Jumaat, 7 Jun 2013

Sultan Muhammad Al-Fateh

PENGENALAN

Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

”Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.

Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.

ZAMAN KECIL

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian.

Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.

ZAMAN REMAJA

Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.ZAMAN

DEWASA

Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.

Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:

“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.


MEMBUKA KONSTANTINOPLE

Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji.

Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh.Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.

Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat.

Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa.Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”

Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!

Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium. Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.

JUMAAT BERSEJARAH

Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fadhu.

Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”Sebahagian daripada tenteranya duduk.“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?

AKHIR HAYAT

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Wallahu a’lam.

IniKalilah™: Sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh

IniKalilah™: Sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh: PENGENALAN Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pej...

Jangan pisahkan Trio Kepimpinan ini


-, 06 Jun 2013


1. Tiada dikotomi antara ulama', profesional dan aktivis dalam PAS. Ini penegasan saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Malah ini juga konsensus kami seluruh saf kepimpinan Jawatan Kuasa Harian, EXCO dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia. Sebarang usaha memisahkannya adalah kerja jahat musuh luar atau dalam yang mahu merosakkan reputasi PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di negara ini.

2. Ulama' memerlukan Profesional dan Aktivis bagi memacu perjuangan suci ini ke mercu jaya. Sebagaimana Profesional memerlukan Ulama' untuk terus memimpin dan mentarbiyah serta memandu arah bahtera perjuangan ini. Demikian jua Ulama' dan Profesional tidak boleh meminggirkan para Aktivis PAS untuk melaksanakan tugas - tugas besar perjuangan ini agar ia dipikul bersama dan menempa kejayaan dengan gemilang.

3. Kepimpinan Ulama' bukan istilah atau slogan juga bukan konsep untuk mewujudkan dikotomi sekaligus memisahkan Trio Kepimpinan PAS yang berlangsung sejak dulu. Sebaliknya Kepimpinan Ulama' adalah konsep sebuah Kepimpinan "Ilmu" dan "pendokongnya yang berilmu" menepati kehendak Islam untuk memimpin perjuangan atau parti ini dengan benar dan pula menepati Manhaj Perjuangan Islam. Bukan konsep kepimpinan yang memisahkan semua unsur baik dan positif bagi memperkukuhkan jamaah.

4. Semua pihak mesti menginsafi keperluan Trio Kepimpinan ini. Ulama', Profesional dan Aktivis mesti saling kukuh mengukuh bukan runtuh meruntuh, saling bina membina bukan saling hina menghina dan saling bentuk membentuk bukan saling kutuk mengutuk. Justeru semua segmen mempunyai kekurangan tersendiri yang mesti diakui sebagaimana semua segmen itu juga mempunyai kelebihan tersendiri yang mesti dihormati.

5. Apabila kesilapan atau kepincangan berlaku, maka ia adalah mewakili individu tersebut bukan ulama' atau profesional atau aktivis. Jangan rosakkan institusi Ulama', Profesional dan Aktivis yang merupakan institusi penting untuk kekal dan wujud dalam bahtera perjuangan ini. Sebagai contoh, apabila seorang guru melakukan perbuatan mungkar seperti zina maka kita tidak boleh menghukum Guru adalah Penzina sebaliknya individu tersebutlah penzina. Demikian juga dalam hal ini.

6. Kepimpinan Ulama' yang diperjuangkan dan diasaskan sejak 1982 yang lalu dan menjadi Konsep Kepimpinan yang sangat berjaya menjulang PAS sebagai sebuah Gerakan Islam Kontemporary yang disegani dari dalam dan luar negara akan terus dipertahankan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan gandingan seimbang serta sepadu antara Ulama', Profesional dan Aktivis.

7. PAS adalah sebuah gerakan yang memperjuangkan Islam agar cara dan gaya hidupnya dapat direalisasikan dalam masyarakat negara kita. Justeru itu, pemimpin dan anggotanya mesti berilmu bagi memastikan dasar dan matlamat perjuangan dapat didokong serta dilaksanakan dengan baik. Berilmu bukan sahaja kewajipan pemimpin dan anggota PAS malah ia adalah kewajipan asas seorang muslim justeru Islam menentang dan memusuhi kejahilan.

