Jumaat, 12 Julai 2013

Mesir terus diganggu


Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 11 Jul 2013
Dunia terkini telah berubah kepada zaman di mana rakyat mendesak supaya suara mereka didengari dan hak mereka diberikan dengan adil. Manakala  zaman kuku besi di mana sesebuah kerajaan berlagak Tuhan, rakyatnya diperhambakan pula hampir dilupa dan diletakkan dalam lipatan sejarah.

Islam yang dibawa para Rasul adalah pendukung menentang kezaliman di sepanjang zaman. Mesir adalah bumi bersejarah berlakunya pertembungan di antara Fir’aun yang zalim berlagak Tuhan. Fir’aun itulah yang berlagak sebagai penentu rezeki rakyat, bermegah dengan pembangunan hebat, bangunannya tersergam menjadi tarikan pelancong sehingga kini. Semua pembangunan dan monumen hebat yang dibina oleh penzalim seperti Fir’aun telah dilupakan bahawa semuanya dibina di atas mayat rakyat yang di hamba-abdikan, banyaknya darah yang mengalir dan air mata yang dicurah.

Nabi Ya’akob dan puteranya Nabi Yusuf A.S. dikumpulkan di Mesir, daripada zuriatnya ramai para anbiya’, maka Mesir dinamakan bumi para anbiya’. Allah juga telah mengutuskan Rasulnya Musa A.S. untuk melakukan Islah di bumi Mesir. Sebagai satu hikmah dari Allah, Rasul itu menjadi anak angkat yang dibesarkan di bawah mahligai Fir’aun, untuk berdepan secara langsung dengan Fir’aun paling zalim dan ganas. Akhirnya Fira’un dan kerajaannya tamat riwayat bersama amal zalimnya dengan khatimah buruk dilaknat mengikut perhitungan Islam, celaka dunia dan neraka di akhirat. Fir’aun inilah yang dijulang oleh golongan nasionalis Mesir sebagai tokoh tamadun yang dibanggakan.

Kedatangan Rasul akhir zaman juga membawa perubahan besar kepada Mesir sehingga menjadi pusat ilmu Islam dan gerakan Islam menentang penjajah. Kedudukannya yang berada di tempat paling penting dalam peta hubungan antarabangsa dan benua, menjadikannya sasaran kezaliman antarabangsa. Bu,I Mesir menjadi rebutan kuasa besar timur dan barat, sejak sebelum Islam, sehinggalah perang salib, zaman penjajahan, dan menjadi medan dua perang dunia dan perang dingin.

Ketika era perang dingin ramai pemimpin gerakan Islam Ikhwan Muslimin gugur syahid di medan perang Palestin. Ketika berlakunya penubuhan negara haram Israel dan seterusnya rampasan kuasa tentera di Mesir, kalangan Ikhwan Muslimin terus menerus diburu dan dihukum. Sejarah hitam berdarah ini sedang diulangi sekali lagi.

Semua negara kuasa besar dan sekutunya tidak memberi perhatian terhadap seluruh negara dunia seperti perhatian khusus mereka terhadap apa yang berlaku di Mesir. Perubahan telah berlaku di negara bekas komunis dan sosialis lainnya, tetapi kepentingan kuasa besar terhadap geo-politik Mesir tentunya tersangat penting untuk mereka biarkan berlaku begitu sahaja. Mereka mengkaji dengan serius apabila Mesir menerima perubahan kepada demokrasi yang memberi hak kepada rakyat.

Mereka memandang secara tajam dan ganas, apabila Mesir berubah setelah  dicengkam regim diktator kuku besi tentera sejak beberapa dekad. Negara Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetap mengiktiraf diktator zalim dan paling tajam kuku besinya di Mesir sejak beberapa dekad. Semuanya kerana kepentingan strategic kuasa besar terhadap sumber tenaga dan kedudukan sekutu rapat mereka negara haram Israel. Akhirnya, perubahan berlaku di Mesir mengikut musim perubahan dunia sehingga tidak mampu dihalang, sehingga Presidennya terpaksa meninggalkan kerusi dan terdedah segala jenayah dan salah laku yang terselindung dilakukan ketika berkuasa.

