Khamis, 3 Januari 2013

Kedutaan Jepun sahkan serah wang pampasan

Kedutaan Jepun sahkan serah wang pampasan

Salmiyah Harun, 03 Jan 2013


(Pertemuan Sekretariat Jejak dengan wakil Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR: Kedutaan Jepun di Malaysia mengesahkan kerajaan negara itu telah menyerahkan sejumlah wang pampasan kepada kerajaan Malaysia untuk diserahkan kepada buruh paksa pembinaan landasan keretapi Thailand Myanmar.

Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun ke Malaysia, Takaharu Suegami, ketika mengesahkan penyerahan wang itu berkata,

"Berdasarkan maklumat yang dikaji, kami dapati wang tersebut diserahkan sekitar tahun 1990an.

"Kami akan merujuk kepada Tokyo selepas ini (untuk maklumat lanjut)," kata beliau.

Ketika ditanya, siapa penerima pampasan ini, pegawai kedutaan Jepun itu berkata, "Kami tidak tahu macam mana kerajaan Malaysia mengagihkan wang pampasan itu."

Bagaimanapun, Takaharu berjanji akan merujuk balik dengan Tokyo berdasarkan dokumen yang diberikan hari ini.

Sekretariat Jejak mencari bekas buruh paksa dan waris landasan maut Siam Burma  yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin mengunjungi Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur hari ini bagi mendapatkan maklumat lebih mendalam tentang pampasan itu.

Turut bersama dalam kunjungan itu, Naib Ketua Pemuda PAS Dr Raja Iskandar Al-Hiss, Ketua Operasi Jejak Safarizal Saleh, Penolong Pengerusi Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946 dan beberapa orang lagi wakil dari Jejak.

Dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Nizar mendakwa, kerajaan Jepun telah membayar RM207 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai pampasan kepada buruh paksa pembinaan keretapi itu.

Namun sehingga kini, tidak ada sebarang wang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada mangsa atau waris mereka.

(Rombongan bergambar di perkarangan kedutaan selepas berjumpa pegawai kedutaan)

Dalam kunjungan hari ini, Sekretariat Jejak juga meminta pihak negara Jepun memberi maklumat bila dan berapa jumlah pampasan kepada buruh binaan itu di hantar ke negara  ini dan siapa yang mengesahkan penerimaan itu.

Dalam pertemuan sejam itu, Nizar turut meminta pihak Jepun menyerahkan senarai nama rakyat Malaysia yang menjadi buruh binaan landasan kereta api Siam-Burma 1942 hingga 1946 itu.

"Kita jumpa dengan pihak kedutaan Jepun petang ini, untuk mengesahkan maklumat yang kita perolehi itu benar atau sebaliknya.

"Sekiranya pihak Jepun masih menyimpan senarai buruh atau mangsa-mangsa dari Malaysia ini sila majukan kepada kami," katanya ketika ditemui.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut mendedahkan beberapa surat pengesahan dan dokumen rasmi kepada wakil Kedutaan Jepu berkenaan.

Salah satu surat tersebut dari Kementerian Kewangan bertarikh 29 Mac 2011 menjelaskan,  "kertas pertimbangan bagi kelulusan pengeluaran wang pampasan kepada buruk paksa  ke Burma 1942 hingga 1946. Sukacita dimaklumkan peruntukan sejumlah RM207 billion telah diangkat oleh kelulusan kerajaan di mana prosesnya dimaklumkan kepada pejabat Peguam Negara dan di peringkat Kementerian Sumber Manusia".

Menurut Nizar, pihaknya sehingga kini tidak tahu di mana pampasan itu berada sama ada masih disimpan di dalam Perbendaharaan Negara atau Amanah Raya kerana tidak ada sebarang penjelasan dibuat kerajaan sehingga kini.

"Kita tidak tahu. Kalau wang itu masih ada dalam simpanan kerajaan kenapa tidak diberi balik kepada mangsa. Mangsa ada 30,000 yang boleh balik semula ke Malaysia walaupun ada yang meninggal dunia tetapi mereka masih ada waris melalui Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946".

Mengikut rekod persatuan bekas buruh paksa ini, jumlah 30,000 buruh ini melibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Nizar yang juga Ajk PAS Pusat berkata, dengan jumlah RM207 bilion itu setiap keluarga dianggarkan layak menerima sehingga RM3 juta wang pampasan.

