|
Ahmad Lutfi Othman,
|
17 Ogs 2013
|
Cuti Aidilfitri lalu, saya tidak sempat beraya lebih lama di kampung
halaman - Kg Raja, Tunjang, Kubang Pasu. Hanya dua hari satu malam. Agak
kalut menyusun jadual. Apa pun, terubat juga kerinduan walaupun dua
tiga temujanji dengan rakan-rakan lama terpaksa ditangguhkan.
Ia
kunjungan pertama saya -- balik kampung -- selepas PRU13, yang
menyaksikan Kedah dirampas semula BN. Sebelumnya, sehari sebelum
mengundi, saya ditemani isteri meninjau rambang situasi politik sekitar
Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra dan Jerlun, dalam keadaan bimbang Kedah
terlepas kepada BN. Peliknya, teman-teman dalam PAS yang
"berhempas-pulas" di lapangan tidak langsung berkongsi kerisauan itu.
Mereka kelihatan yakin Pakatan Rakyat mampu bertahan.
Semasa
menghadiri Seminar Pemikiran Ustaz Fadzil Noor, di Alor Setar, 19 Jun
lalu, saya gagal untuk mencuri peluang singgah di desa kelahiran.
Polemik punca kekalahan Pakatan menerajui Jelapang Padi buat penggal
kedua hanya riuh di meja makan semasa seminar berhenti rehat. Pandangan
lebih menjurus kepada kelemahan diri.
Saya sebenarnya lebih
teruja untuk menyelami getaran rasa penyokong akar umbi berbanding
analisis kepemimpinan parti. Sama-sama merasai kepedihan apabila
kemenangan gagal dipertahankan. Dan tekaan saya tidak jauh tersasar;
aktivis di peringkat bawah lebih senang untuk mengkoreksi diri dan
bermuhasabah, tanpa menafikan sistem dan proses pilihan raya berjalan
penuh ketempangan.
"Tidak mudah untuk kita bangkit semula selepas
kalah ketika berkuasa," kata seorang daripadanya sambil mengharapkan
bedah-siasat terperinci dilakukan secara jujur. "Kelantan memerlukan 12
tahun, itu pun hasil Angkatan Perpaduan Ummah dan Terengganu hampir 40
tahun melalui Barisan Alternatif," tambahnya. Dua tiga orang yang lain
cuba meyakinkan saya bahawa kekalahan di Kedah banyak berpunca daripada
masalah dalaman, termasuk perebutan menjadi calon.
Saya
menyanggah dengan meminta sokongan fakta atas dakwaan mereka itu. "Kami
tak mahu berdebat, tapi tengoklah sendiri apa perubahan di Kedah.
Semangat ahli-ahli juga jatuh merosot, pada petang hari mengundi pos-pos
kita lengang sedangkan markas BN penuh," jelas seorang jiran yang
ternyata kecewa apabila masyarakat Melayu tidak dapat "dijinakkan"
selama lima tahun PAS menerajui kuasa.
"Dulu hang sendiri tulis,
di Kedah, PAS kalah bukan kerana pengundi Melayu tak sokong tetapi
disebabkan orang bukan Melayu tetap setia dengan BN. Peratusan Cina dan
India agak besar berbanding negeri-negeri Melayu, Kelantan dan
Terengganu. Tapi, sekarang bila masyarakat Cina habis-habisan menyokong
Pakatan, kenapa kita boleh kalah? Mengapa orang Melayu beralih undi?"
sambungnya, mengharapkan jawapan.
Mulanya mahu saja berhujah
terus tetapi saya memilih untuk mendengar dan mengamati keluhan mereka.
Bukankah kita seringkali mengambil mudah rungutan dan suara hati mereka?
Saya agak terpukul bila salah seorang mencelah: "Takkan takda langsung
kelemahan dan kesalahan kita? Dulu kita minta mandat lima tahun dan
pengundi sudahpun menunaikannya. Jadi, tentu ada sebab mengapa sekarang
kepercayaan itu ditarik balik?"
"Betul Lutfi, pengundi
terpengaruh dengan janji-janji BN, terutama untuk menaikkan kadar
bayaran BR1M hingga RM1,2000, dan lain-lain bantuan," sambut rakannya
yang lebih muda, "tetapi kita pun pegang kerajaan juga, sudah tentu ada
kemudahan untuk lebih mendekati rakyat, turun bersama mereka, tapi
bagaimana pula dengan prestasi wakil-wakil rakyat kita? Ataupun, apakah
rakyat Kedah jahil tentang apa yang kita buat selama ini, jadi di mana
salahnya jentera penerangan kita?"
Dan sembang-sembang malam raya
ketiga itu berlarutan melewati dinihari. Semua setakat menyuarakan
keresahan, meluahkan impian, tetapi tidaklah sampai menyerah kalah.
Tetap optimis bahawa kemenangan boleh saja berulang asalkan segala
kelemahan diperbaiki dan sistem pilihan raya yang penuh tipu daya ini
segera dipulihkan.
"Macamana dengan desakan Pengerusi SPR dan
timbalannya letak jawatan? Dah senyap tak berbunyi? Lagi satu, aku
dengar dari jauh, masa depan Pakatan Rakyat seperti ada masalah aja?"
Saya agak tersentak dengan soalan provokasi itu. Tapi rasa mengantuk
amat sangat menyebabkan saya tidak terdaya untuk membalasnya. Ya, tidak
semestinya setiap soalan dijawab segera, 'kan?
