Sabtu, 20 Julai 2013

Jumaat, 19 Julai 2013

Krisis berterusan di Mesir


Dr Mujahid Yusof Rawa, 19 Jul 2013
Tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawa krisis di Mesir akan berakhir dalam jangka masa yang pendek. Seperti yang dijangkakan sejak dari awal lagi Mesir tidak akan mencapai kata sepakat mudah kerana beberapa faktor yang menjadi penghalang kepada proses demokrasi serta faktor dinamika politik dalaman, walaupun langkah awal ke arah proses pendemokrasian itu sudahpun bermula.

Artikel saya sebelum ini tentang Mesir, khususnya di bawah tajuk ‘Tahrir Square Sekali Lagi‘ telah mengandaikan beberapa perkara antara lainnya ialah antik (saki baki) Mubarak masih berkuasa termasuklah tentera, keraguan politikal Islam menguasai keadaan dan isu referendum tentang perlembagaan. Krisis akan terus menghantui Mesir jika isu sebenar belum dapat digarap dengan dengan tuntas. Isu yang terpenting selepas revolusi rakyat ialah pemulihan ekonomi dan rekonsialisasi nasional bagi membuka jalan kepada suasana stabil di Mesir.

Kuasa Tentera

Faktor utama ialah penguasaan tentera yang hingga kini masih lagi berkuasa. Revolusi 25 Januari 2011 terbentuk dengan hasrat menggulingkan Mubarak melalui sokongan tentera yang berpihak kepada rakyat. Walaupun pada zahirnya rakyat dilihat berjaya melaksanakan tugas ini namun hakikatnya kuasa tentera yang menentukan siapa yang naik dan siapa yang turun.

Malah ada teori yang mengandaikan tentera melihat Mubarak perlu ditukar dan mereka melihat orang baru diperlukan. Apabila tentera melihat Morsi tidak banyak membantu penguasaan mereka kerana Morsi mahu mengurangkan penguasaan tentera yang mempunyai kepentingan yang banyak maka tiba giliran untuk menggulingkan Morsi pula. Ini dibuktikan dengan berita di Le Monde dan International Herald Tribune masing-masing pada tarikh 5 dan 6 Julai 2013  yang memberitahu tentang keputusan untuk menurunkan Presiden Morsi melalui perbualan antara Jeneral al Sisi dan Morsi.

Morsi enggan tunduk dan tentera terpaksa menimbulkan berbagai masalah yang menekan rakyat seperti kekurangan gasoline dan masalah bekalan makanan sehingga rakyat bangkit. Tentera hanya perlu campur tangan setelah isyarat dari rakyat disampaikan dan ia seoalah-olah dilihat sebagai kehendak rakyat dan Morsi pun digulingkan. Hakikatnya ialah tentera masih memerintah Mesir melalui topeng awam.

Keperluan Strategik Tentera

Terlalu ramai pihak yang berkepentingan terjejas dengan kejatuhan Mubarak. Pertama ialah tentera dan kerana itu kejatuhan Mubarak hanyalah merupakan ‘changing of guard’ kepada generasi baru jeneral-jeneral yang lahir di atas dulang emas. Kepentingan 40% penguasaan ekonomi Mesir dan bantuan tahunan US 1.5 Bilion yang disalurkan terus kepada tentera sukar untuk dilepaskan oleh kuasa tentera.

Amerika pula memerlukan tentera untuk melaksanakan dasar mesra dengan Israel. Kemenangan Morsi tidak banyak membantu memelihara kepentingan ini. Memastikan tentera terus berkuasa di Mesir adalah keperluan strategik utama kuasa besar di rantau ini. Amerika dilihat berhati-hati untuk tidak menyebut bahawa apa yang berlaku di Mesir ialah sebuah kudeta kerana ini bertentangan dengan dasar demokratik Amerika dalam menentukan pemimpin negara, mereka menggunakan istilah ‘regim change’ bagi menggambarkan apa yang berlaku walaupun sebenarnya penggulingan Morsi yang tidak demokratik itu memenuhi kehendak strategik Amerika.

Politikal Islam Teruji

Penglibatan politikal Islam dalam proses demokrasi bukanlah baru di dunia Arab dan Islam. Sebelum ini, Algeria menyaksikan kemenangan FIS (Front Islamic Salvation) kemudian dirompak kemenangan rakyat itu melalui penglibatan tentera lalu mengheret Algeria kepada peperangan saudara yang panjang. Kemenangan Parti Refah di Turki yang digulingkan setahun kemudian juga mengisyaratkan bahawa penglibatan politikal Islam sentiasa dicurigai.

