Rabu, 3 Julai 2013

Srikandi mujahidah di teratak Sayyid Qutb

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 03 Jul 2013
“Ustaz Hasrizal taksub Sayyid Qutb!” ujar seorang ahli sebuah forum.

Sayyid Qutb itu sendiri sudah cukup kontroversi untuk seseorang dikaitkan dengannya. Apatah lagi perkaitan itu adalah dengan sebuah ketaksuban. Mungkin disebabkan oleh kekerapan saya memetik pendapat Sayyid Qutb, saya dilihat taksub kepadanya. Hakikatnya, jika saya taksub dengan pendapat Sayyid Qutb, sayalah musuh utama Sayyid Qutb kerana taksub adalah apa yang Sayyid Qutb musuhi.

Saya kerap memetik pendapat Sayyid Qutb kerana dalam pengucapan, saya selalu memfokuskan perbahasan kepada mengaitkan mesej al-Quran dengan realiti semasa. Apabila realiti semasa itu pula banyak berkisar tentang pengaruh idea-idea Barat dalam membentuk pandangan alam Muslim hari ini, maka datanglah kupasan Sayyid Qutb. Bagi saya, Tafsir Fi Dzilal al-Quran karya Sayyid Qutb adalah satu bentuk tindak balas tafsiran al-Quran terhadap idea-idea yang datang dari Barat. Jika kita biasa dengan idea-idea Barat itu, maka Tafsir Sayyiq Qutb ini akan lebih dihayati niche yang terkandung di dalamnya.

Sesungguhnya Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang amat mesra bagi mereka yang terjun ke medan dakwah.

Penulisan-penulisannya menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada para petugas Islam. Karangan beliau seperti Tafsir Fi Dhilal al-Quran dan Petunjuk Sepanjang Jalan, menjadi teman akrab pendakwah untuk menyalakan suluhan tarbiah Islam. Perjuangannya di dalam Ikhwan al-Muslimin bersama rakan-rakan seperti Hasan Hudhaibi, adalah lanjutan kepada momentum yang telah dicetuskan oleh pengasasnya al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.

Namun, tidak ramai yang berpeluang mengenali kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb secara mendalam. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan kepada pembaca tentang latar belakang keluarganya yang sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada pembentukan peribadi dan kualiti diri Asy-Syahid malah kemudiannya turut terkesan dengan ketokohan Asy-Syahid itu sendiri.

Di dalam kesempatan ini, kita akan mengambil peluang untuk mengenali tokoh srikandi yang menjadi sendi penting di dalam ketokohan Asy-Syahid Sayyid Qutb itu sendiri. Semoga ia menjadi dorongan kepada wanita muslimah hari ini untuk menggembeleng peranan dan potensi mereka ke arah produksi lebih ramai insan luar biasa seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb di tengah-tengah gelombang cabaran akhir zaman ini.

Bonda Yang Mulia

Bonda Sayyid Qutb berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Beliau berkahwin dengan Qutb Ibrahim, ayahanda kepada Sayyid Qutb sebagai isteri kedua, tinggal bersama-sama Qutb Ibrahim seketika di Kaherah sebelum pulang ke kampung bersama keluarganya.

Bonda Sayyid Qutb mempunyai empat adik-beradik lelaki, dua daripadanya menuntut di al-Azhar asy-Syarif. Salah seorangnya dikenali sebagai Ahmad Husain Othman yang lebih dikenali sebagai Ahmad al-Moushi, nisbah kepada perkampungan Moushah. Ketika Sayyid Qutb menuntut di Kaherah, beliau tinggal bersama bapa saudaranya ini, Ahmad al-Moushi.