Apabila Demokrasi dihidupkan, pilihanraya dilaksanakan dengan adil dan telus. Bermulalah era media menjadi saksi yang adil yang diberi peluang kepada semua parti politik dan rakyat mendapat maklumat daripada semua pihak. Maka  rakyat memilih kerajaan dan Presidennya secara langsung, sehingga kumpulan saki bagi penipu besar gagal menyekat pilihan rakyat.  Tiba-tiba kumpulan sekular yang didokong oleh negara luar kalangan kuasa besar dan daripada kalangan negara Arab serantau, sebangsa, se agama, menolak pilihan rakyat Mesir kerana kemenangan berpihak kepada kumpulan Islam.

Rakyat Mesir pernah menjadi mangsa penipuan ketua negaranya ketika kalah perang menghadapi negara haram Israel 1967 yang memalukan, apabila ketua cawangan Parti Sosialis dan ketua kampung (JKKK) diperintah supaya mengerah  rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi dan bersedih tidak bersetuju Presidennya meletakkan jawatan kerana malu kalah perang. Kerahan dilakukan sebelum Presiden menyampaikan lagi ucapannya, satu lakonan menipu rakyat  dan seluruh dunia.

Akhirnya terkini, diulangi lagi penipuan terbuka yang diketahui umum tanpa maruah dan rasa malu. Kali ini rakyat miskin dan bodoh dikerah lagi dengan duit upah dan kenderaan percuma, dengan  sumbangan duit  negara minyak Arab yang sanggup menyumbangnya. Rakyat yang begitu sifatnya dihimpunkan di Medan Tahrir menunjuk perasaan kerana Presiden Morsi yang baru setahun dilantik tidak berjaya menyelesaikan masalah yang diadakan oleh kerajaan yang lalu sejak enam puluh tahun. Bantahan disertakan dengan kononnya jutaan tanda tangan kalangan yang sebahagiannya buta huruf dan buta akal.

Protes itu berlaku terhadap masalah yang berakar umbi selam enam puluh tahun warisan kerajaan diktator terdahulu. Protes yang dirancangkan dengan rapi dan tersembunyi tangan ghaib kuasa besar dan negara Arab sekitarya hanyalah mengenai masalah yang belum dapat diselesaikan dalam masa setahun pemerintahan Presiden Morsi, itupun dalam  keadaan Presiden dan kerajaannya yang masih baru, tidak dibenarkan bertindak terhadap saki baki penyangak dan penyamun lama yang masih berakar umbi dalam jentera kerajaan dan institusinya.

Seluruh dunia menyaksikan lakonan atau drama terbuka di tengah padang di waktu siang hari yang nyata, kononnya menyokong kehendak rakyat. Malangnya ada kalangan ulama dan pemimpin agama yang menjadi pelakon tambahan, ada pula negara Arab yang mengucap tahniah mengiktiraf drama bohong ini adalah benar dan adil, sehingga lupa serban di kepala dan lupa berada paling hampir dengan Ka’abah. Sedang negara Barat sendiri masih hati-hati membuat kenyataan.

Maka berlakulah pesanan Rasulullah S.A.W.:
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

سنن ابن ماجه - (ج 12 / ص 44)
(Akan datang masanya manusia berdepan dengan tahun-tahun yang mengelirukan (musimnya tidak menentu), berlakunya dibenarkan (dipercayai) pembohong, dibohongi orang yang benar. Diberi amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, Orang-orang yang bebal bercakap. Lalu ditanya apakah maksudnya ?. Sabdanya :” Orang-orang yang terlalu jahil bercakap dalam perkara yang besar).


