanakan dengan berkesan negara kita dapat melahirkan rakyat kelas pertama yang terbaik di dunia. PBS bukan dibuat oleh orang politik tetapi oleh tokoh-tokoh pendidik sesuai dengan perkembangan semasa menurut pandangan seorang guru yang tidak mahu namanya disiarkan.

Kita juga menerima pandangan guru yang mahu PBS dikaji semula agar ianya tidak membebankan tugas harian mereka. Bebanan kerja bertambah kepada guru yang mengajar pada dasarnya ia bertujuan untuk mewujudkan keadaan persekolahan murid-murid yang bukan lagi berorentasikan peperiksaan.

Namun begitu guru-guru kena menyediakan fail setiap murid diisi dengan hasil kerja murid tersebut dan akan disimpan dari tahun 1 hingga tahun 6. Cuba fahami tugas seorang guru yang mengajar, aktiviti kokurikulum, latihan sukan dan lain-lain menyebabkan PBS menjadi tugas tambahan bagi mereka. PBS cantik andai guru diberi pembantu dalam melaksanakannya.

Untuk memberi lebih gambaran/perkongsian pengalaman dan pemerhatian seorang guru, di sini kita beri contoh tugas harian yang perlu dilaksanakan oleh seorang guru.

1. Guru mengajar 24 waktu seminggu, 8 kelas, 1 kelas 36 orang pelajar.

2. Selesai menilai 1 penyataan bertulis, guru perlu memasukkan penyataan ke dalam fail individu pelajar, setiap kelas (36 pelajar x 8 kelas = 288 fail setiap kali hendak masukkan dan keluaran penyataan)

3. Waktu memasukkan penyataan adalah pada masa waktu cikgu ada luang.

4. Kelas guru mengajar 24 waktu (1 waktu = 30 - 40 minit) kadang-kadang ditambah waktu menggantikan kelas guru yang tidak hadir menjadikan 28 waktu seminggu.

Dengan tugasan yang bertambah tersebut, PBS secara tidak langsung menjadi bebanan kepada guru. Warga guru mengesa PBS dikaji semula agar ianya boleh memberi manfaat kepada semua.

Antara cadangan warga guru untuk penambaikan PBS adalah seperti berikut.

- Memberi kefahaman yang jelas kepada guru tentang PBS.

- Sediakan prasarana yang cukup dan baik seperti ICT (Informasi Komunikasi dan Teknologi) talian internet di kawasan luar bandar juga perlu diperbaiki.

- JPN (Jabatan Pelajaran Negeri) dan PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) harus membantu sekolah dan guru yang perlu bantuan dalam melaksanakan PBS

- Pengurusan sekolah perlu sentiasa membantu masalah guru yang tidak mempunyai kemudahan internet.

- Guru-guru jangan dibebani dengan kerja-kerja pekeranian.

- Sediakan pembantu tambahan yang boleh membantu  guru masukkan data online.

Perkara ini harus dipandang serius oleh pihak kementerian pelajaran Malaysia terutama nasib guru dan pelajar yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan talian internet.

Kita menggesa pihak kementerian pelajaran mengkaji semula PBS agar ianya dapat membantu guru dan memberi kebaikan kepada para pelajar untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

Harap pihak yang berkenaan dapat memberi perhatian yang sewajarnya untuk mengatasi masalah PBS ini dari terus berlarutan yang boleh membebankan tugas guru dan prestasi pelajar juga boleh terjejas akibat perlaksanaan PBS yang tidak sistematik, teratur dan sempurna.


Jofri Jaraiee

PAS Sarawak

Ancaman dajal moden & wanita liberal!

Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, 12 Sep 2013
Dajal adalah suatu fitnah yang cukup berat bagi orang yang akan bertemu dengannya, kerana itulah Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita agar sentiasa berdoa di akhir solat dengan doa ini, maksudnya:

“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan berlindung dengan-Mu daripada fitnah Al-Masih al-Dajal“.