Dalam semua keadaan penglibatan dan kemenangan Politikal Islam yang kemudiannya digulingkan muncul dalam suasana kerangka negara yang terlalu kuat sekularnya. Kemunculan Morsi dilihat sebagai siri penglibatan politikal Islam yang sentiasa diragui apatah lagi Ikhwanul Muslimin (IM) yang diwakili oleh Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) pimpinan Morsi dilihat sebagai ibu kepada segala gerakan Islam sedunia.

Morsi atau IM Yang Berkuasa?
Tanggapan bahawa IM berada dibelakang untuk mempengaruhi keputusan Presiden adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Struktur IM yang mempunyai kuasa syura yang kuat sering dilihat sebagai bayangan yang menentukan keputusan Morsi. Seperkara lagi ialah kemenangan Morsi dilihat tidak mewakili hasrat semua segmen dalam masyarakat Mesir yang rencam itu.

Malah ada dakwaan yang mengatakan pembentukan perlembagaan baru Mesir yang menimbulkan kocakan awal tempoh hari tidak melibatkan pelbagai pihak dan ia dilakukan secara tergesa-gesa dengan mengunakan kuasa dekri Presiden yang turut dianggap sebagai penyalahan guna kuasa Presiden. Dakwaan tiada kesepakatan nasional untuk menentukan perlembagaan negara juga telah menimbulkan bangkangan terhadap kepimpinan Morsi.

Kesemua tindakan Morsi yang yang dipertikaikan tidak boleh dipandang ringan dengan hanya teori konspirasi. Apa yang lebih pantas untuk diambil kira ialah sejauh manakah pemikiran politik IM dalam membawa dasar keterangkuman (inclusiveness) dan menyediakan wahana mewujudkan rekonsialisasi nasional bagi membentuk masadepan Mesir yang lebih mewakilis semua pihak. Tapak pemulihan ekonomi juga gagal digarap oleh Morsi yang dilihat lebih sibuk menjenamakan semula IM yang selama ini bergerak secara bawah tanah.

Ikhwan Akan Bangkit

Ikhwan sepanjang sejarahnya telah membuktikan bahawa ia sebuah organisasi yang mampu hidup dalam semua situasi dan keadaan. Ini memandangkan bahawa ia mempunyai rangkaian yang kukuh dari semua segmen masyarakat termasuklah di kalangan tentera sendiri. Rahsia keupayaan Ikhwan ini ialah kerana mereka mengambil ideologi mereka dari akar umbi Islam itu sendiri. Sukar untuk mereka didiamkan apatah lagi menghapuskan mereka. Mereka akan terus menggunakan legitimasi Morsi yang dilantik secara sah sebagai slogan penentangan Ikhwan.

Hujah ini akan mendapat simpati dari berbagai pihak dan tanggapan revolusi dikhianati akan mengukuhkan lagi simpati orang ramai terhadap ikhwan malah ia akan mengumpulkan kekuatan baru para simpatian.

Anti-Amerika dan Keganasan

Selain itu sentimen anti-Amerika akan terus meningkat dan tanggapan Amerika menjadi dalang tidak dapat dielakkan lagi. Ini amat bahaya kerana di kalangan kelompok Islami ada yang agak radikal dan mungkin kepentingan Amerika akan terus terjejas dan tentera akan ditanggap bersengkongkol dengan kuasa besar untuk menghancurkan kehendak rakyat.

Alasan ini akan memberi laluan percuma kepada kebangkitan radikal dan militan Islam. Keupayaan kumpulan radikal Al Gamaah Al Islamiyah yang terkenal dengan keganasan di Mesir berkemungkinan akan bangkit semula malah pengalaman Algeria awal 80an mungkin akan berulang di Mesir. Lebih buruk ialah implikasi kudeta di Mesir akan menyuburkan lagi keganasan merentasi sempadan walaupun dunia memerangi habis-habisan unsur-unsur keganasan.

Al-kisah sebuah rumah


Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 19 Jul 2013
Petang itu kedengaran rungutan tangga sudah tidak terbendung lagi. Dia terus berleter.

“Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak. “

Mendengarkan kata kata tangga. Atap terus bersuara.

"Hoi tangga. Aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas. Tak kena hujan. Tak kena pijak.”

