Sabtu, 15 Jun 2013

Umno akan jual bangsa Melayu untuk kekal kuasa


Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 15 Jun 2013

Hanya orang UMNO sahaja yang boleh memegang dua fikiran yang bercanggah pada masa yang sama. Hanya Najib saja yang boleh bercakap mengenai 1Malaysia dan bukan 1Malaysia ketika yang lain. Pada malam keputusan PRU, dengan muka yang bera, dia menyalahkan bangsa Cina kerana tidak menyokong UMNO. Siapa nak sokong parti yang pemimpinnya semua korup dan rasuah?

Hanya UMNO boleh bercakap mengenai perpaduan orang Melayu, tapi mendiskriminasi Melayu yang tidak menyokong mereka. Ketua kampung UMNO (pengerusi JKKK) bercakap besar mengenai menolong orang Melayu, tapi menyekat bantuan kepada Melayu yang tidak menyokong mereka. Hanya pemimpin UMNO yang malas pergi masjid dan surau, tapi menyekat Melayu lain menyemarakkan masjid dan surau.

Hanya pemimpin UMNO sahaja yang bercakap mengenai memberi tanah kepada orang Melayu tapi menyekat pemberian kepada Melayu yang tidak menyokong nya. Di Raub ada ribuan orang Melayu yang hidup atas tanah lebih dari 40 tahun, masih tidak mendapat hakmilik. Pemimpin dan penyokong UMNO mempunyai tanah di serata tempat.

Jadi, kepentingan yang UMNO jaga dan kukuhkan ialah bukan kepentingan Melayu keseluruhan nya tapi kepentingan kelompok dan puak mereka. Maka apa perlu orang Melayu menyokong UMNO?

Yang kita kena sokong ialah penubuhan sebuah kerajaan yang memerintah dengan tegas dan menjaga kepentingan masyarakat keseluruhan nya. Jika Melayu itu sudah majoriti, tidak dapat tidak, kepentingan Melayu lah yang diutamakan. Memahami ini tidak memerlukan ilmu hisab yang tinggi. Hanya orang UMNO sahaja yang menganggap orang Melayu di kampung-kampung bodoh dan hanya pemimpin UMNO sahaja yang menggelarkan orang Melayu lain haramjadah.

Orang UMNO memang tak tahu malu. Lebih ramai orang Melayu menyokong PR dari UMNO, pemimpin UMNO masih tidak faham-faham. Calon-calon UMNO, yang menang dan kalah mendapat 3.2 juta undi. Ada faham? 3.2 juta ini adalah undi keseluruhan kepada semua calon-calon UMNO.

Dari 3.2 juta undi ini, bukan semua yang mengundi terdiri dari orang Melayu. Cina dan India ada juga menyokong UMNO. Sekitar 10%. Ertinya, orang Melayu yang menyokong calon-calon UMNO secara lansung ialah 2.9 juta. Tak tahulah saya hendak ajar kalau tidak faham ilmu hisab mudah ini.

Jumlah ahli UMNO pun lebih banyak dari itu. Jika semua ahli UMNO menyokong calon UMNO dan semua calun BN, 3.2 juta penyokong mesti tidak dapat tidak ada 3.2 juta angka asas. Ahli UMNO pun tidak menyokong UMNO.

Faktanya ialah adalah menjadi kerugian besar jika orang Melayu memilih UMNO untuk menjaga kepentingan mereka. Wakil UMNO pemalas dan penipu. Saya amat senang hati mendedahkan mutu kerja wakil UMNO di Raub misalnya. Tunggulah.

Kerja membalun UMNO ini tidak akan selesai sehingga mereka bukan lagi kerajaan. Selagi UMNO menghalang kejayaan bangsa Melayu, kita mesti bantai mereka. kita tidak boleh terima keangkuhan UMNO mengaku bahawa mereka wakil tunggal kepentingan Melayu. Kepentingan orang Melayu ialah mendapatkan keperkasaan ekonomi dan perkongsian kuasa. Kepentingan ini bertentangan dengan kepentingan feudal UMNO.

Ya , UMNO itu parti bersifat feudal. UMNO distrukturkan supaya sekumpulan kecil yang terpilih menungang di atas belakang rakyat yang diperhamba abdikan. Kepentingan UMNO ialah membolot kekayaan dan memusatkan kuasa dalam tangan elit. Kepentingan bangsa Melayu berlawanan dengan kepentingan UMNO. Pertentangan ini menyebabkan orang Melayu tidak lagi boleh menerima kepimpinan UMNO.

