Ahad, 18 Ogos 2013

KELAB GREENBOC: PKR Lancar Web ‘Check Your TNB Meter’

KELAB GREENBOC: PKR Lancar Web ‘Check Your TNB Meter’: K etepatan jangka elektrik digital yang baru diperkenal Tenaga Nasional Berhad (TNB) diragui berikutan caj bulanan terhadap pengguna, tinggi...

Sabtu, 17 Ogos 2013

Politik Kedah dan buku Pak Lah


Ahmad Lutfi Othman, 17 Ogs 2013
Cuti Aidilfitri lalu, saya tidak sempat beraya lebih lama di kampung halaman - Kg Raja, Tunjang, Kubang Pasu. Hanya dua hari satu malam. Agak kalut menyusun jadual. Apa pun, terubat juga kerinduan walaupun dua tiga temujanji dengan rakan-rakan lama terpaksa ditangguhkan.

Ia kunjungan pertama saya -- balik kampung -- selepas PRU13, yang menyaksikan Kedah dirampas semula BN. Sebelumnya, sehari sebelum mengundi, saya ditemani isteri meninjau rambang situasi politik sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra dan Jerlun, dalam keadaan bimbang Kedah terlepas kepada BN. Peliknya, teman-teman dalam PAS yang "berhempas-pulas" di lapangan tidak langsung berkongsi kerisauan itu. Mereka kelihatan yakin Pakatan Rakyat mampu bertahan.

Semasa menghadiri Seminar Pemikiran Ustaz Fadzil Noor, di Alor Setar, 19 Jun lalu, saya gagal untuk mencuri peluang singgah di desa kelahiran. Polemik punca kekalahan Pakatan menerajui Jelapang Padi buat penggal kedua hanya riuh di meja makan semasa seminar berhenti rehat. Pandangan lebih menjurus kepada kelemahan diri.

Saya sebenarnya lebih teruja untuk menyelami getaran rasa penyokong akar umbi berbanding analisis kepemimpinan parti. Sama-sama merasai kepedihan apabila kemenangan gagal dipertahankan. Dan tekaan saya tidak jauh tersasar; aktivis di peringkat bawah lebih senang untuk mengkoreksi diri dan bermuhasabah, tanpa menafikan sistem dan proses pilihan raya berjalan penuh ketempangan.

"Tidak mudah untuk kita bangkit semula selepas kalah ketika berkuasa," kata seorang daripadanya sambil mengharapkan bedah-siasat terperinci dilakukan secara jujur. "Kelantan memerlukan 12 tahun, itu pun hasil Angkatan Perpaduan Ummah dan Terengganu hampir 40 tahun melalui Barisan Alternatif," tambahnya. Dua tiga orang yang lain cuba meyakinkan saya bahawa kekalahan di Kedah banyak berpunca daripada masalah dalaman, termasuk perebutan menjadi calon.

Saya menyanggah dengan meminta sokongan fakta atas dakwaan mereka itu. "Kami tak mahu berdebat, tapi tengoklah sendiri apa perubahan di Kedah. Semangat ahli-ahli juga jatuh merosot, pada petang hari mengundi pos-pos kita lengang sedangkan markas BN penuh," jelas seorang jiran yang ternyata kecewa apabila masyarakat Melayu tidak dapat "dijinakkan" selama lima tahun PAS menerajui kuasa.

"Dulu hang sendiri tulis, di Kedah, PAS kalah bukan kerana pengundi Melayu tak sokong tetapi disebabkan orang bukan Melayu tetap setia dengan BN. Peratusan Cina dan India agak besar berbanding negeri-negeri Melayu, Kelantan dan Terengganu. Tapi, sekarang bila masyarakat Cina habis-habisan menyokong Pakatan, kenapa kita boleh kalah? Mengapa orang Melayu beralih undi?" sambungnya, mengharapkan jawapan.

Mulanya mahu saja berhujah terus tetapi saya memilih untuk mendengar dan mengamati keluhan mereka. Bukankah kita seringkali mengambil mudah rungutan dan suara hati mereka? Saya agak terpukul bila salah seorang mencelah: "Takkan takda langsung kelemahan dan kesalahan kita? Dulu kita minta mandat lima tahun dan pengundi sudahpun menunaikannya. Jadi, tentu ada sebab mengapa sekarang kepercayaan itu ditarik balik?"

"Betul Lutfi, pengundi terpengaruh dengan janji-janji BN, terutama untuk menaikkan kadar bayaran BR1M hingga RM1,2000, dan lain-lain bantuan," sambut rakannya yang lebih muda, "tetapi kita pun pegang kerajaan juga, sudah tentu ada kemudahan untuk lebih mendekati rakyat, turun bersama mereka, tapi bagaimana pula dengan prestasi wakil-wakil rakyat kita? Ataupun, apakah rakyat Kedah jahil tentang apa yang kita buat selama ini, jadi di mana salahnya jentera penerangan kita?"

Dan sembang-sembang malam raya ketiga itu berlarutan melewati dinihari. Semua setakat menyuarakan keresahan, meluahkan impian, tetapi tidaklah sampai menyerah kalah. Tetap optimis bahawa kemenangan boleh saja berulang asalkan segala kelemahan diperbaiki dan sistem pilihan raya yang penuh tipu daya ini segera dipulihkan.

"Macamana dengan desakan Pengerusi SPR dan timbalannya letak jawatan? Dah senyap tak berbunyi? Lagi satu, aku dengar dari jauh, masa depan Pakatan Rakyat seperti ada masalah aja?" Saya agak tersentak dengan soalan provokasi itu. Tapi rasa mengantuk amat sangat menyebabkan saya tidak terdaya untuk membalasnya. Ya, tidak semestinya setiap soalan dijawab segera, 'kan?

