Rabu, 21 November 2012

Apa makna kecam Israel tetapi tidak iktiraf Hamas

Apa makna kecam Israel tetapi tidak iktiraf Hamas

Harakahdaily, 21 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan kerajaan Malaysia kerana masih enggan mengakui kerajaan Hamas sebagai kerajaan dan pertubuhan yang sah mewakili rakyat Palestin.
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata Kerajaan Malaysia seperti menghina hak rakyat Palestin yang memilih kerajaan Hamas mewakili seluruh rakyat Palestin.

“Apakah ertinya kerajaan Malaysia meluluskan kecaman terhadap Israel tetapi dalam masa yang sama enggan mengiktiraf kerajaan Hamas yang telah dipilih oleh rakyat?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Dalam hal ini, ujarnya DPPM merasa kesal kerana kerajaan Malaysia menganggap Hamas sama seperti Pakatan Rakyat di Malaysia serta negeri-negeri yang diperintah oleh PR seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang dilayan seperti warga kelas kedua.

Justeru, katanya DPPM mengingatkan kerajaan supaya jangan bersikap bermuka-muka dalam mengangani isu Palestin.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya bertindak lebih agersif dan serius dalam menangani keganasan terhadap bumi Gaza.

Menurutnya, setakat kecaman bukanlah suatu tindakan yang konkrit dan meninggalkan kesan mendalam terhadap Israel.

Beliau berkata, Kerajaan perlu bertegas sebagaimana yang dilaungkan oleh Presiden Mesir, Dr Muhammad Mursi serta Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan yang memberi amaran keras terhadap Israel.

Justeru, kata beliau DPPM mendesak supaya kerajaan Malaysia bersama negara umat Islam yang lain di bawah OIC untuk memberi amaran keras terhadap Israel serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan menghantar tentera bagi membantu perjuangan umat Islam Palestin.

“Sudah sampai masanya negara umat Islam dibebaskan dari belenggu ketakutan terhadap Israel dan naungannya, Amerika Syarikat,” tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM.

Antara kejayaan UPSR dengan beban PBS

Antara kejayaan UPSR dengan beban PBS

Nasrudin Hassan, 21 Nov 2012
Pemuda PAS ingin merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada murid-murid yang berjaya di dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan baru-baru ini. Syukur Alhamdulillah kita panjatkan ke hadrat Ilahi di atas nikmat kejayaan yang diberikan. Kepada mereka yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan, peperiksaan ini bukanlah penamat segala-galanya. Tanamkan iltizam baru dan terus belajar dengan gigih untuk lebih berjaya di masa akan datang.
Pada masa yang sama, semua pihak mesti mengiktiraf usaha bakti yang telah dicurahkan oleh para guru untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kita. Kita sedia maklum akan bebanan tugas guru yang amat berat. Maka sewajarnya pihak Kementerian Pelajaran mengambil tindakan penyelesaian segera di atas keluhan warga guru yang rata-ratanya merasa terbeban dengan perlaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Di bawah Transformasi Pendidikan yang dicanangkan kerajaan, warga guru kini bukan sekadar mentaksir keupayaan akademik pelajar di peringkat sekolah malah diminta untuk membuat taksiran sumatif peringkat pusat di samping pentaksiran psikometrik dan pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan ko-kurikulum.

Tidak cukup dengan tambahan skop pentaksiran yang perlu dilakukan, segala urusan merekodkan data pentaksiran  juga dilakukan oleh warga guru. Bayangkan berapa ratus data yang harus dimasukkan oleh para guru! Lebih menambahkan stres apabila sistem atas-talian Kementerian yang mesti digunakan oleh para guru untuk membuat input data seringkali gagal diakses pada waktu kritikal.

Apa yang membimbangkan kita, dengan sebegitu banyak kerja yang dibebankan ke atas warga guru dan sebegitu banyak pula maklumat yang dikumpulkan melalui PBS, adakah wujud usaha profesional berterusan untuk mengolah data yang diperolehi bagi tujuan menambahbaik sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah?

Yang pasti, tumpuan warga guru terhadap usaha pengajaran menjadi terjejas akibat dari sistem yang dipaksakan oleh pihak Kementerian akibat dari para guru kini menumpukan lebih banyak masa untuk urusan perkeranian dan pentadbiran. Mengambil kira apa yang berlaku, ternyata usaha memperkasa profesion perguruan dan menginsankan pentaksiran (humanizing assessment) cumalah sekadar slogan kosong.

Sekiranya benar telah wujud projek rintis yang melibatkan 500 buah sekolah sebelum PBS dilaksanakan, maka seharusnya masalah-masalah ini telah pun dikenalpasti dan diselesaikan. Hakikatnya, strategi pembaharuan yang dilakukan oleh pihak Kementerian gagal menanggapi realiti perlaksanaan di peringkat sekolah-sekolah dan cuma nampak gah di atas kertas.

Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

lebih 40 kmj dibaling batu

  lebih 40 kmj dibaling batu

http://omakkau.blogspot.com, 21 Nov 2012

ALTERNATIF TERBAIK GANTI AES??????..LAJU MELEBIHI 40KM/J AKAN DIBALING DENGAN BATU!!!!!


Satu notis dan papan tanda yang menarik admin untuk dikongsikan.

Betapa penduduk tempatan menggunakan daya kreatifnya untuk memberi peringatan kepada para pengguna jalan raya agar jangan terlalu laju memandu kenderaan di kawasan perkampungan mereka.

Sekurang-kurangnya  memberi rasa gerun dan cuak pada tuan punya kenderaan supaya lebih menghormati penduduk kampung.

Gambar paling menyayat hati dari bumi Gaza

Gambar paling menyayat hati dari bumi Gaza

http://addin77.blogspot.com, 21 Nov 2012
Pernah tak kita terbayang situasi ini berlaku di Malaysia? Ketika anak-anak kita masuk kelas, kawan di sebelah mati syahid di usia muda akibat kekejaman Yahudi.

Inilah yang dilalui oleh anak-anak Palestin di Gaza... Kini Gaza terus menerus di serang oleh tentera Yahudi laknatullah.

Kita sebagai umat Islam wajib membantu setakat mana termampu. Yang paling penting adakan solat hajat, sentiasa baca qunut nazillah dan berdoa bagi kesejahteraan umat Islam di Palestin.

Kepada masjid-masjid di seluruh negara di anjurkan adakan kutipan derma pada solat jumaat bagi membantu rakyat Palestin. Semoga bantuan tak seberapa kita ini di kira sebagai amal ibadah oleh Allah SWT.
"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki."

Ibrahim Ali atau Hasan Ali pun boleh menjadi Perdana Menteri

Ibrahim Ali atau Hasan Ali pun boleh menjadi Perdana Menteri

http://aspanaliasnet.blogspot.com, 20 Nov 2012
Siapa akan menjadi PM selepas PRU ini sedang sibuk diperbincangkan selepas muktamar PAS di Kelantan hujung minggu lepas. Kedua-dua belah pihak membahaskan siapa yang paling layak menjadi PM: TGHA atau Anwar Ibrahim? Isu ini masih diperbualkan termasuk oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Syed Hamid Albar berkata Anuar lebih layak dari TGHA walaupun perwakilan muktamar mencadangkan Presiden partinya untuk menjadi PM.  Ramai di kalangan pemimpin UMNO telah berbelah bagi, samada TGHA atau Anwar yang lebih layak untuk memikul beban tersebut.

Tetapi yang sangat jelas ialah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri seolah-olah telah menerima hakikat yang PR akan memenangi PRU ini. Kalau tidak masakan di antara pimpinan UMNO sendiri berbincang siapa yang lebih layak di antara Anwar dan TGHA. Rupa-rupanya bukanlah saya seorang yang berfikir yang UMNO akan menerima kekalahan malahan mereka yang masih kekal dalam parti itu sendiri berbincang tentang pilihan di antara Anwar dan TGHA.

Ini merupakan kali pertama rakyat bercakap tentang PM dari pihak pembangkang sekarang ini selepas rakyat menukar mandat mereka dalam PRU yang akan datang. Isu ini pastinya satu isu yang akan menjadi hangat dan tidak akan berhenti senyap dalam masa terdekat ini. Bagi saya kedua-dua nya layak, tetapi biarlah kita selesaikan PRU ini dahulu. Kadang-kadang ada pihak yang tidak berjaya niat dan tujuan mereka kerana sebelum pun pergi ke hutan sudah membilang buah kerayung.

Tetapi keadaannya ialah PR masih mendahului BN jika PRU diadakan pada minggu ini. Isu siapa Perdana Menteri elok kita ketepikan jauh-jauh dahulu kerana yang penting permaharajalelaan UMNO wajib kita hentikan serta merta selepas PRU ini. Kita mempunyai perlembagaan jelas yang seorang PM itu sepatutnya di pilih di antara ahli-ahli Legislatif yang mendapat sokongan dari ahli-ahli Parlimen walaupun dengan satu undi.

Walau bagaimana pun pihak PR telah bersetuju untuk memberikan kerusi PM kepada Anwar jika PR memenangi pilihanraya yang akan datang ini. Di dalam perlembagaan sesiapa yang mendapat sokongan yang terbanyak di dalam Dewan Legislatif Parlimen maka dia lah yang menjadi Perdana Menteri negara ini selepas pilihanraya yang akan datang ini.