Sayyid Qutb dibesarkan oleh bondanya yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita yang solehah dan berjiwa kental. Beliau seorang yang pemurah dan banyak bersedekah. Beliau gemar memasakkan makanan untuk pekerja-pekerjanya di ladang serta tetamu yang datang mengaji di rumah beliau. Bonda Sayyid Qutb tidak pernah mengganggap semua ini sebagai bebanan kerana beliau menjadikan amalan ini sebagai usahanya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan seperti ini sememangnya menjadi tradisi isteri kepada pejuang-pejuang Islam khususnya di rumah-rumah dan pondok pengajian. Bukan sahaja kesetiaan menuntut ilmu dan bekerja yang terhasil malah kesemua yang bernaung di bumbung itu terikat dengan perasaan kasih sayang yang terpercik dari sifat pemurah dan penyayang wanita solehah yang menjadi srikandinya.

Bonda Sayyid Qutb juga amat gemar mendengar bacaan al-Quran malah beliau amat mudah terkesan dengan ayat-ayat yang dibacakan itu. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di dalam bukunya at-Tasweer al-Fanni fi al-Qur’aan:

“Setiap kali engkau asyik mendengar tilawah al-Quran dari belakang tabir oleh para Qurra’ yang datang mengaji ke rumah kita di sepanjang bulan Ramadhan, seandainya aku tercuai dan ingin bermain-main seperti kanak-kanak yang lain, engkau akan mengisyaratkan kepadaku dengan tegas sehingga aku terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan itu. Dari situlah jiwaku mula meneguk irama al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil, belum mampu memahami makna bacaan itu…

Ketika aku membesar di dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke Madrasah Awwaliyyah di kampung. Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan kemudahan bagiku oleh Allah untuk aku menghafaz al-Quran dan direzekikan kepadaku suara yang lunak untuk membacanya. Sesungguhnya semenjak itu aku sentiasa membacakan al-Quran bagimu di setiap masa dan setiap ketika…

Kini engkau telah pergi meninggalkanku, wahai bonda tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang sentiasa segar di ingatanku adalah samar-samar dirimu yang sering duduk di hadapan radio, mendengar keindahan bacaan-bacaan al-Quran. Amat jelas pada lekuk-lekuk wajahmu yang mulia, tanda-tanda mendalamnya ertimu terhadap makna yang tersurat lagi tersirat kalimah al-Quran itu, dengan hatimu yang agung dan perasaan halusmu yang merenung.”
[ms 5, at-Taswir al-Fanni fi al-Quran, Dar ash-Shurooq, tanpa tarikh].

Mematangkan Anak
Sayyid adalah anak sulung lelaki beliau di samping anak-anaknya yang lain iaitu Aminah, Hamidah dan Muhammad. Wanita berjiwa besar ini telah membesarkan anaknya, Sayyid, dengan penuh ketelitian. Pada diri anaknya Sayyid beliau letakkan segala harapan, lantas anaknya ini dibesarkan dengan iman, kemuliaan dan latihan pendedahan memikul tanggungjawab. Malah bonda Sayyid Qutb mahukan anaknya ini menjadi dewasa lebih awal dari masa biasanya. Sayyid sentiasa ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga beliau acapkali menjauhkan diri dari suasana kebudak-kebudakan yang mengiringi zaman kanak-kanaknya.

Sesungguhnya bonda Sayyid Qutb telah menggabungkan dua unsur penting yang membina keperibadian mujahid dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih sayang dan kemanjaan seorang ibu kepada anak, tetapi kasih sayang itu disiram dengan keakraban al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang membinasakan proses pembinaan syakhsiah jati diri anaknya kerana di dalam kemanjaan itu, bonda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar sebagai seorang yang berjiwa tinggi.

Bonda Sayyid Qutb kembali ke rahmatullah pada tahun 1940. Kematiannya memberikan impak yang amat besar kepada Sayyid Qutb. Ia dibayangkan menerusi ungkapan beliau di dalam tulisannya al-Atyaaf al-Arba’ah ms. 168 [oleh Sayyid Qutb dan adik beradiknya, terbitan Beirut 1967M tanpa nama penerbit]:

“Bonda..