II.

Saya belum membaca buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia. Gagal mencarinya di toko-toko buku. Seperti orang lain, saya tertarik dengan promosi percumanya. Bagus juga. Sekurang-kurangnya masyarakat menyedari kehadiran buku yang dikendalikan dua penganalisis politik berwibawa, Dr Bridget Welsh dan Prof James Chin.

Jika tidak dikritik secara terbuka dalam media Umno, mungkin koleksi esei 620 halaman itu  sukar mendapat tempat di hati pembaca, apatah lagi di musim perayaan ini. Daya penariknya dikatakan merujuk wawancara bersama bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, terutama berkaitan jawapannya terhadap perselisihan dengan Dr Mahathir Mohamad.

Semasa giat menjelajah seluruh tanah air untuk "membelasah" Abdullah, saya sempat mengikuti empat ucapan Mahathir, termasuk di Alor Setar dan Kota Bharu. Tentulah bidasan terbuka Mahathir itu memberikan banyak ilham kepada saya tetapi -- seperti gaya lazim Mahathir -- kandungan ucapannya, terutama menyerang Khairy Jamaluddin, boleh dikira keterlaluan, emosional dan boleh dipertikai rasionalitinya.

Abdullah memilih untuk tidak menjawab. Mungkin disebabkan personalitinya yang tidak gemar berdepan kontroversi, apatah keupayaannya untuk bertembung langsung dengan Dr Mahathir agak terbatas. Saya yakin jika Abdullah juga pendebat yang baik, seperti Anwar Ibrahim misalnya, banyak argumen Dr Mahathir mudah untuk diremehkan begitu saja. Ataupun Abdullah yang masak dengan perangai Dr Mahathir tidak bersedia membazir waktu untuk melayan karenah bekas bosnya yang hanya mahu memaksa pandangan beliau kepada orang lain.

Sikap Mahathir terhadap Abdullah berubah hanya kerana pewaris takhtanya itu cuba menjarakkan diri (proses de-Mahathirisation), selain menangguhkan projek meganya dan kelihatan mempunyai caranya tersendiri untuk mentadbir negara. Abdullah bukan lagi budak yang boleh disuruh-suruh Mahathir dan ini begitu mengejutkannya.

Keterbukaan Abdullah tidak boleh dinafikan walaupun dalam masa sama ia dilihat sebagai sisi lemahnya. Kekerapan Harakah sendiri, yang dipancung penerbitannya oleh Dr Mahathir, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan selepas Pilihan Raya Umum 1999, telah dikembalikan oleh Abdullah pada pertengahan 2008. Ya, ketika BN mendapat tamparan paling hebat dalam PRU12.

Dalam buku Wacana Baru Politik Malaysia (2012), Muhammad Takiyuddin Ismail dan Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid dalam esei Umno dan Konservatisme mencatatkan: "Selain dari personalitinya yang tidak seagresif Mahathir dan gemar menggunakan pendekatan lunak, beliau (Abdullah) berikrar untuk bersikap lebih mendengar, membawa tenaga-tenaga muda sebagai penasihatnya, melakukan liberalisasi ekonomi, melakukan pertautan dengan masyarakat sivil dan golongan proreformasi, melancarkan agenda integriti dan pembanterasan rasuah, membuka lebih banyak ruang kebebasan dan memperbaiki tadbir urus demokratik."

Beberapa perubahan yang ingin diusahakan Abdullah, seperti mengurangkan projek mega menerima rasa tidak senang daripada elit ekonomi dan juga perwakilan dalam Umno. Pembebasan Anwar juga menerima reaksi negatif daripada Umno sendiri. Reformasi institusi terpenting iaitu Suruhanjaya Bebas dan Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak dapat dilaksanakan ekoran tentangan pasukan polis dan Umno.

Dua badan lain yang ditubuhkan -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC) terpaksa dilaksanakan dalam versi yang dilembutkan berikutan tentangan Umno. Permohonan terhadap badan kehakiman (ekoran kes pemecatan Tun Salleh Abas dan Hakim Mahkamah Agung, 1988) juga ditolak oleh kabinet.

Namun begitu, Abdullah juga terperangkap dengan putaran ganas politik wang, rasuah dan kronisme. Beliau turut tenggelam dengan penyakit yang menimpa elit penguasa walaupun ada usaha untuk melakukan pembaharuan.

Dalam Umno, Abdullah dilihat bukan seorang strategis yang taktikal-licik dan kesalahan terbesarnya ialah membubarkan Parlimen sewaktu terlalu banyak isu kritikal yang mencengkam rakyat belum diselesaikan. Lagi pula Umno merasakan mereka lebih memerlukan pemimpin yang mempunyai watak keras, seperti Mahathir, bukannya bersikap lunak dan terbuka kepada pembangkang.

Kita menunggu episod seterusnya, terutama reaksi Dr Mahathir terhadap Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia dan bagaimana pula respons Najib Razak yang dianggap budak suruhannya. Selama ini faktor Abdullah bagai sudah dilupakan; mampukah kontroversi buku ini menimbulkan gelombang baru dalam Umno atau pun riak kecil di permukaan akan mudah hilang?

Jumaat, 16 Ogos 2013

Video serangan terhadap penyokong Morsi



16 Ogos 2013


KUALA LUMPUR: Sebuah video, yang menceritakan sebahagian suasana pembunuhan kejam pihak tentera terhadap para penyokong legitimasi di Dataran Raba'ah Mesir, kelmarin dimuat naik ke Youtube.

Video yang berdurasi lebih 8 minit itu mengandungi rakaman babak awal serangan, kekalutan di Dataran Raba'ah selepas serangan, suasana kecemasan di Hospital Lapangan serta wajah-wajah mereka yang meninggal dan tercedera.