Dalam kawasan yang tidak ditandingi oleh calon UMNO, orang Melayu tetap ada menyokong parti BN. Kita akui ini. Tapi berapa ramai sangatlah orang Melayu yang menyokong mereka. Dari 899,000 undi yang diperolehi oleh calon MCA (menang dan kalah) berapa ramai Melayu yang menyokong mereka? Katalah 20% Melayu menyokong calonn MCA. Baru ada sekitar 180,000 orang. Melayu yang menyokong MIC? 10% dari 292,000 ialah kira-kira-kira 29,000. Melayu yang menyokong PBB di Sarawak? 40% dari 232,000=91,000.

Wal hasil balik asal, jumlah orang Melayu yang menyokong UMNO secara langsung dan tidak langsung (melalui sekutu-sekutu BN) ialah 3.2 juta.  3.2 juta sama jumlahnya dengan jumlah ahli UMNO. Jadi apalah yang hendak dibanggakan oleh UMNO.

Setelah belanja berbilion ringgit dan setelah menyogok dan merasuah orang Melayu terutamanya, dari 2.2 juta undi Melayu dalam tahun 2008, UMNO hanya dapat menambahkan 1 juta sahaja pengundi Melayu.

Ringkasan keputusan PRU13- data terpilih.
PARTI
UNDI(JUTA)
% UNDI
KERUSI
%KERUSI
BARISAN NASIONAL
5.24
47.4
133
59.9
UMNO
3.24
29.32
88
39.64
PUBB
0.23
2.10
14
6.31
MCA
0.89
8.14
7
3.15
PRS(swak)
0.06
0.54
6
2.7
MIC
0.29
2.64
4
1.8
Pakatan Rakyat
5.62
50.88
89
40.09
DAP
1.74
15.71
38
17.12
PKR
2.25
20.39
30
13.5
PAS
1.63
14.77
21
9.46
TOTAL
11.27
100
222
100
Sumber: SPR

Kalau MIC, PBB dan yang lain-lain tinggalkan UMNO, UMNO akan mati. Penyokong UMNO faham signifikans perkara ini tidak? Ini akan menyebabkan Najib akan melakukan apa sahaja untuk menjual harga dirinya untuk memastikan UMNO kekal sebagai kerajaan. Ini termasuklah menggadaikan kepentingan bangsa Melayu. Apa dia peduli? Selagi dia terus kekal jadi PM.

Marilah bangsa Melayu sedar bahawa masa depan mereka bukanlah bergantung pada UMNO. UMNO kojol pun, bangsa Melayu tetap hidup. UMNO perlukan bangsa Melayu, bukan bangsa Melayu perlukan UMNO. - http://sakmongkol.blogspot.com

Tulisan di atas dipetik daripada blog penulis. Beliau ialah Ahli Parlimen Raub.

Pendidikan bukan untuk lahirkan robot pintar


Hazayani Zakaria, 15 Jun 2013
SHAH ALAM: Matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan 'robot pintar' sebaliknya pendidikan berperanan 'memanusiakan manusia'.

Bagi mencapai matlamat ini, pendidikan seharusnya menjadikan cinta sebagai asas kerana cinta diyakini mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk saling memberi.

Seperti mutiara kata dari cendiakawan Hamka, 'Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan'.

Itu antara intipati Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) yang diadakan di Kompleks Karangkraf, dekat sini malam tadi.

Pedagogi merujuk kepada kaedah pengajaran dan TFTN cuba membawakan kaedah pengajaran baru yang berasaskan cinta kerana yakin hanya pendidikan cinta mampu melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kemanusiaan.

Forum malam tadi menampilkan tiga panelis iaitu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, yang juga aktivis masyarakat, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj yang juga pendakwah bebas dan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil yang juga penceramah bebas manakala moderatornya ialah pengarah eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.

Gabungan mantap panelis berpengalaman dan dikenali ramai itu menghidupkan perbincangan seputar pendidikan cinta hampir dua jam beserta sesi soal jawab daripada hadirin.

Panelis turut menekankan, pendidikan cinta mampu menyelesaikan masalah penindasan sesama manusia, meningkatkan tahap keyakinan diri sendiri dan sikap cintakan ilmu pengetahuan.

