Sabtu, 19 Januari 2013

Kewarganegaraan: RCI bukti Umno BN khianati negara

Kewarganegaraan: RCI bukti Umno BN khianati negara

Harakahdaily, 19 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Pendedahan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai isu pendatang tanpa izin di Sabah, satu lagi bukti pengkhianatan pemimpin Umno BN kepada negara kerana  kewarganegaraan negara diberi begitu mudah demi mencapai cita-cita politik jangka pendek.
Pengakuan bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Abdul Rauf Sani menjadi bukti, bagaimana  kad pengenalan untuk pendatang tanpa izin yang tidak layak, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Operasi itu dilakukan di rumah bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin di Kuala Lumpur.

“Walaupun beliau kata Aziz Shamsuddin tidak ada peranan, persoalannya kenapa perkara yang melibatkan maruah negara dibenarkan beroperasi di rumah beliau.

“Sudah tentu ia melibatkan konspirasi peringkat tertinggi negara. Tun Mahathir yang menjadi Perdana Menteri waktu itu mesti bertanggungjawab, dan dibawa pengadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, pengakuan yang sama juga dibuat oleh bekas ketua JPN daerah Tamparuli Yakup Damsah yang merupakan sebahagian daripada kumpulan dikenali dengan unit 'G17' - yang berpangkalan di ibu pejabat JPN di Kota Kinabalu.

“Kita tentu masih ingat tahun 2011  pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi,  asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah,” katanya.


Pengakuan beliau  dipetik dari www.ngoab.gov.bd - laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.


“Inilah watak pemimpin Umno BN yang mengendalikan negara tanpa memperduli keselamatan dan masa depan negara,” ujar Idris lagi.

Menurutnya, negara lain begitu ketat untuk memberi kewarganegaraan, sedangkan Malaysia memberi kerakyatan macam jual tapai ubi di pasar tani.

Justeru, tegas beliau perlu diingat RCI ditubuhkan apabila desakan Pakatan Rakyat dan banyak lagi penyelewengan dan pengkhianatan Umno BN akan terdedah apabila mereka kalah di peringkat Kerajaan Pusat.

Selasa, 15 Januari 2013

Ramal BN kalah, Ketua Ekonomi Bank Islam digantung?

Ramal BN kalah, Ketua Ekonomi Bank Islam digantung?

Harakahdaily, 14 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Kerana meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam pilihan raya umum nanti, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, didakwa telah digantung kerja.

Ekoran itu, pelbagai pihak menyifatkan tindakan itu sebagai zalim, "kerana betindak ke atas mereka yang berkata benar."

Namun begitu, banyak pihak yakin, jiwa anak muda tidak goyah dengannya.

"Pasti ada ganjaran untuk si pemberani dan bercakap benar," komen seorang penyokong Pakatan menerusi Twitter.

Maklumat Azrul digantung diberitahu oleh peguam Nadiah Fadwa melalui twitternya. Adun Sri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengarah Kemunikasi PKR mengesahkan perkara itu melalui Suara Keadilan.

Minggu lalu, Azrul Azwar ketika bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah dalam PRU 13 nanti.

Beliau berkata, BN akan kalah tipis dalam pilihan raya yang dijangka sengit itu.

Azrul berkata, hasil kajian maklumat menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperolehi antara 97 ke 107 kerusi sahaja dalam pilihanraya umum akan datang, jauh jika dibandingkan dengan prestasi 140 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, dengan keputusan hasil maklumat ini, Pakatan Rakyat juga hanya menang antara 115 ke 125 kerusi sahaja dan ia sesuatu yang tidak stabil dari segi ekonomi sesebuah negara.

Bank Islam Malaysia dalam kenyataannya 11 Januari lepas, menjarakkan diri dari ramalan ketua penganalisis ekonominya  itu, dengan mengatakan  “kami tidak terlibat dengan forum tersebut”.

Dalam satu kenyataannya, pengarah urusan BIMB Datuk Seri Zukri Samat memberi komen tentang laporan The Straits Times Singapura itu berkata;

“Kami kesal dengan laporan yang mengaitkan Bank Islam dengan pandangannya dan ramalannya, dan kami mahu laporan yang silap tersebut dibetulkan.