Ianya juga turut memuatkan suasana perkumpulan jenazah dan mereka yang cedera di tembak, yang ditempatkan di Masjid Raba'ah yang dibakar oleh pihak tentera.

Bagaimanapun, video ini turut mengandungi unsur seram dan ganas dan kanak-kanak di bawah 13 tahun dinasihatkan mendapat pengawasan dan bimbingan ibu bapa.

[LIHAT VIDEO]

Isnin, 12 Ogos 2013

Daya tahan Ikhwanul Muslimin luar biasa

Harakah, 12 Ogs 2013
Rampasan kuasa tentera Mesir menggulingkan Presiden Morsi memerlukan analisis lebih mendalam, termasuk sejarah panjang pemerintahan diktator negara itu dan latar belakang mengenai liku-liku perit yang dilalui Ikhwanul Muslimin selama hampir 60 tahun.

Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman (gambar), Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dirasakan tokoh akademik dan pengamat politik Timur Tengah yang paling layak memberikan pandangan terhadap krisis di Mesir. Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan ARIF ATAN menemubual Dr Redzuan di kediamannya, Sungai Ramal, Kajang, pertengahan Julai lalu.

HARAKAH: Presiden pertama Mesir yang dipilih rakyat dalam satu pilihan raya yang diakui adil dan bebas telah digulingkan hanya selepas setahun berkuasa. Ada pihak melihat dalang di sebaliknya adalah pihak Barat, terutamanya Amerika Syarikat. Sebagai tokoh akademik yang lama mengikuti politik Mesir, termasuk gerakan Ikhwanul Muslimin, tentu Prof lebih arif tentang apa sebenarnya yang berlaku?

REDZUAN: Barat sebenarnya sudah lama merancang untuk bertindak dan menindas gerakan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928. Kejayaan Ikhwanul Muslimin mengambil alih kuasa selepas ditindas lebih enam puluh tahun menimbulkan kegusaran, termasuklah juga rejim monarki di negara Arab yang turut merasakan kedudukan mereka akan tergugat jika gerakan Islam ini berjaya mengemukakan alternatif kepada pelbagai kemelut yang dihadapi oleh umat Arab.

Untuk memahami apa yang berlaku di Mesir, kita harus meneliti sejarah yang pernah berlaku sebelum ini. Sejarah penindasan ke atas Ikhwanul Muslimin pada 1948-1954 seolah-olah berulang dengan menggunakan skrip  sama. Contohnya, pada 13 Julai lalu, berita menyiarkan bahawa Morsi akan disiasat kerana dikatakan terlibat dalam kegiatan yang memcetuskan keganasan. Pendukung Ikhwanul Muslimin yang dibunuh dan dianinya, tetapi mereka pula yang dituduh.

Nasib yang sama pernah menimpa Ustaz Abdul Qadir Audah, pemimpin Ikhwanul Muslimin yang tersohor yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1954 kerana dituduh mencetuskan keganasan dan terlibat dalam komplot cubaan bunuh ke atas Gamal Abd al-Nasser. Bersama-sama beliau yang turut menjalani hukuman gantung, termasuklah Abd al-Fattah Ismail, Muhammad Al-Faghali, Yusof Talaat, Ibrahim al-Tayyeb dan lain-lain.

Pada 1966 Sayyid Qutb dijatuhi hukuman gantung. Bukti yang digunakan dan digembar-gemburkan ialah Ikhwanul Muslimin terlibat dalam kegiatan bersenjata dan pelbagai jenis senjata ditemui di pejabat gerakan tersebut. Ini juga perkara yang dihebohkan oleh tentera Mesir dengan mengatakan bahawa senjata ditemui di ibu pejabat Ikhwanul Muslimin di Moqattam dan penemuan tersebut adalah bagi mengesahkan gerakan ini menaja keganasan dan wajar ditindas.

Tuduhan yang dikenakan ke atas Ikhwanul Muslimin juga hampir sama seperti enam dekad lalu. Bagi mendapat sokongan rakyat tindakan General Abd al-Fattah al-Sisi sama seperti Gamal Abd al-Nasser pada 1954, iaitu mengembleng rakyat menyatakan sokongan kepada beliau melalui Hubbat al-Ahrar (Liberation Rally).

Atas nama sokong kepada regimnya rakyat berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Nasser dan mengutuk Ikhwanul Muslimin. Ini yang dilakukan oleh tentera pada hari ini dengan menaja demonstrasi rakyat bagi menyokong regim dan menolak Ikhwanul Muslimin yang dikatakan antinasional.

Sama seperti kira-kira 60 tahun lalu, tentera tidak ada belas kasihan dan bertindak sewenang-wenang ke atas pendukung Ikhwanul Muslimin termasuk melakukan penindasan kejam. Ternyata penindasan tanpa belas kasihan ini memberi impak yang amat besar kepada Ikhwanul Muslimin.

Tahun 1948-1954 merupakan tahun penuh cabaran kepada Ikhwanul Muslimin. Pada Februari 1949, pengasas dan pemimpinnya, Hasan al-Banna mati ditembak. Sejak itu Ikhwanul Muslimin terus ditindas dan seterusnya diharamkan pada 1954 hinggalah selepas Husni Mubarak diturunkan dari jawatan presiden berikutan berlakunya Kebangkitan Arab pada 2011. Ini bermakna Ikhwanul Muslimin telah diharamkan selama 67 tahun dan ribuan anggotanya pernah dipenjarakan dan puluhan yang lain mati di tali gantung.

