|
Zaharuddin Abd Rahman,
|
22 Jul 2013
|
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau
sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim dalam bulan Ramadhan ini kepada
dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa
telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dalam surah al-Baqarah.
Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadis sahih
tentang Sayyidatina Aisyah RA yang bertanya kepada nabi doa yang perlu
dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas
yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun,
kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali
tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam
kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1.Makan dan minum
dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang
diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya
dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja,
merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau
melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang
hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda
yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya.
Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadis, Ertinya: "sesungguhnya
sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu
harinya itu." (Riwayat al-Bukhari)
2.Makan sahur ketika waktu
tengah malam kerana malas bangun pada akhir malam. Jelasnya, individu
yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan
kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah
baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir
di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir
malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur
adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW.
(Fath al-Bari, 4/138)
3.Bersahur dengan hanya makan dan minum
sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu
tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar
dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin yang bermaksud:
"Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar." (Surah az-Zariyyat : ayat 18)
Ertinya
: "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah: Waktu
bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT); jawab Nabi: Pada hujung
malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu." (Riwayat At-Tirmidzi, no
3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa ,
1/477)
4.Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu
kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah
puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada
keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan
menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
5.Tidak
mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu
kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang
lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding
solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi
SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala
menghidupkan seluruh malam.
6.Menunaikan solat terawih di masjid
dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan
dikira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (sama ada lelaki atau
wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar
keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan
oleh Nabi SAW di dalam hadis riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya
sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
7.Bermalasan
dan tidak produktif dalam kerja-kerja pada siang hari dengan alasan
berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat
ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya
memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya ketika
Ramadhan ini.
8.Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan
ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadis yang
menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah.
(al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
9.Menganggap
waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Hal ini adalah kerana
waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di
cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah
hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu
amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan
sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang
disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar
sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)
10.Wanita
berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata
apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid,
malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan
dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat
mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat
lelaki ketika di masjid.
11.Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta
masih dipenuhi dengan harta haram, sama ada terlibat dengan pinjaman
rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah
tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan
Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan
berperang dengan Allah dan Rasul-Nya, tanpa azam dan usaha untuk
mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal
menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal
jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan, maksudnya:
“Menyebut
tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh,
walhal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat
tangan ke langit: Wahai Tuhanku... wahai Tuhanku... sedangkan makanannya
haram, minumannya haram dan pakaiannya haram.. Dan dia dibesarkan
dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan
doanya.” (Riwayat Muslim, no 1015, 2/703; hadis sahih)
Justeru,
bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan
keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram,
simpanan banknya haram, pendapatannya haram? Benar, kita perlu bersangka
baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri daripada
riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
12.Tidak
memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis
kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah
menyebut,ertinya:
"Tiga golongan yang tidak di tolak doa
mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa
orang yang di zalimi." (Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah makbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadis, maksdunya.
"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak." ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sahih)
http://www.zaharuddin.net