
Kadang-kadang
terfikir juga mungkin sah BN itu akan sampai usianya dan akan hilang
setidak-tidak beberapa tahun dari mentadbir kerajaan kita. Kalaulah
Najib berani memanggil pilihanraya setahun yang lepas keadaan meruncing
bagi beliau dan BN tidak akan sampai ke tahap sekarang ini. Dalam tempoh
kurang dari setahun ini terlalu banyak isu yang timbul. Justeru usaha
Najib untuk memberikan markah yang tinggi kepada BN telah terkandas
kerana isu yang bertimpa-timpa dihadapi oleh parti pemerintah itu
sekarang ini.
Jika kita bayangkan pilihanraya diadakan sepuluh bulan dahulu, tidak
akan ada isu NFC yang telah menggemparkan rakyat. Jika PRU diadakan
empat bulan yang lepas tidak akan timbul isu RM40 juta yang melibatkan
Musa Aman dan sebagainya. Jika dipanggil pilihanraya 3 bulan yang lepas
tidak akan timbul isu Deepak yang tampil membuat pengakuan penglibatan
Najib dan isteri dalam kes Altantuya dan akuan bersumpah
Balasubramaniam. Isu Deepak ini adalah isu yang amat sukar bagi Najib
untuk menguruskannya kerana ia amat hampir kepada apa yang diperkatakan
ramai di mana-mana sejak beberapa tahun dahulu.
Tetapi kita faham keputusan Najib untuk menangguhkan PRU itu ialah
untuk menyediakan keadaan yang sesuai dengan pemberian BRIM dan
berbagai-bagai imbuhan yang melibat rakyat yang ramai-ramai ini.
Seboleh-bolehnya Najib mahu membeli perasaan rakyat dengan
bermacam-macam hadiah tawaran untuk menyejukkan hati rakyat yang sudah
sampai suhu kepanasannya ke peringkat optima.
Tetapi segala usaha itu telah terencat kerana dalam pada Najib
berusaha untuk menunjukkan kebaikan beliau tidak dapat menahan arus isu
yang merencat dan merosakkan imej beliau sebagai pemimpin utama negara
dan seterusnya menjejaskan prestasi BN dalam menghadapi pilihanraya ini.
Tiga isu yang terakhir ini telah memusnahkan harapan Najib untuk
menghadapi pilihanraya kali ini dengan keyakinan yang tinggi.
Tidak tahu kenapa Najib belum lagi mendapatkan apa-apa kejayaan untuk
politik UMNO dan BN setakat ini. Perdana Menteri kita ini masih belum
mendapatkan keserasian sebagai Perdana Menteri negara. Hasil dari
perasaan kurang keyakinan beliau itu maka beliau merupakan seorang
‘unelected Prime Minister’ dan belum lagi mendapat ‘endorsement’ yang
sepatutnya beliau perolehi dalam beberapa bulan sahaja selepas beliau
mengambil alih kuasa dari Abdullah Badawi. Oleh kerana beliau tidak
berani melakukannya secepat yang mungkin maka Najib telah terlepas
peluang untuk membuktikan sokongan rakyat kepada beliau.
Keadaan ini berlaku kerana Najib itu sendiri yang berhadapan dengan
berbagai-bagai isu terhadap parti dan kerajaan serta isu peribadi yang
terlalu besar untuk di selesaikan. Lepas satu isu timbul satu isu lain.
maka beliau telah cuba untuk menutupi isu-isu yang beliau hadapi dengan
memberikan berbagai-bagai galakan untuk rakyat bagi mendapatkan
sokongan mereka (rakyat).
Kerana isu terhadap parti dan kerajaan serta isu-isu peribadi beliau
maka kerajaan terpaksa berbelanja dengan wang rakyat yang tidak kurang
besarnya dalam keadaan kewangan negara yang kini amat meruncing.
Pendeknya untuk mengekalkan kuasa BN ini kosnya adalah terlalu tinggi.
Kalau hendak dikira di bawah pentadbiran Najib hutang negara telah
mencecah dua kali ganda semasa beliau mengambil alih dari Abdullah
Badawi. Pertambahan ini berlaku hanya dalam tempoh tiga tahun sahaja dan
kini hutang negara sudah melebihi RM500 billion. Jumlah ini tidak
termasuk hutang-hutang melalui ‘off-budget agencies’ yang berjumlah
RM120 billion.