Dari segi sejarah, tentera menindas Ikhwanul Muslimin selama hampir enam dekad. Tentera memandang Ikhwanul Muslimin dengan penuh curiga. Dengan menggunakan kekuatan senjata dan kuasa yang dimiliki tentera tidak pernah menunjukkan belas kasihan kepada Ikhwanul Muslimin. Melihat rekod lalu tiada perkara yang boleh menghalang mereka untuk terus berusaha menindas Ikhwanul Muslimin.

Maknaya, apa yang berlaku hari ini mengulangi penindasan kejam terhadap Ikhwanul Muslimin 60 tahun lalu. Apakah mungkin ia mengakibatkan Ikhwan sukar untuk bangkit semula?

Tentera cuba mengulangi pendekatan yang pernah mereka lakukan lebih 60  tahun lalu. Namun begitu, suasana sudah berubah. General Abd al-Fattah al-Sisi tidak sehebat Nasser dan kemajuan dalam teknologi maklumat menjadikan penipuan dan propaganda yang mengelirukan rakyat tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Natijah kepada konflik Ikhwanul Muslimin dan tentera banyak bergantung sejauh mana gerakan Islam ini mampu bertahan. Rekod yang dimiliki Ikhwanul Muslimin menunjukkan gerakan tersebut mempunyai daya tahan yang luar biasa.

Walaupun enam dekad ditindas dengan para pemimpin utamanya ramai mati dibunuh dan penindasan dilakukan secara berterusan, namun Ikhwanul Muslimin masih bersisa dan mampu bangkit. Inilah yang berlaku pada 2011, walaupun ditindas rejim Mubarak, namun mampu muncul sebagai organisasi yang paling tersusun dan memberikan alternatif kepada rakyat.

Walaupun tentera dan kumpulan anti-Ikhwanul akan menggunakan pelbagai cara untuk menghapuskan pengaruhnya, tetapi suasana 2013 tidak sama seperti 1954. Hari ini Ikhwanul Muslimin mampu membawa jutaan penyokongnya di jalan raya dari seluruh 27 Muhafazah (wilayah) di Mesir.

Namun begitu, situasinya masih sama, iaitu bagi kumpulan anti-Ikhwan yang terdiri daripada penyokong sosialis, nasionalis, liberalis, sekularis dan kelompok tariqat tertentu mereka sanggup mengetepikan perbezaan dan permusuhan sesama mereka semata-mata bagi menentang gerakan Islam ini.

Mengimbau sejarah lalu, Ikhwanul Muslimin yang dizalimi seperti tidak mendapat simpati atau sokongan daripada masyarakat antarabangsa termasuk kalangan kumpulan Islam sendiri. Mengapa terjadi begitu?

Ketika Gamal Abd al-Nasser menjadi Presiden Mesir beliau berjaya menggerakkan jentera propagandanya sehingga menggelap dan menggerhanakan peranan Ikhwanul Muslimin. Pengaruh beliau cukup hebat hingga pelajar Malaysia yang belajar di Universiti al-Azhar, Mesir pada waktu itupun tidak tahu tentang peranan dan sumbangan Ikhwanul dalam memperjuangkan Islam yang syumul.

Nasser yang tampil dengan imej Islam digambarkan sebagai tokoh pemimpin Islam dan tidak hairanlah apabila beliau mati, terdapat madrasah dan kelompok umat Islam di Malaysia menganjurkan solat ghaib sebagai tanpa kasih kepada "pemimpin Islam yang banyak berjasa".

Sentimen anti-Israel yang dilaungkan Nasser menjadikan beliau dikagumi sehingga umat Islam di Malaysia, termasuk mereka yang pernah belajar di Mesir tidak menyedari kezaliman dan penindasannya ke atas Ikhwanul Muslimin. Ini termasuklah apabila Sayyid Qutb dihukum gantung pada 1966, protes hanya disuarakan sekelompok kecil pelajar Malaysia yang belajar di Barat.

Menariknya, kebangkitan Islam di Malaysia pada awal 1970-an bukan digerakkan lulusan Mesir, sebaliknya oleh mereka yang terpengaruh  dengan perjuangan dan pemikiran Ikhwanul Muslimin dalam kalangan pelajar dari universiti tempatan dan mereka yang belajar di Barat.

Pengaruh Ikhwanul Muslimin yang disebarkan melalui buku-buku tokoh-tokoh Ikhwanul yang tersohor seperti Hasan al-Banna, Abd al-Kader Audah, Sayyid Qutb dan lain-lain. Buku-buku ini pula bukan dalam bahasa Arab tetapi dalam bahasa Inggeris seperti buku Maalim Fit Tariq oleh Sayyid Qutb yang lebih dahulu dibaca dengan judul Milestones.

Merujuk kebangkitan rakyat Mesir tiga tahun lalu untuk menumbangkan regim Hosni Mubarak, ada pendapat mengatakan pada peringkat awal Ikhwanul seperti menjauhkan diri dan tidak terlibat. Boleh prof jelaskan keadaan sebenarnya?


Perkara ini sering dijadikan ungkitan  penggerak gerakan 25 Januari yang memaksa Husni Mubarak meletakkan jawatan. Mereka mengatakan Ikhwanul Muslimin menanguk di air keruh dengan mengambil kesempatan daripada kebangkitan.

Memang ada kebenarannya kerana ketika rakyat mula turun ke jalan raya, pada peringkat awalnya Ikhwanul Muslimin mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Pada awal Februari 2011 barulah Ikhwanul Muslimin turut mengerahkan pengikutnya ikut serta dalam protes yang dilakukan.

Pendekatan Ikhwanul Muslimin yang terpaksa mengambil pendekatan berhati-hati mudah difahami kerana gerakan ini sudah terlalu lama berusaha mengerakkan kebangkitan tetapi gagal mendapat sambutan meluas. Sebaliknya, kebangkitan yang mereka anjurkan berakhir dengan tragedi apabila ada ahlinya yang dihukum berat, dipenjarakan dan harta disita.