Selama ini Presiden UMNO menjadi Perdana Menteri itu hanyalah melalui ‘convention’ dan bukannya melalui cara dan kaedah yang tertulis di dalam perlembagaan negara. Pada dasarnya sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri dari mana-mana parti sekali pun asalkan ia mendapat sokongan dari ahli-ahli Dewan Parlimen walaupun dengan kelebihan ‘simple majority’.

Di atas dasar itu maka Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin, Zaharin Hashim, Bung Mokhtar, Mohamad Aziz  mempunyai peluang yang sama untuk menjadi Perdana Menteri jika mereka menang dalam pilihanraya parlimen mewakili apa-apa parti atau sebagai calon bebas dalam pilihanraya yang akan datang. Yang perlu mereka mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

Jika Hasan Ali 'akidah' dicalonkan menjadi ahli parlimen dia juga mempunyai peluang untuk menjadi PM untuk mewakili pertubuhannya yang kalau tidak silap saya namanya JATI. Lagi satu syarat dia tidak bercakap seorang diri selalu kerana mereka yang bercakap seorang diri itu adalah orang gila dan tidak layak menjadi ahli Parlimen.

Oleh itu semua pihak tidak perlu menentukan siapa Perdana Menteri sekarang ini tetapi menumpukan usaha masing-masing untuk memenangi pilihanraya dan meletakkan UMNO di pihak pembangkang. Saya secara peribadi pun hendak sangat mendengar ucapan-ucapan Muhyiddin Yaasin sebagai ahli pembangkang jika beliau memenangi kerusi pilihanraya Pagoh  dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Untuk menjadi pemimpin yang baik seseorang itu elok melalui pengalaman menjadi pembangkang untuk melengkapkan pengalaman sebagai seorang pemimpin. Di negara-negara maju ramai pemimpin-pemimpin beralih tempat setiap pilihanraya. Penggal ini mereka menjadi Menteri kerana parti nya menang dalam pilihanray tetapi penggal yang berikutya mereka menjadi pembangkang kerana partinya kalah dalam pilihanraya yang berikutnya.

Keadaan itu adalah keadaan yang lazim berlaku dan itu bukannya tidak boleh berlaku di negara ini.

Selasa, 20 November 2012

Untuk menang ‘perang’, musuh mesti dihancurkan

Untuk menang ‘perang’, musuh mesti dihancurkan

Azhar Yahya, 20 Nov 2012
Doa untuk menghancur dan menjahanamkan Umno BN yang disebut di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini adalah bermaksud mengalahkan parti dan gabungan tersebut dalam pilihanraya umum akan datang.
Dalam arena politik Malaysia, PAS dan Umno sekian lama bertanding untuk memenangi hati rakyat bagi mendapatkan kuasa pemerintahan. Dasar sekular dan nasionalis perkauman yang diperjuangkan oleh Umno BN jelas bertentangan dengan dasar PAS yang ingin menegakkan Islam yang syumul dan menyeluruh.

Dasar Umno BN inilah yang telah membawa banyak kerosakan dalam masyarakat dan negara. Keruntuhan akhlak, gejala sosial, pecah amanah, peningkatan jenayah, kehancuran institusi keluarga, dan lain-lain adalah bahana daripada pemerintahan Umno BN selama ini. Umno BN hanya menjadikan Islam sebagai amalan ritual yang dipenjara dalam institusi, program dan majlis agama, bukan sebagai rujukan dan dasar dalam pemerintahan.

Justeru, atas sebab inilah PAS berlawan dengan Umno BN dan bertanding dalam pilihanraya untuk mengalahkan parti dan gabungan tersebut. Ini kerana perjuangan dan dasarnya jauh bertentangan dan menyimpang daripada Islam yang dibawa oleh Nabi Junjungan S.A.W.

Untuk mencapai kemenangan dalam 'peperangan' pilihanraya ini, kehancuran pihak lawan adalah sangat penting. Hancurnya Umno BN bukan bermaksud hancur dan binasa individu yang berada di dalamnya. Hancurnya Umno BN ialah parti dan gabungan tersebut tidak mampu meneruskan survival dan kelangsungan perjuangan yang berlawanan dengan Islam apabila kalah dalam pilihanraya.

Kehancuran ini adalah agar rakyat Malaysia tidak lagi berada di bawah pemerintahan Umno BN yang telah menyebabkan kerosakan yang parah kepada negara. Malaysia perlu diselamatkan daripada pemerintahan yang seumpama ini.

Doa untuk keburukan dan kehinaan untuk orang lain adalah bukan perkara asing dalam Islam. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. telah menaiki mimbar sambil berkata: "Amin, amin, amin." Dikatakan kepada baginda: "Wahai Rasulullah! Apa yang kamu buat ini?" Baginda menjawab: "Jibril a.s. berkata kepada aku, kehinaan kepada seseorang hamba apabila dia memasuki Ramadhan tidak diampunkan untuknya dosa. Maka aku berkata amin. Kemudian Jibril berkata, kehinaan kepada seseorang hamba apabila disebut namamu dia tidak berselawat ke atas mu. Maka aku berkata amin. Jibril berkata lagi, kehinaan kepada seseorang hamba yang sempat dengan kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya tetapi tidak boleh memasukkannya ke dalam syurga (kerana tidak berbuat baik kepada mereka) maka aku berkata amin."

