Isnin, 22 Julai 2013

Beberapa kesilapan sepanjang Ramadhan


Zaharuddin Abd Rahman, 22 Jul 2013
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim dalam bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dalam surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadis sahih tentang Sayyidatina Aisyah RA yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1.Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadis, Ertinya: "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu." (Riwayat al-Bukhari)

2.Makan sahur ketika waktu tengah malam kerana malas bangun pada akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3.Bersahur dengan hanya makan dan minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin yang bermaksud:

"Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar."
(Surah az-Zariyyat : ayat 18)

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah: Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT); jawab Nabi: Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu." (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4.Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5.Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6.Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan dikira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (sama ada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadis riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7.Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja pada siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya ketika Ramadhan ini.

8.Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadis yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9.Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Hal ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10.Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11.Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, sama ada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan Rasul-Nya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan, maksudnya:

“Menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, walhal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: Wahai Tuhanku... wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram.. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.”
(Riwayat Muslim, no 1015, 2/703; hadis sahih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram? Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri daripada riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12.Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut,ertinya:

"Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi."
(Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah makbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadis, maksdunya.

"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak."
( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sahih)

http://www.zaharuddin.net

Datuk calon BN pengasas PAS di Kuala Besut

Datuk calon BN pengasas PAS di Kuala Besut

Ahad, 21 Julai 2013

Surat terbuka untuk perantau Kuala Besut



Dr Azman Ibrahim,
Sahabatku perantau

Walau di mana saudara berada, saya doakan saudara semua dalam kesejahteraan dan rahmat Allah.

Saya masih ingat pesanan Tuan Guru Presiden PAS dalam satu program bersama Perantau, “Pulang untuk mengundi parti Islam adalah kewajipan fardhu ain bagi mereka yang berupaya...”

Kita perlu menjadi kuat demi kemenangan Islam. Jangan dihiraukan halangan yang cuba ditimbulkan oleh SPR yang sepatutnya di samping bertindak sebagai pengadil pertandingan, SPR juga perlu bertindak sebagai pemudah cara yang perlu melapangkan jalan seluas  mungkin bagi kemudahan pengundi menunaikan tanggungjawab. Sebarang tindakan untuk menghalang dan menyusahkan kepulangan pengundi untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab di medan demokrasi adalah suatu tindakan tidak beretika yang perlu dicanggah.

Kita mengetahui betapa kesukaran sahabat semua untuk bermusafir dibulan Ramadhan ini tetapi jangan lupa bahawa Peperangan Badar, persiapan Peperangan Khandak, pembukaan Kota Mekah, Peperangan ‘Ain Jalut, pembebasan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al Ayyubi, pembukaan Andalusia oleh Tariq bin Ziad semuanya berlaku di bulan Ramadhan. Alangkah kerdilnya kita sekiranya Ramadhan dijadikan alasan untuk kita tidak pulang mengundi.

Sahabatku

Sekadar membelanjakan sedikit wang minyak yang mungkin boleh dituntut semula serta hanya perlu memangkah di atas sekeping kertas, ternyata ianya sangat minima. Walaupun minima, ganjarannya besar di sisi Allah dengan  syarat yang dipangkah adalah parti yang ingin meninggikan agama Allah.

Saudara mungkin berkata, “Allah... dekat sangat dah dengan hari raya, balik mengundi 24 haribulan ni, lepas tu hari raya kena balik pulok!” Saya sekadar ingin bertanya, kalau Islam tak menang kerana disebabkan ketidak pulangan saudara untuk mengundi, bolehkah dengan jawapan di atas saudara jawab di hadapan Allah dan saudara yakin mampu melepaskan diri? Sekiranya yakin alasan sebegini boleh diterima, maka silakan. Tetapi bagi saya lebih mulia untuk kita berada dimartabat orang yang menjadi penyebab kepada kemenangan Islam dari menjadi yang sebaliknya.

Sahabatku perantau

Saudara tentu memaklumi bagaimana kebimbangan Umno dengan pengundi yang celik mata dan hati serta bermaklumat seperti saudara semua. Hari mengundi dihari Rabu serta ketika hampir dengan hari raya adalah percubaan dayus untuk menggagalkan penyertaan saudara semua dalam Pilihanraya Kecil Kuala Besut ini. Saudara nak tengok hilai tawa Umno yang penuh keangkuhan atau kita ingin sama-sama letakkan noktah kepada kepada kebebalan mereka? Kalau saya, tentunya saya memilih untuk kita akhiri segala drama jijik Umno sepanjang kempen Pilihanraya Kecil ini dengan takbir kemenangan.

