Selasa, 4 Disember 2012

Ke mana sistem kewangan Islam di Malaysia?

Ke mana sistem kewangan Islam di Malaysia?

-, 04 Dis 2012



Akta Perkhidmatan Kewangan Islam, 2012 (APKI), telah pun dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Terdahulu Akta Perkhidmatan Kewangan (APK) diluluskan utuk menggantikan BAFIA, Akta Kawalan Pertukaran Asing, Akta Insuran dan Akta Sistem Pembayaran.

APKI pula untuk menggantikan Akta Perbankan Islam dan Akta Takaful. Kedua-dua akta yang dimansuhkan ini akan diletakkan di bawah akta baru ini.

Tujuan pengenalan akta-akta baru ini adalah untuk menyelaraskan undang-undang sedia ada sekaligus memangkin pertumbuhan Malaysia sebagai hub kewangan antarabangsa.

Tidak dinafikan bahawa Malaysia adalah antara negara ummat Islam yang banyak berperanan mendayakan dan mengarusperdanakan Kewangan Islam.

Usaha-usaha perintis tentunya merujuk seawal penubuhan institusi Tabung Haji dalam tahun 1969, seterusnya penubuhan Bank Islam pertama pada tahun 1983 sehingga terkini cadangan menubuhkan Mega Bank Islam.

Kemelut kewangan antarabangsa mutakhir ini, khasnya kemelut kewangan di Amerika, krisis zon Euro yang menyaksikan Greece, dan terkini Itali dan Sepanyol juga di ambang kebankrapan, meletakkan Kewangan Islam kembali mendapat perhatian.

Sebut-sebutan bahawa Kewangan Islam mampu mengambil alih dan diarusperdanakan menjadi teras kewangan antarabangsa sudah tidak lagi menjadi rahsia dan ditakuti masyarakat antarabangsa.

Pun begitu malangnya, Kewangan Islam belum lagi difahami betul-betul oleh ummat Islam sendiri.

Lebih malang kalau penganjur dan penaja Kewangan Islam sendiri masih belum berpuashati tentang kefahamannya oleh pihak penguasa politik dan pemerintah.

Kegagalan menghayati tasawur dan tujuannya, meletakkan ‘Maqasid (Matlamat) Kewangan Islam’ ini tidak mampu dicapai. Penulisan ini dibuat bertujuan memaparkan aspek ini.

Umumnya Kewangan Islam difahami sebagai satu ‘industri berorientasi pencegahan’ atau ‘prohibition-oriented industry’.

Kewangan Islam lazimnya diertikan dengan mencegah Riba, Gharar (Penipuan) dan Masyir (spekulasi) dalam transaksi serta kontrak dan mengelakkan dari terlibat dalam pelaburan serta pembiayaan sektor dan perniagaan ‘haram’.

Lebih khususnya lagi, sisi-sisi pandang mengikut kerjaya dan pengkhususan juga turut mewarnai kefahaman dan persepsi tentang Kewangan Islam.

Seorang pengamal undang-undang, seorang ahli ekonomi, seorang ‘regulator’ dan seorang penasihat Syari’ah punya perspektif masing-masing.

Justeru amat mustahak untuk ummat ditegaskan kembali ‘Apa itu Kewangan Islam’? Lebih penting,‘Bagaimanakah Kewangan Islam seharusnya berperanan membangunkan ummat dan negara’?

Penulis juga akhirnya akan memaparkan bagaimana, dalam usaha penguasa dan pemerintah menaja Kewangan Islam, amalan tadbir-urus dalam negara tampak semakin mengalami percanggahan dengan prinsip-prinsip Syari’ah dan tadbir-urus Islam dengan laporan Ketua Audit Negara dan pendedahan pelbagai skandal kewangan.

Wajar ditegaskan Kewangan Islam bukan hanya untuk mengelakkan muamalat atau transaksi pengurusan perniagaan yang bebas unsur-unsur riba, gharar dan spekulasi.

Sudah sampai waktunya Kewangan Islam ini kembali diletakkan berperanan untuk sentiasa mencapai ‘Maqasid Syari’ah’ itu sendiri khasnya ‘Pemeliharaan Harta’ atau Hifzul Maal.