8. Mana - mana individu atau pihak yang meletakkan diri mereka bertentangan dengan dasar dan matlamat perjuangan Islam yang didokong oleh PAS, hendaklah diluruskan agar ia kembali melandasi matlamat dan dasar perjuangan yang betul. Ulama' kah ia, Profesional kah ia atau Aktivis kah ia , itu bukan persoalannya. Persoalannya sikap individu yang memesong diri dari dasar, matlamat, ilmu, amal, adab dan akhlak perjuangan Islam mesti diluruskan. Sementara kebiadaban dan kedegilan mempertahankan sikap yang salah itu pula mesti ditentang.

9. Islam adalah agama hikmah. Islam adalah agama yang maha luas dan kaya dengan pendekatan yang hebat dan menarik menepati zaman dan tempat. Maka pendokongnya juga mesti berhikmah dan berpandangan luas serta hebat seiring dengan kehebatan Islam dalam melayan karenah zaman, tempat dan seluruh warganya.

10. Kepimpinan Ulama' adalah antara hikmah yang dipamerkan oleh PAS yang menggandingkan semua segmen [Ulama', Profesional dan Aktivis secara seimbang dan sepadu]. Gandingan ini pula melahirkan sebuah kehebatan bagi meletakkan PAS mampu bersaing dipentas politik moden pada hari ini. Lantaran itu, usah tolak Kepimpinan Ulama' sebaliknya tolak individu atau mereka yang merosakkan jamaah, mereka yang membocorkan rahsia jamaah, mereka yang menikam jamaah dari belakang, mereka yang menabur fitnah dan tohmahan dalam jamaah, mereka yang melaga - lagakan pemimpin dan 1001 salah laku yang mesti diaudit dengan teliti terlebih dahulu sebelum memuktamadkan tindakan .

Ringkas Pengalaman Saya

a] Zaman Datuk Mahfuz Omar menjadi Ketua DPPP dan Sdr Yb Salahudin Ayub menjadi Timbalan Ketua DPPP, pada waktu itu saya adalah EXCO DPPP dan saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa rebah dan tegak.

b] Zaman Yb Salahudin Ayub menjadi Ketua DPPP sementara Ust Idris Ahmad menjadi Timbalan Ketua DPPP bergandingan dengan Sdr Mazlan Aliman sebagai naib Ketua DPPP dan kemudiannya saya menjadi Timbalan Ketua DPPP. Saya menyokong dan mendokong kepimpinan beliau masa jatuh dan bangun.

c] Dua penggal kepimpinan Datuk Mahfuz dan tiga penggal kepimpinan Yb Salahudin Ayub [10 tahun] saya bekerja di bawah mereka dan saya selesa bersama mereka tanpa mencetuskan polemik kepimpinan ulamak.

d] Kini saya dengan segala kelemahan diri ditakdir dan dipilih oleh jamaah untuk memimpin DPPM, Ust Azman Syafawi dan Ust Nik Mohd Abduh bergandingan dengan Sdr Sabki Yusuf dan Dr Raja Iskandar masing - masing sebagai Timbalan dan Naib Ketua DPPM selama dua penggal saya menerajui DPPM, saya harap polemik kepimpinan Ulama' tidak dicetuskan. Justeru ia adalah gandingan mantap yang dipertahankan sejak dulu.