“Untuk pengetahuan anda, Bank Islam tidak terlibat dan tidak berkaitan dalam forum tersebut,” kata Zukri dalam sebuah kenyataan dihantar ke The Straits Times.

Namun hari ini, Azrul Azwar digantung dari tugasnya sebagai Ketua Ekonomi BIMB.

PRU perlu dipercepatkan

Hujung Julai 2012, Azrul  dilaporkan berkata, ekonomi dan pasaran akan memberi reaksi lebih baik seandainya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat (pertengahan tahun 2012) berbanding ditangguhkan kepada tahun depan (2013).

Katanya, pandangan itu berdasarkan persekitaran dan ketidaktentuan ekonomi luaran dan dalaman.

Menurut beliau, pelbagai spekulasi mengenai tarikh pilihan raya telah menyebabkan ekonomi dan pasaran tidak boleh bergerak pada landasan yang betul.

Jelasnya, masalah itu dihadapi oleh syarikat-syarikat korporat kerana sukar untuk membuat keputusan dalam operasi dan hala tuju mereka.

"Meskipun ekonomi negara sekarang dalam keadaan baik tetapi keputusan tidak boleh dilakukan kerana sukar untuk menjangkakan apa yang akan berlaku dalam tempoh jangka pendek dan sederhana.

"Malah, ia juga menjejaskan aliran masuk pelaburan asing kerana mereka juga mahu satu kepastian dalam pelaburan yang dibuat.

"Justeru, kebanyakan korporat memang menyambut baik seandainya pilihan raya diadakan lebih cepat," ujarnya sebagaimana dilaporkan Utusan.


ULASAN DAN KOMENTAR :

Isnin, 14 Januari 2013

Kronologi isu nama Allah: PAS tidak bercanggah

Kronologi isu nama Allah: PAS tidak bercanggah

Harakahdaily, 14 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS tidak bercanggah dalam isu penggunaan nama Allah kerana ia semacam telah disepakati sejak isu ini berbangkit semula menjelang Krismas tahun 2012 iaitu pada 25 Disember 2012.


Mereka jelas bersetuju, Islam tidak boleh menghalang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam tetapi mereka tidak bersetuju nama Allah digunakan dalam Bible Bahasa Melayu sebagaimana dicadangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Namun begitu, ia banyak dikelirukan oleh laporan yang kurang tepat selepas ia dibincang dengan meluas dalam media.

Berikut adalah sebahagian dari kronologi bagaimana isu ini dibincangkan dan berkembang.


1) 24 Disember: Menjelang Krismas 2012, Lim Guan Eng dalam ucapannya mencadangkan agar Bible terjemahan Bahasa Malaysia dibenarkan untuk menggunakan nama Allah.

Namun, Setiausaha Politik beliau, Zairil Khir Johari menjelaskan, yang dimaksudkan oleh Lim Guan Eng adalah untuk penggunaan Bible di Sabah dan Sarawak kerana ia telah lama digunakan di sana.

2) Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS dalam Sinar Harian tidak bersetuju nama Allah digunakan dalam Bible Bahasa Melayu kerana ia akan kelirukan umat Islam.

3) Dr Rani Othman, Pesuruhjaya PAS Selangor juga tidak bersetuju Bible Bahasa Melayu gunakan nama Allah. Kenyataan ini disiarkan oleh Sinar Harian.

4) 26 Disember: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS dalam kenyataan bertulisnya menegaskan nama Allah tidak tepat digunakan dalam Bible Bahasa Melayu kerana terjemahannya dari God sepatutnya Tuhan bukannya Allah. Bagaimanapun dia setuju Allah boleh digunakan Kristian dalam amalan ibadat dan gereja mereka.

PAS: Ganti ‘God’ dengan 'Tuhan' elak polemik


5) Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan bertulisnya yang diedarkan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berkata, Islam tidak menghalang nama Allah digunakan bukan Islam tetapi jangan salah guna.


Kalimah Allah: Islam benarkan tapi jangan salah guna


6) 29 Disember: Utusan melaporkan, Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.

Laporan Utusan: Kalimah Allah khas untuk Islam

Namun dalam Harakahdaily selepas itu, Harun Taib menjelaskan, ia ditujukan kepada penggunaan dalam Bible Bahasa Malaysia.