Malah lebih fundamental dan luas dari itu Kewangan Islam mesti juga diletakkan berperanan dalam kerangka untuk mencapai ‘Maqasid Syariah’atau Matlamat-Matlamat Syariah yang lebih luas yakni ‘Keadilan (Justice), Kemakmuran (Prosperity) dan Kelestarian (Sustainability).

Sudah sampai waktunya satu ‘penilaian kritikal’ dibuat terhadap matlamat yang seharusnya dicapai oleh perlaksanaan Kewangan Islam ini di segi kayu ukur kemakmuran rakyat dan tadbir-urus yang menjadi lebih bersih, beretika, bebas rasuah serta salahguna kuasa.

Syariat Islam terbahagi kepada dua jenis hukum hakam yang bersifat Kekal (Thawabit) dan Berubah (Mutaghyyirat).  Muamalat tergolong dalam hal perkara yang bersifat “Mutaghayyirat”.

Meniliti perkembangan Kewangan Islam menyerlahkan betapa Syariat Islam itu adalah sangat  anjal (flexible) dan berdaya-maju (dyamics).

Dengan gandingan pelbagai pihak serta penubuhan beberapa badan penting terkini seperti MIFC (Malaysian International Islamic Financial Cetre), ISRA (BNM), ASAS (Association of Syariah Advisors), pacuan pengembangan Kewangan Islam terus diterokai.

Ini mengizinkan pembangunan produk-produk kewangan Islam secara inovatif dan agresif dalam dekad-dekad mutakhir.

Pengukuhan amalan perbankan, pasaran kewangan dan pelaburan Islam berlaku ketika wujudnya pelbagai produk yang mampu memenuhi pelbagai keperluan instrumen pelaburan dan kecairan (liquidity).

Permintaan yang meluas serta produk yang diterima di peringkat global dengan peraturan yang kukuh juga turut menstabilkan pasaran keseluruhannya.

Justeru, perkembangan dan inovasi dalam industri kewangan adalah sangat pesat samada dalam produk  sector perbankan,insuran, pasaran saham, pasaran wang termasuk terkini derivatif  yang “Patuh-Syariah” atau “Syariah-Compliant”.

Pun begitu, kelangsungan perkembangan kewangan Islam terkekang dengan pelbagai faktor. Antara yang menghalang kepesatannya ialah kewujudan modal insan yang terlatih dan berkepakaran – skilled human capital.

Penjanaan produk baru adalah satu usaha menuntut sumber yang lebih besar dari kewangan konvensional. Adalah diakui pelbagai pihak pengamal Kewangan Islam sendiri, bahawa ketika Institusi Perbankan Islam (IPI) ini terpaksa juga menggunakan pakar institusi perbankan kovensional, produk-produk yang terhasil tidak dapat tidak adalah sebahagian besarnya ‘Syariah-Compliant’ dan bukan sebenar-benarnya produk Syariah.

Ini membawa kita kepada contoh produk Sukuk Bai’ Bithaman Ajil (BBA) yang diizinkan oleh Majlis Penasihat Syariah atau Syariah Advisory Council (SAC), Bank Negara Malaysia.

Namun Sukuk BBA ini adalah tidak diterima dan tidak diluluskan (prohibited) oleh badan “Accounting and Auditing Organisation for Islamic Finance Istitutions (AAOIFI) justeru kerana ‘aqadnya’.

Badan ini mengenalpasti bahawa ‘Aqad’ atau ‘Contract’ yang melandasi Sukuk BBA itu adalah aqad ”Bai Al-Inah” yang sifat kewangannya ialah “Ribawi” atau ‘riba-based financing’.

Pembelian semula asset oleh cotohnya pihak mudharib semasa matang sukuk tersebut pada harga nominal, mengandungi unsur ribawi.

Amat mustahak bagi pengamal Kewangan Islam, berbeza dengan kewangan konvensional, yang mesti meletakkan pelbagai langkah-langkah kawalan dan pemantauan supaya ia tidak terdedah kepada salah-laku mereka yang mahu memanipulasi pasaran kewangan dan sebagainya.

Ini membawa kepada topik yang terakhir dalam penulisan ringkas ini.

Sesungguhnya, Kewangan Islam adalah satu juzuk penting dalam mengatursusun kehidupan ummat yang telah disyariatkan oleh Allah SWT.Kewangan Islam juga berpaksikan nilai moral Islam yang tinggi sebagai ‘Moral Compass’ yang bertanggungjawab membenteras segala tabiat yang curang dan khianat.