Salam dari bumi Multazam

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Rabu, 5 Jun 2013

Memahami asas perjuangan PAS


Iskandar Abdul Samad, 05 Jun 2013
Ustaz Haji Hassan Shukri kerap menerangkan di dalam ceramah atau kuliah beliau bahawa PAS juga merangkumi sebuah gerakan dakwah, gerakan massa dan gerakan kebajikan. Di dalam buku “Ke Arah Memahami Perlembagaan PAS” (Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor - 2002), beliau telah menegaskan bahawa;

“Terdapat sebahagian ahli PAS dan orang ramai yang keliru dengan penubuhan Parti Islam SeMalaysia. PAS bukan ditubuhkan kerana didorong oleh tuntutan politik tanah air. PAS bukan ditubuhkan kerana tidak puas hati dengan kepincangan yang berlaku di dalam Umno. PAS juga bukan ditubuhkan kerana kehendak individu pemimpin tertentu.”

“PAS telah ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah dan tuntutan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, para alim ulama dan cendekiawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah Harakah Islam di negara yang tidak menjalankan hukum Islam dan negara yang tidak menjamin keselamatan akidah serta kebajikan umat Islam.”


“Hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan. Menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan yang mencapai kemenangan.” (Surah Ali-Imran : ayat 104)

Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, golongan yang peka dan bertanggungjawab ini atau dikenali dengan gerakan Islam atau Harakah Islam tidak boleh hanya bergantung dengan lisan semata-mata (ceramah dan kuliah). Sebaliknya Harakah Islam perlu mendapat "kuasa" bagi memastikan bahawa tuntutan Islam ini dapai dilaksanakan dengan sempurna. Dalam konteks bernegara, "kuasa" yang dimaksudkan ialah "kuasa politik".

Tetapi buku itu menyebut, “PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu wasilah semata-mata untuk menyampaikan risalah Islam.”

Oleh itu seperti yang dinyatakan lagi oleh Ustaz Hassan;

“PAS bukan sahaja terlibat dengan politik tetapi juga dalam ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan antarabangsa dan kemasyarakatan.”

Ahli-Ahli Yang Keliru

Ramai yang menyertai PAS setelah berlakunya ledakan Reformasi dalam tahun 1998 dan menganggap PAS semata-mata sebuah parti politik dengan segala gerak kerja ditumpukan kepada pilihan raya dan berhenti setelah berakhirnya pilihan raya.

Mereka tidak boleh persalahkan kerana gelombang rakyat yang berlaku akibat dari pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menjana program-program seperti ceramah umum dan demonstrasi jalanan sehingga menggelamkan program-program tarbiyyah “tradisional” seperti kuliah dan usrah.

Semua ini berlaku sama ada kerana Kawasan-Kawasan dan Cawangan-Cawangan adalah terlalu sibuk di dalam menghadapi pilihan raya di mana Barisan Alternatif dijangka berupaya mencapai kemenangan atau oleh sebab “bekalan” ustaz yang tidak mencukupi untuk mengendalikan usrah atau menyampaikan kuliyyah.

Suasana Revolusi Bukan Evolusi

Pertambahan ahli dan Cawangan PAS terutamanya di Lembah Kelang adalah hampir empat hingga enam kali ganda ketika itu. Di Ampang Jaya dalam tahun 1999, pertambahan tersebut adalah lebih lima kali ganda.

Suasana ketika itu adalah amat bergelora dan mungkin hanya sesuai untuk satu “revolusi” dan bukannya untuk “menadah kitab”. Ceramah-ceramah umum walaupun tidak menampilkan pemimpin-pemimpin “lima bintang” ia akan tetap dihadiri oleh ribuan manusia. Di Lembah Kelang, Ampang Jaya dan Gombak menganjurkan ceramah umum hampir setiap minggu. Suasananya cukup “panas” dan adalah hampir mustahil untuk mengumpul ahli-ahli di dalam rumah atau markaz untuk membaca teks-teks usrah. Mereka lebih berminat kepada kerja-kerja praktikal di luar daripada majlis-majlis ilmiah dalaman.

Oleh itu, suasana ketika itu adalah saat yang paling hampir di dalam sejarah negara di mana pertukaran kerajaan boleh berlaku melalui “revolusi” atau di dalam ungkapan para reformis perubahan melalui “jalan raya” bukan “pilihan raya”. Parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng pun tidak pernah mendapat peluang keemasan seperti itu.