Mendengarkan kata atap, tiang terus bersuara.

“Mana kamu tahu? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas. Tak kena pijak.”

Mendengar kata-kata tiang, lalu dinding menjawab.

“Akulah pelindung khazanah rumah ni. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa jaga sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna,“ jawab dinding dan semua tersenyap.

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau bahawa setiap manusia mempunyai tugasnya sendiri. Kamu buatlah kerja yang diamanahkan padamu sebaiknya. Jangan sesekali engkau berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya dikurniakan penglihatan daripada segi zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang kamu lihat di minda. Jadilah diri sendiri, jangan cuba jadi orang lain.

Senyum.

Khamis, 18 Julai 2013

Baik berbuka di rumah dari di restoren


Subky Latif, 18 Jul 2013
Tidak ada salah berbuka puasa di hotel mewah atau di restoren, bagi mereka yang berupaya sekalipun belanjanya besar. Sekalipun Islam mahukan semuanya sederhana termasuk berbuka, tetapi atas  sebab tertentu ada yang sekali sekala berbuka dengan keluarga di hotel-hotel sebagai meraikan isteri dan anak-anak yang sentiasa berpenat lelah menyediakan juadah berbukan di rumah.

Walaupun sekali ke restoran sepanjang sebulan puasa, soal berbuka secara sederhana tidak berbangkit lagi. Sekali berbuka di hotel mungkin belanjanya dengan sepuluh hari berbuka di rumah.

Masyarakat kita di bandar-bandar telah biasa  dengan hidup yang begitu, tidak mengapa berbuka di restoran sekalipun lebih sikit belanja.

Kita tidak melarang.

Tetapi saya memilih berbuka di rumah dan di masjid atau surau. Memang  ajaran berbuka sederhana itu mudah diamalkan di rumah dan di surau.

Pertama kita berbuka secara sederhana, makan apa yang ada.

Sebaik berbuka kita hendak segera solat waktu. Ada yang memillih makan yang manis-manis dulu dan terus solat. Lepas solat barulah betul-betul makan.

Masa tidak banyak selepas berbuka kerana masing-masing terpaksa bergegas ke surau dan masjid bagi menunaikan solat tarawih. Surau dan masjid tidak menunggu lama untuk memulakan tarawih. Masing-masing mahu segera selesai untuk lain-lain ibadat  dan suri-suri pula lebih suka pulang cepat bagi lain-lain kerja rumah.

Ada restoren dan hotel menyediakan musalla untuk solat, tetapi biasanya masing-masing makan dulu baru mengadakan solat. Biasanya orang tidak duduk sekejap semasa berbuka di restoran. Masing-masing datang dengan keluarga atau tetamu tidak menempah makanan begitu minima. Yang ditempah lebih mewah dari yang biasa dimakan di rumah.

Tidak mungkin berbuka sekejap, lepas itu masing-masing solat dan kemudian datang semula menghabiskan makanan yang dipesan.

Ke bilik air sebelum solat pun mengambil masa kerana  bilik air dikongsi dengan lain-lain pelanggan. Biasanya semua solat dekat nak luput waktu. Kemudian bagaimana dengan solat tarawih?

Tarawih itu hanya ada dalam bulan Ramadhan. Kecenderungan sekarang orang-orang yang  taqwa tidak mahu meninggalkan tarawih bahkan untuk semalam.  Mereka mahu memenuhi setiap malam Ramadhan itu dengan taarawih dan witir.

Puasa itu sendiri adalah ujian taqwa seseorang. Bersungguh-sungguh seseorang mengisi siang  dam malam Ramadhan itu ada bagi meningkatkan taqwa. Maka berlumba-lumbalah semua untuk beramal pada bulan taqwa itu. Orang yang taqwa rasa amat menyesal jika tertinggal tarawih sekalipun satu malam.

Jika berbuka dengan keluarga di restoran, maka akan beregopoh-gapah untuk ke surau atau masjid,  dan tidak mustahil tidak sempat tarawih berjamaah.

Walaupun tarawih itu boleh dilakukan sendirian di rumah, umumnya orang yang rendah taqwanya jika tidak ke surau, payahlah tarawihnya. Bukan semua tidak tarawih di rumah, tetapi ada yang kalau tidak  ke surau tidak tarawih di rumah.

Memang kadang-kadang kita tidak suka menunai jemputan berbuka di rumah orang lain, terutama jauh pula, kerana takut terlepas tarawih. Nasiblah juga tuan rumah memasukkan tarawih dalam pekej berbukanya.