Siapakah selepas ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku, seakan-akan ia suatu peristiwa yang baru semalam berlaku? Siapakah lagi yang akan membayangkan kepadaku zaman muda untuk dibawa kembali bayangannya kepada kehidupan dan diundang semula kepada alam wujud ini buat kali yang seterusnya?

Engkau telah memberikan gambaran terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa semenjak aku masih di dalam dodoian buaian kehidupan. Kau sering hikayatkan kepada diriku tentang impianmu yang lahir dengan kelahiranku, yang merangkak-rangkak terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia. Ia telah tergalas di atas diriku sebagai suatu tanggungjawab yang besar dan semua ini adalah dari tatih impianmu terhadapku dan ‘wahyu’ bisikan hatimu. Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam hatiku..?.”


Amat benarlah bagai yang dikata pepatah: “tangan yang mengayun buaian itu bisa menggoncang dunia”. Sentuhan tarbiah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid seperti Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa pejuang Islam, di sepanjang zaman…

- Diolah semula dari kitab Sayyid Qutb: Min al-Meelaad ilaa al-Istisyhaad karangan Solah Abdul Fattah al-Khalidi [Darul Qalam, Damascus, 1994M]

http://saifulislam.com/

Alkisah seorang pendekar



Tuan Ibrahim Tuan Man, 02 Jul 2013
Seorang pendekar yatim piatu baru mengetahui cerita sebenar mengenai kematian ibubapanya.

Sejak itu, hidupnya tidak tenteram kerana hatinya membara dengan kebencian dan niat untuk membalas dendam.

Kerana api kebencian, pendekar menguatkan ilmu silatnya sehingga menjadi pendekar terbaik di nusantara. Kini dia bersedia untuk membalas dendam untuk ibubapanya.

Sebelum bertolak, pendekar berjumpa Tok Guru Zainal di Gunung Puncak.

“Selepas membunuh pakcik (orang yang menyebakan kematian ibubapa pendekar), apa yang akan berlaku?” tanya Tok Guru Zainal.

Pendekar mendiamkan diri, kerana dia tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Wahai anakku, jangan ingat kamu akan berasa puas dan gembira selepas membalas dendam. Sebenarnya tidak. Selepas itu, kamu hidup dalam kebimbangan, kerana anak-anak pakcik kamu akan mencarimu untuk membalas dendam.

Wahai anakku, selepas kematianmu, anak-anak kamu pula akan mencari anak-anak mereka untuk membalas dendam. Dan berulanglah perkara ini sehingga bergenerasi akan datang. Apakah kamu akan puas dan gembira melihat anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitmu hidup dalam kebencian?” tanya TG Zainal lagi.

Pendekar terdiam lagi, tapi niat membalas dendam masih membara.

“Kebencian tidak boleh diselesaikan kebencian. Kebencian bukanlah jawapan kepada kebencian yang satu lagi. Jawapan kepada kebencian ialah kemaafan. Wahai anakku, tidak cukup mu hidup sengsara untuk 10 tahun kebelakangan ini selepas mengetahui kematian ibubapamu? Tidak cukupkah bagimu melihat anak-anak dan isterimu sengsara dalam api kebencian yang menyemarak di dalam hatimu.

Wahai anakku, fikirkan kembali zaman mudamu yang gembira waktu kamu masih tidak mengetahui kematian ibubapamu. Betapa gembira dan bahagianya hidupmu. Apakah berbaloi untuk meneruskan kebencian ini dan menggadaikan segala ini untuk meneruskan kebencianmu?

Wahai anakku, fikirkan juga. Jikalau kamu tidak ingin melihat anak-anakmu hidup dalam kebencian, apakah ibubapamu rela melihatmu hidup dalam api membalas dendam. Yang diharapkan ibubapamu padamu ialah melihat kamu hidup bahagia dengan mendapat keredhaan Allah daripada terjerumus dalam bisikan syaitan yang suka membuat sarang pada hati dan minda yang penuh kebencian.