Saya selalu berkata jika pimpinan negara lemah tetapi bernafsu lagi
untuk mengekalkan kuasa inilah jadinya. Setiap kelemahan pimpinan itu
akan melibatkan kos kerana cara untuk mengekalkan kuasa ialah dengan
berbelanja secara ‘lavish’ untuk membeli hati dan jiwa rakyat. Pimpinan
tidak disokong kerana kemampuan mereka , tetapi disokong melalui
pembayaran hati dan jiwa rakyat. Mereka sanggup berbelanja dengan begitu
boros dan itu dikatakan sebagai kerajaan yang mendahului rakyat. Mereka
beranggapan wang rakyat itu adalah wang UMNO dan BN.
BN tidak peka dengan tanggungjawab mereka terhadap negara. Jika
ditengok dari sudut ekonomi pula hanya mereka yang berjaya menjadi kroni
sahaja yang mendapat peluang dengan berniaga secara ‘monopolistic’.
Tiada langsung di kalangan kroni yang hampir dengan UMNO sanggup untuk
bersaing tetapi mereka mengambil kesempatan untuk berniaga secara
‘monopolistic’ kerana dengan cara itu mereka akan mendapat keuntungan
yang besar tanpa bersaing. Hanya kumpulan ini sahaja yang akan maju dan
mereka inilah merupakan ‘recipient’ yang terbesar dari gerak dan usaha
rakyat yang menyokong UMNO dan BN selama ini.
Orang ramai tetap seperti biasa dan hanya menunggu untuk berbaris
menerima wang BRIM yang akan dibahagi-bahagikan oleh pimpinan UMNO dan
BN tidak lama lagi. Jumlahnya hanyalah sejemput sebagai upah menyokong
UMNO untuk kepentingan pimpinan dan kroni-kroni mereka. Syed Mokhtar
tidak payah bersusah-payah dan beliau hanya mengambil keuntungan dari
kepimpinan kita. Begitulah manusia bernama Ananda Krishnan dan beberapa
orang yang lain.
Mereka ini tidak payah bersusah-payah untuk berjuang dengan bermasam
muka sesama kita di bawah ini. Mereka hanya mengaut segala nikmat
perjuangan rakyat termasuk perjuangan ahli-ahlu UMNO sendiri.
Pejuang-pejuang UMNO hanya mendapat BRIM sedangkan yang tidak berjuang
mendapat segala-galanya. Mereka ini hanya perlu membodek dan mengampu
pimpinan sahaja. Kedudukkan di antara pemimpin serta kroni UMNO jika
dibandingkan dengan penyokong-penyokong mereka di bawah yang berjuang
ini tidak ubah seperti cerita 'Di Antara Dua Darjat' sahaja.
Kita di bawah hanyalah menjadi mangsa maki hamun pemimpin dan segala
apa yang kita buat dan perkatakan di bawah ini dianggap sebagai
petualang dan semua ‘superlatives’ yang buruk-buruk ditempelkan kepada
kita. Kita hanya dijadikan sebagai keldai yang ditenggek dan ditunggang
oleh kroni dan tauke-tauke besar yang diwujudkan oleh UMNO dan BN.
Rakyat diperhambakan sedemikian rupa dan hendak bercakap menentangnya
tidak dibenarkan.
Sesungguhnya UMNO bersama parti-parti komponennya hanyalah seperti
sebuah kelab yang eksklusif semata-mata untuk keuntungan besar bagi
mereka yang tidak pernah merasakan susah dan peritnya mempertahankan
UMNO selama ini.
Itulah sebabnya orang Melayu tidak akan merasa bersalah jika tidak
menjadi ahli dan penyokong UMNO kerana lebih dari lapan juta orang
Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO tetap hidup subur dan mempunyai
keyakinan yang tinggi. Di sebaliknya mereka yang menjadi penyokong tegar
UMNO itu pula yang tidak berani bertindak dan tidak mempunyai fikiran
yang jelas kerana dikongkong oleh momokan UMNO terhadap parti-parti
pembangkang selama ini.
Mereka yang bergiat secara aktif dalam UMNO itu sedang bermasam-masam
muka di antara satu dengan lain kerana isu siapa yang akan menjadi
calon di tempat dan kawasan masing-masing merupakan isu yang sangat
besar sekarang ini. UMNO mati kaku selagi mereka tidak tahu siapa yang
akan diturunkan sebagai calon.
Itulah sebabnya saya selalu mencadangkan supaya biarkan sahaja
parlimen terbubar dengan sendirinya. Tidak payah Najib membubarkannya.
Sama ada Najib membubarkan Parlimen atau terbubar dengan sendirinya ia
akan membawa ‘consequence’ yang sama juga……iaitu berkemungkinan kalah
buat kali pertamanya.
Penyokong-penyokong UMNO yang tegar tanpa
mempunyai pemikiran akan memaki hamun saya kerana kenyataan saya ini,
tetapi apakan daya yang benar itu sememangnya perit untuk ditelan. Apa
yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com/