Penghayatan Etika yang murni ini akan dapat menangani amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemborosan, pembolotan kekayaan di kalangan segelintir manusia rakus dengan cara monopoli, kronisme dan pengepungan (kartel) dan pengherotan pasaran.

Wajar bagi ummat Islam khasnya dan rakyat seluruhnya, membuat penilaian secara kritis, ikhlas, terbuka dan berani, supaya tadbir-urus kewangan dan pembangunan ekonomi di negara dilakukan dalam etika dan semangat ruh syariat Islam.

Ataukah sebaliknya, sementara kita ghairah memacu pengembangan amalan Kewangan Islam, negara ini semakin tercabar kewibawaan dan integritinya kerana kebejatanrasuah dan salah guna kuasa yang endemik atau semacam tidak dapat dibendung lagi.

Kejatuhan kedudukan dalam ‘Indeks Persepsi Rasuah’ (CPI) negara di peringkat antarabangsa adalah petanda buruk bagi kita.

Hakikat wujudnya kesenjangan atau jurang kaya-miskin yang terus melebar dan pembolotan kekayaan negara yang juga semakin terserlah, mengesahkan bahawa Matlamat murni Kewangan Islam danEkonomi Islam itu masih jauh untuk direalisasi dan didayakan.

Jangan hanya sukuk atau bon yang diterbitkan sahaja ‘komplian-syariah’ atau Patuhi Syariah, tetapi amalan dan tadbri-urusnya bobrok dan melanggari good-governance atau tadbir-urus Syariah seumpama yang mencetuskan skandal kes PKFZ dan berhubung kegagalan pengurusan Pelabuhan Antarabangsa Tuna Malaysia di Batu Maung oleh Malaysia International Tuna Port Sdn Bhd dan Bindforce Sdn Bhd.

Selama skandal NFC menjadi ‘lambang penularan tadbir-urus buruk’ yang dilakukan oleh golongan yang memilikki kuasadan PKFZ sebagai mercu-tanda keberanian ‘perkongsian rompakan pihak penguasa politik pemerintah’, maka cita-cita Matlamat Kewangan Islam untuk membangunkan negara dan rakyat yang makmur dan sejahtera akan terus dicabar dan tersudut.


* Dr Dzulkefly Ahmad adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Pusat.

Isnin, 3 Disember 2012

Berperanglah dengan Deepak dahulu sebelum PR

Berperanglah dengan Deepak dahulu sebelum PR

Abdul Aziz Mustafa, 03 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berperanglah dahulu dengan Deepak Jaikishan sebelum berperang dengan Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Pergi bawa Umno dia berperang dengan Deepak dulu, dah menang dengan Deepak baru datang berperang dengan kita (PR).

"Kalau dengan Deepak pun tak boleh menang perang dan tak berani jawab sepatah pun, tak usahlah cakap lebih-lebih nak berperang dengan PR," katanya.

Dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno, Najib mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap PR dengan laungan slogan anti-PR.

Deepak kini dilihat memerangi Najib dengan pelbagai tuduhan terutama tuduhan yang amat jelas berkaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Deepak bukan memerangi ketua Umno cawangan tetapi Presiden Umno yang juga Perdana Menteri.

"Tentulah beliau mempunyai asas yang sangat kuat untuk berbuat demikian," kata Mohamad.

Beliau juga menyifatkan isu yang berlaku kini bukan isu Najib semata-mata tetapi isu yang melibatkan keburukan Umno yang sekaligus menjejaskan nama baik negara.

"Bukan isu serangan Deepak terhadap Najib sahaja tetapi ia juga mempunyai kaitan yang rapat dengan pendedahan (bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri) Musa Hassan bahawa (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) campur tangan dalam siasatan polis.

"Campur tangan dalam siasatan polis bermakna Umno melalui menterinya menafikan keadilan untuk rakyat.

"Jika Umno menang lagi, tidak ada jaminan menteri Umno tidak campur tangan dalam siasatan polis terhadap tuduhan Deepak ke atas Najib," kata Mohamad.

Beliau berkata, kalau konstabel polis sekalipun yang membuat pendedahan, rakyat perlu mengambil kira dan memastikan kebenarannya.

"Ini bukan OCPD Baling yang buat pendehan, ini pendedahan bekas Ketua Poilis Negara.