Wahai anakku, turunlah dari gunung ini jika kata-kataku tidak dapat menginsafkanmu. Tapi ingat, jangan naik balik ke gunung ini mencariku setelah kamu membalas dendam, kerana dendam akan balik mencarimu, dan aku tidak rela gunung ini dijerebui dendam yang mencarimu. Nak balas dendam, engkau perlu berjalan beribu batu menumpaskan beribu orang, nak memaafkan orang, engkau hanya perlu menggugurkan batu dari hatimu. Wahai anakku, sudah tentu engkau tahu yang mana lebih mudah dan membahagiakan. Tapi awasilah egomu dan racun dendam di hatimu yang barangkali sedang melanggar akal fikiranmu dan jiwamu kerana bisikan syaitan yang enggan membebaskanmu dan meringankan hidupmu,” kata TG Zainal lagi.

Pendekar mengangkat kepalanya, matanya merah bergenang air. TG Zainal terus memeluknya.

“Terima kasih kerana menyelamatkan aku, Tok Guruku. Kebencianku ditawarkan dengan kesayangan Tok Guru. Betullah kebencian tidak boleh dipadamkan dengan kebencian, tapi dengan kemaafan dan kasih sayang,” kata pendekar.

Isi tersirat ada, tapi hanya pada mereka yang sudi menerimanya sahaja.

Senyum.

Isnin, 1 Julai 2013

Mesir: Apabila sekular tergugat


Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, 01 Jul 2013
Mesir dicemburui oleh musuh-musuhnya bukan kerana Ahram atau Sungai Nil, tidak juga kerana kehebatan binaan Piramid atau keindahan puncak Tursina. Mesir dicemburui kerana al-Azhar. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia. Lahirnya di situ bukan seorang dua ulama bahkan ribuan kalaupun bukan jutaan murabbi ummah yang bertebaran ke seluruh dunia. Bangunnya al-Azhar kerana sumber wakaf tanpa bantuan dari dana kerajaan cukup menggelisahkan musuh-musuh Islam. Justeru, kehebatan ini wajib dihancurkan.

Hari ini, Mesir berdepan dengan satu lagi krisis ciptaan golongan sekular yang enggan mengaku kalah di gelanggang demokrasi. Demokrasi ialah ciptaan Barat, ia bukan ciptaan Islam, tetapi nilai-nilai demokrasi diterima dan diiktiraf sebahagiannya oleh Islam. Sayangnya, apabila tiba saat rakyat membuat pilihan menolak pemimpin yang pro-Barat, pada masa itulah demokrasi dinafikan dan sekular akan mengeluarkan pedangnya yang sebenar untuk memancung demokrasi.

Di Mesir, Mursi menang melalui pilihan raya yang bersih. Tanpa penipuan dakwat kekal, tanpa blackout dan tanpa senarai pengundi yang diragui, Mursi ditabalkan menjadi Presiden sekalipun disambut sinis oleh Israel yang bimbang pengaruhnya terhakis. Namun, kerana sekular menjarah begitu lama di bumi anbia ini, bukan satu kerja yang senang untuk membebaskan Mesir dan belenggu sekular. Inilah masalah sebenar Mursi, iaitu membebaskan Mesir dari perhambaan sekular yang sudah berdekad-dekad memenjara rakyat Mesir.

Ini bukan sejarah baru di Mesir, bahkan ia telah berlaku ribuan tahun yang lampau pada saat Nabi Musa alaihissalam mahu membebaskan Bani Israel dari kezaliman Firaun. Mereka dibantu oleh mukjizat yang tidak kecil daripada Allah SWT. Baca sahaja di dalam al-Quran, kita akan dapati peristiwa laut terbelah, tongkat yang menjadi ular, batu mengeluarkan air, turunnya makanan dan minuman dari langit dan banyak lagi peristiwa besar yang berlaku sepanjang dakwah Nabi Musa alaihissalam. Namun, al-Quran merakamkan perangai Bani Israel yang seringkali enggan untuk berubah. Degil dan keras kepala ialah lambang Bani Israel yang digambarkan di dalam al-Quran.

