
Saya
mengambil sedikit masa untuk memberikan komen tentang isu yang
dipanaskan oleh pihak UMNO dan pemimpinnya, iaitu isu kesilapan DAP
membuat perkiraan tentang penjumlahan undi dalam konvensyen DAP 15
Disember lepas. Saya mengambil masa untuk memberikan komen sebab saya
terlalu asyik membaca komen dari pimpinan UMNO yang menggunakan isu itu
untuk melarikan pandangan ramai dari isu-isu besar yang mereka (UMNO)
hadapi sekarang.
Dengan mengalihkan pandangan terhadap apa yang berlaku di dalam parti
itu UMNO berpendapat ia akan mengurangkan sedikit tekanan terhadap
mereka kerana isu mereka sendiri terlalu besar dan tidak terjawab oleh
mereka (UMNO). DAP telah mengambil ‘accountability’ dan mengakui
kesilapan yang berlaku dan memperbetulkan keadaan secara terbuka dan
transparent tanpa rasa takut.
Bagi saya tidak ada apa yang perlu disebut tentang kesilapan
penjumlahan itu kerana ia telah diperbetulkan dan kita berhenti menyebut
di situ. Tetapi yang terpenting sekarang ialah bagi UMNO menyelesaikan
masalah mereka sendiri. Masalah mereka masalah dengan orang ramai. UMNO
telah melakukan kesalahan kepada rakyat dengan terlalu banyak isu yang
berbangkit. Ia melibatkan masa depan rakyat yang ramai. Ia melibatkan
rompakan besar-besaran segala harta rakyat melalui
kementerian-kementerian serta jabatan-jabatan yang bersangkutan dengan
rakyat.
Apa yang berlaku di dalam DAP bukannya melibatkan wang ringgit
rakyat. Ia bukannya melibatkan jumlah wang rakyat yang beratus billion
yang diselewengkan oleh DAP seperti yang dilakukan oleh mereka dalam BN,
dan UMNO khususnya. UMNO mesti berikan jawapan bagaimana wang sejumlah
RM250 juta yang diberikan untuk NFC. Selesaikan dan beritahu rakyat
bagaimana kerajaan boleh ambil kembali wang sebesar itu yang telah
disalahgunakan oleh syarikat yang berkepentingan kepada keluarga
Shahrizat Jalil.
UMNO wajar memberitahu bagaimana sejumlah wang yang begitu besar
telah diambil sebagai komisyen dalam pembelian Scorpene dari Perancis
itu. Selesaikan bagaimana isu RM40 juta yang berkaitan dengan Musa Aman
dari Sabah. Bagaimana dengan isu yang membabitkan Deepak dan Raja Ropiah
yang melibatkan ratusan juta ringgit dan bagaimana Kementerian
Pertahanan terlibat dengan skandal yang se begitu besar.
Beritahu rakyat kenapa semua pemimpin UMNO terutamanya dalam Kabinet
selalu terlibat dengan penyelewengan harta rakyat. Setiap isu yang
timbul mesti melibat penggunaan wang rakyat yang ratusan juta ringgit
jumlahnya. Kenapa di dalam UMNO mereka bergaduh sesama sendiri dan
semuanya pergaduhan itu melibatkan rompakan terhadap harta rakyat?
Kenapa mereka tidak bergaduh kerana mencari jalan untuk membina
rakyat sebaliknya mereka bergaduh kerana wang ringgit dan harta rakyat?
UMNO tidak payah menyibuk dengan kesilapan penjumlahan undi dalam
konvensyen DAP itu. Kesilapan itu tidak melibatkan wang rakyat walaupun
satu sen. Kalau mereka dalam DAP berselisih faham di antara satu dengan
lain pun ia tidak melibatkan rompakan wang rakyat.
Kepada pemimpin UMNO terutamanya mereka yang besar-besar pangkatnya
itu, jangan sibuk dengan apa yang berlaku di dalam UMNO itu sendiri.
Kita bukan tidak nampak apa yang sedang berlaku dalam UMNO itu.
Mereka (UMNO) itu akan mula berpecah dengan lebih besar sejurus nama
calon diumumkan nanti. Selesaikan masalah anda sendiri kerana masalah
anda dalam UMNO itu melibatkan harta benda rakyat. Jika boleh carilah
jalan untuk mengembalikan wang rakyat kepada Perbendaharaan Negara.
Cari jalan bagaimana hendak memulangkannya kembali kepada rakyat. Apa
yang berlaku di dalam DAP, usah di sibukkan. Masalah anda di dalam UMNO
itu terlalu serius dan jika anda semua masih memberikan masa untuk
menyibuk tentang DAP, ia menunjukkan yang UMNO tidak serius untuk
memperbaiki diri sendiri.
Jika itu sikap mereka tunggu sahaja lah pilihanraya nanti. Saya ingin
juga melihat bagaimana setengah pimpinan UMNO begitu berkeyakinan yang
UMNO serta BN akan mendapat 2/3 sokongan dalam PRU ini.
Saya pun hendak juga tahu bagaimana mereka mengira. Dr Mahathir dulu
telah membuat dasar pelajaran yang berbeza dan salah satu dari yang
diperkenalkan ialah 3M…..membaca, menulis dan mengira.
Itulah sebabnya saya pun sudah tahu sedikit-sebanyak mengira, dan
membaca dan boleh menulis sedikit sebanyak. Hasilnya dalam perkiraan
saya UMNO akan kalah lebih banyak kerusi dan MCA akan kalah hampir
kesemua kerusi yang mereka sandang sekarang.
Selain dari itu jika dulu Sabah hanya mempunyai satu kerusi
pembangkang, kali ini angka itu akan bertambah lagi dalam pilihanraya
kali ini. Begitu juga di Sarawak. Dari dua kerusi pembangkang sekarang
kekalahan beberapa kerusi dalam pilihanraya kali ini akan membuatkan
kedua-dua negeri Melaysia Timur itu tidak lagi menjadi ‘fixed Deposit’
bagi BN. Kepada siapa yang masih keliru tentang 3M anjuran Mahathir
dahulu, elok ulang kaji kembali terutama sekali dalam cara mengira
dengan betul.
Tetapi itu tidak perlu dibahaskan. Hanya sebagai penutupnya anda di
dalam UMNO itu gunakan sepenuh masa untuk memperbaiki diri anda sendiri.
Jika boleh mulakan perubahan anda semua dengan bersama-sama berhimpun
bersama Pakatan Rakyat pada 12hb yang akan datang ini. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com