Kakitangan kerajaan, mahasiswa, para profesional, para intelek, para karyawan, golongan pekerja dan rakyat secara menyeluruh adalah bersama Barisan Alternatif. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang menghormati akan undang-undang dan masih yakin kepada sistem pilihan raya di Malaysia. Tetapi Mahathir tidak bergegas meninggalkan Malaysia seperti Marcos meninggalkan Filipina atau Shah Reza Phalavi meninggalkan Iran dan suasana dan gelombang rakyat seperti itu tidak mungkin akan berulang lagi.

Pertunangan Yang Tidak Berakhir Dengan Perkahwinan

Apabila laungan “jalan raya dan bukan pilihan raya” bergema kembali setelah Barisan Alternatif ditipu dan dimalukan selepas pilihanraya 2004, sebenarnya laungan itu telah terlambat. Malah pimpinan Barisan Alternatif ketika itu tidak menunjukkan kesungguhan untuk mencabar kesahihan keputusan pilihan raya umum 2004 apabila perhimpunan raksaksa yang dijadualkan di Padang Merbok. Kuala Lumpur telah dibatalkan tanpa sebarang alasan kukuh.

Jerayawara (roadshow) yang diadakan di seluruh negara, wang ringgit yang dikumpulkan dan nama-nama yang dipungut seolah-olah bagaikan satu pertunangan yang tidak berakhir dengan satu pernikahan.

Cadangan memboikot pilihan raya setelah Barisan Nasional menang besar sememangnya tidak akan “mencederakan” Barisan Nasional tetapi maruah pimpinan dan gagasan Barisan Alternatif telah tercalar akibat kekecohan pembatalan demonstrasi raksasa itu.

Ahli-Ahli Yang Telah Terduduk

Oleh itu, setelah berakhirnya pilihan raya umum 2004, amatlah payah untuk meyakinkan ahli-ahli baru pasca Reformasi untuk sama-sama menghadiri usrah atau kuliah di dalam keadaan ramai yang telah “terduduk” dan patah semangat akibat dari kekalahan yang dialami.

Mungkin jika perhimpunan raksaksa di Padang Merbuk diteruskan dan ramai pimpinan Barisan Alternatif terpaksa menjadi tetamu Seri Paduka Baginda, gelombang rakyat mungkin akan kembali walaupun tidak sehebat tahun 1998-99.

Pada kebanyakan mereka yang kecewa, PAS adalah hanya sekadar sebuah parti politik. Mereka boleh berjaga malam untuk menampal poster atau menggantung bendera untuk tujuh hari berturut-turut tetapi tidak berupaya untuk menghadiri usrah atau kuliah yang sekadar satu jam setengah.

Budaya Masyarakat Melayu

Di dalam hal ini, perlulah kita mengkaji budaya masyarakat Melayu. Salah satu daripada kelebihan orang Melayu adalah apabila mereka dijemput ke kenduri sama ada ke majlis perkahwinan atau majlis tahlil, mereka akan hadir walaupun berlaku ribut atau taufan.

Pada lazimnya, orang Melayu lebih suka hadir di majlis-majlis di mana mereka tidak perlu berbuat apa-apa. Kalau disebut majlis usrah ramai akan lari tetapi kalau dikatakan majlis tahlil mereka akan datang. Tetapi jangan tersilap kerana jika disebut majlis membaca Yaasin sekalipun, ramai juga yang akan menguzurkan diri kerana masih terdapat mereka yang tidak dapat membaca Yaasin selaju Tok Imam yang dijemput!

Maka buat permulaan, anjurkanlah majlis-majlis tahlil untuk ahli-ahli bagi menarik mereka untuk hadir. Tetapi penuhilah majlis-majlis itu dengan pengisian-pengisian yang sama seperti di usrah-usrah.