Warisan sikap Bani Israel wujud di Mesir sekarang. Sekalipun sebahagian besar rakyat Mesir kelihatan menyokong Mursi, namun anak cucu Bani Israel yang mewarisi perangai datuk nenek mereka tetap melakukan kekacauan di bumi anbia. Inilah natijahnya apabila sekular dijadikan kiblat, apabila demokrasi yang bersih menghadiahkan trofi kemenangan kepada musuh politik mereka, mereka tidak akan berdiam diri. Ini juga yang berlaku di Turki dan Gaza.

Di Malaysia, saudara mara sekular juga nampak berminat mengikut langkah yang sama. Kekalahan di dalam pilihan raya membawa kepada dasar penindasan dan penafian hak. Ditubuhkan kerajaan di dalam kerajaan, dinafikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan dinafikan hak ke atas hasil mahsul bumi merupakan buah-buah yang lahir dari pohon-pohon sekular yang tidak kenal sempadan dosa dan pahala.

Untuk Mesir ini, kita sama-sama menadah tangan supaya pemimpin yang bersendikan Islam sebagai akidah perjuangan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Gunakanlah peluang pada bulan Ramadhan untuk merayu dan merintih kepada Allah SWT. Dialah Pemilik kepada segala kerajaan.

Ahad, 30 Jun 2013

Ibnu Hasyim: Kemenangan Pasukan B/Sepak K'tan Begini, Hasil Ta...

Ibnu Hasyim: Kemenangan Pasukan B/Sepak K'tan Begini, Hasil Ta...: SUKAN: Alhamdulillah.. hasil tarbiah berterusan dari Tok Guru. Sejuk hati Tok Guru tengok anok-anok Kelate gini... (IH/Addin)

GST: Kerajaan BN cuma tangguh sahaja?


 
ULASAN Keikhlasan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah dalam memberi jawapan di Parlimen pada 27hb Jun 2013 berkenaan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST amat dicurigai.

Majoriti rakyat tidak mahu GST dilaksanakan tetapi Husni disyaki bersikap tidak jujur dalam jawapan Parlimen beliau.

Husni memaklumkan Dewan Rakyat bahawa:

"Kerajaan sekarang sedang melaksanakan kajian mengenai GST yang mana ianya berdasarkan kepada keadaan ekonomi dan harga semasa. Kajian sebelum ini yang telah dibuat pada tahun 2009, adalah berdasarkan kepada keadaan ekonomi dan harga pada masa tersebut.

"Oleh kerana terdapatnya perubahan kepada keadaan ekonomi dan perubahan harga, maka kajian semula perlu dijalankan. Sehubungan dengan itu, kerajaan belum menetapkan lagi bila GST akan dilaksanakan."

Dua masalah besar timbul dari jawapan beliau tersebut.

Pertama, jawapan Husni ini boleh dibaca sebagai tanda kerajaan hanya menangguhkan sementara pelaksanaan GST. Ini bererti GST boleh dilaksanakan pada bila-bila masa difikirkan perlu oleh Kerajaan BN.

Penerima BR1M terjejas
Kerajaan perlu ingat bahawa ia akan membangkitkan kemarahan rakyat jika GST dilaksanakan. Kita semua tahu bahawa melalui bayaran BR1M sebelum ini, kerajaan memaklumkan bahawa 60 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan tidak melebihi RM 3,000 sebulan.

Ini bermakna 60 peratus rakyat Malaysia berpendapatan rendah. Hujah kononnya barangan rakyat berpendapatan rendah dikenakan kadar sifar GST adalah tidak realistik.

Walaupun barangan kadar sifar GST, golongan berpendapatan rendah - golongan 60 peratus penerima BR1M - akan dikenakan GST untuk barangan dan perkhidmatan lain.

Pelaksanaan GST tentu akan menyebabkan taraf kehidupan golongan 60 peratus ini terjejas kerana mereka yang selama ini tidak dikenakan cukai pendapatan akan terpaksa membayar cukai melalui GST.