Laporan Harakahdaily: Kalimah Allah: Penjelasan Ketua Dewan Ulamak PAS


7) 10 Januari: FMT melaporkan Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Mahfodz Mohamad dan Ketua  Pemuda, Nasrudin Tantawi bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS.


Laporan FMT di sini


8) Sinar Harian melaporkan, Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Mohamad Daud berkata beliau setuju bukan Islam bebas guna nama Allah tetapi tidak setuju ganti God dengan Allah dalam Bible.

9) 13 Januari: Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.



Majlis Syura: Semua boleh guna tetapi tidak boleh terjemah nama Allah

Lafaz Allah: Umno tidak mampu tunai amanah

Lafaz Allah: Umno tidak mampu tunai amanah

Abdul Hadi Awang, 14 Jan 2013

Amanah terbesar dalam Islam ialah memerintah negara, di mana UMNO telah diberi kepercayaan sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan sehingga kini, bagi memimpinkerajaan bagi pihak melayu beragama Islam dalam BN, dahulunya Perikatan.

Islam telah diterima oleh semua kaum menjadi agama negara dengan hak yang adil kepada penganut berbagai agama dalam konsep persefahaman sempadan saling mengerti dalam perkara yang berbeza.

Islam wajib diperkasakan sehingga mengatasi yang lain dengan pendekatan yang bijak dan amalan yang istiqamah dan adil terhadap semua, kerana Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan dengan paksaan dan ugutan kosong.

Apabila tercetusnya isu kitab Injil diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, dengan menterjemahkan perkataan God atau Lord atau Tuhan dengan perkataan Allah, UMNO telah gagal bertanggungjawab dengan betul sebagai pihak yang berada di kerusi kekuasaan kerajaan.

Media arus perdana kepunyaan UMNO dijadikan medan perbincangan (tempat bermuzakarah) dalam perkara yang besar ini sehingga melibatkan semua orang, termasuk yang buta ilmu Islam dan hurufnya, setelah hurufnya dihapuskan oleh UMNO.

Padahal urusan kebenaran menerbit buku dan pengedarannya adalah urusan Kementerian Dalam Negeri.

Dalam urusan yang berkait dengan Agama Islam, ianya perlu mendapat nasihat dan kelulusan pihak berkuasa Hal Ehwal Agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Majlis Agama Islam di Negeri – Negeri, di mana keseluruhannya berada di bawah UMNO yang menjadi parti Melayu Islam yang memerintah.

Portfolio kementerian ini di perkuatkan dengan seorang menteri di peringkat Pusat atau exco agama di peringkat negeri.

Mengapa UMNO menangani isu besar ini secara membaling batu sembunyi tangan, dengan mengheret pihak yang tidak patut berbincang dalam urusan Yang Maha Besar iaitu kalimah Allah? Mengapa tidak selesaikan oleh pihak berkuasa di bawah UMNO yang memerintah?.

Patutkah perkara ini dijadikan bahan kempen pilihanraya sehingga menjadi berkecamuk dikalangan rakyat kerana dijadikan perbincangan melibatkan kalangan yang tidak faham?

PAS tampil dengan ilmu Islam dan adabnya. Sebagaimana dalam kenyataan media saya pada 8 Januari 2013 lalu, intipati perkara dua dalam kenyataan media itu adalah jelas dan sangat mudah difahami (hanya yang berniat jahat sahaja tidak membacanya), bahawa kalimah Allah yang Maha Suci dan Mulia, tidak mampu diterjemahkan ke dalam apa-apa perkataan daripada bahasa yang lain, termasuk Bahasa Arab sendiri dengan perkataan yang lain daripada perkataan Allah, kerana tidak ada satu kalimah yang sama erti dengannya.

Lebih jauh lagi, perkataan ber Bahasa Melayu atau apa sahaja bahasa di kalangan bangsa yang menganut agama Islam, sehingga semua bangsa penganut Islam tidak menterjemahkan kalimah “Allah” ke dalam bahasa lidah masing-masing atau bahasa sendiri.

Begitulah juga perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu, God dan Lord dalam bahasa penganut agama Kristian paling ramai, tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan Allah, kerana tidak mencapai maksudnya. Firman Allah menjelaskan makna Allah :

Yang maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat ; "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan Nya".