Ustaz Hasrizal menekankan, sikap ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran akhirnya melahirkan robot yang tiada roh kemanusiaan.

"Apabila kita hilang sifat kemanusiaan kita akan jadi robot, pendidikan cinta adalah untuk memanusia kembali manusia.

"Pedagogi pendidikan cinta bergantung kepada bagaimana kita memandang manusia lain di sekeliling," katanya yang juga dikenali dengan nama Saiful Islam.

Dr Harlina pula menegaskan, pendidikan bukan hanya bergantung kepada berapa 'A' yang diperoleh dalam peperiksaan tetapi harus menekankan lima aspek iaitu akidah, akhlak, aqliah, jasmaniah dan insaniah.

Pendidik pula katanya, harus mempunyai sifat ikhlas mengajar untuk belajar, bukan sekadar untuk memberitahu.

"Guru yang bagus ialah guru yang mampu mencetuskan inspirasi kepada pelajar-pelajarnya.

"Guru yang bersemangat mengajar sebenarnya punyai sifat ingin belajar dan sebenarnya dia lebih banyak belajar sewaktu dia mengajar," katanya.

Dr Maszlee pula berpandangan, pendidikan hari ini terlalu dikomersilkan sehingga melahirkan pelajar yang meminta-minta pekerjaan.

"Sistem pendidikan sekarang yang dirosakkan oleh politik dan komersil melemahkan pelajar sehingga melahirkan graduan yang meminta-minta pekerjaan, bukan mencipta peluang pekerjaan," katanya.

Jumaat, 14 Jun 2013

Madain Saleh.


Madain Saleh (Al-Hijr) tarikh kembali ke Tamadun Nabatea yang dianggap sebagai salah satu tapak arkeologi yang penting di Arab Saudi yang dipanggil "Modal Monumen" kerana ia mengandungi sejumlah besar tugu-tugu yang pelbagai dan pelbagai aspek.

Inskripsi terukir pada batu, facades kubur dan gunung kepada kewujudan tamadun yang telah wujud dan jatuh di kawasan di mana seni bina dan ukiran berkembang. Setiap aspek kubur merupakan tanah perkuburan untuk satu keluarga.

Tahap ini kubur berbeza-beza bergantung kepada tahap status sosial dan kewangan pemiliknya. Oleh kerana iklim yang betul dan keadaan semula jadi di adaptasi kepada adanya air tawar di kawasan itu, orang menetap di sana.

Kerajaan Nabatea dengan modal Petra di Jordan berkembang menguasai Madain Saleh, yang sampai dalam tempoh itu, puncak peradaban dan tamadun. Mereka adakan dalam ukiran batu, penggerudian telaga di batu-batu, menggali tangki air hujan dan ukiran tempat-tempat ibadat di batu. 


Kajian menunjukkan bahawa Madain Saleh ditadbir oleh orang Nabatea, maka oleh orang Romania yang menguasai Semenanjung Arab utara pada 106 Masihi dan menukar laluan perdagangan di antara selatan dan utara Semenanjung Arab ke Laut Merah, yang membuat Madain Saleh kehilangan kepentingan strategik dalam segi perdagangan dan cukai dikutip dari konvoi transit.

Ia hilang status secara beransur-ansur sehingga ia menjadi sebuah stesen semata-mata untuk jemaah, menyediakan mereka dengan air dan makanan. Abbasiyyah membina istana di jalan raya Haji Shami termasuk Madain Saleh di Istana Al-Hijr, yang masih ada.

Kemudian, Negeri Uthmaniyyah dilanjutkan Keretapi Hijaz untuk pengangkutan jemaah dari Levant, Turki dan Palestin ke Makkah dan membina stesen utama di Madain Saleh termasuk rumah, bengkel untuk penyelenggaraan lokomotif, pejabat dan asrama untuk kakitangan dan tangki air. Selepas itu, Al-Hijr diperintah oleh Al-Sharaf untuk tempoh yang singkat.


Kemudian, bersama-sama dengan Al-Ula tertakluk kepada rejim Saudi pada tahun 1924 di bawah pemerintahan Raja Abdul Aziz Al-Saud. Nama "Madain Saleh" adalah agak baru dan tidak ada kena mengena dengan Nabi Saleh (saw), nama "Madain Saleh" telah diberikan kepada kawasan Al-Hijr hampir 1400 tahun yang lalu. Ibn Nasser Addin Muhammad ibn Abdullah dipetik Abu Kassim Mohammed Saleh Alborzali yang Madain Saleh yang terletak berhampiran Al-Ula pada Shami haji jalan raya adalah sebuah bandar dan Saleh Islam yang ia dikaitkan adalah salah satu Beni Abbas ibn Abdul Motalib.