Justeru, pendapatan boleh guna golongan ini akan berkurangan akibat kutipan GST. Apabila pendapatan boleh guna golongan 60 peratus ini terancam ia bermakna pertumbuhan ekonomi kita akan terjejas.

Ini kerana, dalam keadaan eksport kita yang menurun, perbelanjaan dan penggunaan tempatan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Jadi jika kerajaan tetap mahu melaksanakan GST, ia bererti bukan sahaja kerajaan akan menambah derita golongan berpendapatan rendah, ia juga akan membebankan kerajaan sendiri kerana ia memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Kedua, jawapan Parlimen Husni yang mengatakan bahawa kajian GST hanya dilakukan pada tahun 2009 juga tidak benar.

Atas nama 'panel kajian'
Atas nama "Panel Kajian Semula Cukai (GST)", sejumlah RM22 juta diperuntukkan pada tahun 2010, RM13 juta pada tahun 2011, RM11 juta pada tahun 2012 dan RM5 juta pada tahun 2013, iaitu jumlahnya RM51 juta dalam empat tahun, digunakan dalam belanjawan sejak 2010 untuk kajian pelakasanaan GST.

Pada tahun 2013, satu perkara perbelanjaan bertajuk "Perluasan Dasar Cukai" (Kod 100600) yang bernilai RM 50 juta juga disyaki ada kena-mengena dengan pelaksanaan GST.

Sehubungan itu, saya menggesa menteri Kewangan supaya:

(1) Mengumumkan hasil kajian panel tersebut sejak 2009; kerana kami Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia tidak mahu lagi Kerajaan merahsiakan kajian GST kerana ia melibatkan kesejahteraan rakyat terbanyak;

(2) Mengumumkan pihak konsultan yang terpilih untuk menjalankan kajian tersebut kerana ini juga perlu diketahui oleh rakyat Malaysia;

(3) Memberi penjelasan lanjut sama jawapan Parlimen dari Husni hanya bertujuan menyembunyikan hasrat Kerajaan untuk melaksanakan GST atau tidak;

Dan kalau jika kerajaan BN benar-benar mahu melaksanakan GST, satu jawatankuasa pilihan Parlimen yang merangkumi ahli-ahli parlimen dari kedua-dua pihak - BN dan Pakatan - perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan meneliti pandangan rakyat Malaysia.


LIEW CHIN TONG pengarah pendidikan politik DAP dan ahli Parlimen Kluang.

Sabtu, 29 Jun 2013

Pencemaran merentasi sempadan



 
ULASAN Rakyat Malaysia dan Singapura dihidangkan dengan jerebu tebal yang berasal dari pembakaran terbuka hutan di Indonesia.

Kita telah menyaksikan bahawa indeks pencemaran udara telah melepasi tahap sangat bahaya. Kehidupan harian terjejas dengan penutupan sekolah dan institusi lain.

Malah, ia juga telah memberikan sedikit ketegangan hubungan antara negara terbabit. Syukur kita ucapkan, di sebalik banyak rungutan, pemimpin dan rakyat negara kita masih lagi boleh bersabar dan berfikiran rasional.
NONEIni bukanlah kali pertama krisis jerebu berlaku di rantau Asia Tenggara. Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, kita boleh menjangkakan bahawa krisis pencemaran merentas sempadan ini akan terus berlaku di masa hadapan.

Sejarah membuktikan bahawa banyak krisis merentas sempadan telah direkodkan dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk menyelesaikannya.

Seharusnya kita menyediakan payung sebelum hujan, bukan sudah terhantuk baru terngadah.

Artikel ini tidak bertujuan untuk menuding mana-mana pihak yang bersalah, tetapi untuk membawa pembaca memikirkan dan mengambil peduli era baru pencemaran merentas sempadan ini.