Hal yang sama pernah berlaku pada 1952 apabila berlaku kebangkitan rakyat menentang Raja Farouk dan British, Ikhwanul Muslimin tidak berada berada di barisan hadapan dan tidak terlibat secara langsung. Apabila Gamal Abd al-Nasser melancarkan revolusi dan berjaya menggulingkan Raja Farouk, Ikhwanul Muslimin dianggap tidak berperanan memainkan peranan sebenar.

Dengan pelbagai pengalaman itu, sebagai usaha mempelbagaikan pendekatan Ikhwanul Muslimin pernah terlibat secara langsung dalam pilihan raya Mesir. Ikhwanul Muslimin sudah terlibat dengan pilihan raya sejak 1984 lagi, walaupun bukan sebagai sebuah parti yang bertanding menggunakan nama gerakan tersebut. Ia pernah bergabung dengan parti Buruh, Parti Wafd dan bertanding secara bebas.

Kejayaan terbesar Ikhwanul ialah apabila berjaya meraih hampir 25 peratus undi dalam pilihan raya Mesir tahun 2007. Namun begitu, kejayaan besar ini bukan memberikan manfaat kepada Ikhwanul Muslimin, sebaliknya gerakan Islam ini semakin ditindas. Penindasan yang berterusan ini mendorong lahirnya dua kelompok kepimpinan dalam Ikhwanul Muslimin.
Kumpulan konservatif merasakan Ikhwanul Muslimin perlu kembali fungsinya yang asal iaitu menumpukan kepada dakwah dan tarbiyyah dan tidak terlibat dalam politik bagi memastikan survival gerakan yang tidak putus-putus ditindas. Kumpulan reformis pula mencadangkan Ikhwanul Muslimin perlu melakukan trasformasi dan mengikut contoh AKP di Turki bagi membolehkan perubahan dilakukan di Mesir.

Dalam muktamar Ikhwanul Muslimin pada 2010, kumpulan konservatif yang diketuai Badaei berjaya menguasai kelompok kepimpinan gerakan Islam itu dengan mengetepikan kumpulan reformis yang diketuai Essam al-Erian.

Bagaimana pula dengan pembabitan Ikhwanul dalam proses pemilihan ahli-ahli Parlimen dan jawatan Presiden Mesir?

Sebagai kumpulan yang dianggap paling tersusun, Ikhwanul Muslimin ternyata lebih bersedia menghadapi pilihan raya dan berjaya memperoleh kemenangan dalam pilihan raya  tahun 2012. Setelah berjaya mendapat kemenangan yang amat memberansangkan dalam pilihan raya parlimen, Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk bertanding merebut jawatan presiden.
Pada peringkat awal Ikhwanul Muslimin secara tegas menyatakan mereka tidak berminat dengan jawatan itu. Apabila seorang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, iaitu Moneim Abd al-Futuh menyatakan beliau berhasrat bertanding jawatan presiden, beliau dipecat kerana mengingkari keputusan syura.

Apabila Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk merebut jawatan presiden, calon mereka ialah Khayrat Shater. Namun  begitu, kelayakan beliau untuk bertanding dibatalkan kerana pernah ditahan di bawah pemerintahan Husni Mubarak. Sebagai gantian Muhammad Morsi dipilih sebagai calon. Hal yang sama juga berlaku kepada calon Parti Nour, iaitu, Hazem Abu Ismail yang tidak layak bertanding.

Akhirnya Morsi yang bertanding menentang mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak, iaitu Ahmad Syafiq. Morsi menang dengan 51 peratus undi, walaupun peratus yang keluar mengundi sekitar 32 peratus sahaja. Morsi merupakan Presiden Mesir yang dilantik secara demokratik.

Soalnya, walaupun bertanding menentang Syafiq, yang dikira mewarisi Husni Mubarak, tetapi Morsi hanya mendapat sekitar 52 peratus, tidakkah itu boleh dianggap sokongan yang berbelah-bagi?

Walaupun Morsi hanya mendapat 52 peratus undi, namun sebagai pilihan raya yang diiktiraf adil, telus dan bebas, beliau dikira mendapat sokongan majoriti. Jumlah yang keluar mengundi sebanyak 32 peratus juga tidak boleh dijadikan alasan bahawa beliau tidak mendapat legitimasi kerana Husni Mubarak menang pilihan raya dan dilantik sebagai presiden dengan kadar keluar mengundi sekitar 10 peratus sahaja.

Disebabkan rakyat tidak yakin dengan pilihan raya, kerana sudah pasti Husni Mubarak akan menang besar menyebabkan rakyat tidak ambil kisah untuk keluar mengundi. Lagipun di Mesir pilihan raya mengambil masa yang panjang. Pilihan raya Mesir yang melibatkan 27 wilayah mengambil masa selama tiga bulan untuk selesai. Pengundian pula dibahagikan kepada tiga peringkat dengan setiap peringkat melibatkan sembilan wilayah.

Pilihan raya Mesir selepas kejatuhan Mubarak dianggap telus, adil dan bebas kerana dipantau hakim. Parti-parti yang bertanding menggunakan pelbagai pendekatan untuk memenangi hati pengundi. Sebagai pertubuhan yang mempunyai jentera di seluruh negara Ikhwanul Muslimin berjaya menggerakkan penyokongnya untuk ke peti undi dan menyokong partinya.

Selain Parti Nour, hanya Parti al-Karamah yang dipimpin Hamden Sabahi yang mampu memberi saingan. Beliau seorang yang berfahaman sosialis dan pengikut Nasser yang setia. Beliau menggunakan bas dua tingkat sebagai pendekatan kempen untuk membolehnya menjelajah ke seluruh negara. Pendekatannya ternyata berkesan apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam pemilihan jawatan presiden. Hamden Sabbahi merupakan salah seorang pemimpin Tamarrod yang bersekongkol dengan tentera dan kumpulam sekular dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan Morsi.