Berlakunya yang di-sabda Rasulullah S.A.W. menjawab soalan Malaikat Jibril : Apakah tanda-tanda hampirnya Hari Kiamat (Yang membinasakan seluruh alam)”. Sabdanya:
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ

صحيح مسلم - (ج 1 / ص 87)
(….dan apabila kamu melihat adanya orang-orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut), bertelanjang, yang terlalu miskin, tiba-tiba (kaya raya) berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi).

Banyaklah sejarah latar belakang negara kaya raya hasil minyaknya, bagaimana mereka dahulunya dan bagaimana sekarang?

Segala yang berlaku menandakan fajar kemenangan Islam, mereka yang ditarbiyah oleh penjajah berbangga dengan sejarah Fir’aun dan melupai sejarah Nabi Musa dan para Rasul akan menerima nasib Fir’aun dunia dan akhirat.

Islam mustahil dapat dihapuskan dengan kekalahan pilihanraya dan paksaan kerajaan tentera paling besar dan zalim.

Firman Allah yang bermaksud:
137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).
138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
139. Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (آل عمران )


Malangnya ada kalangan yang berbahasa Al Quran mengucap tahniah   bersama pemimpin negara haram Israel kerana kejayaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Mesir daripada kumpulan Islam yang dipilih rakyat secara Demokrasi, ada juga yang munafiq, menunggu dan lihat untuk berpihak kepada siapa sahaja yang menang dalam pertarungan yang berlaku.

Demikianlah Allah membahagikan manusia kepada tiga kumpulan sahaja : (1) Beriman dan beramal soleh, (2) Kufur menentang Islam secara nyata dan (3) Munafiq yang berpura-pura.

Presiden PAS,
11 Julai 2013

Khamis, 11 Julai 2013

Mesir: Revolusi yang belum berakhir


Khalil Abdul Hadi, 11 Jul 2013
Sebaik saja mendapat maklumat daripada kawan-kawan di Mesir mengenai kemuncak perancangan untuk menjatuhkan Presiden Mohammed Mursi saya terpaku di hadapan television mengikuti perkembangan di sana melalui stesen tv Al-Jazeera. Hampir jam 230 am 3 julai maka keluarlah berita rasmi Presiden Mursi digulingkan oleh tentera. Abdul Fatah As-Sisi, Menteri Pertahanan yang dilantik oleh Mursi muncul bersama-sama dengan pimpinan gerakan tamarrud-rebel mengumumkan berita yang mengejutkan ini. Mesir menambah satu lagi koleksi sejarah selepas Firaun, Namrud dan Qarun iaitu Abdul Fatah As-Sisi adalah jeneral tentera pertama yang menjatuhkan presiden yang dipilih oleh rakyat dengan jalan demokrasi yang diiktiraf oleh negara dan badan-badan dunia. Sejurus selepas penggulingan kuasa ini As-Sisi telah mengumumkan bahawa perlembagaan digantung buat sementara waktu, pelantikan presiden sementara dan dipercepatkan pilihanraya presiden.

Kejatuhan Mursi tidak akan berlaku melainkan dengan sokongan pihak tentera dan gerakan massa daripada rakyat bawahan. Pihak tentera khususnya yang berpangkat tinggi walaupun masih dilihat tergugat cengkaman mereka selepas kejatuhan Hosni Mubarak tetapi mereka hanya menunggu peluang yang baik untuk menunjukkan wajah mereka yang sebenar. Akhirnya peluang itu datang apabila gerakan tamarrud digerakkan oleh Ketumbukan Menyelamatkan Revolusi yang diwakili oleh parti-parti sekular, nasionalis dan kumpulan upahan Islam berjaya mengupah orang awam biasa yang mudah termakan dengan umpan wang ringgit yang sedikit kerana kesempitan hidup, mereka keluar di dalam himpunan dan demonstrasi dalam masa yang sama disokong oleh media upahan yang membesar-besarkan protes ini. Padahal himpunan penyokong Morsi lebih ramai jika dibandingkan dengan himpunan yang dilakukan oleh golongan tamarrud ini.

Tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera ini menimbulkan berbagai kemungkinan senario politik yang berlaku di Mesir samaada ianya akan bertambah reda dengan penyertaan pelbagai pihak untuk merangka pelan politik pasca kerajaan pimpinan Mohammad Mursi atau ianya akan berubah menjadi semakin parah dengan pertembungan antara penyokong Mohammad Mursi dan kalangan pembangkang dan lebih bahaya lagi ianya boleh membawa kepada pertempuran berdarah di wilayah-wilayah yang banyak dipengaruhi oleh golongan Islam yang banyak ditindas oleh pihak tentera sejak dari zaman berzaman.

Rampasan kuasa yang berlaku di Mesir ini bukanlah perkara baru, ianya pernah berlaku di Algeria pada awal 1990 an apabila parti Islam FIS menang dalam pilihanraya, pihak tentera ambil alih kuasa dan pimpinan FIS dipenjarakan seperti Abbasi Madani, Ali Belhadj dan lain-lain lagi. Begitu juga ianya pernah berlaku beberapa kali di Turki antaranya ketika parti Refah yang diketuai oleh almarhum Nejmuddin Erbakan mengambil alih kuasa pihak tentera masuk campur dan kerajaan pimpinan parti Refah digulingkan. Akan tetapi tindak balas pihak tentera menggulingkan Mohammad Mursi di Mesir ini berbeza kerana beberapa sebab antaranya:


1- Kuasa yang diperolehi oleh golongan Islam samaada gerakan Islam yang sederhana iaitu Ikhwan Muslimun melalui sayap politiknya parti Hurriyyah wa Al-‘adalah-Freedom and Justice atau yang mengikut aliran-aliran yang lain dalam pilihanraya yang diadakan pada tahun lepas seolah-olah mutlak bukan sahaja menguasai parlimen bahkan juga Majlis Syura dan Presiden yang dipilih juga adalah calon daripada Ikhwan Muslimin. Pengaruh Ikhwan Muslimun di dalam tampuk pemerintahan ini sangat dibimbangi oleh Israel dan Amerika Syarikat dan ianya juga dilihat boleh menggugat negara-negara Arab lain khususnya negara Teluk yang diperintah oleh sistem beraja yang mutlak dan menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat. Ini adalah kerana Ikhwan Muslimun adalah Gerakan Islam paling lama yang sudah bertapak lebih daripada 80 tahun dan paling berpengaruh yang mempunyai cabang-cabang di seluruh negara Arab.

2- Kedudukan Mesir yang begitu strategik di dunia Islam samaada dari sudut ketenteraan, sosial politik dan geografi politik. Negara Mesir adalah antara negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam teramai di negara Arab khususnya di kalangan Ahl As-Sunnah. Di tambah lagi dengan kedudukan geografinya yang begitu strategik, bersempadan dengan Israel dan juga Gaza yang dikuasai oleh kumpulan Islam HAMAS. Kewujudan Terusan Suez juga adalah yang menjadi penghubung laluan kapal-kapal dari seluruh pelusuk dunia juga memainkan peranan yang penting ditambah lagi dengan kesuburan tanahnya khususnya delta sungai Nil yang menjadi sumber pertanian yang besar.