"Banyak! pemberian pampasan ini kepada mangsa lebih baik dari ETP yang dibuat oleh kerajaan, sekurang-kurangnya dapat mengatasi sedikit masalah ekonomi orang Melayu," katanya.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, persatuan terbabit telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari kerajaan Malaysia tetapi hingga kini masih gagal.

40 nasihat Hasan Albanna untuk aktivis Islam

40 nasihat Hasan Albanna untuk aktivis Islam

Detikislam, 03 Jan 2013
1. Hendaklah engkau mempunyai wirid harian dari kitabullah tidak kurang dari satu juz. Usahakan mengkhatamkan al-Quran dalam masa tidak lebih daripada sebulan dan tidak kurang daripada tiga hari.

2. Hendaklah engkau membaca al-Quran dengan baik, memerhatikannya dengan teliti dan memikirkan ertinya.

3. Hendaklah engkau mengkaji Sirah Nabi dan sejarah para generasi salaf. Banyak membaca hadis Rasulullah SAW, sekurang-kurangnya hafal 40 hadis dalam al-Arba'in An-Nawawiyah dan juga mengkaji asas-asas akidah dan fiqh.

4. Hendaklah engkau bersegera melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala atau berubat, begitu penyakit terasa mengenaimu. Di samping itu perhatikan faktor-faktor penyebab kekuatan dan perlindungan tubuh serta hindarilah faktor-faktor penyebab lemahnya kesihatan.

5. Hendaklah engkau menjauhi sikap berlebih-lebihan dalam mengambil kopi, teh, dan minuman perangsang yang lain. Elakkan sama sekali merokok.

6. Hendaklah engkau perhatikan kebersihan dalam segala hal sama ada tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman, badan dan tempat kerja kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.

7.Hendaklah engkau jujur dalam berkata dan jangan sekali-kali berdusta.

8.Hendaklah engkau menepati janji, jangan mengingkarinya bagaimana keadaan pun yang engkau hadapi.

9.Hendaklah engkau menjadi seorang yang berani dan tahan ujian. Keberanian yang paling utama adalah terus terang dalam menyatakan kebenaran, ketahanan dalam menyimpan rahsia, berani mengakui kesalahan, adil terhadap diri sendiri dan dapat menguasainya dalam keadaan marah sekalipun.

10. Hendaklah engkau sentiasa bersikap tenang dan serius. Namun janganlah keseriusan itu menghalangimu daripada bercanda, senyum dan tawa.

11. Hendaklah engkau memiliki rasa malu yang kuat, berperasaan yang sensitif dan peka oleh kebaikan dan keburukan. Hendaklah engkau juga bersikap rendah diri dengan tanpa menghina diri, tidak bersikap taklid dan tidak terlalu berlunak hati.

12. Hendaklah engkau bersikap adil dan benar dalam memutuskan suatu perkara pada setiap situasi. Jangan kemarahan melalaikanmu daripada berbuat kebaikan, jangan permusuhan membuatmu lupa daripada pengakuan jasa baik. Berkata benar meskipun itu merugikan orang yang paling dekat denganmu.

13. Hendaklah engkau menjadi pekerja rajin dan terlatih dalam aktiviti-aktiviti sosial. Bahagia jika dapat mempersembahkan bakti kepada orang lain, gemar melawat orang sakit, membantu yang memerlukan, menanggung orang yang lemah dan meringankan derita orang yang terkena musibah.

14. Hendaklah engkau berhati kasih, dermawan, bertolak ansur, pemaaf, lemah lembut kepada manusia mahupun binatang, berperilaku baik dalam berhubungan dengan semua orang, menjaga etika sosial Islam, menyayangi yang kecil dan menghormati yang besar, memberi tempat kepada yang lain dalam majlis, tidak memata-matai, tidak mengumpat, meminta izin jika masuk mahupun keluar rumah dan lain-lain.

15. Hendaklah engkau pandai membaca dan menulis, serta memperbanyak membaca akhbar, majalah atau tulisan lain. Bangunkan perpustakaan khusus, seberapapun ukurannya, konsentrasilah terhadap spesifikasi keilmuan dan keahlianmu jika engkau seorang pakar, dan kuasailah persoalan Islam secara umum yang dengannya dapat membina persepsi yang baik untuk menjadi rujukan bagi pemahaman terhadap tuntutan fikrah.