Jadi ramai orang kemudian berpendapat bahawa nama itu milik Nabi Saleh (saw) yang telah dihantar kepada rakyat Thamud. Sheikh Hamad Aljasser (Semoga Allah memberi rahmat kepadanya), mempunyai satu artikel yang diterbitkan dalam Majalah Arab di bawah tajuk "Al-Hijr tidak Madain Saleh". Di samping itu, beberapa peta lama menentukan lokasi bandar Saleh yang lain Al-Ula, berhampiran Moghira atau Village Al-Mabiat dengan merujuk kepada lokasi Al-Ula dan Al-Hijr pada peta yang sama.

Bila diharuskan memperkatakan keburukan orang lain?


Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 14 Jun 2013
Soalan

Saya khilaf tentang satu perkara. Dewasa ini banyak fitnah kerana perbezaan fahaman politik. Ada kawan saya mengatakan ketua A itu peminum arak dan kafir. Apabila saya katakan tidak mahu mendengar kerana takutkan itu fitnah, beliau mengatakan kepada saya, menurut ustaz beliau, politik adalah hak bersama. Semua orang perlu tahu tidak kisahlah sama ada ia betul atau tidak. Tetapi bukankah menyebarkan berita yang buruk tentang seseorang apatah lagi diragui kesahihannya adalah mendatangkan fitnah? Harap ustaz dapat berikan saya penerangan.

Jawapan;

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya - tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya.

Dalam Sahih Muslim, terdapat hadis daripada Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan Rasul-Nya lah yang paling tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya Nabi; "Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya." (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

i. Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, kadi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

ii. Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

iii. Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

iv. Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

v. Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

vi. Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana mempunyai tujuan yang diharuskan syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.

3. Oleh sebab hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

i. Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

ii. Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

iii. Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

iv. Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.

http://ilmudanulamak.blogspot.com

Minta IKIM siasat

Minta IKIM siasat

Shazmin Suleiman,
Saya membaca artikel Dr Abdul Basit yang bertajuk “Sya’ban: antara hadis sahih, dhaif dan palsu”. Bagi saya penjelasan beliau sangat bermanafaat khususnya dalam suasana ramai pihak yang semakin ramai mencari agama.

Selain itu, saya cuba-cuba mencari lain-lain bacaan tambahan dalam internet, lantas menaip “kelebihan bulan syaaban” melalui google search – maka terteralah pelbagai laman web termasuklah “Fadhilat Bulan Syaaban – IKIM”.

Oleh sebab laman web itu datangnya dari www.ikim.gov.my, saya terus klik kepada pautan tersebut untuk membaca lebih lanjut. Namun selepas membaca separuh daripada artikel tersebut, segala yang dinyatakan oleh Dr Badul basit tentang hadis palsu memang ada ditulis dalam artikel ini. Saya menghabiskan bacaan saya dan timbul kemusyikalan, adakah pihak IKIM terlepas pandang semasa memuatnaik artikel ini? Adakah pegawai yang bertugas tidak membuat semakan atau pegawai tersebut bukan ahli agama? Atau adakah artikel ini tidak ada kena-mengena dengan IKIM.

Seperti yang tertera, artikel tersebut ditulis oleh Khairul Azhar Bin Idris. Namun saya tidak menemui tarikh dimuatnaik dan lain-lain maklumat termasuk maklumat penulis. Pembaca boleh menyemaknya melalui alamat di bawah.

Saya berharap pihak IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dapat menyemak kembali dan membetulkan keadaan. Hal ini kerana IKIM sebagai sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab memberikan kefahaman kepada umat Islam perlu lebih berhati-hati – jika benarlah artikel itu dimuatnaik melalui laman web mereka.

Saya juga menyeru kepada para pembaca melihat kandungan kedua-dua artikel ini sebelum membuat sebarang ulasan agar tidak tersasar dalam memberikan komen.

Artikel IKIM boleh dilihat melalui pautan ini;

http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7123-fadhilat-bulan-syaaban

Pakatan perintah jika menang 25 petisyen

Pakatan perintah jika menang 25 petisyen