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi.

Dalam riwayat yang lain malaikat Jibril mendoakan agar dibinasakan atau dijauhkan rahmat daripada Allah bagi ketiga-tiga mereka yang disebutkan di atas.

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

Doa hancur Umno demi selamatkan agama dan negara

Doa hancur Umno demi selamatkan agama dan negara

Tok Janggut,
Pada mulanya tersentak juga penulis apabila membaca kenyataan beberapa pihak akan doa yang dibaca dalam solat hajat anjuran PAS di Kelantan baru-baru ini. Antara yang didoakan ialah minta agar Allah tumbang dan hancurkan Umno kerana kezaliman yang lakukan sudah sampai ke kemuncaknya tanpa boleh dinasihat atau sudah tidak nampak tanda-tanda yang Umno ini akan insaf dan kembali ke jalan Allah dan Rasul.

Tidak timbul PAS mendoakan kehancuran kepada saudara seagama denganya. PAS hanya berdoa terhadap orang yang zalim dan PAS adalah golongan yang dizalimi dan ditindas selama ini. Bukankah Nabi pernah bersabda “takutilah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana doa mereka tidak ada hijab dengan Allah”. Hal ini bermakna jika kita dizalimi, kita boleh berdoa kepada Allah untuk dihancurkan golongan zalim itu demi untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran kita.

Islam tidak pernah membenarkan kita melakukan kezaliaman sesama sendiri hatta dengan orang bukan Islam pun kita dilarang melakukan kezaliman.  Tetapi Umno tidak peduli semua itu, apatah lagi mereka sentiasa dibela dan dipertahankan oleh ulama upahan, puak mufti dan tok guru mereka sedangkan  golongan agama mereka ini tidak pernah pun dilihat menegur Umno melakukan kezaliman dan penindasan terutamanya terhadap PAS dengan merampas royalti dan menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat yang meyokong PAS.

Dalam al-Quran Allah telah memberi amaran “Janganlah kamu cenderung kepada golongan yang zalim, kelak kamu akan disambar api neraka”.  Ini bukan sahaja membuktikan bahawa bukan sahaja golong yang zalim akan ke neraka bahkan sesiapa yang cenderung, menyokong dan menjadi sebahagian daripada mereka juga akan disambar api neraka.

Zalim hendaklah dilihat daripada kaca mata Islam, bukan daripada kacamata parti atau menggunakan logik akal. Kazaliman yang paling besar dan nyata ialah apabila sesebuah kerajaan yang mengaku beragama Islam itu tidak melaksanakan syariat Allah sebagai undang-undang tertinggi negara malahan mereka mempersendakan, memperlekeh dan mempermain-mainkan pula syariat Allah itu.

Selain itu, kezaliman dalam menafikan hak rakyat atas alasan tidak menyokong kerajaan yang memerintah juga adalah satu kezaliman. Hal ini kerana apa-apa sahaja rezeki yang ada di muka bumi adalah milik Allah, bukan milik kerajaan yang memerintah. Antaranya menafikan hak royalti minyak yang sudah pun mempunyai perjanjian dan persetujuan bersama tetapi telah dikhianati atas dasar dendam dan iri hati.  Dalam Islam, mungkir janji yang telah dibuat melalui lisan sahaja pun sudah dianggap melakukan kezaliman, apatah lagi yang telah pun dibuat perjanjian yang melibatkan hak sejumlah besar rakyat yang berhak ke atas royalti itu.

Bagaimana pula penafian dari segi peruntukan yang telah disahkan dalam undang-undang negara, menafikan hak mendapatkan biasiswa, tanah, rumah dan berbagai-bagai lagi.  Semua itu termasuk dalam istilah zalim yang Allah janjikan neraka kepada mereka yang melakukanya. Tidak timbul isu berdoa seperti ajaran sesat atau tidak boleh berdoa untuk kehancuran terhadap saudara seagama kerana doa ini terpaksa dilakukan terhadap golongan yang sudah terlalu jauh sesat dan juga tidak mungkin mereka akan melakukan kezaliman jika mereka merasakan mereka itu adalah saudara seagama.

Apabila sudah banyak nasihat, teguran dan kritikan diberikan agar Umno kembali ke jalan Allah tetapi mereka tetap dengan kesombongan, bongkak dan dengan sikap takburnya, maka tiada jalan lain kecuali berdoa kepada Allah agar Umno ini tumbang dan hancurkan demi untuk menyelamatkan lebih 20 juta rakyat.