16. Hendaklah engkau mempunyai usaha ekonomi yang mandiri, betapapun kecil, dan cukupkanlah dengan apa yang ada pada dirimu betapa tingginya kapasiti keilmuan.

17. Janganlah engkau terlalu berharap untuk menjadi pegawai dan jadikanlah dia sebagai sesempit pintu rezeki namun jangan pula engkau tolak jika diberi peluang untuk itu. Jangan engkau melepaskannya melainkan jika benar-benar bertentangan dengan tugas dakwahmu.

18. Hendaklah engkau perhatikan tugas-tugasmu secara cermat dan berkualiti.

19. Hendaklah engkau penuhi hakmu dengan baik, penuhi hak-hak orang lain dengan sempurnan dan janganlah menunda-nunda pekerjaan.

20. Hendaklah engkau menjauhkan diri daripada judi dengan segala jenis apapun maksud disebaliknya. Jauhi mata pencarian yag haram, betapapun keuntungan besar yang ada di baliknya.

21. Hendaklah engkau menjauhkan diri daripada riba dalam setiap aktiviti mu dan sucikan sama sekali daripada riba.

22. Hendaklah engkau memelihara kekayaan umat Islam secara umum dengan mendorong berkembangnya kilang-kilang dan projek-projek ekonomi Islam. Engkau pun hendaklah menjaga setiap keping mata wang agar tidak jatuh ke tangan orang non-Islam dalam keadaan bagaimanapun. Janganlah makan dan berpakaian kecuali produk negeri Islammu sendiri.

23. Hendaklah engkau mempunyai sumbangan kewangan dalam dakwah, engkau tunaikan kewajipan zakatmu dan jadikan sebahagian daripada hartamu itu bagi orang yang meminta dan yang kekurangan, betapa kecil pun penghasilanmu.

24. Hendaklah engkau menyimpan sebahagian daripada penghasilanmu untuk persediaan masa-masa sukar, betapa sedikit dan jangan sekali-kali menyusahkan dirimu untuk mengejar kesempurnaan.

25. Hendaklah engkau menghidupkan tradisi Islam dan menghapuskan tradisi asing dalam setiap aspek kehidupanmu. Jagalah sunnah dalam setiap aktiviti tersebut.

26. Hendaklah engkau memboikot kehakiman kehakiman yang tidak Islami, demikian juga penerbitan-penerbitan, organisasi-organisasi, sekolah-sekolah dan segenap institusi yang tidak menyokong fikrahmu secara total.

27. Hendaklah engkau sentiasa merasa diawasi oleh Allah, mengingati akhirat dan bersiap-siap untuk menuju redha Allah dengan tekad yang kuat, serta mendekatkan diri kepada Allah dengan banyak ibadah sunah, memperbanyak zikir (hati dan lisan), dan berusaha mengamalkan doa yang diajarkan pada setiap kesepatan.

28. Hendaklah engkau bersuci dengan baik dan usahakan agar sentiasa dalam keadaan berwuduk (suci) pada sebahagian besar waktu anda.

29. Hendaklah engkau melakukan solat dengan baik dan sentiasa tepat waktu dalam menunaikannya. Usahakan untuk sentiasa berjemaah di masjid.

30. Hendaklah engkau berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji. Lakukan sekarang juga jika kamu telah mampu.

31. Hendaklah senantiasa menyertai dirimu niat jihad dan cinta mati syahid. Bersiaplah untuk itu pada bila-bila saja peluang untuk itu tiba.

32. Hendaklah engkau sentiasa memperbaharui taubat dan istghfarmu. Berhati-hatilah terhadap dosa kecil, apatah lagi besar. Sediakanlah untuk dirimu beberapa saat untuk mengintropeksi diri terhadap apa-apa yang telah dilakukan, yang baik mahupun yang buruk. Perhatikan masa, kerana masa adalah kehidupan itu sendiri. Janganlah engkau pergunakan ia sedikitpun tanpa guna dan janganlah engkau ceroboh terhadap hal-hal yang syubhat supaya tidak jatuh ke dalam lembah yang haram.

33. Hendaklah engkau berjuang meningkatkan keupayaan dengan bersungguh-sungguh agar engkau dapat menerima tongkat kepemimpinan. Hendaklah engkau menundukkan pandanganmu, menekan emosimu, dan mengawal jiwamu. Gapailah hanya yang halal dan baik serta hijabilah dari yang haram dalam keadaan bagaimanapun.