Sahabatku perantau

Angka 16:16 mesti direalisasikan. Setiap kita berkewajipan. Saudara semua tentu memaklumi perit jerih sahabat-sahabat pengundi dan petugas di lapangan yang telah melakukan segala pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, hati dan perasaan semenjak dari hari kekosongan kerusi N01 diisytiharkan. Mereka telah menunaikan kewajipan mereka. Hakikatnya dihari mengundi sekuat mana pun mereka, hanya satu undi yang mampu mereka sumbangkan, satu undi lagi ada pada saudara. Jangan sia-siakan ia.  Pulanglah perantau pakoh PAS!

Sabtu, 20 Julai 2013

Jumaat, 19 Julai 2013

Krisis berterusan di Mesir


Dr Mujahid Yusof Rawa, 19 Jul 2013
Tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawa krisis di Mesir akan berakhir dalam jangka masa yang pendek. Seperti yang dijangkakan sejak dari awal lagi Mesir tidak akan mencapai kata sepakat mudah kerana beberapa faktor yang menjadi penghalang kepada proses demokrasi serta faktor dinamika politik dalaman, walaupun langkah awal ke arah proses pendemokrasian itu sudahpun bermula.

Artikel saya sebelum ini tentang Mesir, khususnya di bawah tajuk ‘Tahrir Square Sekali Lagi‘ telah mengandaikan beberapa perkara antara lainnya ialah antik (saki baki) Mubarak masih berkuasa termasuklah tentera, keraguan politikal Islam menguasai keadaan dan isu referendum tentang perlembagaan. Krisis akan terus menghantui Mesir jika isu sebenar belum dapat digarap dengan dengan tuntas. Isu yang terpenting selepas revolusi rakyat ialah pemulihan ekonomi dan rekonsialisasi nasional bagi membuka jalan kepada suasana stabil di Mesir.

Kuasa Tentera

Faktor utama ialah penguasaan tentera yang hingga kini masih lagi berkuasa. Revolusi 25 Januari 2011 terbentuk dengan hasrat menggulingkan Mubarak melalui sokongan tentera yang berpihak kepada rakyat. Walaupun pada zahirnya rakyat dilihat berjaya melaksanakan tugas ini namun hakikatnya kuasa tentera yang menentukan siapa yang naik dan siapa yang turun.

Malah ada teori yang mengandaikan tentera melihat Mubarak perlu ditukar dan mereka melihat orang baru diperlukan. Apabila tentera melihat Morsi tidak banyak membantu penguasaan mereka kerana Morsi mahu mengurangkan penguasaan tentera yang mempunyai kepentingan yang banyak maka tiba giliran untuk menggulingkan Morsi pula. Ini dibuktikan dengan berita di Le Monde dan International Herald Tribune masing-masing pada tarikh 5 dan 6 Julai 2013  yang memberitahu tentang keputusan untuk menurunkan Presiden Morsi melalui perbualan antara Jeneral al Sisi dan Morsi.

Morsi enggan tunduk dan tentera terpaksa menimbulkan berbagai masalah yang menekan rakyat seperti kekurangan gasoline dan masalah bekalan makanan sehingga rakyat bangkit. Tentera hanya perlu campur tangan setelah isyarat dari rakyat disampaikan dan ia seoalah-olah dilihat sebagai kehendak rakyat dan Morsi pun digulingkan. Hakikatnya ialah tentera masih memerintah Mesir melalui topeng awam.

Keperluan Strategik Tentera

Terlalu ramai pihak yang berkepentingan terjejas dengan kejatuhan Mubarak. Pertama ialah tentera dan kerana itu kejatuhan Mubarak hanyalah merupakan ‘changing of guard’ kepada generasi baru jeneral-jeneral yang lahir di atas dulang emas. Kepentingan 40% penguasaan ekonomi Mesir dan bantuan tahunan US 1.5 Bilion yang disalurkan terus kepada tentera sukar untuk dilepaskan oleh kuasa tentera.

Amerika pula memerlukan tentera untuk melaksanakan dasar mesra dengan Israel. Kemenangan Morsi tidak banyak membantu memelihara kepentingan ini. Memastikan tentera terus berkuasa di Mesir adalah keperluan strategik utama kuasa besar di rantau ini. Amerika dilihat berhati-hati untuk tidak menyebut bahawa apa yang berlaku di Mesir ialah sebuah kudeta kerana ini bertentangan dengan dasar demokratik Amerika dalam menentukan pemimpin negara, mereka menggunakan istilah ‘regim change’ bagi menggambarkan apa yang berlaku walaupun sebenarnya penggulingan Morsi yang tidak demokratik itu memenuhi kehendak strategik Amerika.