Mengikut bahasanya perkataan God dan Lord ada plural, male dan female (God, Gods, Goddess, Lord, Lords) dan begitulah juga perkataan Tuhan dalam bahasa lain.

Adapun perkataan Allah adalah Maha Esa seperti dinyatakan dalam surah al-Ikhlas adalah huraian mengikut bahasa al-Quran, sehingga semua nama-nama Allah (Al Asma Al Husna) termasuk dalam nama tunggal Allah.

Maka pihak bukan Islam tidak boleh mengelirukan kalangan penganut Islam apabila menggunakan kalimah Allah (intipati perkara tiga dalam kenyataan media 8 Januari 2013). Bahkan menafsirkan perkataan ar-Rahman pun boleh merendahkan maknanya sehingga laksana maki hamun terhadap Allah. Firman Allah :

Yang maksudnya : Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) ar-Rahman, mempunyai anak.". Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara Yang besar salahnya !. Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, Bahawa ia mempunyai anak. Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing masing akan datang mengadapnya pada hari kiamat dengan seorang diri.

Begitulah seriusnya kesan apabila kalimah Allah disalahgunakan di hadapan penganut Islam dan Umat Islam wajib mempertahankan aqidah penganutnya, maka penyalahgunaan kalimah Allah dalam masyarakat Islam adalah dilarang . Ada pun kuasa dari segi perundangan berada di tangan parti yang memerintah, bukannya PAS.

Al-Quran juga melarang penganut Islam memaki tuhan yang dipercayai oleh penganut agama lain sehingga menimbulkan ketegangan yang menghina Allah.
Firman Allah :

Yang maksudnya : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Ada pun penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam dalam urusan agama mereka atau sesama mereka atau dalam penggunaan bersama yang tidak menimbulkan kekeliruan, maka al-Quran dan Hadith mengizinkan dengan penjelasan secara lisan dan amalan (intipati perkara nombor empat dalam kenyataan media 8 Januari 2013).
Firman Allah :

Yang maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam".

Rasulullah S.A.W. mengarahkan sahabatnya meletakkan ayat ini ke dalam surat yang dihantar kepada Raja Rom, Mesir dan Habsyah yang menganut agama Kristian supaya menjelaskan penggunaan kalimah oleh mereka dengan betul.

Betapa sucinya kalimah Allah walau pun digunakan oleh penganut agama kitab dengan fahaman mereka yang salah maka dihalalkan penganut Islam memakan sembelihan mereka dengan nas al-Quran:

Yang maksudnya : Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).

Kalimah Allah diterima bersama dalam perjanjian Hudaibiyyah di antara Rasulullah SAW dengan pemimpin Musyrikin Makkah dengan fahaman yang berbeza terhadap kalimah Allah dan bersetuju untuk berdamai.

Para ulama dan pemimipin PAS, bahkan di luar PAS dan para mufti yang majoritinya tidak bercakap kerana ditutup suaranya, adalah bersepakat dalam perkara yang sudah dinaskan dalam al- Quran dan Sunnah. Jangan laga-lagakan para pemimpin PAS dan ulama melalui media dengan cara memutar belitkan laporan, sehingga tersalah langkah membawa padah kerana jahil murakkab.

Malangnya semua kenyataan secara nas ini dilupakan kerana kesilapan UMNO yang tidak mampu mentadbir urusan agama Islam. Jabatan Agama hanya ditugaskan untuk mengawasi kuliah agama, khutbah jumaat dan kegiatan agama yang boleh mendedahkan aurat Umno yang tidak menutup aurat supaya UMNO menjadi parti maha suci daripada segala dosa.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa yang penting bagi UMNO hanyalah kemenangan pilihanraya mendapat kuasa semata-mata tanpa batas –batas iman dan kufur, benar dan salah, dosa dan pahala.