3- Di sepanjang sejarah kebangkitan Islam, Mesir memainkan peranan yang sangat signifikan ketika umat Islam berada di saat-saat yang cemas dan genting. Pembebasan Baitul Maqdis dari tangan Salibiyyin oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi bermula di Mesir iaitu setelah baginda mengambil alih pemerintahan kerajaan Fatimiyyah dan akhirnya berjaya menyatukan umat Islam sehingga berjaya membebaskan Baitul Maqdis pada tahun 583 hijrah. Begitu juga Ketika kerajaan Islam Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad dibadai oleh bala tentera Tatar, seolah-seolah kerajaan Islam sudah berkubur, ribuan umat Islam dibunuh, masjid-masjid dimusnahkan dan kitab-kitab dijadikan jambatan di atas sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya bertukar menjadi hitam. Lalu Sultan Qutuz yang merupakan salah seorang sultan daripada kerajaan Mamalik yang berpusat di Mesir memimpin umat Islam dan mengalahkan tentera Tatar di dalam peperangan Ain Jalut pada tahun 658 hijrah.
Maka di atas dasar ini tidak mungkin samasekali Amerika Syarikat akan berdiam diri dengan perkembangan yang berlaku. Ini juga berkait dengan masa depan negara haram Israel yang begitu tertekan dengan penguasaan golongan Islam di Mesir yang sudah tentu memberikan kekuatan kepada kerajaan HAMAS di Gaza yang menjadi duri di dalam daging kepada Israel. Ringkasnya sesuatu mesti dilakukan untuk menyekat ‘bahaya’ ini.

Setelah berlalunya revolusi 25 Januari yang menjatuhkan Hosni Mubarak dan kemenangan golongan Islam di dalam pilihanraya yang diadakan khususnya kemenangan Dr Mohammad Mursi sebagai presiden, tiada siapa yang menjangka akan berlaku satu lagi revolusi. Seolah-olah semuanya berjalan dengan baik kerana inilah jalan demokrasi, pihak yang kalah mestilah menerima kekalahan walaupun sepahit mana sekali pun tetapi apa yang berlaku mendedahkan wajah sebenar golongan Sekularis, Libralis dan Nasionalis yang tidak boleh menerima samasekali kemenangan golongan Islam. Demokrasi bagi mereka tidak boleh diterima jika sekiranya golongan Islam yang menang, mereka tidak akan berdiam diri kerana mereka tahu mereka disokong oleh kuasa-kuasa besar, inilah sikap hipokrit negara-negara Barat yang kononnya bertuhankan kepada Demokrasi. Setelah Dr Mohammad Mursi disingkirkan tidak ada negara yang mengecamnya melainkan Turki dan beberapa badan seperti Kesatuan Afrika. Mereka yang paling gembira ialah negara-negara Arab Teluk khususnya Arab Saudi dan UAE yang tidak berselindung langsung kegembiraan mereka dengan kejatuhan Mursi dan kerajaan pimpinannya, senada dengan kenyataan di dada akhbar-akhbar utama Israel yang menghemburkan pujian kepada As-Sisi kerana berjaya menggulingkan golongan Islam daripada tampuk pemerintahan.

Pada hari ini genap seminggu rampasan tentera di Mesir, keadaan masih kucar kacir, Adly Mansour presiden sementara yang dilantik masih lagi gagal untuk membentuk kerajaan sementara. Penyokong-penyokong Morsi memenuhi dataran-dataran di seluruh Mesir dalam masa yang sama mereka yang menyokong penyingkiran Morsi semakin surut kewujudan mereka di Dataran Tahrir. Puluhan penyokong Morsi dibunuh dengan begitu kejam ketika mereka menunaikan solat subuh ratusan lagi yang tercedera. Pihak-pihak yang bergabung di dalam gabungan Ketumbukan Menyelamatkan Revolusi pimpinan Mohammed El-Baredai dan lain-lain lagi makin tidak sependapat dengan pelan yang digariskan oleh pihak tentera. Berpuluh-puluh pimpinan Ikhwan Muslimun ditahan dan dipenjarakan, yang masih kekal bersama-sama dengan orang ramai menyatakan bahawa mereka tidak berganjak sehingga kuasa dikembalikan kepada Mursi. Al-Ustaz Mohammad Badi’, Mursyid Ikhwan Muslimun menegaskan bahawa rakyat yang berhimpun dengan aman lebih berkuasa daripada peluru-peluru hidup dan kereta-kereta kebal, kenyataan yang memberikan gambaran revolusi di bumi Mesir belum lagi berakhir.