Politikal Islam Teruji

Penglibatan politikal Islam dalam proses demokrasi bukanlah baru di dunia Arab dan Islam. Sebelum ini, Algeria menyaksikan kemenangan FIS (Front Islamic Salvation) kemudian dirompak kemenangan rakyat itu melalui penglibatan tentera lalu mengheret Algeria kepada peperangan saudara yang panjang. Kemenangan Parti Refah di Turki yang digulingkan setahun kemudian juga mengisyaratkan bahawa penglibatan politikal Islam sentiasa dicurigai.

Dalam semua keadaan penglibatan dan kemenangan Politikal Islam yang kemudiannya digulingkan muncul dalam suasana kerangka negara yang terlalu kuat sekularnya. Kemunculan Morsi dilihat sebagai siri penglibatan politikal Islam yang sentiasa diragui apatah lagi Ikhwanul Muslimin (IM) yang diwakili oleh Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) pimpinan Morsi dilihat sebagai ibu kepada segala gerakan Islam sedunia.

Morsi atau IM Yang Berkuasa?
Tanggapan bahawa IM berada dibelakang untuk mempengaruhi keputusan Presiden adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Struktur IM yang mempunyai kuasa syura yang kuat sering dilihat sebagai bayangan yang menentukan keputusan Morsi. Seperkara lagi ialah kemenangan Morsi dilihat tidak mewakili hasrat semua segmen dalam masyarakat Mesir yang rencam itu.

Malah ada dakwaan yang mengatakan pembentukan perlembagaan baru Mesir yang menimbulkan kocakan awal tempoh hari tidak melibatkan pelbagai pihak dan ia dilakukan secara tergesa-gesa dengan mengunakan kuasa dekri Presiden yang turut dianggap sebagai penyalahan guna kuasa Presiden. Dakwaan tiada kesepakatan nasional untuk menentukan perlembagaan negara juga telah menimbulkan bangkangan terhadap kepimpinan Morsi.

Kesemua tindakan Morsi yang yang dipertikaikan tidak boleh dipandang ringan dengan hanya teori konspirasi. Apa yang lebih pantas untuk diambil kira ialah sejauh manakah pemikiran politik IM dalam membawa dasar keterangkuman (inclusiveness) dan menyediakan wahana mewujudkan rekonsialisasi nasional bagi membentuk masadepan Mesir yang lebih mewakilis semua pihak. Tapak pemulihan ekonomi juga gagal digarap oleh Morsi yang dilihat lebih sibuk menjenamakan semula IM yang selama ini bergerak secara bawah tanah.

Ikhwan Akan Bangkit

Ikhwan sepanjang sejarahnya telah membuktikan bahawa ia sebuah organisasi yang mampu hidup dalam semua situasi dan keadaan. Ini memandangkan bahawa ia mempunyai rangkaian yang kukuh dari semua segmen masyarakat termasuklah di kalangan tentera sendiri. Rahsia keupayaan Ikhwan ini ialah kerana mereka mengambil ideologi mereka dari akar umbi Islam itu sendiri. Sukar untuk mereka didiamkan apatah lagi menghapuskan mereka. Mereka akan terus menggunakan legitimasi Morsi yang dilantik secara sah sebagai slogan penentangan Ikhwan.

Hujah ini akan mendapat simpati dari berbagai pihak dan tanggapan revolusi dikhianati akan mengukuhkan lagi simpati orang ramai terhadap ikhwan malah ia akan mengumpulkan kekuatan baru para simpatian.

Anti-Amerika dan Keganasan

Selain itu sentimen anti-Amerika akan terus meningkat dan tanggapan Amerika menjadi dalang tidak dapat dielakkan lagi. Ini amat bahaya kerana di kalangan kelompok Islami ada yang agak radikal dan mungkin kepentingan Amerika akan terus terjejas dan tentera akan ditanggap bersengkongkol dengan kuasa besar untuk menghancurkan kehendak rakyat.

Alasan ini akan memberi laluan percuma kepada kebangkitan radikal dan militan Islam. Keupayaan kumpulan radikal Al Gamaah Al Islamiyah yang terkenal dengan keganasan di Mesir berkemungkinan akan bangkit semula malah pengalaman Algeria awal 80an mungkin akan berulang di Mesir. Lebih buruk ialah implikasi kudeta di Mesir akan menyuburkan lagi keganasan merentasi sempadan walaupun dunia memerangi habis-habisan unsur-unsur keganasan.

Al-kisah sebuah rumah


Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 19 Jul 2013
Petang itu kedengaran rungutan tangga sudah tidak terbendung lagi. Dia terus berleter.

“Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak. “

Mendengarkan kata kata tangga. Atap terus bersuara.

"Hoi tangga. Aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas. Tak kena hujan. Tak kena pijak.”

Mendengarkan kata atap, tiang terus bersuara.