Satu cara lain untuk memastikan kehadiran ahli-ahli adalah dengan meminta pertolongan dari mereka tetapi permintaan itu hendaklah yang sesuai dengan kemampuan mereka. Contohnya, “Che’ Mat saya dah terlupa nak beli pisang untuk malam ni, tolong belikan dua tiga sisir, jangan tak datang sebab Ustaz Daud nak bawa tahlil”. Ataupun. “Kak Yam, minggu depan kami nak dengar pengalaman Kak Yam melawat Beijing, kami dah tak sabar-sabar nak dengar cerita-cerita Kak Yam jadi jangan tak datang.”

Merubah Imej Atau Prinsip?


Tetapi adalah diharapkan di dalam usaha untuk menarik lebih ramai orang kepada PAS, janganlah kita terpaksa merubah perkara-perkara yang merupakan dasar kepada PAS.

Ramai ahli-ahli PAS yang kagum dengan transformasi Parti Buruh (Labour Party) di Britain yang telah kalah di dalam empat pilihan raya berturut-turut (1979, 1983, 1987 dan 1992) tetapi telah menang besar di dalam 1997. Mereka mahu PAS mencontohi perubahan imej yang telah berlaku kepada Parti Buruh. Tetapi sebenarnya. Parti Buruh bukan sahaja telah menukar imej mereka!

Parti Buruh telah ditubuhkan pada 27 Februari 1900 pada Kongres Kesatuan Sekerja (Trade Union Congress) di London. Parti ini ditubuhkan untuk menyelaraskan calon-calon pilihan raya yang bertanding mewakili kesatuan-kesatuan sekerja.

Walau bagaimanapun, “New Labour” atau Parti Buruh yang berimej baru telah beberapa kali berbeza pendapat dengan kesatuan-kesatuan sekerja. Terdapat pemimpin kesatuan sekerja yang tidak bersetuju dengan “New Labour” telah bertindak menubuhkan partinya sendiri.

Kerajaan Parti Buruh pimpinan Tony Blair telah juga mengekalkan banyak undang-undang yang menekan kesatuan-kesatuan sekerja. Undang-undang ini telah diperkenalkan oleh Margaret Thatcher ketika Parti Konservatif berkuasa.

Di dalam persidangan tahunan Parti Buruh dalam tahun 1992, ketuanya ketika itu, John Smith, telah mengehadkan hak kesatuan-kesatuan sekerja untuk menentukan calon-calon pilihan raya. Nampaknya parti yang telah ditubuhkan oleh kesatuan sekerja akhirnya telah meminggirkan kesatuan sekerja!

Kita berharap PAS tidak akan mengikut jejak Parti Buruh yang telah melupakan golongan yang mengasaskannya di dalam keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

http://www.tarbawi.my



Posting as Mohd Najman Yusoff (Not you?)
 
  • Jawa Kelate · Top Commenter · Universiti al-azhar
    KAHWINKAN ANAK2 PAS DNG ANAK BN.
  • Khairani Rasid · SMK Tun Perak, Jasin
    setuju...sebarkan dakwah Islam spt yg Rasulullah SAW buat..
  • Raja Mohd Shahrim · · Top Commenter · 3,681 subscribers
    PAS boleh berdiri sendiri kerana Islam itu universal diterima oleh semua bangsa dan latarbelakang.. rejim UMNOlah yg menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam pada kaum kamu dinegara ni.. tapi dgn penyertaan PAS dlm PR.. persepsi itu kini tinggal sejarah.. Islam diterima sebagai salah satu agent penyatuan......
  • Pas Jeli Kelantan · · Top Commenter · P.A.S College · 784 subscribers
    “Terdapat sebahagian ahli PAS dan orang ramai yang keliru dengan penubuhan Parti Islam SeMalaysia. PAS bukan ditubuhkan kerana didorong oleh tuntutan politik tanah air. PAS bukan ditubuhkan kerana tidak puas hati dengan kepincangan yang berlaku di dalam Umno. PAS juga bukan ditubuhkan kerana kehendak individu pemimpin tertentu.”.