Tetapi yang selesa pada saya ialah tidak ke mana dalam bulan Ramadhan, memilih berbuka di rumah atau di surau dari ke restoran.  Sebabnya mudah menyegerakan solat  waktu  dan tidak terburu-buru ke masjid.

Rabu, 17 Julai 2013

AES: Formula matematik apa kerajaan guna?


Harakahdaily, 17 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mendesak Menteri Pengangkutan menjelaskan jumlah pembayaran kutipan kompaun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kepada syarikat penyedia perkhidmatan AES iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd

Penasihat Undang-undang Kase Zulhazmi Shariff berkata, angka-angka yang diberikan oleh Kementeriaan Pengangkutan di Dewan Rakyat amat mengelirukan.

Beliau mempersoal jumlah RM13,550,758 kepada syarikat pembekal AES sedangkan jumlah saman yang telah dijelaskan hanyalah sebanyak 66,735 yang hanya melayakkan syarikat dibayar sebanyak RM1,067,760.00.

"Jika syarikat dibayar RM13,550,758.00 daripada jumlah kompaun keseluruhan RM20,020,500.00 baki yang tinggal ialah sebanyak RM6,469,742.00. Kenapa kerajaan hanya mengambil RM3,429,910.00 sahaja? Ke mana baki RM3,039,832.00?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambah beliau juga, jika keseluruhan 673,339 saman telah dijelaskan sekalipun, syarikat tidak layak mendapat RM13,550,758.00 kerana RM16.00 dari setiap 673,339 hanyalah RM10,773,424.00.

Berikut merupakan kira-kira mengikut angka-angka yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan:

SAMAN AES

Jumlah Saman AES  (23/09/13 – 11/06/13) = 673,339

Jumlah Kompaun (RM300) =  RM20,020,500.00

Jumlah Saman Dijelaskan = 66,735

(66,735 x RM300 = RM20,020,500.00)



Formula Tiga Langkah

(RM16 x jumlah saman dijelaskan)

RM16 x 66,735 = RM1,067,760.00

Jumlah Bayaran kepada Syarikat = RM13,550,758.00

Jumlah Bayaran Kepada Kerajaan = RM3,429,910.00



Jumlah Pembahagian

RM13,550,758.00

+RM3,429,910.00

------------------------

RM16,980,668.00

==============

Baki

RM20,020,500.00

-RM16,980,668.00

------------------------

RM3,039,832.00

===============

Jika semua 673,339 telah dijelaskan


673,339 x RM300 = RM202,001,700



Formula Tiga Langkah


(RM16 x jumlah saman dijelaskan)

RM16 x 673,339 = RM10,773,424.00


Kase turut mendesak Kerajaan mendedahkan butiran perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan dengan syarikat penyedia perkhidmatan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat secara langsung.

Perang Hunain (2)


Ustaz Abu Muhammad Harits, 17 Jul 2013
Rasulullah  SAW berangkat dari Makkah pada hari Sabtu di bulan Syawwal tahun ke-8 hijrah.

Menyusun barisan Muslimin

Setelah mendekati wilayah pertahanan musuh, Rasulullah SAW mulai menyusun barisan para sahabatnya dan menyerahkan bendera kepada beberapa orang Muhajirin dan Anshar:
i. Bendera Muhajirin dipegang oleh ‘Ali bin Abi Thalib RA
ii. Bendera juga dipegang oleh ‘Umar bin Al-Khaththab RA
iii. Satu bendera diserahkan kepada Sa’d bin Abi Waqqash RA
iv. Bendera Khazraj dipegang oleh Hubaib bin Al-Mundzir RA
v.  Sedangkan bendera Aus dipegang oleh Usaid bin Hudhair RA

Rasulullah SAW juga menyusun barisan kabilah-kabilah ‘Arab dan menyerahkan bendera kepada mereka. Pada waktu itu beliau mengenakan dua lapis baju perang, topi besi, dan menaiki baghalnya. Di bahagian depan pasukan, beliau menempatkan Khalid bin Al-Walid RA.

Sementara itu, Malik bin ‘Auf mengirimkan mata-matanya mengintai kekuatan kaum muslimin bersama Rasulullah  SAW. Para pengintai itu kembali dalam keadaan ketakutan dan menyarankan agar pasukan Hawazin kembali. Malik menjadi marah dan menuduh mereka pengecut serta menahan mereka di dekatnya agar tidak menimbulkan keresahan di tengah-tengah pasukan.