Impak pada dunia
Sejak zaman perindustrian, berbagai bentuk pencemaran direkodkan. Pencemaran udara, air, radioaktif, tumpahan minyak, bahan kimia berbahaya, hujan asid dan berbagai lagi.

Penyebaran pencemaran melalui udara sangat cepat dan susah untuk dikawal. Ia memerlukan tindakan pantas pihak yang berkaitan.

Sekiranya ia hanya melibatkan jerebu, mungkin rakyat masih boleh bertahan untuk satu jangka waktu. Tetapi, sebagai contoh sekiranya ia melibatkan pencemaran radioaktif, sudah tentulah ia akan membawa musibah yang besar.
azlanPada abad ke-13, King Edward I menjatuhkan hukuman keras terhadap penduduk kota London yang melakukan pembakaran terbuka arang batu. Revolusi industri telah memburukkan lagi keadaan.

Pada tahun 1952, pencemaran dari kilang dan rumah telah bercampur dengan pengewapan udara sehingga membunuh 4,000 penduduk London hanya dalam beberapa hari sahaja.
Sebagai contoh yang lain, Greenpeace melaporkan bahawa 70 peratus dari sungai dan tasik di China telah dicemar oleh bahan buangan industri.

Ini memaksa lebih dari 300 juta penduduknya menggunakan sumber air yang tercemar. Bayangkan sekiranya pencemaran tersebut merentas sempadan, sudah tentu ia memberikan impak yang lebih besar terhadap masyarakat dunia.

Mangsa kealpaan

Sementara itu, kita tentu masih ingat tragedi tumpahan minyak Exxon Valdez pada tahun 1989. Sebanyak 11 juta gelen minyak mentah ke laut Alaska. Ia mengakibatkan pencemaran minyak sehingga 3,000 batu persegi, membunuh ribuan burung, ikan dan hidupan liar.
NONELebih tragis lagi bila kita mengenangkan peristiwa kebocoran loji nuklear Chernobyl pada tahun 1986. Kesan radiasi menjangkau sehingga ke langit Sweden sejauh kira-kira 1,100 kilometer.

Sweden mengesan lonjakan bacaan radiasi di ruang udaranya. Setelah yakin bahawa tiada kebocoran loji nuklear di negara mereka, Sweden mendesak Soviet Union sehingga membawa pengumuman rasmi peristiwa tersebut oleh Presiden Mikhail Gorbachev.

Dianggarkan kira-kira 6.6 juta orang terkena radiasi, yang mana 9,000 orang adalah terdedah terhadap radiasi tinggi.
Rentetan peristiwa pencemaran di atas seharusnya menjadi rujukan untuk kita lebih bersedia menghadapi berbagai kemungkinan krisis pencemaran merentas sempadan.

Pelan tindakan bersama harus dirangka kerana jika pencemaran tersebut berskala besar, satu negara tidak mungkin mampu menyelesaikannya sendirian.

Sama ada kita mahu menggunakan pendekatan kehakiman atau musyawarah, sesuatu harus dilakukan bermula saat ini. Kita tidak mahu menjadi mangsa seperti di atas hanya kerana kealpaan kita.

MOHD HANAFI ANI, DR ENG, pembantu professor, Jabatan Pembuatan dan Bahan, Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Jumaat, 28 Jun 2013

TPPA: Jangan sembunyi apa-apa dari rakyat


Anis Nazri, 28 Jun 2013

(Penal dalam forum Trans Pacific Partnership Agreement - TPPA)


KUALA LUMPUR: Meskipun perincian berkaitan Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) masih belum diperhalusi dari sudut kebaikan dan kesan akan datang kepada negara, kebimbangan rakyat Malaysia terhadap perjanjian itu wajar diredakan dengan maklumat secukupnya.

Lebih-lebih lagi, apabila terdapat dakwaan yang mengatakan ada beberapa terma di dalam TPPA itu diambil dari North American Free Trade Agreement (NAFTA) yang telah ditandatangani sebelum ini.