Rasulullah SAW telah berwasiat dalam hadisnya agar kita meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada fitnah dajal diakhir tahiyyat setiap kali menunaikan solat. Dajal yang ditakuti itu akan muncul pada akhir zaman, sebagai salah satu dari tanda-tanda kiamat yang besar. Pada waktu itu ramai manusia yang tidak beriman atau yang goyah imannya di atas dunia ini akan menjadi pengikutnya, mempercayai bahawa ia adalah tuhan.

Menurut Rasulullah SAW juga, dajjal yang buta sebelah matanya tetapi mempunyai kuasa-kuasa misteri yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Dia boleh mendengar dengan telinganya apa yang diucapkan di hujung dunia sana, boleh melihat dengan mata sebelahnya itu apa yang berlaku dalam dunia ini, dia boleh berjalan mengelilingi dunia dalam masa beberapa hari sahaja, boleh mengeluarkan khazanah-khazanah seperti emas dan perak dari perut bumi dengan mudahnya, boleh menurunkan hujan dan menumbuhkan tanam-tanaman, boleh memati dan menghidupkan kembali orang yang telah mati. [Lihat: Nihayah Al-Aalam 249]

Dari Hudzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Dajjal ialah orang yang buta sebelah matanya iaitu sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya yang kerinting serta dia membawa Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka bagi orang Islam dan beriman kepada Allah SWT.”
[Hadis riwayat Muslim].

Maka sesiapa yang lemah imannya akan percaya bahawa dia adalah tuhan yang sebenarnya dan akan sujud patuh mengikut perintahnya, tapi sebaliknya orang yang kuat imannya akan dapat membaca tulisan di dahinya: ‘kaf, fa, ra’, iaitu kafir, dan mereka yakin bahawa ia hanyalah satu penipuan untuk menguji keimanan manusia.

Daripada Qatadah, beliau mendengar daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak ada seorang nabi kecuali ia telah memperingatkan kaumnya terhadap sang pendusta yang buta sebelah mata. Ketahuilah bahawa dajal itu buta sebelah matanya sedangkan Tuhanmu tidak buta sebelah mata dan di antara kedua matanya tertulis “kaaf”, “faa”, “raa”. [Hadis riwayat Muslim].

Walaupun dajal sebenar dengan segala macam fitnah yang akan dibawanya akan muncul di akhir zaman sewaktu hampirnya kiamat, namun Rasulullah SAW telah mengajar umatnya agar beramal dengan doa tersebut, mungkin kerana sebelum itu akan ada fitnah-fitnah –semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua darinya- yang serupa dengannya walaupun lebih kecil berbanding dengan fitnah dajjal yang hakiki.

Dajal Moden

Kali ini kita akan melihat perspektif tentang dajal moden ini melalui hasil perbincangan di antara Syeikh Ibnu Bulaihid – yang merupakan tumpuan orang-orang Badwi di Najdi dan penduduk sekitarnya yang mahu belajar dan mendengar ilmu darinya – dengan seorang penulis yang terkenal di Arab Saudi iaitu Muhammad Asad yang berasal dari Austria.

Beliau datang ke Saudi pada zaman pemerintahan Al-Malik Abdul Aziz dan merupakan seorang sahabat Almarhum yang sangat dihormatinya. Beliau mencatatkan perbincangan tersebut dalam bukunya yang masyhur: ‘The Road to Mecca (Makkah)’.

Buku ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul: ‘At-Torik Ila al-Islam’. Dengan pengalamannya sebagai orang barat (Western man) yang non-Muslim sebelum ini, beliau mengibaratkan huraian dajal yang disebutkan di dalam hadis itu sebagai satu huraian yang menepati tentang kemajuan teknologi dunia moden hari ini (sebelum datangnya dajjal akhir zaman yang hakiki). Iaitu tentang kehidupan manusia hari ini yang telah luput maruahnya, hilang segala pertimbangan dan kaitan dengan asal-usul kejadiannya.