*Penulis adalah Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia

Rabu, 10 Julai 2013

Ibnu Hasyim: Tutup Pintu Rafah, Zalimi Warga Palestin

Ibnu Hasyim: Tutup Pintu Rafah, Zalimi Warga Palestin: MESIR: Hari ini masuk hari kelima pintu di sempadan Rafah ditutup oleh tentera Mesir selepas menjatuhkan Presiden Dr Muhammad Morsi mel...

Ibnu Hasyim: Puasa: Pemangkin Jihad & Perisai Ummah -Dr Harun ...

Ibnu Hasyim: Puasa: Pemangkin Jihad & Perisai Ummah -Dr Harun ...: Oleh Prof Dato' Dr Haron Din SETIAP kali menjelang Ramadan umat Islam seluruhnya akan menunaikan ibadat puasa ke...

Jutaan Penyokong Mursi Solat Tarawikh Di Dataran Rabiatul Adawiyah

 


Di saat kita bergembira menyambut Ramadhan Al-Mubarak, saudara Islam kita di Mesir terus ditindas oleh Tentera negara mereka sendiri yang gilakan kuasa dan mengikut telunjuk Yahudi Zionist Laknatullah.

Mereka kebanyakan pengikut Ikhwan Muslimin terus bersolidariti di seluruh Mesir sehinggalah Dr Morsi dibebaskan dan diangkat kembali sebagai presiden. Kita sebagai Saudara seagama berbanyakkan berdoa untuk saudara kita di sana, semoga Allah mengurniakan kemenangan kepada Ikhwan dan seluruh Mujahidin seluruh dunia.

Jutaan penyokong Mursi yang tidak berganjak dari Dataran Rabiatul Adawiyah melaksanakan solat terawih dan qiamulail di sana.

Mereka cekal mempertahankan hak mereka menuntut pembebasan Dr Mursi dan mengembalikan kuasa presiden kepada beliau walaupun peristiwa berdarah yang meragut nyawa puluhan penyokong Mursi yang sedang melaksanakan solat subuh masih menghantui fikiran semua penyokong Mursi di seluruh dunia.

Terbaru....Kesatuan Doktor Perubatan Mesir melaporkan jumlah kematian dalam tragedi berdarah "Solat Subuh" pagi kelmarin meningkat 84 orang, dua daripada mereka merupakan anggota kesatuan.

Sementara jumlah kecederaan pula melebihi 1,000 orang dan 7 orang daripada mereka merupakan doktor perubatan, antara mereka Dr.Yahya Musa (jurucakap media Kementerian Kesihatan)

Berikut adalah gambaran suasana sejam yang lalu (sebelum subuh). Para penyokong Dr Mursi qiamullail secara berjemaah di Medan Rabiatul Adawiyah.

TIGA SITUASI YANG MENGERUNKAN ASKAR DI RABA'AH MALAM INI

Saya kira pada malam pertama bulan Ramadhan, telah terdapat tanda-tanda kemenangan di pihak yang benar. Perhatikan situasi berikut:

1) Apabila Syeikh 'Umum Qurra' Mesir, Dr.Ahmed Isa Ma'sarawy telah sudi turun ke dataran Raba'ah dan seterusnya mengimami solat terawih bersama-sama rakyat. Beliau turun bagi menyatakan sokongan kepada Presiden yang sah Dr.Mursi dan menolak rampasan kuasa. Bukan itu sahaja,Dr.Isa yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang Al-Quran itu turut mengumumkan akan menjadi imam terawih di dataran Raba'ah sepanjang Ramadhan.