34. Hendaklah engkau jauhi mabuk dan seluruh makanan atau minuman yang memabukkan sejauh-jauhnya.

35. Hendaklah engkau menjauh daripada pergaulan dengan orang jahat dan persahabatan dengan orang yang rosak serta jauhilah tempat-tempat maksiat.

36. Hendaklah engkau perangi tempat-tempat yang tidak sepatutnya, jangan sekali-kali mendekatinya, serta jauhi gaya hidup mewah dan bersantai-santai.

37. Hendaklah engkau mengetahui teman pergaulanmu satu persatu dengan pengetahuan yang lengkap dan kenalkanlah dirimu kepada mereka dengan selengkap-lengkapnya. Tunaikanlah hak-hak ukhuwah mereka dengan sepenuhnya hak kasih sayang, penghargaan, pertolongan dan itsar. Hendaklah hadir di majlis mereka, tidak hadir kecuali ada keuzuran atau kecemasan dan pegang teguhlah sikap dalam pergaulanmu dengan mereka.

38. Hendaklah engkau elakkan hubungan dengan organisasi atau jamaah  sekiranya hubungan itu tidak membawa maslahat bagi fikrahmu.

39. Hendaklah engkau menyebarkan dakwahmu di mana-mana dan memberi maklumat kepada pemimpin tentang segala keadaan yang melingkupimu. Jangan engkau berbuat sesuatu yang memberi kesan penyertaan kecuali dengan izinnya.

40. Hendaklah engkau sentiasa menjalinkan hubungan baik secara rohani mahupun fizikal dengan Jamaah dan menempatkan dirimu sebagai "tentera yang berada diberek yang sedang menanti arahan komander".

http://detikislam.blogspot.com/

Apa hukum sokong Manchester United?

Siaran langsung: Ustaz Hadi bukan macam Najib

Siaran langsung: Ustaz Hadi bukan macam Najib

Harakahdaily, 03 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Seharusnya kerajaan menimbangkan permintaan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS untuk menjelaskan isu amanat yang diucapkan pada tahun 1981 secara siaran langsung di televisyen tanpa dolak dalik lagi.


“Ini kerana, permintaan ini lahir dari hasrat Presiden PAS sendiri tanpa melalui sebarang syarat yang ketat dan sukar.

“Yang menghairankan, beliau diserang siang dan malam, kenapa kerajaan pula enggan membenarkan Presiden PAS itu tampil menjelaskan kenyataan beliau,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor kepada Harakahdaily.

Katanya, kesediaan Presiden PAS untuk bertemu di kaca televisyen menunjukkan beliau berjiwa besar dan sanggup berlapang dada untuk bersemuka  sekalipun menghadapi pelbagai risiko sabotaj oleh pihak lain.

Ini, katanya berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun berkali-kali didesak oleh rakyat.

Beliau berkata, permintaan Presiden PAS untuk ‘on air’ di televisyen ada rasionalnya kerana umum mengetahui media utama negara tidak pernah berpihak kepada pembangkang.

Tambahnya, apa sahaja boleh terjadi sekiranya rakaman dibuat dengan pelbagai manipulasi dan suntingan, lebih-lebih lagi ianya berlaku dekat dengan pilihanraya umum ke-13.

“Ada kebarangkalian keseluruhan ucapan Presiden PAS hanya tinggal beberapa minit sahaja selepas suntingan. Ini yang tidak diinginkan oleh Presiden PAS dan seluruh ahli PAS,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas dan jujur menangani isu amanat yang dikatakan mencetus polemik dan ‘perpecahan’ sesama umat Islam itu, mereka perlu memberi Presiden PAS peluang untuk memperjelaskannya.

Katanya lagi, kerajaan tidak perlu risau sekiranya kebenaran akan terserlah daripada siaran langsung itu.

“Jika Presiden PAS di pihak yang benar dan rakyat menerimanya, ia adalah untuk kebaikan umat Islam seluruhnya. Manfaat untuk umat Islam adalah lebih aula diutamakan daripada kepentingan politik sendiri,” ujarnya.

Rabu, 2 Januari 2013

sukan smk taman seri kluang 2012

Muhyiddin kudeta kuasa Najib?

Muhyiddin kudeta kuasa Najib?