Katanya: “Tidakkah huraian dajal di dalam hadis Rasulullah di atas tadi begitu jelas sebagai satu penghuraian yang tepat tentang kemajuan teknologi moden hari ini?

1. Ia bermata satu, iaitu hanya melihat kepada satu aspek kehidupan sahaja iaitu kemajuan / perkembangan material (material progress), ia tidak peduli akan perkembangan rohani (spiritual side).

2. Dengan bantuan mesin / alat-alat ciptaan yang canggih membolehkan manusia melihat dan mendengar tanpa batasan melebihi kemampuan semula jadinya, juga boleh melalui jarak atau sempadan yang tidak terhad dalam masa yang singkat. Ini terbukti dengan ciptaan telefon, kapal terbang, jet, satelit, internet dan sebagainya.

3. Kemajuan sains juga boleh mengadakan hujan tiruan, menumbuhkan tanaman dengan cepat dan mengeluarkan khazanah-khazanah yang tidak disangka dari perut bumi seperti emas, perak, bijih dan minyak dari dasar laut tanpa apa-apa kesukaran.

4. Teknologi perubatan pula boleh menyembuhkan orang sakit tenat yang seolah-olah telah mati, manakala peperangan dengan alat-alat canggih yang dicipta melalui sains moden (contohnya bom nuklear) boleh memusnahkan banyak nyawa manusia dalam masa yang singkat sahaja.

Kemajuan dan kecanggihan material ini sungguh memukau dan berkuasa sehinggakan orang yang tidak beriman atau lemah imannya akan mempercayai itulah tuhan dalam bentuknya. Inilah yang dikatakan bertuhankan wang, emas dan kehidupan semata-mata untuk mengejar kepuasan nafsu kebendaan dan material. Bukannya menyedari dan menginsafi bahawa kemajuan tamadun (civilization) manusia serta perkembangan teknologi dan sains itu adalah anugerah dari tuhan, tetapi sebaliknya semakin ramai manusia di dalam kejahilan mereka mula memikirkan bahawa itulah akhir hala tujunya dan sesuatu yang wajar diburu dan dipuja.

Tetapi mereka yang sedar akan Penciptanya, tujuan kewujudannya di dunia ini, akan bertambah kuat imannya dan sesungguhnya jika mengikut dajal bererti menafikan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Atas kesedaran erti dajal inilah juga antara sebab-sebab yang membawanya ramai manusia kepada Islam, Ad-Din yang haqiqi. Bagi yang celik, kehidupan kafir Barat telah menjadi satu dunia kehidupan dajal yang memukau dan menyesatkan.

Kemajuan ini tidak mampu lagi mengadakan satu keseimbangan di antara keperluan fizikal manusia, kehidupan masyarakat dan keinginan rohaninya. Etika keagamaan tiada langsung kepentingan di dalam kamus hidupnya, bahkan  hanya dikira sebagai satu muzik latar yang menenangkan, boleh untuk menemani tetapi tidak sesekali untuk mempengaruhi kehidupan ‘sebenar’ mereka.

Kehilangan segala pedoman agama, mereka tidak mendapat faedah dari segi moral akan cahaya ilmu pengetahuan yang dicurahkan oleh kemajuan sainsnya yang agung itu.

Ayat al-Quran ini sangat sesuai sekali bagi menghurai keadaan mereka itu:

“Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan membiarkan mereka di dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu, buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar).”
(Surah al-Baqarah : ayat 17-18).

Kerana buta dalam keangkuhan inilah yang meyakinkan mereka bahawa hanya kemajuan tamadun merekalah yang akan membawa cahaya dan kebahagian dalam kehidupan di dunia ini. Mereka menyebarkan slogan materialistik “Western way of life”, satu kepercayaan bahawa semua masalah kehidupan manusia di dunia ini boleh diselesaikan dikilang-kilang, makmal-makmal dan dengan perangkaan statistik semata-mata.