Sejarah Ikhwanul menunjukkan ia turut berpecah membabitkan kepemimpinan tertinggi setiap kali berlaku peristiwa besar dalam politik Mesir. Apakah kali ini juga berlaku hal sama?

Ikhwanul gagal menyatukan perpecahan apabila ada pemimpin pertubuhan itu bertindak keluar kerana perbezaan dari segi pendekatan. Dakwaan cubaan Morsi untuk "mengIkhwanulkan" Mesir pula tidak lebih propaganda yang sengaja ditiupkan. Morsi cuba untuk buat yang terbaik tetapi malangnya dia mewarisi suatu sistem yang sesiapa pun tidak boleh pegang. Tumbangnya Morsi minggu lepas, Qatar dan Arab Saudi beri USD12 bilion masuk ke Mesir sebagai bantuan 'soft loan'. Raja Abdullah ucap tahniah kepada tentera.

Morsi juga mendapat krikan keras daripada sebahagian aktivis Ikhwanul?

Terdapat dalam kalangan golongan Islamis yang menuduh Morsi terlalu berlembut dan bersikap liberal kerana tidak tegas laksanakan undang-undang syariah. Pihak sekular pula menolak Morsi kerana dikatakan cuba mengikwankan Mesir. Pemerintahan Morsi depan serangan pelbagai penjuru dan keadaan ini dipersulitkan lagi dengan keadaan ekonomi yang semakin parah sehingga menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

Politik Mesir tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh dan pembabitan proaktif pihak tentera...

Tentera Mesir bukan sahaja terlibat dalam menjaga keselamatan. Mereka juga terlibat dalam pentadbiran dan menguasai ekonomi. Apabila tentera tidak menyokong Mubarak beliau terpaksa meletak jawatan. Morsi juga dijatuhkan oleh tentera. Ini bermakna selepas ini sesiapa sahaja boleh tumbangkan oleh tentera. Tentera Mesir merupakan golongan elit dan kenaikan Mursi dilihat berisiko menggugat dominasi mereka.

Permusuhan Ikhwanul Muslimin dan tentera telah berakar umbi berdekad-dekad lamanya. Dengan sebab itu apabila apabila Amerika Syarikat menyeru kepada pendemokrasian di Mesir, jawapan Husni Mubarak ialah, “Kalau saya (Mubarak) jatuh, Ikhwanul akan berkuasa”. Bila Ikhwanul Muslimin berkuasa Amerika Syarikat amat khuatir dengan perkembangan ini.
Selain berdepan  Mubarak dan AS, Ikhwanul Muslimin juga bertembung dengan kumpulan lain. Mereka termasuklah kumpulan Salafi yang dibiayai Arab Saudi yang berfahaman Wahabi. Ketika zaman Mubarak, beliau menggalakkan kumpulan Tarikaq yang tidak menyokong gerakan Islam. Ini merupakan pendekatan halus bagi melemahkan Ikhwanul Muslimin. Walaupun golongan sekular juga berpecah kepada pelbagai kumpulan tetapi mereka bersatu menentang Ikhwanul Muslimin.

Boleh Prof jelaskan kedudukan dan pengaruh pertubuhan dan parti-parti politik Islam di Mesir?

Ketika mula berlakunya kebangkitan rakyat Mesir kumpulan Nour mengeluarkan fatwa haram hukumnya menentang Mubarak. Namun begitu, apabila Mubarak jatuh kumpulan ini menyokong kebangkitan rakyat. Dalam konteks politik Mesir, kumpulan Nour merupakan kumpulan Islam yang kedua berpengaruh selepas Ikhwanul Muslimin.

Morsi dilihat terlalu berbaik sangka dengan pihak tentera, yang akhirnya menikam balik dirinya.

Morsi tidak mempunyai banyak pilihan. Dalam pentadbiran Morsi mengambil pendekatan terbuka, termasuklah melantik dalam kalangan orang Kristian dan bukan ahli Ikhwanul Muslimin dalam pentadbirannya. Morsi cuba melakukan pelbagai perubahan dalam tempoh 100 hari pemerintahannya, tetapi amat sukar untuk sesiapa sahaja yang memerintah Mesir melakukan perubahan secara drastik.

Morsi mewarisi sistem ekonomi yang lemah dan sistem sosial yang tidak mantap. Ikhwanul Muslimin cuba bersikap baik dengan tentera seperti pada tahun 1952, tetapi tentera tidak pernah bersangka baik dengan Ikhwanul.

Prof juga banyak mengkaji dan menikuti dari dekat lanskap politik di Turki. Mungkin ada persamaan di antara kedua-dua negara ini dan apakah pengalaman berharga yang dilalui Erdogan dan partinya yang mungkin boleh dikongsi dengan realiti di Mesir?

Cubaan untuk mempraktikkan politik Islam di Mesir nampaknya lebih sukar berbanding Turki yang tebal dengan amalan sekularisme. Walaupun demikian di Turki terdapat dua parti sekular iaitu Republikan dan Demokrat.

Walaupun kedua-dua parti berfahaman sekular, namun tidak ada titik pertemuan di antara kedua-duanya, dan malahan lebih bersedia untuk bekerjasama dengan parti Islam daripada berpakat sesama mereka. Akhirnya parti Islam itu berjaya memerintah seperti yang berlaku pada 1996 apabila Parti Refah berjaya membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan 21 peratus undi sahaja.

Ada pihak bimbang Mesir mungkin mengulangi tragedi berdarah di Syria yang tidak berpenghujung...