Mohd Sayuti Omar, 02 Jan 2013

RENCAH FIKIR

Menjelang 1 Januari 2013 dengan rasminya Muhyiddin Yassin mengambil alih (kudeta) 'kekuasan' dalam Umno daripada Najib Razak tanpa menukar status jawatan. Ramai yang tidak terperasan transisi secara senyap ini. Malahan di dalam Umno sendiri ramai yang tidak tahu mungkin menafikan kalau diberitakan hal ini. Mereka mengira ketiadaan Najib dalam negara sejak 30 Disember ialah rutin biasa kerana bercuti di luar negeri.
Orang Umno apa lagi di peringkat bawahan begitu naif untuk membaca gerak dan gelombang dalam parti itu. Sebab itulah mereka mudah untuk diperdayakan oleh pemimpin mereka. Bagi tahu apa saja mereka akan percaya dan tidak terliur untuk 'mengogeh-ogehkan' apa saja diberi tahu. Kalau dikatakan ahli Umno taksub sampai peringkat hujung kasut mereka marah.

Selain itu mereka yang menyayangi Najib cuba membuat penjelasan pemergian Najib ke luar negara di akhir tahun adalah kebiasaan, untuk berihat atau release tension. Lagi pun kebetulan beliau ada misi perdagangan dalam mencari pelabur untuk membahkan pendapatan negara. Indeks perdagangan negara perlu dinaikkan untuk memberi tahu rakyat Najib layak dan ada wibawa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan. Najib kena lakukan dan membukti dia hebat dari Anwar Ibrahim kalau tidak dia akan ditolak oleh rakyat.
Setiap kali Najib ke luar negara dan menanda tangani MoU maka akan dihebohkan kononnya pelabur asing meningkat di negera ini. Kalau dihimpunkan jumlah atau nilai pelaburan asing ke negara ini yang dikatakan Najib rasanya negara sudah kelebihan modal dan rizab negara pun sudah lebih dari mencukupi. Anehnya kenapa pula negara memiliki hutang sebanyak RM476.68 billion?

Najib dikesan berada di luar negara pada hari 28 Disember, beliau sempat hadir menziarahi body Lim Keng Yaik. Sampai hari ini Najib masih lagi belum menampakkan kelibat batang hidung. Sebelum asap pembakaran body Keng Yaik habis berarak ke udara Najib dan isterinya sudah menghilang.

Ada juga desas desus mengatakan Najib mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan Umno di London. Mereka terdiri dari pengerusi perhubungan Umno. Antara yang ke sana ialah Noh Omar, Mustapa Mohamed, Zambry Abdul Kadir dan yang lain-lain. Pertemuan itu kononnya untuk finalis calon-calon Umno. Kok ya pun kenapa sampai ke London tidak bolehkah difinaliskan di dalam negara. Apakah masalahnya?

Biasanya kalau sesuatu bekalan atau bungkusan sylit itu dibawa jauh ke tempat asing besarlah masalah atau pun wap busuk yang ada dalam bungkusan itu pasti memeritkan hidung banyak pihak.

Pun begitu pertemuan itu tidak menjadi isu kerana ia ditenggelami dengan apa yang berlaku di dalam negara. Pemerhati sendiri tidak begitu terfokus kepada Najib tetapi lebih melihat apa yang berlaku dalam negara (Umno). Pemerhati sedang melihat gelagat dan juga tindak tanduk Muhyiddin memenuhi beberapa slog kenegaraan sementera Najib pulang.

Kemunculan Muhyiddin bersama isterinya, Noraini Abdul Rahman di malam mengira detik 12 malam memberi konotasi tersendiri. Tidak sepatutnya Najib masih berehat di luar negara atau shoping mega hujung tahun dengan Rosmah Mansor. Apakah shopping mega itu untuk menghabiskan wang yang diterima Rosmah dari pelbagai sumber komisen? Detik 12 malam tidak penting, namun sebagai PM Najib harus bersama rakyat mengobarkan semangat dan menggelombangkan aspirasi tahun baru.

Najib seharusnya mengepalai menanamkan azam untuk tahun 2013. Walaupun ada perutusan rasmi ia tidak mencukupi kerana rakyat mahukan sentuhan langsung. (Katanya perutusan Najib dipotong 15 minit dari time asal).

Atau apakah Najib sudah dapat merasai bahawa rakyat terutamanya generasi muda tidak begitu mengkaguminya jadi kehadirannya tidak dinanti. Mungkin Najib ingin mengelakkan malu sekali lagi seperti berlaku pada tahun lepas. Countdown detik 12 malam tahun baru yang dihadiri Najib tidak berapa ramai berbanding dengan majlis sama yang dihostkan oleh Azhar Idrus di Shah Alam. Jadi untuk tidak berulang aib itu lebih baik dia tidak bersama detik 12 malam untuk dia tidak dibandingkan sekali dengan Azhar Idrus.