Wanita dan Dajal

Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa di akhir zaman nanti kaum wanita adalah yang paling ramai lari keluar mengikut dajal.

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

“Dajal akan turun dari daerah dataran bergaram yang bernama Marriqanah. Yang paling ramai akan menjadi pengikutnya adalah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki akan bersegera pulang ke rumahnya untuk melihat/menjaga isteri, ibu, anak perempuan, saudara perempuan dan ibu saudaranya, kemudian diikatnya mereka kerana bimbang jika mereka keluar (lalu) bertemu Dajal dan menjadi pengikutnya.”
[HR. Ahmad (7/190) dan disahihkan oleh Ahmad Syakir].

Akhir zaman itu telah tiba sekarang. Ini sekali lagi bertepatan dengan fenomena manusia hari ini, di mana kaum wanita tidak lagi lekat diam di rumah, tetapi turut keluar dari rumah dengan pelbagai tugasan dan tujuan, samada yang harus atau tidak. Tetapi tidak dapat dinafikan keluarnya wanita dari rumah hari ini adalah lebih banyak menjurus kepada kesan negatif daripada yang positif.

Di tengah perpecahan dan keruntuhan dunia Islam sekarang ini, kita dapat menyaksikan betapa banyaknya kekuasaan yang hendak menarik, sekaligus mengeluarkan wanita dari agama dan Syariat Nabinya ke jalan yang amat jauh dari jalan yang diredhai Allah, diantaranya adalah lantangnya suara seruan kepada kebebasan wanita.

Lalu keluarlah kaum wanita ini yang kononnya disokong oleh mereka yang berfikiran liberal, menuntut dan memperjuangkan sesuatu yang diluar fitrah dan tabie kejadian mereka. Para penyeru kebebasan wanita mutakhir ini, bertambah lantang dan berani, berusaha sedaya upaya menodai kehormatan dan kedudukan para wanita yang telah diangkat oleh Islam.

Semua ini pada umumnya adalah untuk menyeret wanita supaya mempunyai kedudukan yang setaraf dengan kaum lelaki, agar wanita meninggal serta menanggalkan hijab (pakaian dan tudung) muslimahnya, agar wanita bekerja di sektor-sektor pekerjaan yang dulunya khas untuk kaum lelaki, agar wanita berhias secantik mungkin, agar bertambah ayu, seksi, feminin dan menawan  ketika keluar dari rumahnya.

Mereka para pejuang kebebasan wanita ini mahu agar para wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam segala bidang kehidupan, baik dalam pendidikan, pekerjaan, ekonomi mahupun dalam pemerintahan.

Sedangkan hak wanita sudah amat sempurna di dalam Islam. Islam memberikan kebebasan kepada wanita dalam bidang pendidikan, perkahwinan, pekerjaan, politik dan kemasyarakatan. Panduan umum al-Quran dan al-Sunnah terhadap kedudukan wanita adalah sama dengan lelaki dari segi kemanusiaannya, iaitu kedua-duanya mempunyai sama hak dan sama kewajipan dalam melaksanakan tugas-tugas agama sebagaimana firman Allah Taala:

“Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari satu jiwa.”
(Surah al-Nisa’ : ayat 1).

Hak-hak ini semua tidak terdapat dalam fahaman mereka yang menamakan dirinya “fahaman moden”, yang menyeru ‘Kebebasan Wanita’ itu. (Bahkan sebaliknya) mereka mengatakan bahawa Islam menghilangkan hak-hak wanita dan memenjarakannya di dalam rumah.

Apakah kerana Islam tidak menjadikan wanita sebagai “barangan murah” yang dapat dinikmati oleh setiap pandangan mata dan pemuas nafsu mereka yang rosak moral itu? Inikah kebebasan yang mereka perjuangkan? Dan inikah hak yang mereka tuntut?