    “PAS telah ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah dan tuntutan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, para alim ulama dan cendekiawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah Harakah Islam di negara yang tidak menjalankan hukum Islam dan negara yang tidak menjamin keselamatan akidah serta kebajikan umat Islam.”.

    “Hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan. Menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan yang mencapai kemenangan.” (Surah Ali-Imran : ayat 104) - Ini Prinsip Perjuangan kami.. ALLAHU AKBAR..
  • Haji Md Yusoff Adam · Top Commenter · Kota Bharu
    Awal tahun 60anmelayu takut nak tunjuk muka tatkala mengikuti ceramah Pas. Arwah Zul Mohd datang karumah saya, ada 50 orang menvikuti ceramahnya tapi sembunyi dalam gelap. Arwah Mohd Nasir kembali dari ceramah dalam Estate Bagan pemuda tahan lasak tembak kereta beliau. Akhirnya pemuda yg menembak jadi ahli pas saumor hidup dan mati bersama pas

Pesanan Untuk Wahai Anakku!!!

Wahai anakku...
Engkau boleh beli rumah yang besar, tetapi kamu tidak boleh membeli kebahagiaan. Engkau boleh membeli tilam yang tebal, tetapi kamu tidak boleh membeli nyenyaknya tidur. Engkau boleh membeli makanan yang sedap, tetapi kamu tidak boleh membeli selera untuk makan. Engkau boleh membayar pekerjamu, tetapi kamu tidak boleh membeli kasih sayang mereka.

Wahai anakku...
Andainya kamu merasa besar apa yang ada di dunia yang fana ini, sesungguhnya engkau telah tertipu dengan dunia. Dunia ini pernah menipu alim ulamak, sehingga rosaklah ilmu mereka. Ia pernah menipu pemimpin, sehingga mereka berperang kerananya. Ia juga pernah menipu sebahagian besar manusia, sehingga mereka dilekakan olehnya.

Wahai anakku...
Katakanlah kepada dunia... “Kalau kamu nak tipu, tipulah orang lain, jangan kamu tipu aku." Tetapi percayalah wahai anakku. Kamu tidak akan selamat dari tipudaya dunia melainkan kamu mengagungkan Allah, ikhlas dalam setiap amalanmu dan merasai dekatnya kematianmu.

Salam sayang buat anak-anakku. Senyumlah kepada dunia nescaya dia akan senyum kepadamu.

Perjuangan perkauman membuang masa


Mohamed Hanipa Maidin, 04 Jun 2013
MASA itu emas. Maka membuang masa ibarat membuang emas. Tidakkah ini kerja bodoh? Begitulah perjuangan perkauman yang Umno menjadi juara dalam menyalak isu perkauman. Ia adalah perjuangan sia-sia.

Saya kadangkala keliru dan kadangkala geli hati memikirkan gelagat sesetengah golongan cerdik pandai Melayu yang menyokong Umno. Kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan tentang perjuagan Melayu mengakibatkan saya membuat kesimpulan begini: apabila bercakap tentang Melayu golongan cerdik pandai dengan tiba-tiba jadi tidak ketahuan. Mereka tidak lagi boleh berfikir dengan jelas dan waras.

Di sinilah perlunya kita mempunyai tasawwur yang jelas tentang bangsa. Kepelbagaian bangsa, keturunan, bahasa dan warna kulit adalah “ma’isyatullah” (Kehendak Allah). Ia suatu pelan asal Allah.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk umat manusia yang pelbagai bangsa ini kenal antara satu sama lain. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Jika kepelbagaian kaum dan bangsa ini menyebabkan kita bergaduh dan saling tidak mempercayai satu sama lain sudah jelas ia adalah kesilapan dalam memahami tasawwur  tersebut.  Ia menunjukkan betapa jauhnya Islam dengan kita.

Sayangi bangsa suatu fitrah yang Allah semat dalam diri setiap insan sebagaimana bapa atau ibu sayangkan anaknya. Apabila ia suatu yang fitri sifatnya membuang masa untuk orang Melayu diingatkan perlunya mereka menjaga dan menyayangi bangsa.