UMNO melakukan kesilapan dan dosa besar apabila menyerahkan urusan kalimah Allah ini kepada pasukan propaganda dan saraf dalam partinya dan jentera kerajaan yang dikhadamkan, maka berlakulah perbincangan yang lebih buruk daripada laksana menyerah bunga d itangan sang kera yang tidak berakal, kemudian diserahkan kepada para ilmuan, ulama dan mufti pengecut berdepan secara muzakarah, tetapi sanggup menjadi terompah kayu kepada UMNO untuk menegakkan hujah laksana mereka yang dinyatakan oleh Allah:

Yang maksudnya: Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

Tuan-tuan, janganlah jadikan PAS terpaksa membasuh kekotoran yang diadakan oleh UMNO, dan dalam masa yang sama PAS pula dipersalahkan atau menjadi kambing hitam yang disembelih kerana mempertahankan khurafat UMNO.

PRESIDEN PAS

Corat coret HKR #KL112

Corat coret HKR #KL112

Dr Azman Ibrahim, 14 Jan 2013



Seorang pemandu teksi berusia awal 50-an yang saya tumpangi dari Stesen Monorel Bukit Nenas untuk ke Central Market pada petang Jumaat 11 Januari 2013 begitu rancak bercerita tentang kebanjiran ramai orang di sekitar Kuala Lumpur hari tersebut. Lumayan sungguh pendapatannya hari ini, dari awal pagi sehingga hampir jam 4.30 petang, kira-kira RM1,000 telah masuk ke poketnya.

Saya hanya memberi komentar ringkas dalam rangka mahu menguji sejauh mana minatnya untuk bercakap tentang himpunan yang bakal berlangsung keesokannya, “Alhamdulillah… syukur atas rezeki kurnian Allah.”

Pak Cik teksi itu bertanya lagi, “Agak-agak esok ada gas tak?” Juga jawapan ringkas saya berikan. “Entahlah Pak Cik, dengar khabarnya himpunan esok mendapat permit polis.”

“Ada permit pun, bukan boleh percaya sangat dengan polis ni! Esok dia buat perangai gila, habisss..” Bebelnya dengan nada penuh kekesalan atas perlakuan dan tindakan polis semasa himpunan-himpunan yang telah lepas.

“Himpunan Bersih yang terakhir baru ni, Pak Cik pun kena gas. Aduh! Pedih sekali…”

Dengan nada bergurau saya menyampuk, “Pak Cik tahu dah kawasan tu ada demonstrasi, buat apa pergi bawak teksi kat situ?”

Sambutnya…“Ha…ha…ha… bukan Pak Cik pergi bawak teksi kat situ, Pak Cik pun hadir sekali himpunan tu, kena kejar polis, kena air kimia, kena gas…”

“Ha…ha…ha… Kalau begitu, kita senasiblah Pak Cik, saya pun kena kejar, kena gas sama macam Pak Cik jugak…”

“Jadi… adik mari KL ni, nak hadir himpunan esoklah?” soal Pak Cik tu lagi.

“Sudah semestinya!” jawab saya lagi.

“Ha…ha…ha… kita serupa rupanya…” ketawa Pak Cik tu lagi.

“Itulah Pak Cik ni… Polis tak bagi pergi, Pak Cik degil! Pergi jugak… Kan dah boleh rasa ubat resdung.” Gurau saya lagi sehingga Pak Cik teksi itu terus ketawa besar.

Ketika sampai ke destinasi Pasar Seni dan bersalaman dengannya, sempat saya memaklumkan bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS Terengganu yang pernah bertanding mewakili PAS dalam pilihanraya, tangannya mengenggam erat tangan saya sambil berkata, “Insya Allah kita kuburkan BN dalam pilihanraya akan datang!”

Jam 12.30 tengah hari, Sabtu 12 Januari 2013. Ketika pintu Stadium Merdeka mula dibuka, saya diantara peserta awal yang memasuki stadium, berjemur panas di tempat duduk terbuka ketika tempat duduk stadium hanya sekitar ¼ dipenuhi orang ramai.

Dalam ingatan, kali pertama dan terakhir saya menjejakkan kaki ke dalam Stadium Merdeka sebelum ini adalah pada tahun 1992 ketika menuntut di Universiti Malaya. Sekadar untuk melepaskan tekanan belajar, dengan motosikal cabuk Honda Cup buruk, saya datang ke Stadium untuk menyaksikan satu perlawanan Liga Semi Pro ketika itu antara pasukan Brunei dan Tentera.