Serangan mendadak

Begitu tiba di Hunain dan mulai menyusuri lembah, masih dalam keremangan subuh, pasukan Hawazin secara serempak dan tiba-tiba menyerang kaum muslimin yang belum bersiap sepenuhnya. Ternyata pasukan Hawazin telah bersembunyi lebih dahulu di balik-balik bukit lembah Hunain. Mereka betul-betul menjalankan strategi Duraid bin Ash-Shimmah untuk melakukan serangan mendadak dan serempak.

Mendapat serangan mendadak ini, meskipun tersentak, kaum muslimin dapat juga melakukan pembalasan dan menyerang mereka dengan hebat. Akhirnya pasukan musuh kewalahan dan melarikan diri serta meninggalkan kaum muslimin dengan ghanimah yang cukup banyak. Kejadian ini mungkin persis dengan peristiwa Uhud, sebelum mereka dihabisi oleh pasukan berkuda yang ketika itu dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid.

Kaum muslimin akhirnya sibuk dengan ghanimah, lupa jalannya pertempuran dan lengah, padahal musuh belum ditumpas seluruhnya, dan mereka masih bersembunyi.

Melihat keadaan ini, pasukan musuh mulai melancarkan serangan mematikan. Ratusan panah dan tombak bahkan batu-batu meluncur bagai hujan yang sangat deras menyerang kaum muslimin. Jeritan kematian berkumandang, pekik kesakitan terdengar riuh. Sebagian pasukan muslimin melarikan diri meninggalkan gelanggang pertempuran. Mereka terus berlari kucar-kacir meninggalkan Rasulullah  SAW dengan beberapa sahabatnya, di antaranya Abu Bakr dan ‘Umar RA. Sementara itu, tali baghal beliau dipegang oleh saudaranya Abu Sufyan bin Al-Harits bersama ‘Abbas bin ‘Abdul Muththalib RA.

Pasukan kaum muslimin semakin terdesak. Kekalahan mulai membayang. Allah SWT berfirman menceritakan peristiwa ini:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu ketika kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.” (Surah at-Taubah : ayat 25)

Pasukan berkuda Bani Sulaim mulai tercerai-berai, lari meninggalkan Nabi SAW lalu diikuti orang-orang Makkah dan yang lainnya.

Nabi  SAW sendiri mengambil posisi di sebelah kanan sambil memanggil: “Wahai kaum muslimin, ke sini! Aku Rasulullah. Aku Muhammad bin ‘Abdullah!” Tapi tak ada yang menoleh. Orang-orang berlarian, kecuali beberapa gelintir sahabat dan ahli bait beliau, seperti ‘Ali, ‘Abbas, Abu Sufyan, Fadhl bin ‘Abbas, dan lainnya.

Di saat yang genting itu, orang-orang yang masih menyimpan dendam terhadap Rasulullah  SAW mencoba mengambil kesempatan untuk membunuh beliau diam-diam.

Ibnu Ishaq mengisahkan dalam Sirahnya:

Syaibah bin ‘Utsman Al-Hajibi bercerita: “Setelah pembebasan kota Makkah, aku ikut bersama Quraisy menuju Hawazin, dengan harapan dapat membunuh Muhammad SAW, agar akulah yang menuntaskan dendam Quraisy. Aku katakan: ‘Seandainya tidak tersisa satupun Arab dan ajam melainkan mengikutinya, nescaya aku tetap tidak akan mengikutinya, selama-lamanya’.”

Setelah kedua pasukan mulai saling serang, aku pun menghunus pedang sambil mendekati Rasulullah  SAW. Ketika aku menghayunkn pedang, tiba-tiba api menyambar bagai kilat. Aku menutupi mata karena takut melihat api tersebut. Rasulullah SAW menoleh ke arahku lalu memanggilku: “Wahai Syaib, kemarilah!”

Aku pun menghampiri baginda lalu Nabi SAW mengusap dadaku dan berdoa: “Ya Allah, lindungilah dia dari syaitan.”

Sungguh, demi Allah. Saat itu juga baginda bertukar menjadi orang yang lebih aku cintai dari penglihatan dan pendengaranku serta diriku sendiri.

“Kemarilahlah dan seranglah musuh-musuh itu,” kata beliau. Aku pun maju menyerang dan sungguh, seandainya aku bertemu ayahku waktu itu juga tentu aku tikamkan pedangku ke tubuhnya.