Ketiadaan Najib dan diganti dengan Muhyiddin itu katanya ada sangkut paut dengan perkembangan terbaru di dalam Umno. Laporan terbaru mengenai prestasi UBN dan Najib tidak memihak kepada Najib. Najib yang sebelum ini dilaporkan oleh berbagai pusat penyelidikan yang menjadi pak angguk kepada Umno, memberi nilai dan graf tinggi kepada Najib.

Peratus popularitinya meningkat dari bulan ke bulan, kononnya jauh meninggalkan populariti bakal PM Anwar Ibrahim. Tetapi laporan lain yang boleh dipercayai pula mendapati populariti Najib menurun di bawah 50%. Satu laporan kajian disediakan sebuah Pusat Pengajian Tinggi baru-baru ini katanya palsu dan ia dibuat untuk mempengaruhi pemikiran umum serta menyedapkan hati Najib saja. Najib sendiri tahu akan kebenaran dan result kajian itu. Ada cerita mengatakan pengarah kajian itu kena sepak oleh pegawai Najib.

Penampilan Najib di perhimpunan agung Umno yang tidak begitu memberangsangkan turut memberi kesan kepada UBN. Antara punca utama ialah tiada apa-apa pembaharuan dan lonjakan semangat dilakukan Najib dalam perhimpunan agung Umno lalu. Najib dilihat gagal untuk membangkitkan semangat orang di luar Dewan Merdeka menerusi perhimpunan berkenaan. Perhimpunan ke 60 itu sendiri lunyah dan lemah tanpa bersemangat.

Tindakan Najib dan beberapa pemimpin lain terus menyerang dan menghina pemimpin Pakatan Rakyat tidak mendapat tindak balas memuaskan dari rakyat. Satu kajian sikap selepas itu mendapat kredibiliti Umno di tangan Najib semakin jatuh dan merendah ke bumi hina.  Orang ramai yang mengharapkan menjelamanya politik yang gentleman dan berdasarkan fakta kecewa degan Najib.

Selain itu pendedahan tauke karpet yang baik dengan Rosmah Mansor, Deepak Jaikishan turut memberi kesan buruk kepada Najib. Pendedahan itu menyebabkan rakyat mengenang kembali kepada kejadian yang menimpa jelitawan Altantuya Shaariibuu. Kegagalan Najib untuk menjawab dan menjelaskan menyebabkan rakyat mengesahkan bahawa apa-apa yang didedahkan oleh Deepak.

Najib sendiri terkaku tatkala isu itu didedahkan. Seluruh sendi dan ototnya menjadi lemah gemulai sebaik mendengar pendedahan itu. Orang yang dijadikan pendukung dan hambanya dalam politik, Ahmad Zahid Hamidi yang mula menunjukkan kejantanan beriya untuk menjawab apa yang didedahkan Deepak akhirnya diam membisu. Pembisuan Zahid itu menambahkan kecurigaan orang ramai kepada Najib dan menganggap apa didedahkan Deepak itu benar. Zahid hari ini jadi seperti tak ubah anak burung yang baru tetas yang tergelongsor dari sarangnya yang dibuat atas pokok tinggi. Kepanasan. Dia dikatakan melakukan kesilapan besar bila memberi reaksi terhadap pendedahan Deepak itu. Dalam politik kalau ada reaksi bermakna sesuatu itu ada prima facie.

Atas prestasi dan perkembangan baru itulah menyebabkan ada olak baru di dalam Umno. Ada konsensus kecil dibuat di kalangan tertentu bahawa Najib tidak mampu untuk mengemudikan pilihan raya umum akan datang. Masalah dan isu yang mengelilingi dirinya dan isterinya menjadi liabiliti kepada Umno. Justeru konsesus itu membuat keputusan orang lain hendak diletak di hadapan bagi mengelirukan rakyat bagi tidak menampakkan Umno bermasalah.

Dalam hal ini Muhyiddin telah diberi tugas dan tanggungjawab. Konsesus itu membuat penilaian kalau Muhyiddin duduk di hadapan menyebabkan rakyat tidak akan nampak Rosmah dan Altantuya serta Deepak. Muhyuddin pula setakat ini tidak ada isu-isu peribadi yang boleh menggeletek hati rakyat untuk diketawakan seperti mana rakyat mentertawakan Najib yang cuba menyembunyikan segala macam isu itu.