Jika bangsa menjadi taruhan sudah tentu yang paling berhak memperjuangkan bangsa Arab adalah Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w adalah seorang Arab. Bahasa Al-Quran adalah bahasa Arab dan dikatakan bahasa syurga adalah bahasa Arab. Mengapa Rasulullah tidak perjuangkan Arab?

Kita lihat dua insan yang berlainan bangsa dalam sejarah Islam dan lihat siapa yang mulia antara mereka berdua. Kita lihat Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil dan kita lihat pula sahabat Rasulullah Bilal bin Rabah r.a.

Abu Lahab dan isterinya satu bangsa dan satu keturunan dengan Rasulullah s.a.w. Dalam istilah moden sekarang kedua-dua pasangan ini adalah pasangan selebriti. Apa yang tiada pada mereka? Mereka ada rupa paras yang cantik, ada kekayaan material, ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, ada pengikut dan ada pengaruh dan status yang tinggi.. Namun kita tahu kedua-dua insan ini dicela oleh Allah dan ada surah khas dalam Al Quran  untuk mereka yang kita baca dan cela mereka sehingga kini.

Kita lihat pula Bilal r.a.  Orangnya berkulit gelap dan bekas seorang hamba abdi. Tiada harta dan tiada kekayaan. Tiada rupa paras jauh sekali status dalam masyarakat Arab.  Namun sehingga kini nama Muazzin di dunia memakai gelaran Bilal seorang berbangsa Habsyi. Lihat betapa mulianya Bilal r.a 

Menyayangi bangsa adalah fitrah. Tapi memperjuangkan bangsa tanpa mengira bangsa itu zalim atau tidak adalah asabiyyah yang Islam tentang habis-habisan.

Kita tahu fahaman asabiyyah dan qaumiyyah Arab jahiliyyah begitu kuat . Ideologi mereka adalah tolong kaum kami sama ada kaum kami zalim atau dizalimi.

Sebab itu dalam sebuah hadith Rasullullah menyatakan “tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi (mazluman)". Para sahabat terasa pelik kenapakah Rasullullah menyuruh ditolong mereka yang zalim. Secara zahirnya perintah Rasullulah itu dilihat seperti ideology Arab jahiliyyah.

Tapi itulah cara Rasulullah s.a.w membetulkan fahaman salah itu. Menolong orang yang zalim, kata Rasullullah s.a.w adalah dengan kita menghentikan kezaliman mereka. Bukan dengan menyokong sizalim. Lihatlah anjakan paradigm yang Rasullullah s.a.w perkenalkan.

Ini yang perlu Melayu faham termasuk cerdik pandai Melayu. Menolong Melayu Umno yang zalim, salah guna kuasa, rasuah bukan dengan terus menerus menyokong mereka. Itu sokong bawa rebah. Tolong Umno yang zalim adalah dengan menghentikan kezaliman Umno – hentikan kuasa mereka memerintah.

Amat malang orang Melayu termasuk cerdik pandai Melayu menyayangi Melayu dengan cara yang salah. Mereka sayang Melayu dengan biarkan pemimpin Melayu Umno yang zalim, rasuah dan salah guna kuasa terus dengan kezaliman mereka. Ini sokong bawa padah di dunia dan akhirah.


* Penulis adalah anggota Parlimen Sepang, AJK PAS Pusat serta seorang peguam.

Najib sedia ditentang, mengapa?


Subky Latif, 04 Jun 2013
BARU empat tahun Datuk Seri Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, lalu dia menyatakan bersedia ditentang dalam pemilihan pimpinan UMNO yang akan datang, tidak kira bila ia diadakan.
Mengapa dia sedia ditandingi? Jawapannya kerana partinya mengamalkan demokrasi dan dia seperti pemimpin lain-lain parti politik tidak sedia bertanding dan ditandingi. Logiknya partinya juga sebuah parti demokrasi sendiri menggalakkan pertandingan.