2) "Jabhah Ulamak Al-Azhar", sebuah badan terkemuka yang mengumpulkan ulamak Al-Azhar telah mengambil awal Ramadhan sebagai masanya untuk menyatakan sokongan kepada Dr.Mursi. Presiden Jabhah, Dr.Yahya Ismail Hablush (gambar) yang berucap di pentas utama Raba'ah menyatakan bahawa tindakan askar melakukan rampasan kuasa merupakan satu jenayah dan haram di sisi undnag-undang. Jabhah juga turut mengkritik pendirian Syeikh Al-Azhar Dr.Ahmed Toyyib. Jabhah Ulamak ini telah wujud di awal tahun 60-an lagi sebelum diharamkan oleh rejim Jamal Abdul Nasser. Sebelum itu, pelantikan Syeikh Al-Azhar adalah dibincangkan dalam Jabhah ini, bukan dilantik oleh Presiden Mesir.

3) Kemunculan 6 orang bekas menteri kabinet Mursi memberikan kekuatan baru kepada rakyat. Mereka menaiki pentas dan memberikan ucapan menolak rampasan kuasa dibuat oleh tentera. Kesemua mereka telah meletakkan jawatan beramai-ramai beberapa hari selepas rampasan kuasa sebagai tanda protes kepada tentera. Mereka ialah Dr.Usamah Yasin (bekas Menteri Belia), Dr.Bassem Audah (bekas Mentei Perdagangan Dalam Negeri), Dr. Hatim Abdul Latif (bekas Menteri Pengangkutan), Khaled Azhari (bekas Menteri Buruh dan Sumber Manusia), Dr.Yahya Hamed (bekas Menteri Pelaburan) Dr.Mustafa Mus'ad (bekas Menteri Pengajian Tinggi). Kesemua mereka adalah menteri kabinet dalam kerajaan Dr.Hisham Qandil sebagai Perdana Menteri dan mewakili Ikhwan Muslimin/FJP.

Saya yakin ketiga-tiga situasi ini akan menambahkan lagi tekanan kepada askar dan kerajaan "perampas" hari ini. Kemenangan mereka semakin hampir insya-Allah.. -waksukalu





1 comments:

Anonymous said...
teruskanlah berdoa kpd saudara kita di mesir. mereka kini memerlukan doa agar diberi kekuatan utk menentang musuh - musuh allah (amerika, yahudi laknatullah dan boneka diaorang). teruskan berdoa. semoga kemenangan memihak kpd islam.

Senyumlah, jangan tunjuk muka garang kerana lapar


Hazayani Zakaria, 10 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Umat Islam seharusnya merebut pahala berganda sepanjang Ramadhan dengan meningkatkan amalan bersedekah.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, amalan bersedekah sangat dituntut dalam Islam bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Kita harus bersyukur kepada Allah SWT yang memberi kita peluang untuk berada di bulan Ramadhan yang penuh berkat. Harapan kita Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik.

"Saya menyeru muslimin dan muslimat supaya kita merebut peluang keemasan yang belum pasti kita akan jumpa untuk tahun-tahun seterusnya. Dengan umur yang Allah berikan  kepada kita, kita gunakan sungguh-sungguh. Bulan Ramadhan bulan yang pahalanya berganda terutamanya bagi mereka yang bersedekah ke jalan Allah.

"Kita cuba bersedekah setakat mana kemampuan kita terutamanya kepada umat Islam yang dalam kesudahan sekarang seperti umat Islam di Mesir, Syria dan Palestin," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Bagi yang tidak mempunyai kemampuan untuk bersedekah dengan harta benda, sekecil-kecil amalan turut dikira sebagai sedekah seperti bermuka manis dan mengukirkan senyuman kepada orang lain.

Selain itu katanya, amalan-amalan seperti mendoakan kebaikan seseorang, memperbanyak bacaan Al Quran dan berzikir dapat menggantikan amalan sedekah yang tidak mampu dilakukan.

Apa yang penting katanya, setiap orang harus mempunyai niat untuk memperbaiki mutu amalan pada bulan Ramadhan supaya lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.