Dalam pada itu Mahathir Mohamad direstui memainkan peranan besar. Mahathir kini secara tidak langsung menjadi penasihat kepada pengarah pilihan raya BN, yang disandang oleh Muhyiddin secara kudeta dari Najib. Sebab itulah kini Mahathir bergerak ke hulu ke hilir memberi penerangan dan juga arahan. Demi untuk menang Mahathir terpaksa menambah beberapa jenis pil suplimen lagi untuk menjadi kesihatannya tidak terganggu. Katanya Mahathir sendiri mengakui kerjanya untuk memastikan UBN menang kali ini adalah paling kuat berbanding dengan kerja yang sama sebelum ini. "Saya tidak sesungguh hari ini untuk memenangkan BN," katanya.

Beberapa siri pertemuan dengan pimpinan bahagian atau pun entiti Melayu dan NGO yang kononya berjuang membela Melayu dan Umno juga diadakan. Hampir setiap hari program untuk Mahathir diatur. Lihat di media PB siapa yang kerap muncul hari ini, Mahathir atau siapa. Kekerapan Mahathir muncul dan ruang yang diperolehinya di tv lebih tinggi berbanding dengan pemimpin kanan Umno yang lain, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafei Apdal dan lain-lain. Mahathir seakan bertindak menjadi ketua pemuda, ketua wanita dan ketua puteri! Hebat.

Mengenai Najib di luar negeri, apakah dia sengaja untuk menguji keupayaan Muhyiddin dan Mahathir? Kalau benar seperti yang dijangkakan itu ia adalah satu kesilapan. Mahathir yang kini dianggap sebagai bomoh tua yang mampu mengubati sakit Umno dan menyihirkan orang Melayu tua dengan mitos dan bidaahnya sudah memperolehi momentum untuk bergerak terus mengatur strategi dan agendanya.

Apa dilakukan Mahathir dan Muhyiddin ialah untuk memastikan Najib tidak mengepalai pilihan raya. Sudah ada agenda di sebalik kerjakuat untuk kemenangan UBN itu adalah untuk menyingkir Najib dari menjadi perdana menteri. Mahathir ada perhitungan lain dalam hal ini, bukan dia begitu rindu sangat Muhyiddin jadi PM, tetapi dia mahu anaknya Mukhriz segera menduduki kerusi timbalan perdana menteri.

Kemenangan UBN bagi Mahathir bukan juga untuk menyelamatkan Najib, Rosmah dan lain-lain tetapi utamanya menyelamatkan dirinya sendiri. Kerana sudah pasti kalau UBN jatuh nasib Mahathir akan jadi seperti Hosni Mubarak atau Saddam Hussein ataupun para diktator lain. Yang terbayang di mata Mahathir kini bukan lembaga anaknya berada di kerusi TPM tetapi jerjak-jerjak besi, tirani.

Sesunggunya ketiadaan Najib sehari dua ini bukan satu kebiasaan tetapi ia perlu dilihat dengan penuh misteri. Ha guana Mat, Mat mana lagi Mat Maslan lah. Fikir Mat... - http://msomelayu.blogspot.com

Selasa, 1 Januari 2013

2013: Fajar untuk Negara Berkebajikan

2013: Fajar untuk Negara Berkebajikan

Syahir Sulaiman, 01 Jan 2013



Yang benar tidak terikat dengan waktu – Pak Hamka


Tanpa sedar, masa begitu pantas berlalu. Segala hiruk-pikuk 2012 yang ditinggalkan kekal menjadi batas tauladan baik dan buruk dalam kelangsungan rentak hidup yang kian pantas.


Pengundi muda pemangkin kebangkitan

Tahun 2013 bakal menjadi medan penentu kepada golongan muda untuk mencorak peta masa hadapan Malaysia.

Melihat kepada peningkatan pengundi baru dan pengundi muda yang dianggarkan sekitar 50% daripada jumlah pengundi berdaftar kali ini, keputusan penentu PRU13 jelas terletak di tangan pengundi muda di saluran tiga dan saluran empat peti undi yang pastinya teruja untuk memilih pemimpin yang mampu membawa sinar baru di Malaysia.