Pakar Ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaakob (gambar) berkata NAFTA yang telah dimeterai perjanjiannya pada 1994 sebelum ini, sudahpun memberikan kesan yang dibimbangi akan berulang apabila termeterai TPPA yang dijangka dilakukan pada Oktober 2013, di Kota Kinabalu, Sabah.

"Kita tidak tahu apa yang ada dalam TPPA ini dan kesannya, tetapi TPPA ini asasnya dari NAFTA. Kita tidak boleh kata ini kesan TPPA, sebab tak tahu tapi kita boleh anggap sebagai 'kesan bayangan' apabila melihat kesan dari NAFTA itu sendiri," kata beliau pada satu forum berkaitan TPPA, di Dewan Perhimpunan Cina, malam tadi.

Menurut bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia itu, jika melihat Perkara 11 dalam NAFTA iaitu 'investor-state dispute settlement' (ISDS), ia memperlihatkan satu peruntukan yang menyebelahi pelabur semata-mata.

Peruntukan itu, jelas Dr. Rosli banyak memberi kelebihan kepada pelabur apabila berlaku sebarang pertikaian antara syarikat pelabur dengan negara yang memeterai NAFTA.

Sebagai contoh, katanya pernah berlaku pertikaian antara Kanada dengan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat (AS) yang mengimport air dari sebuah tasik di Kanada, dan menyebabkan kerosakan eko sistem tasik tersebut.

Kes tersebut, katanya dibawa ke mahkamah di peringkat antarabangsa apabila Kanada bertindak melarang syarikat dari AS itu meneruskan import air tersebut dan kemudiannya Kanada disaman sebanyak RM105 juta.

"Ini yang berlaku, negara yang rosak eko sistemnya kerana perbuatan syarikat pelabur disaman. Yang merosakkan terlepas.  Begitu juga dengan beberapa kes antara Kanada dan syarikat dari AS juga yang mengimport gas gasolin, yang mana Kanada disaman RM201 bilion.  Jadi, kita bimbang perkara sebegini akan berulang apabila TPPA dipersetujui kelak," tegas beliau.

Isu berkaitan TPPA ini timbul apabila sebahagian besar rakyat Malaysia tidak tahu-menahu berhubung TPPA ini, sebelum lima perkara antara 29 perkara dalam TPPA itu dibocorkan baru-baru ini.

Beberapa NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) membantah rundingan yang dilakukan secara rahsia antara wakil Malaysia melalui MITI dengan AS kerana beranggapan rakyat Malaysia perlu dimaklumkan berkenaan kebaikan dan kesan dari TPPA itu.

Difahamkan, antara lima perkara dalam TPPA yang terbocor itu, salah satunya berkaitan dengan ubat-ubatan generik yang akan dipatenkan yang menyebabkan kelewatan kemasukan ubat-ubatan generik dengan harga berpatutan dalam pasaran Malaysia.

Jika peruntukan ini dipersetujui, rakyat Malaysia dikatakan akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk ubat-ubatan untuk jangka masa yang lebih lama.

Sementara itu, moderator forum tersebut, Anas Alam Faizli, berkata forum bertajuk 'Adakah TPPA Bentuk Penjajahan Moden Amerika?' itu diadakan bagi memupuk kesedaran awam mengenai isu TPPA yang bakal memberi kesan besar kepada negara, selain mendesak kerajaan untuk memberikan lebih 'disclosure' mengenai isu kandungan perjanjian TPPA.

Beliau turut mencadangkan penubuhkan gabungan bertindak terdiri daripada NGO-NGO untuk membawa isu-isu TPPA, di samping mendesak kelulusan perjanjian TPPA dibuat bukan di kabinet tetapi melalui penelitian Parlimen atau Jawatankuasa Khas Parlimen.

Forum anjuran Blindspot bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Ikram dan beberapa NGO lain turut membariskan Pakar Perdagangan, Universiti Malaya, Prof Dr. Nazari Ismail; dan Pakar Undang-undang Kesihatan, Fifa Rahman.