Akhirnya, aku pun selalu bersama baginda sehingga pasukan berkumpul kembali. Aku mendekatkan baghal kepada Rasulullah  SAW hingga beliau duduk di atasnya. Beliau pun bergabung dengan pasukan muslimin.

Ketika aku masuk ke dalam khemah baginda, Nabi SAW berkata kepadaku: “Wahai Syaib, apa yang diinginkan Allah untuk dirimu lebih baik daripada apa yang engkau inginkan untuk dirimu sendiri.”

Keberanian Rasulullah  SAW

Rasulullah SAW yang dalam peperangan selalu di barisan depan, berseru memanggil para sahabatnya: “Wahai kaum muslimin, kemari! Aku Muhammad bin ‘Abdillah.”

Tetapi tidak ada yang menoleh memerhatikan beliau. Setiap orang berusaha menyelamatkan dirinya sendiri dari serangan mendadak yang dilancarkan pasukan Hawazin. Kaum muslimin betul-betul bercerai-berai. Jumlah banyak yang mereka banggakan tak sedikitpun menolong.

Memang kenyataannya demikian. Kemenangan dalam sebuah pertempuran bukan ditentukan oleh jumlah kekuatan dan perbekalan serta keahlian perang semata. Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah.”
(Surah al-Baqarah : ayat 249)

Kemenangan dan pertolongan itu murni dari sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah ali-Imran : ayat 126)

Dengan diapit Abu Sufyan dan ‘Abbas bin ‘Abdul Muththalib RA, Rasulullah  SAW terus menuju ke arah barisan pertahanan musuh. Bahkan dengan sengaja beliau berseru lantang:

“Aku adalah Nabi, bukan pendusta! Aku putra ‘Abdul Muththalib!”

Pernyataan ini membuat beliau menjadi sasaran empuk panah dan tombak musuh yang menyerbu dengan derasnya. Kerana seruan beliau ini seolah-oleh memberitahukan kepada musuh siapa dan di mana kedudukan beliau. Pasukan musuh yang memang bercita-cita melenyapkan beliau dan menumpas dakwah beliau mengarahkan panah serta tombak mereka kepada beliau.

Derasnya panah dan tombak musuh tidak membuat luntur semangat beliau. Bahkan beberapa sahabat yang menyertai beliau semakin merapat ke dekat beliau.

Kemenangan sesudah kekalahan

Allah SWT berfirman:

“Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir.”
(Surah at-Taubah : ayat 26)

Melihat pasukan muslimin semakin lemah, Rasulullah  SAW memerintahkan ‘Abbas untuk berseru lantang: “Wahai ‘Abbas, panggil para pengikut Bai’at Ridhwan (Ash-habus Samurah).”

‘Abbas mulai berseru: “Wahai orang-orang Anshar yang menampung dan membela. Wahai kaum Muhajirin yang bersumpah setia di bawah pohon. Ini Muhammad masih hidup, kemari!”

‘Abbas mengulangi seruannya: “Wahai Ash-habus Samurah. Wahai penghafal Surah al-Baqarah!”

Teriakan ‘Abbas menggema mengalahkan dentingan pedang dan tombak yang beradu. Menembus ke dalam jantung mereka yang mengerti erti panggilan itu.

Serta-merta dengan izin Allah SWT, terbangkitlah semangat kaum muslimin. Bagaikan sapi betina yang meradang melihat anaknya terancam bahaya, perajurit muslimin berbalik menyambut seruan ‘Abbas: “Labbaik, labbaik.”

Mereka yang berada di atas kuda dan untanya berusaha membelokkan unta dan kudanya ke arah Rasulullah  SAW yang berada di tengah-tengah kepungan musuh.

Kuda dan unta itu menolak kembali bersama tuannya. Akhirnya, mereka lemparkan pedang, tombak dan perisai ke tanah, lalu mereka lepaskan tunggangan mereka. Sedangkan mereka segera berlari mengikuti suara ‘Abbas menembus kepungan musuh terhadap Rasulullah SAW.

Perlahan tapi pasti, mulai terkumpul kembali seratus orang di sekitar Rasulullah SAW. Rasulullah  SAW memungut beberapa butir batu lalu melemparkannya ke arah musuh sambil berkata: “Wajah-wajah buruk.” Muka yang terkena lemparan menjadi hitam. Perang semakin memuncak.