Cadangan daripada Ketua Penerangan PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, agar SPR mempamerkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat, amat bertepatan dengan demografi pengundi dan kematangan politik generasi muda yang tidak lagi termakan dengan agenda dan dakyah berbau perkauman.

“Berdasarkan data-data sedemikian, parti parti dan ahli-ahli politik akan berbicara mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum”, ujar beliau.

Robert Frost (1874-1963) ada mengungkapkan saranan untuk menempa perubahan di dalam syairnya yang popular, The Road Not Taken, “Dua denai yang tersimpang, dan aku.. aku memilih denai yang jarang ditempuhi, dan ia telah mengubah segalanya”.

Agenda mencorak masa depan

Dalam tempoh kritikal ini, kepimpinan pemuda di semua peringkat perlu melaksanakan apa yang disarankan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan, “Kita menyertai PRU-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan, insyaAllah.

Seluruh Pemuda PAS khususnya yang terlibat di Unit Pengundi Muda di peringkat JPRN, JPRK, JPRD, dan JPRU perlu tangkas bergerak mengikut perancangan dan strategi yang telah disusun.

Medan kita kini adalah untuk menyantuni generasi muda di padang dan gelanggang sukan, pasar malam mahupun uptown, dengan menyusun aktiviti anak muda secara berkala seperti aktiviti futsal, wayang pacak di pasar malam dan kaunter-kaunter semakan daftar pemilih.

Aktiviti kebajikan di semua peringkat perlu dipertingkatkan dengan gerakkerja ziarah dan bantuan kebajikan rakyat secara berterusan sebagai ‘Duta Penyelamat dan Kasih Sayang’ bersama dengan gerakkerja pilihanraya yang dikemudi Jabatan Pilihanraya di semua peringkat.”

Ini adalah selaras dengan ketetapan Halatuju Pemuda PAS untuk sesi 2011/2013 bahawa Pemuda PAS di seluruh peringkat perlu menggerakkan segala sumber yang ada ke arah mencapai 5 halatuju secara kolektif iaitu:

1) Menggerakkan pendaftaran dan menguasai sokongan pengundi muda

2) Mengoptimum penggunaan media baru bagi mendominasi pemikiran rakyat

3) Menampilkan PAS sebagai parti yang
prihatin dan pembela nasib rakyat

4) Membina dan menampilkan tokoh pemimpin muda negara

5) Memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan memposisikan PAS sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat.

Pemuda PAS harus sedar bahawa amanah yang terpikul di bahu adalah besar, bukan sekadar untuk memenangi pilihanraya, tetapi turut memikul amanah untuk mencorak kemenangan. Cabaran besar terhadap dayasaing kita pada hari ini bukan lagi bersifat ‘antara-pakatan’ (inter-coalition) tetapi turut bersifat ‘sesama-pakatan’ (intra-coalition).

Cabaran pasca UMNO/BN kelak lebih mencabar sifatnya kerana kita bukan lagi bersaing dengan penguasa diktator yang zalim lagi jelas kemungkarannya, tetapi kita berdepan dengan sahabat politik dan rakan NGO yang sama-sama bersaing dengan dasar yang berbeza bagi mengisi vakum yang bakal ditinggalkan oleh regim UMNO/BN.

Ketika itu, apa yang menjadi faktor penentu terhadap jatuh-bangun PAS dalam memposisi perjuangannya sebagai gerakan tarbiyah, dakwah dan siasah, bergantung kepada kompetensi dan integriti yang dipamerkan oleh kaderkader jamaah dalam mengemukakan corak dan bentuk bernegara yang lebih baik.


Justeru, ia bukan lagi suatu pilihan tetapi merupakan satu kewajipan yang sangat mendesak bagi setiap individu pemuda untuk menyerlahkan kekuatan dan kepakaran masing-masing, sehingga mampu membuktikan kepada rakyat betapa ‘malaikat tidak dikenali’ (the unknown angel) ini benar-benar mampu untuk diberikan amanah mencorak masa depan negara.

Ini adalah suatu kewajipan kolektif dalam merealisasikan secara praktikal agenda ‘Islam sebagai ad-Din’ dalam ruang dan peluang demokrasi di Malaysia.

“Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” (As-Saff: 13)


2013, fajar untuk negara berkebajikan, insyaAllah.



*Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM. Beliau mendokong agenda Mencorak Masa Depan berdasarkan gagasan Membangun Negara Berkebajikan.
1 Januari 2013