“Mana kamu tahu? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas. Tak kena pijak.”

Mendengar kata-kata tiang, lalu dinding menjawab.

“Akulah pelindung khazanah rumah ni. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa jaga sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna,“ jawab dinding dan semua tersenyap.

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau bahawa setiap manusia mempunyai tugasnya sendiri. Kamu buatlah kerja yang diamanahkan padamu sebaiknya. Jangan sesekali engkau berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya dikurniakan penglihatan daripada segi zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang kamu lihat di minda. Jadilah diri sendiri, jangan cuba jadi orang lain.

Senyum.

Khamis, 18 Julai 2013

Baik berbuka di rumah dari di restoren


Subky Latif, 18 Jul 2013
Tidak ada salah berbuka puasa di hotel mewah atau di restoren, bagi mereka yang berupaya sekalipun belanjanya besar. Sekalipun Islam mahukan semuanya sederhana termasuk berbuka, tetapi atas  sebab tertentu ada yang sekali sekala berbuka dengan keluarga di hotel-hotel sebagai meraikan isteri dan anak-anak yang sentiasa berpenat lelah menyediakan juadah berbukan di rumah.

Walaupun sekali ke restoran sepanjang sebulan puasa, soal berbuka secara sederhana tidak berbangkit lagi. Sekali berbuka di hotel mungkin belanjanya dengan sepuluh hari berbuka di rumah.

Masyarakat kita di bandar-bandar telah biasa  dengan hidup yang begitu, tidak mengapa berbuka di restoran sekalipun lebih sikit belanja.

Kita tidak melarang.

Tetapi saya memilih berbuka di rumah dan di masjid atau surau. Memang  ajaran berbuka sederhana itu mudah diamalkan di rumah dan di surau.

Pertama kita berbuka secara sederhana, makan apa yang ada.

Sebaik berbuka kita hendak segera solat waktu. Ada yang memillih makan yang manis-manis dulu dan terus solat. Lepas solat barulah betul-betul makan.

Masa tidak banyak selepas berbuka kerana masing-masing terpaksa bergegas ke surau dan masjid bagi menunaikan solat tarawih. Surau dan masjid tidak menunggu lama untuk memulakan tarawih. Masing-masing mahu segera selesai untuk lain-lain ibadat  dan suri-suri pula lebih suka pulang cepat bagi lain-lain kerja rumah.

Ada restoren dan hotel menyediakan musalla untuk solat, tetapi biasanya masing-masing makan dulu baru mengadakan solat. Biasanya orang tidak duduk sekejap semasa berbuka di restoran. Masing-masing datang dengan keluarga atau tetamu tidak menempah makanan begitu minima. Yang ditempah lebih mewah dari yang biasa dimakan di rumah.

Tidak mungkin berbuka sekejap, lepas itu masing-masing solat dan kemudian datang semula menghabiskan makanan yang dipesan.

Ke bilik air sebelum solat pun mengambil masa kerana  bilik air dikongsi dengan lain-lain pelanggan. Biasanya semua solat dekat nak luput waktu. Kemudian bagaimana dengan solat tarawih?

Tarawih itu hanya ada dalam bulan Ramadhan. Kecenderungan sekarang orang-orang yang  taqwa tidak mahu meninggalkan tarawih bahkan untuk semalam.  Mereka mahu memenuhi setiap malam Ramadhan itu dengan taarawih dan witir.

Puasa itu sendiri adalah ujian taqwa seseorang. Bersungguh-sungguh seseorang mengisi siang  dam malam Ramadhan itu ada bagi meningkatkan taqwa. Maka berlumba-lumbalah semua untuk beramal pada bulan taqwa itu. Orang yang taqwa rasa amat menyesal jika tertinggal tarawih sekalipun satu malam.

Jika berbuka dengan keluarga di restoran, maka akan beregopoh-gapah untuk ke surau atau masjid,  dan tidak mustahil tidak sempat tarawih berjamaah.

Walaupun tarawih itu boleh dilakukan sendirian di rumah, umumnya orang yang rendah taqwanya jika tidak ke surau, payahlah tarawihnya. Bukan semua tidak tarawih di rumah, tetapi ada yang kalau tidak  ke surau tidak tarawih di rumah.

Memang kadang-kadang kita tidak suka menunai jemputan berbuka di rumah orang lain, terutama jauh pula, kerana takut terlepas tarawih. Nasiblah juga tuan rumah memasukkan tarawih dalam pekej berbukanya.

Tetapi yang selesa pada saya ialah tidak ke mana dalam bulan Ramadhan, memilih berbuka di rumah atau di surau dari ke restoran.  Sebabnya mudah menyegerakan solat  waktu  dan tidak terburu-buru ke masjid.