Kalau tak kerana himpunan HKR KL #112 ini, mungkin benar itulah kali pertama dan terakhir saya mengunjungi tempat di mana kemerdekaan negara diistiharkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Duduk bersebelahan dengan seorang lelaki Cina yang rancak bercerita. “PAS sekalang ini bagus woo… talak macam dulu lagi. Tengok… itu Melayu, Cina, India semua boleh pakai baju PAS! Termasuk saya juga.” Ujarnya dengan sedikit nada bangga apabila memakai t-shirt bertulis ‘Pas Untuk Semua’.
“Dalam isu itu tuhan Allah… saya tengok itu Tok Guru sangat cerdik..” Komennya lagi mungkin mengulas isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

“Saya pun agama kristian, tapi saya boleh terima itu penjelasan Tok Guru.”

Sebagaimana biasa, saya suka menjadi pendengar setia dan cuba untuk menangkap butir-butir bernas yang boleh dijadikan bahan penulisan sambil berfikir bahawa mungkin dia telah meneliti kenyataan akhbar Tuan Guru Presiden dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Uncle agak penuh tak stadium ni hari ni?” soal saya untuk menyambung topik perbualan. “Mesti penuh sesak woo… you tengoklah sendiri nanti!”

“Uncle asal dari mana?” saya ingin mengenalinya lebih lanjut sambil menghulurkan bisness kad saya kepadanya.

“Saya orang KL… Wah! You keleja doktor yaa..! manyak bagus…” “Itu olang-olang cerdik tarak mau sokong BN lagi!”

“Ya lah uncle… saya dah sokong PAS semenjak dalam perut mak saya lagi.” Gurau saya. “Oooo… itu macam kaaa?”

“Ha… ha… ha…!” kami sama-sama ketawa.

“Lepas pilihanraya nanti, kita kasi masuk itu BN dalam nuseum.” Gurau apek itu lagi dengan penuh kemesraan sehingga kehangatan cuaca pada petang itu tak begitu terasa.

Melihat jam masih awal, stadium pun masih banyak kekosongan, saya mengajak uncle Cina tersebut keluar mencari minuman dahulu. Kebetulan yang terdekat ditemui hanyalah minuman dalam tin 100 plus.

“O.k uncle! Hari ni tak ada gas, mari kita minum air gas!”

“Ha… ha… ha…” Apek tu ketawa besar.

Deklarasi HKR #KL112

Deklarasi HKR #KL112

Harakahdaily, 14 Jan 2013
Deklari Bahawasanya, muafakat asas Kebangkitan Rakyat hari ini meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya.

Himpunan Kebangkitan Rakyat beriltizam untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.

Maka kami, yang berhimpun di sini, mewakili anak semua kaum pada petang ini, dengan penuh iltizam, dan berteraskan falsafah bahawa tidak ada warga dari mana-mana bangsa, agama, jantina mahupun fahaman politk akan disisih atau diabaikan dari sudut sosial dan ekonomi, mengajukan tuntutan-tuntutan seperti berikut:

Pertama: Kami menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus yang merangkumi media yang bebas;

Kedua: Kami menuntut agar prestasi, wibawa dan reputasi FELDA diselamatkan demi menjamin kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka;

Ketiga: Kami menuntut Sabah dan Sarawak diiktiraf adil-setara dengan  Semenanjung Malaysia;

Keempat: Kami menuntut 20% daripada hasil royalti minyak dikembalikan kepada negeri yang menjadi pengeluar petroleum;

Kelima: Kami menuntut kerajaan mengiktiraf dan meningkatkan profesionalisme, menjamin kebajikan dan melindungi masa depan kakitangan awam termasuk guru-guru dan anggota keselamatan;

Keenam: Kami menuntut kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih dan menyihatkan;

Ketujuh: Kami menuntut agar bahasa kebangsaan dimartabatkan dan bahasa ibunda kembali dijulang dan bahasa Inggeris dipertingkatkan di dalam sistem pendidikan negara serta pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia;

Kelapan: Kami menuntut pembebasan semua tahanan politik yang ditahan tanpa keadilan;

Kesembilan: Kami menuntut agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan; dan

Kesepuluh: Kami menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia

Dengan ini, kami yang berhimpun di sini, pada petang ini, sesungguhnya berikrar dan bersetia untuk meneruskan perjuangan sehingga kesemua tuntutan-tuntutan kami didengar dan dipenuhi.