Demokrasi itu adalah biasa membenarkan pertandingan, sama ada suka atau tidak, dan tidak sporting jika tidak membenarkan sesiapa mencabar presiden.

Adakah Tunku dan penyokongnya tidak demokrasi menghalang percubaan mencalonkan orang lain  di hujung tempoh pimpinannya? Adakah Tun Hussein Onn dan penyokongnya tidak demokratik apabila melihat sinis apabila Haji Sulaiman Palestin mencabarnya.

Dr. Mahathir  tidak dapat menghalang Tengku Razaleigh mencabar presidennya, tetapi hati dia tidak terbuka, hingga hari ini mencela tentangan Ku Li itu.

Bukan soal demokrasi saja Najib menyatakan kesediaannya itu tetapi dia juga ada maklumat kepimpinannya dan tentang apa orang ramai termasuk UMNO kata tentangnya. Sudah ada orang mellihatnya bukan lagi aset kepada UMNO, BN dan negara. Sejak dia mula disebut-sebut untuk menggantikan PM Abdullah Badawi, sudah ada yang merassakan dia adalah liabiliti kepada UJMNO dan negara.

Banyaklah fakta yang belum dijawabnya mewajarkan dia dikira liabiliti tetapi UMNO dan penyokongnya  tidak mempedulikannya. Jangan kata Mahathir tidak berfikiran begitu. Tetapi kerana dia sudah mengutuk pimpinan Abdullah Badawi, maka dia terpaksa mnyimpan dalam perut, biar meletup ia dalam perut, tidak meletup dari mulut.

Mahathir berupaya menyergah Najib atas sebab kebenaran,  tetapi ada risiko jika berterus terang lagi. Orang kira Mahathir buruk kalau dia berkata tentang Najib. Akan ada persepsi, pada Mahathir orang lain semua tidak betul. Orang akan kata, dia saja yang betul.

Sudah banyak yang orang hendak buktikan Najib itu bukan aset bahkan liabiliti. Hanya Tan Sri Abdullah Kok Lanas saja sangka Najib itu elok semua.

Dengan prestasi BN pimpinannya lebih uzur dari pencapaian buruk Tun Abdullah, tidak mustahil ada yang akan mencabarnya. Kita tidak tahu orang lain, tetapi Ku Li dijangka akan menawar diri untuk menjadi Presiden UMNO. Kalau Najib tidak dapat dipertahan lagi, siapa saja boleh menang mencabarnya, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin  akan menyesal jika tidak merebut peluang itu.

Najib tahu dia adalah liabiliti. Jika dia tidak bersedia pun,  dia mungkin dicabar. Sebelum ada orang yang bersedia menyatakan kelemahannya, maka dia  suarakan itu dulu supaya dia dapat maklum balas apakah dia dikehendak lagi atau cukuplah setakat yang ada.

Daripada kalah  dalam pilihan raya umum, adalah lebih baik dia menerima cabaran dalam partinya sendiri. Kiranya digantikan oleh orang lain, maka mungkin UMNO sebagai tulang belakang kerajaan dapat dipertahan lagi.

Tiada hujah demokrasi boleh mengubah 51 peratus undi popular yang menolak BN  dan pimpinannya akan berpatah balik ke belakang. Justeru itu, eloklah dia menggunakan hujah demokrasi bersedia untuk ditentang.

Ada pun pemimpin lain-lain parti politikyang disindirkan tidak sedia ditandingi, rasanya masih menjadi aset kepada parti dan penyokongnya. Mungkin Tok Guru Haji Hadi ada kelemahan, tetapi beliau belum menjadi liabiliti pada PAS. Walaupun Anwar Ibrahim dikata macam-macam, tetapi dia aset pada Pakatan. Kit Siang pula adalah aset yang belum turun nilai bagi DAP.

Semuanya masih menjadi aset kepada parti masing-masing. Nilai aset yang  merudum hanya Najib. Ia bukan pesepsi lagi.