Mahasiswa
jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Bawani KS
menegaskan bahawa pihak kampus itu harus bertanggungjawab terhadap
penganjuran forum mahasiswa dan politik yang didakwanya sebagai satu
'brainwash'.

Bercakap dalam temubual dengan
Malaysiakini
petang semalam, Bawani (kanan) turut mempersoalkan mengapa kehadiran
mahasiswa diwajibkan khususnya penghuni Dewan Penginapan Pelajar Proton,
sekiranya universiti menyatakan mereka tidak mempunyai kaitan dengan
forum itu.
"Kalau tak ada kaitan, ramai pelajar diminta hadir
dalam program itu. Kalau tidak hadir, akan dibuang kolej dan
sebagainya... Ramai pelajar Proton menyatakan kekecewaan, kerana
terpaksa hadir.
"Kalau bukan program universiti, kenapa perlu
diwajibkan," kata Bawani sambil menambah ada mendengar bahawa pelajar
kolej lain turut diwajibkan hadir tetapi tidak pasti kolej kediaman
tersebut.
Bawani mengulas
kenyataan
Naib Canselor UUM Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak yang dilapor berkata
pihaknya hanya menyediakan dewan untuk forum itu melibatkan teguran
pengerusi NGO Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen Syed
Shah Miskin kepada Bawani.
Dalam
kenyataan kepada
beberapa akhbar berbahasa Cina berkata, Mohamed Mustafa berkata
universiti itu tiada kena mengena dengan forum berkenaan selain
menyediakan tempat.
Manakala laporan Oriental Daily News pula
menyebut, Mustafa kecewa apabila ramai yang menuding jari kepada UUM
selepas menonton konfrontasi di antara Bawani dan Sharifah.

Mengulas lanjut Bawani meluahkan kekecewaannya dengan
kenyataan
Prof Mohamed Mustafa itu memandangkan hanya kampus sahaja berkuasa
membenarkan pihak luar mengadakan program dalam kawasan universiti.
Benarkan NGO luar
"Pihak
universiti yang membenarkan NGO luar datang sebab (forum) ini berlaku
dalam universiti. Jadi kita tak boleh kata, universiti tidak ada kaitan
dalam isu (forum) ini sebab ia berlaku dalam pagar universiti kita.
"(Ini)
perkara yang mengecewakan saya. Universiti kata, kita pinjam tempat
sahaja, kita universiti tak ada kaitan. Kita perlu lihat (bahawa)
universiti perlu bebas dan neutral.
"NGO itu orang luar, apa-apa
yang kita benarkan, universiti ada autoriti membenarkan pihak luar
menjalankan apa-apa (program), di dalam (universiti) ini," katanya.
Hadir
ke forum tersebut dengan inisiatif sendiri, Bawani turut mempersoalkan
majlis bacaan ikrar yang didakwanya menggesa pelajar supaya tidak
terlibat antaranya hadir dalam demonstrasi jalanan.
Sebelum itu
Bawani berkata pada mulanya terdapat slot mengenai wanita dan politik
dan tetapi secara tiba-tiba, dakwanya, terpapar di skrin antaranya
mengenai "perhimpunan kotor" BERSIH 3.0, kenyataan ahli parlimen Lembah
Pantai Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama dan kecaman
terhadap pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga.

Beliau yang juga pemegang ijazah sarjana muda psikologi dari
Univerisiti
Kebangsaan Malaysia berkata beliau tidak pernah berdepan dengan situasi
itu sepanjang beliau menghadiri pelbagai forum.
"Ini menunjukkan
sesuatu yang salah, ada sesuatu makna yang tersembunyi," katanya yang
juga seorang aktivis NGO yang dikaitkan dengan Parti Sosialis Malaysia
(PSM), JERIT.
Sekalipun dalam hati kecilnya ada perasaan marah
sewaktu berdepan saat konfrantasi 'listen' dengan Sharifah, namun Bawani
berkata beliau mampu mengawal perasaannya dan menghormati kepada
Sharifah.
Bagaimanapun apabila beliau cuba meminta keizinan untuk
bercakap berkaitan pendidikan percuma menyebabkan suara Sharifah
menjadi semakin lantang sehingga dianggapnya boleh menyebabkan tanggapan
buruk kepadanya.
"Orang akan lihat, orang besar kata berhenti.
Saya sebagai mahasiswa, (hanya) orang kecil... Saya fikir Puan Sharifah
sudah bentuk satu suasana untuk menarik penonton bahawa saya, very bad,
very rude.
'Kami bersama kamu
"Tapi saya
tunggu, saya ingat Puan Sharifah akan berhenti untuk respons kepada
soalan itu, dan akan beri peluang saya bercakap. (Jadi) cara dia
jawab... Saya tidak akan mendapat jawapan.
"Saya akan dikutuk
teruk. Penonton pula sudah mula tepuk tangan, macam sokong apa pun Puan
Sharifah cakap. (Oleh itu) saya kata abaikan. Penonton akan menilainya.
Kalau tengok video tu, (perasaan) saya memang kecewa," katanya.
Ditanya
mengenai maklumbalas selepas insiden tersebut, Bawani berkata ramai
rakan-rakannya marah dan mengutuk susulan tindakannya dalam forum
tersebut.
Bagaimanapun selepas menonton video tersebut, mereka memohon maaf kepadanya khususnya di laman sosial Facebook miliknya.
"(Mereka
kata) kami tidak dapat bayangkan apa yang kamu nak cakap. Ada orang
cakap, (memang) betul kamu rude. Tapi lepas tengok (video) program itu,
baru dapat tahu, kenapa kamu bersikap begitu.
"Secara umum ramai
kawan sekolah rendah, menengah dan di UKM, mereka cukup gembira dan
memuji saya. Mereka kata, saya berani. Dan ramai yang kata, kami bersama
kamu, jangan bimbang," katanya.