"Lebih dari itu, ini bukan pertama kali dia mendedahkan campur tangan menteri Umno dalam siasatan polis," kata beliau.

Meskipun demikian, kata Mohamad, Hishammuddin hanya menepis pendedahan Musa itu dengan mendakwa semua itu bertujuan untuk mengalihkan tumpuan ahli-ahli Umno dalam perhimpunan agung mereka.

"Itu jawapan tipu tanpa asas.

"Dalam kes Deepak membisu, dalam kes Musa pula menipu," katanya lagi.

Menangislah kerana takut Allah

Menangislah kerana takut Allah

Detik Islam, 03 Dis 2012
Mengapa kadang-kadang kita menangis, dan siapa yang menetapkan fitrah (naluri) ini kepada kita yakni fitrah menangis? Seorang bayi sejak lahir ke dunia ini kita melihatnya menangis dan seseorang yang rapat dengan kita juga menangis. Maka menangis adalah fitrah Allah ciptakan pada diri manusia, dan kebanyakan orang-orang jahil meyakini bahawa menangis tidak ada manfaatnya. Akan tetapi terdapat beberapa kajian untuk membuktikan kebalikan dari keyakinan orang-orang jahil tersebut.

Dalam al-Quran menyebutkan bahawa menangis adalah sifat yang baik namun dengan syarat bahawa menangis itu kerana rasa takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Beberapa pakar psikologi melontarkan satu idea "Perubatan Dengan Menangis"

Seperti dilaporkan dari laman Al-Sofwa, satu penyelidikan dilakukan oleh para penyelidik AS dan Belanda menemui kebaikan di sebalik menangis bahawa kebanyakan orang merasakan bertambah baiknya perasaan mereka setelah menangis dan pada saat yang sama, hanya satu orang dari 10 yang keadaanya adalah buruk selepas itu (selepas menangis ).

Ahli psikologi dari University of South Florida, AS dan Universiti Tilburg, Belanda mendapati bahawa orang yang menangis dan mengeluarkan air matanya merasakan bertambah baiknya perasaan mereka.

Sebaliknya, tercatat bahawa sekitar satu pertiga daripada 3,000 orang yang mengikuti kajian tersebut, perasaan mereka tidak baik selepas menangis. Hasil kajian ini diterbitkan dalam American Journal of Psychology - mengaitkan antara manfaat menangis dengan tempat dan waktu menangis tersebut. Kajian ini melihat bahawa menangis memberikan kesan menenangkan, seperti pernafasan yang menjadi lambat dan hal ini dapat mengurangkan kadar denyutan jantung. Para penyelidik menganggarkan bahawa hal inilah menyebabkan mengapa manusia mengingat perkara yang positif selepas menangis dan menghidari perasaan tegang.

Para penyelidik melakukan penyelidikan mengenai tangisan di makmal dan mereka mendapati bahawa kebanyakan hasilnya adalah perasaan yang buruk. Mereka merumuskan bahawa sebabnya adalah keadaan tegang, imaginasi dan pemantauan. Hal-hal demikian akan menimbulkan perasaan-perasaan negatif yang menghalang kebaikan yang positif berkaitan dengan menangis.

Kajian ilmiah ini menguatkan apa yang ada dalam kajian sebelum ini, tentang manfaat menangis yang dirasakan oleh para penyelidik di bidang psikologi. Namun para penyelidik tersebut tidak mengetahui cara menangis yang betul dan berkesan!

Menangis kadang-kadang boleh menjadi ubat untuk banyak penyakit, tetapi dengan syarat bahawa tangisan tersebut disebabkan rasa takut kepada Allah. Dan itulah yang dikhabarkan al-Quran, dengan firman-Nya ketika menceritakan tentang orang-orang beriman yang khusyuk 'yang hati mereka merasakan pengaruh dari firman Allah, apa reaksi mereka? Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman tentang mereka:

"Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Surah al-Israa' :  ayat 109)

Lihatlah bagaimana penjelasan Ilahi ini mengaitkan antara menangis dengan khusyuk. Maka kedua-duanya adalah cara yang terbaik untuk mengubati penyakit mental.