II.
Saya belum membaca buku
Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia.
Gagal mencarinya di toko-toko buku. Seperti orang lain, saya tertarik
dengan promosi percumanya. Bagus juga. Sekurang-kurangnya masyarakat
menyedari kehadiran buku yang dikendalikan dua penganalisis politik
berwibawa, Dr Bridget Welsh dan Prof James Chin.
Jika tidak
dikritik secara terbuka dalam media Umno, mungkin koleksi esei 620
halaman itu sukar mendapat tempat di hati pembaca, apatah lagi di musim
perayaan ini. Daya penariknya dikatakan merujuk wawancara bersama bekas
Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, terutama berkaitan jawapannya
terhadap perselisihan dengan Dr Mahathir Mohamad.
Semasa giat
menjelajah seluruh tanah air untuk "membelasah" Abdullah, saya sempat
mengikuti empat ucapan Mahathir, termasuk di Alor Setar dan Kota Bharu.
Tentulah bidasan terbuka Mahathir itu memberikan banyak ilham kepada
saya tetapi -- seperti gaya lazim Mahathir -- kandungan ucapannya,
terutama menyerang Khairy Jamaluddin, boleh dikira keterlaluan,
emosional dan boleh dipertikai rasionalitinya.
Abdullah memilih
untuk tidak menjawab. Mungkin disebabkan personalitinya yang tidak gemar
berdepan kontroversi, apatah keupayaannya untuk bertembung langsung
dengan Dr Mahathir agak terbatas. Saya yakin jika Abdullah juga pendebat
yang baik, seperti Anwar Ibrahim misalnya, banyak argumen Dr Mahathir
mudah untuk diremehkan begitu saja. Ataupun Abdullah yang masak dengan
perangai Dr Mahathir tidak bersedia membazir waktu untuk melayan karenah
bekas bosnya yang hanya mahu memaksa pandangan beliau kepada orang
lain.
Sikap Mahathir terhadap Abdullah berubah hanya kerana
pewaris takhtanya itu cuba menjarakkan diri (proses de-Mahathirisation),
selain menangguhkan projek meganya dan kelihatan mempunyai caranya
tersendiri untuk mentadbir negara. Abdullah bukan lagi budak yang boleh
disuruh-suruh Mahathir dan ini begitu mengejutkannya.
Keterbukaan
Abdullah tidak boleh dinafikan walaupun dalam masa sama ia dilihat
sebagai sisi lemahnya. Kekerapan Harakah sendiri, yang dipancung
penerbitannya oleh Dr Mahathir, daripada dua kali seminggu kepada dua
kali sebulan selepas Pilihan Raya Umum 1999, telah dikembalikan oleh
Abdullah pada pertengahan 2008. Ya, ketika BN mendapat tamparan paling
hebat dalam PRU12.
Dalam buku Wacana Baru Politik Malaysia
(2012), Muhammad Takiyuddin Ismail dan Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid dalam
esei Umno dan Konservatisme mencatatkan: "Selain dari personalitinya
yang tidak seagresif Mahathir dan gemar menggunakan pendekatan lunak,
beliau (Abdullah) berikrar untuk bersikap lebih mendengar, membawa
tenaga-tenaga muda sebagai penasihatnya, melakukan liberalisasi ekonomi,
melakukan pertautan dengan masyarakat sivil dan golongan proreformasi,
melancarkan agenda integriti dan pembanterasan rasuah, membuka lebih
banyak ruang kebebasan dan memperbaiki tadbir urus demokratik."
Beberapa
perubahan yang ingin diusahakan Abdullah, seperti mengurangkan projek
mega menerima rasa tidak senang daripada elit ekonomi dan juga
perwakilan dalam Umno. Pembebasan Anwar juga menerima reaksi negatif
daripada Umno sendiri. Reformasi institusi terpenting iaitu Suruhanjaya
Bebas dan Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak dapat dilaksanakan ekoran
tentangan pasukan polis dan Umno.
Dua badan lain yang ditubuhkan
-- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya
Perlantikan Kehakiman (JAC) terpaksa dilaksanakan dalam versi yang
dilembutkan berikutan tentangan Umno. Permohonan terhadap badan
kehakiman (ekoran kes pemecatan Tun Salleh Abas dan Hakim Mahkamah
Agung, 1988) juga ditolak oleh kabinet.
Namun begitu, Abdullah
juga terperangkap dengan putaran ganas politik wang, rasuah dan
kronisme. Beliau turut tenggelam dengan penyakit yang menimpa elit
penguasa walaupun ada usaha untuk melakukan pembaharuan.
Dalam
Umno, Abdullah dilihat bukan seorang strategis yang taktikal-licik dan
kesalahan terbesarnya ialah membubarkan Parlimen sewaktu terlalu banyak
isu kritikal yang mencengkam rakyat belum diselesaikan. Lagi pula Umno
merasakan mereka lebih memerlukan pemimpin yang mempunyai watak keras,
seperti Mahathir, bukannya bersikap lunak dan terbuka kepada
pembangkang.
Kita menunggu episod seterusnya, terutama reaksi Dr Mahathir terhadap
Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia
dan bagaimana pula respons Najib Razak yang dianggap budak suruhannya.
Selama ini faktor Abdullah bagai sudah dilupakan; mampukah kontroversi
buku ini menimbulkan gelombang baru dalam Umno atau pun riak kecil di
permukaan akan mudah hilang?