Tidak dapat dinafikan terdapat kebimbangan ini. Namun begitu, situasi di Syria agak berbeza kerana di Mesir masyarakatnya tidak terbahagi kepada puak. Kekhuatiran yang lebih besar ialah Mesir akan kembali kepada zaman 1970-an dan 1980-an apabila kumpulan Islam mengambil pendekatan bersenjata sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang tiada penghujung.

Bagi pendukung gerakan Islam termasuk Ikhwanul Muslimin kemungkinan untuk terjerumus kepada pendekatan ini tidak boleh ditolak apabila mereka ditindas tanpa belas kasihan. Bagi Ikhwanul Muslimin pengalaman sejarah mengajar mereka untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Dalam kemelut yang berlaku sama ada mereka menang atau pasti ditindas secara berterusan sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Pengalaman di Algeria juga merupakan iktibar yang amat menjadi keprihatinan kepada aktivis Ikhwanul Muslimin apabila demokrasi yang diwujudkan di negara tersebut menghalang FIS daripada terlibat dalam politik dan bertanding dalam pilihan raya. Pendekatan tentera dan kumpulan sekular hari ini menjurus ke arah tersebut yang berusaha menyisih Ikhwanul Muslimin daripada berperanan dalam proses politik di Mesir.

Realiti hari ini menunjukkan Ikhwanul Muslimin berdepan  cabaran hebat untuk menentukan survival masa depannya. Penentuan masa depannya amat bergantung kepada sejauh mana ia  dapat terus bertahan dan konsisten dalam perjuangan serta dengan strategi yang lebih baik daripada pihak lain yang menjadi musuh politiknya.

Ikhwanul Muslimin bukan sahaja berdepan musuh politik dalam negeri, tetapi juga daripada AS dan Israel yang mempunyai kepentingan dan tidak mahu melihat gerakan Islam ini berpengaruh. Walaupun AS menjuarai demokrasi, tetapi negara kuasa besar itu bersifat hipokrit dalam isu pergolakan politik di Mesir yang menyebabkan Morsi dilucutkan jawatan. AS dan negara barat tidak bersuara lantang apabila tentera “merampas kuasa” di Mesir, tetapi memprotes apabila berlakunya rampasan kuasa di Fiji, Maldive dan lain-lain.

Anehnya, rampasan kuasa di Mesir bukannya dikutuk, tetapi sebaliknya dijanjikan dengan bantuan kewangan. Arab Saudi dan beberapa negara Teluk yang merupakan sekutu kuat AS dan amat khuatir dengan perluasan pengaruh Ikhwanul Muslimin menjanjikan bantuan sebanyak USD 12 billion kepada Mesir sebaik-baik sahaja Morsi dilucutkan jawatan oleh tentera.

Perkembangan di Mesir memperlihatkan manifestasi sikap “double standard” Barat terhadap Islam. Walaupun Morsi dilantik secara demokrasi, tetapi cara beliau diturunkan tidak bersifat demokratik.

Jika demonstrasi jalanan dijadikan tanda aras bagi mengukur populariti bukannya melalui sokongan peti undi, demokrasi di Mesir bukan maju ke hadapan. Sebaliknya, Mesir masih terus berada pada zaman gelap seperti rejim-rejim lalu dan hasrat generasi muda negara itu untuk mewujudkan masyarat yang mampu bersaing dengan negara lain akan terus tinggal impian semata-mata.

Seolah-olah arwah ayahku kembali memberi nasihat




Sudah lama aku tidak dapat mendengar nasihat-nasihat daripada ayahku. Ayahku meninggal 5 tahun yang lalu kerana kanser. Ketika itu, aku berusia 50 tahun. Walaupun aku dah dikira seorang yang berusia, namun arwah ayahku tidak pernah berhenti mengingati mengenai perkara-perkara agama dan dunia.
Ayahku seringkali mengingatkan aku supaya jangan terlupa solat, jangan solat lewat dan jangan tergopoh-gapah untuk solat. Arwah turut sentiasa menasihatkan aku mengenai perangai dunia ini melalui pengalamannya terutamanya dalam hal menguruskan pemikiran dan menguatkan imanku pada Allah.

Semenjak arwah meninggal, telinga aku tidak lagi kedengaran nasihat-nasihat sebegitu sehinggalah Ramadan yang lalu, ditakdirkan aku bertemu dengan buku Senyumlah 2, tulisan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Aku membelinya selepas satu kuliah agamanya di Bangi. Pada mulanya, aku hanya membeli dengan niat menyuruh anakku membaca kerana tajuk buku itu bernama: “Wahai Anakku, Hadiah daripada Ayah dan Bonda.” Buku itu dibiarkan di dalam almari buku rumahku untuk diserahkan pada anakku yang akan pulang berhari raya.

Setelah selesai membersihkan rumah menjelang Hari Raya dan sambil menunggu buka puasa, aku membuka buku Senyumlah 2 untuk membaca sepintas lalu.

“Wahai anakku,
Janganlah engkau gopoh-gapah semasa mendirikan solat, kerana di hadapanmu adalah Tuhanmu, bukan kawanmu. Engkau sedang berbicara dengan Allah Yang Maha Agung, tentulah tidak layak engkau bersikap demikian.

Wahai anakku,
Jangan engkau hanya fikir untuk selesai solatmu, tanpa engkau memikirkan Tuhanmu menerima atau menolak solat itu. Jangan sesekali engkau hanya mengira soal sah dan batal, tanpa engkau mengira soal ianya diterima atau ditolak.

Wahai anakku,
Kalau engkau kasih dan cinta kepada Tuhanmu, tentulah engkau akan lama bersamanya dalam solat, doa, munajat dan zikirmu. Kalau engkau merasai tiada manusia sanggup gopoh-gapah di hadapan seorang raja, kerana menghormatinya atau memuliakannya; betapa pula engkau bilamana berhadapan dengan Tuhanmu.”