Menangis disebabkan rasa takut kepada Allah menambah kekhusyukan dan ketakutan kepada Allah pada diri seorang yang beriman, dan membuatnya lupa kepada kesedihan, dan kebimbangan-kebimbangan lain.Mengapa hal ini terjadi? Orang yang dipengaruhi oleh firman Allah dan membayangkan kegerian hari kiamat serta mengingat kebesaran Sang Pencipta, nescaya akan dapat menghindari masalah dan kesedihan yang dihadapinya sehingga dia lupa akan masalahnya.

Ini adalah langkah pertama dalam proses menyelesaikan masalah apapun yang dihadapi iaitu dengan melihat masalah ini sebagai sesuatu yang remeh dan boleh diselesaikan sehingga dengan demikian dia akan mudah menyelesaikan masalah tersebut. Perkara ini telah ditegaskan oleh pakar psikologi dan program neuro-linguistic tentang penyelesaian masalah dan kesukarannya.

Oleh itu, Allah menyebutkan berkaitan "menangis" pada beberapa ayat di dalam al-Quran. Dia menjadikannya sebagai tempat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan sebagai indikasi kejujuran seorang mukmin takutnya kepada Sang Pencipta, Yang Maha Berkuasa. Allah berfirman:

“Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan? Oleh hal yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu) dan beribadatlah kamu kepada-Nya (dengan sepenuh-penuh tauhid).”(Surah An-Najm: ayat 59-62)

Maka dalam nas al-Quran ini, Allah memerintahkan kita untuk menangis kerana takut kepada-Nya dan agar kita menjauhi perkara sia-sia serta menjauhi banyak ketawa. Hal itu tidak menghalang kita daripada tersenyum yang juga tergolong sebagai ubat (untuk mengubati kesedihan dan masalah).

Sesungguhnya menangis,, khusyuk, dan doa adalah resipi yang bagus untuk mengubati ketegangan jiwa. Kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita termasuk antara golongan yang Allah berfirman tentang mereka:

"... Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami. " (Surah al-Anbiyaa : ayat 90)


Oleh itu, perlunya kita pada zaman ini berdoa, khusyuk, dan tangisan yang disebabkan kerana rasa takut kepada Allah.

Semoga Allah melepaskan kesedihan kita dan memberikan kesabaran kepada kita kerana tidak ada pemberian daripada Allah yang lebih luas berbanding kesabaran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

http://detikislam.blogspot.com

Merayu: Najib minta maaf, Mahathir menangis

Merayu: Najib minta maaf, Mahathir menangis

Harakahdaily, 03 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Taktik meminta maaf adalah taktik baru Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih merayu supaya rakyat sekali lagi memilih BN di dalam PRU13 nanti.
“Kalau dulu Tun Mahathir menangis untuk menarik simpati.

“Apakah tidak cukup 55 tahun rakyat beri amanah kepada Umno BN?” tanya AJK PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu kenyataan.

Justeru, ujrnya Najib perlu ingat bahawa pengundi sekarang adalah pengundi bermaklumat dan mereka mahu kerajaan yang telus dan amanah.

Katanya, ketika Najib meminta mandat dan memohon maaf,  longgokan masalah yang dihadapi oleh rakyat tidak diselesaikan.

Antaranya, kata beliau hutang negara tahun 2012 berjumlah RM502 bilion, meningkat 107.4 % sejak lapan tahun (2004), seramai 10,200 graduan pendidikan masih tidak ada penempatan di samping 8,000 lulusan jururawat tidak ada kerja sementara 1,118 juruterbang yang berlesen tidak ada kapal terbang untuk dibawa.

“Apa khabar wang RM40 juta yang diberi kepada Musa Aman oleh Michael Chia untuk tabung Umno Sabah, isu NFC masih tidak berkesudahan, pendedahan Tan Sri Musa Hassan yang mengatakan tugas polis diganggu oleh menteri, rakyat lagi sakit hati,” katanya.

Beliau menambah, rakyat tidak boleh berdiam diri untuk membiarkan BN merosakkan masa depan negara, justeru Umno BN perlu dihukum untuk menamatkan keangkuhan mereka.

Katanya, kedaulatan rakyat dan kesejahteraan negara tidak akan  tercapai jika pemimpin dan BN masih berkuasa.

Menurutnya, pencapaian kerajaan Pakatan Rakyat terbukti di pandangan mata rakyat mampu mentadbir kerajaan pusat walau pun terpaksa berdepan dengan berbagai halangan.

“Ini meyakinkan lagi Umno tidak boleh dimaafkan untuk kali ini,” tegasnya.