Ternyata pasukan musuh tidak berani berhadapan langsung dengan pasukan kaum muslimin. Keadaan bertukar.

Pasukan muslimin yang tadi melarikan diri, mulai merapat ke arah Rasulullah  SAW. Pertempuran sengit semakin berkobar. Satu demi satu korban dari pihak musuh mulai bertambah. Ali bin ‘Abi Talib RA menewaskan lebih dari 40 orang. Sementara Khalid bin Al-Walid RA terluka cukup berat.

Kali ini, Malik bin ‘Auf dan pasukannya benar-benar terdesak. Kekalahan mulai nampak. Mental pasukannya sudah jatuh. Akhirnya mereka melarikan diri meninggalkan harta dan keluarga mereka. Jatuhlah ke tangan kaum muslimin ribuan tawanan perang yang terdiri daripada anak-anak dan kaum wanita. Juga puluhan ribu ternak terdiri dari 40,000 ekor unta dan ribuan ekor kambing serta ribuan uqiah perak.

Setelah menempatkan ghanimah tersebut di tempat yang aman, mulailah kaum muslimin menyiapkan senjata untuk mengejar musuh yang melarikan diri.

Kaum musyrikin yang dipimpin Malik bin ‘Auf berlari menuju Thaif dan menyusun pasukan di Authas. Ketika mereka di Authas, Rasulullah SAW mengirim pasukan dipimpin oleh Abu ‘Amir Al-Asy’ari. Terjadi pertempuran dan Abu ‘Amir terkena panah musuh dan gugur sebagai syahid.

Bendera pasukan dipegang oleh Abu Musa Al-Asy’ari. Dia pun memerangi mereka dengan hebat dan Allah SWT pun memenangkan mereka.

Malik bin ‘Auf terus melarikan diri berlindung ke benteng Tsaqif.

Membahagi ghanimah

Sengaja Rasulullah SAW menunggu beberapa hari dengan harapan ada pihak Hawazin yang datang masuk Islam, meminta tawanan dan harta mereka. Namun sudah ketetapan Allah SWT bahawa ghanimah berupa harta itu menjadi hak kaum muslimin. Kemudian mulailah Rasulullah SAW membagikan ghanimah yang diperoleh dalam perang Hunain itu.

Beliau memberi harta itu kepada orang-orang yang dilunakkan hati mereka kepada Islam. Abu Sufyan diberi seratus ekor unta dan 40 uqiyah perak. Dia berkata: “Puteraku Yazid?” Kata Rasulullah  SAW: “Beri dia seratus ekor unta dan 40 uqiyah perak.” Abu Sufyan menukas: “Anakku, Mu’awiyah?”

Akhirnya Mu’awiyah juga menerima jumlah yang sama. Setelah itu, beliau memberi Hakim bin Hizam seratus ekor unta dan dia minta seratus lagi, beliau memberinya. Kemudian An-Nadhr bin Al-Harits bin Kaladah menerima seratus ekor unta. Kemudian beberapa orang lainnya dari pembesar Quraisy. Ghanimah yang dibagikan itu hampir mencapai 14,850 ekor unta, yang diambil dari khumus.

Termasuk yang ada dalam ghanimah tersebut adalah Asy-Syaima`, saudara perempuan Rasulullah  SAW satu susuan. Ketika dia dihadapkan kepada Rasulullah SAW, dia menerangkan siapa dirinya. Rasulullah SAW bertanya kepadanya apa tanda buktinya. Asy-Syaima` mengatakan bahwa di bahagian punggungnya masih ada bekas gigitan Rasulullah SAW ketika dia dahulu menggendong beliau. Setelah beliau mengenalnya, beliau menghormatinya, membentangkan kainnya dan mendudukkannya di atas kain itu lalu memberinya pilihan.

Asy-Syaima` masuk Islam dan memilih pulang ke kampung halamannya. Oleh Rasulullah  SAW, dia diberi sepasang budak yang kemudian mereka nikahkan. Wallahu a’lam.

Setelah itu beliau perintahkan Zaid bin Tsabit menghitung kambing dan jumlah pasukan. Baru kemudian beliau bahagikan kepada pasukan. Setiap orang menerima empat ekor unta dan 40 ekor kambing. Kalau dia dari pasukan berkuda, dia menerima 12 ekor unta dan 120 ekor kambing.

http://www.salafy.or.id

Selasa, 16 Julai 2013