Itulah tiga perenggan pertama yang aku terbaca. Terjentik hatiku seolah-olah penulisan itu seperti penulisan arwah ayahku yang sering mengingatkan aku mengenai solat.

Bahasa lembut yang digunakan Ustaz Tuan Ibrahim juga amat memukau seolah-olah arwah ayahku sedang merayu-rayu aku berinsaf dan beringat pada nasihatnya.

Disebabkan tiga perenggan pertama itu, aku tekad menghabiskan buku itu. Ustaz Tuan Ibrahim memuatkan terlalu banyak peringatan yang menjentik hatiku sebagai insan biasa yang sering terlupa.

“Wahai anakku,
Seorang anak mungkin akan tersinggung dan marah kepada ayah yang memukulnya, kerana ia tidak melihatnya secara positif. Namun bilamana ia dewasa dan memikirkan secara positif, nescaya ia akan menghargainya. Demikian juga bilamana kamu memikirkan besarnya kasih sayang Allah ke atasmu. Apakah kamu merasa besar akan ujian Allah di dunia berbanding akhirat, dan tentulah engkau redhai dengan sedikit ujian di dunia berbanding azab Allah di akhirat.

Wahai anakku,
Kemanisan iman akan dapat kamu rasai bilamana kamu meletakkan Allah di tempat yang layak baginya. Aku sangat khuatir jauhnya Tuhan darimu. Lantaran itu, hendaklah kamu sentiasa merasai melalui indera hatimu - Apakah hari ini engkau rasa hampir dengan Tuhanmu atau engkau merasa jauh dariNya.”

Selepas menelaah separuh buku dan berjumpa dengan nasihat di atas, aku terjentik sekali lagi. Rupa-rupanya buku ini bukan sahaja untuk anakku, tapi untuk semua yang pernah bergelar sebagai anak.

Keseluruhan buku ini mudah difahami, dan bahasa yang digunakan cukup menginsafkan. Perkara ini tidak boleh dicapai melainkan setiap ayat ditulis dengan hati tulus ikhlas daripada seorang ayah kepada anaknya. Dan inilah kelebihan Ustaz Tuan Ibrahim, yang terkenal dengan dakwah lembutnya, yang cukup terserlah di dalam bukunya.

Di hujung buku ini, Ustaz Tuan Ibrahim meninggalkan beberapa halaman untuk ibubapa meninggalkan nasihat tersendiri buat anak-anak mereka. Aku telah menuliskan beberapa nasihat tambahan buat anakku yang bakal pulang untuk berHari Raya sebelum menghadiahkan buku Senyumlah 2 ini kepadanya; dan aku percaya buku ini akan menjadi antara peninggalan yang bermakna buat anakku selepas aku tiada.

Selepas itu, aku membeli 4 buah lagi buku Senyumlah 2 di kedai buku untuk empat orang lagi anakku. Setiap buku, aku tuliskan nasihat yang dikhususkan untuk mereka berdasarkan kefahaman aku mengenai kelemahan mereka.

Rupa-rupanya, ini adalah buku kedua Ustaz Tuan Ibrahim. Buku pertama Senyumlah sudah habis stok kata penerbitnya, namun dijangka akan ada kembali di pasaran tak lama lagi.

Namun apapun, terima kasih Ustaz Tuan Ibrahim. Sekarang aku faham mengapa ramai yang memanggil ustaz sebagai ayahanda di Facebook ustaz. Selepas membaca buku Senyumlah 2, sukar bagi seseorang untuk tidak melihat ustaz ini seperti ayahanda sendiri.

Senyum.
Peminat Senyumlah 2,
Seorang guru di Bangi

Nota editor: Untuk membeli Senyumlah 2, sila rujuk bit.ly/senyumlah2

Ahad, 11 Ogos 2013

SPR bentang cadangan ubah sistem pilihan raya

Abdul Aziz Mohd. Yusof
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membentangkan kepada parti-parti politik berhubung cadangan mengubah sistem pilihan raya negara yang diamalkan ketika ini bagi mendapatkan persetujuan semua sebelum dilaksanakan pada masa depan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum melaksanakan perubahan yang turut melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan negara.
"Ada perkara yang sudah kita buat tetapi perkara yang serius kita sedang mengkaji lagi dengan teliti.
"Banyak perkara sedang diteliti seperti pendaftaran pemilih secara automatik, persempadanan semula, mewujudkan badan lain yang mengendalikan pendaftaran pemilih, penglibatan badan asing dalam sistem pilihan raya umum dan sebagainya," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, SPR juga akan mengkaji dengan serius sistem majoriti mudah (first past the post) yang diguna pakai sejak merdeka sama ada boleh digabungkan dengan sistem lain seperti sistem campuran (parallel system) atau sistem undi popular.
Katanya, untuk tujuan itu, SPR turut menjadikan sistem pilihan raya yang diamalkan di negara-negara lain sebagai rujukan sebelum memastikan sama ada ia sesuai dilaksanakan di negara ini.
"Kita kaji semua sistem yang ada di luar negara dan akan dibentangkan kepada parti-parti politik. Yang penting, untuk membolehkan ia dilaksanakan, semua perlu bersetuju di Parlimen. Lebih penting kita perlu kaji dengan teliti terlebih dahulu," katanya.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), pelbagai pihak mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula sistem pilihan raya sedia ada termasuk keperluan menukar kepada sistem lain yang lebih telus dan adil.
Namun, ada juga berpendapat sistem majoriti mudah yang diamalkan negara kini adalah yang terbaik kerana membawa pembangunan secara serentak di setiap kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat masing-masing.