"Bagi yang tak mampu bersedekah, kena banyakkan amalan. Seringan-ringan sedekah ialah senyuman. Dalam bulan Ramadhan kita pergi ke pejabat jangan tunjuk muka garang dengan kawan sebab lapar. Senyum itu sedekah. Kita senyum kepada sahabat itu sedekah.

"Sedekah juga membersihkan diri untuk melahirkan jiwa yang bersih supaya lahirnya takwa dan takut kepada Allah. Jadi bulan Ramadhan ini dipanggil juga bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa insan supaya kembali kepada Allah dengan hati yang suci bersih sebab kita ini hamba Allah, menumpang di bumi Allah, kita dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah," katanya.

7 khasiat kurma yang patut anda tahu


Detik islam, 10 Jul 2013
Kurma (Phonex dactylifera) atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika ia sudah masak atau masih mentah. kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang mana sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Quran sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

“Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan“ (Surah al-Mukminah : ayat 19)

“Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu.“
Sabda Rasulullah SAW.

Manakala sudut sains pula mengatakan, kandungan protein di dalam kurma adalah lebih kurang 2.5 peratus, serat 8.0 peratus manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, yakni sehingga 63 peratus majoritinya adalah glukosa. Lemak yang terkandung di dalamnya pula adalah sangat sedikit iaitu sekitar 0.4 peratus sahaja. Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional memandangkan ia juga kaya denga zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, C dan niasin.

Apakah antara khasiat utama kurma?

1. Paling cepat diproses dan diserap, sekali gus memberikan tenaga segera.
Memandangkan kandungan gula ringkasnya (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi dari pisang, kurma berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Berbeza dengan kebanyakan buah-buahan lain yang mengadungi sukrosa (disaccharide). Disaccharide seperti sukrosa harus dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi monosaccharide lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.”
Hadis riwayat Ahmad

Makan kurma ketika berbuka puasa amat bagus kerana pada waktu ini, kita perlukan tenaga segera, dan bukannya tenaga yang “lambat untuk dicerna” seperti yang terkandung dalam kebanyakkan makanan berlemak dan bergoreng yang lain.

2.  Kaya dengan serat dan potassium
Kurma dimakan tanpa perlu membuang kulitnya dan pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g Kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g Pisang hanya terdapat 2.6g serat sahaja? Tinggi serat amat baik untuk sistem pelawasan.

Selain itu, kurma kaya dengan Potassium dan beberapa zat galian yang lain. Potassium adalah elektrolit yang akan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutama sepanjang tempoh berpuasa. Tidak perlu membeli 100 Plus sekiranya khuatir akan kekurangan elektrolit ketika berbuka, memadai dengan beberapa biji kurma dan air suam. Potassium juga membantu dalam pembinaan otot termasuk otot jantung dan mampu memelihara sistem saraf.

3.  Penguat memori
Ramai yang berfikiran hanya kismis yang baik untuk menguatkan daya ingatan, namun hakikatnya kurma juga tidak kurang hebatnya. Kurma amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

4. Baik untuk wanita mengandung/bersalin
Masih ingat kisah Maryam yang hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS? Menerusi malaikat Jibrail, Allah telah mewahyukan kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya menggegar pohon kurma sehingga gugur lantas memakannya tatkala lemah selepas bersalin.

“Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak,” (Surah Maryam : ayat 25)


Dan menurut sebuah laman web, buah kurma amat baik untuk wanita mengandung dan akan memudahkan wanita untuk melahirkan anak dan akan mengurangkan pengaliran darah semasa proses kelahiran. Malah anak yang dilahirkan kelak dipercayai akan mempunyai sifat-sifat yang baik, penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya (Sabda Rasulullah).

5. Penawar Racun
Diriwayat oleh Aishah RA, “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

6. Merawat penyakit
Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus seperti serbuk teh. Ia direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

7. Mengubati gangguan usus dan sembelit
Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mencegah ini dari berlaku.

http://detikislam.blogspot.com