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW:

“Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada fitnah kaum wanita.”
[HR Muslim].

Maka dengan itu dajjal moden telah muncul untuk menguasai nafsu manusia. Manusia sudah mulai melangkah, bertindak sendiri merealisasikan segala tanda-tanda yang disebut oleh Rasulullah SAW itu.

Sekali lagi marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhi dan diselamatkan dari fitnah dajal ini, sama ada yang nyata iaitu Dajal yang hakiki atau dalam apa-apa bentuk penjelmaannya sekalipun. Sesunguhnya ia adalah satu fitnah yang amat dahsyat! Amin.

http://www.abuanasmadani.com

Ahad, 15 September 2013

[Panas] Puaskan Isteri | Rahsia puaskan isteri diranjang terbongkar.wmv

Himpunan ulama PAS di Kedah capai 8 resolusi




 
Satu persidangan anjuran Dewan Ulama PAS semalam menerima saranan agar jawatan presiden dan timbalan presiden PAS dipilih dari kalangan ulama yang memahami dan menguasai persoalan mengenai Islam dan realiti semasa.

NONEPersidangan anjuran Majlis Syura Ulama itu juga menggariskan resolusi agar jawatan lain termasuk naib presiden juga perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulama dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis.

Persidangan itu turut mencadangkan supaya tahaluf siyasi (kerjasama politik) bersama rakan dalam Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat.
Persidangan tersebut menggariskan bahawa langkah tersebut bertujuan untuk "menjaga maslahah (keperluan) dan membendung serta menghalang mafsadah (keburukan) syariah" dalam kerjasama berkenaan.
Enam resolusi lain yang dicapai dalam persidangan bertemakan ‘Ulamak Haraki Benteng Izzah Islam', di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut semalam:
  • Ulama hendaklah meletakkan diri dalam kedudukan lebih berkesan sebagai pemimpin politik yang menyambung tugas para nabi. Mereka hendaklah memahami tentang cabaran semasa dan mempertingkatkan keyakinan terhadap Allah bagi menegakkan Islam. 
  • Menggea para ulama melakukan pengukuhan gerak kerja, antaranya, mengukuhkan gerak kerja tarbiyah, mengukuhkan kedudukan kepimpinan ulama yang menjadi tunjang utama kepada PAS dan memperkasakan ilmu pengurusan dan kepimpinan.
  • Menangani dan menghadapi pemikiran yang merosakkan (haddamah) dengan pelbagai usaha dan pendekatan supaya umat Islam tidak tersasar dari asas Islam.
  • Mencadangkan kepada PAS Pusat supaya melakukan analisis yang menyeluruh dan telus serta mengemukakan analisis bagi tujuan untuk menilai prestasi PRU-13 untuk lonjakan PRU-14.
  • Saranan kepada semua kerajaan negeri di bawah Pakatan supaya memberi ruang yang munasabah dan bersesuaian kepada ulama haraki PAS yang berkelayakan supaya dapat melibatkan diri mereka di dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan.
Menyeru kepada seluruh ulamak haraki PAS supaya bersiap sedia untuk mengukuhkan kedudukan dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencapai kemenangan dalam PRU14 ke arah perlaksanaan Islam yang syumul di Malaysia.

Kaji untuk tambah baik, bukan undur – TG Nik Aziz


Harakahdaily, 15 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS wajib melangkah ke hadapan untuk terus relevan di pentas politik negara dengan memahami suasana politik dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia,” kata Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, beliau menasihati para pemimpin PAS supaya  jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang dicipta sendiri dan bersedia menjalinkan kerjasama politik selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat.

Dalam satu entri di laman facebook beliau bagi mengulas resolusi yang diputuskan Multaqa Ulamak PAS di Alor Setar semalam, beliau menegaskan  kerjasama politik PAS  dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah adalah keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.


“Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non-Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno.

“Umno  bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka,” tegas beliau.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS

9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M