Isnin, 19 November 2012

PBS harus dikaji semula, jangan bebankan guru

PBS harus dikaji semula, jangan bebankan guru

Harakahdaily, 19 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS memandang serius isu yang sedang melanda bidang pendidikan negara mutakhir ini dalam memastikan konsep Negara Berkebajikan PAS menjadi acuan yang dapat menyelesaikannya.
Justeru, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad berkata, pendidikan harus dijadikan sebagai teras dalam Negara Berkebajikan malah dapat membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia amnya.

Tambahnya, gesaan itu selari dengan isu yang sedang melanda pendidikan serta warga pendidik di negara ini setelah Umno BN membawa satu lagi dimensi songsang dalam wahana pendidikan negara dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau berkata, sistem baharu tersebut umpama nanah yang sedang membarah dalam sistem pendidikan negara setelah 55 tahun Kerajaan Barisan Nasional memerintah, perubahan berkenaan dasar pendidikan yang sering diubah, lebih memburukkan keadaan, kebanyakan dasar itu bersifat ‘market-drive’ dan menanggung kerugiaan berbilion ringgit.

Sebagai contoh, katanya dasar PPSMI yang dilaksanakan di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir menelan belanja sehingga RM5.1 bilion, namum keputusan tahap celik pelajar ketika mana Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik hanya sebanyak 4% sahaja.

PBS yang dilaksanakan pada tahun 2011 hanya berdasarkan penilaian kepada mata kasar guru sahaja. Hal ini mendapat bantahan daripada guru keraja segala tanggungjawab berkenaan peperiksaan dibebankan kepada guru. Setiap aspek seperti menggubal soalan, menyemak dan memasukkan data perlu dilakukan guru yang mengajar.

"Saya menyeru supaya penstrukturan semula perlu dibuat dengan kadar segera bagi meningkatkan kembali mutu pendidikan negara dari terus dimanipulasikan dengan pelbagai dasar yang tidak menguntungkan," ujarnya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, ujarnya PAS komited dalam memperjuangkan agenda menambah baik taraf hidup guru dengan penambahan elaun insentif sebanyak RM500 seperti dalam tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat yang wajar diberi kepada setiap guru demi meningkatkan lagi tahap kredibiliti dan profesionalisme amnya.

Ibnu Hasyim: Mengapa Doa Hancurkan UMNO/BN? -N/Aziz

Ibnu Hasyim: Mengapa Doa Hancurkan UMNO/BN? -N/Aziz: Nik Abdul Aziz Nik Mat memperkatakan sesuatu kepada Haron Din pada hari ketiga Muktamar Tahunan Pas ke-58, hari ini KOTA BHARU – Pas me...

Sekalipun binti Anwar berkata begitu

Sekalipun binti Anwar berkata begitu

Subky Latif, 19 Nov 2012
NURUL Izzah Anwar (Puteri), Naib Presiden PKR sudahpun menjelaskan apa yang dimaksudkannya tentang kebebasan beragama untuk semua, tetapi ia tidak  dipedulikan oleh banyak orang.


Tetapi mereka mengira anak sulung Anwar itu seorang yang sudah berdosa.

Begitulah dunia kita yang dikelilingi oleh orang-orang yang bebal yang sekaliannya tidak sedia belajar untuk mendengar hujah.

Dia sudah membuat penjelasan. Yang dimaksudkannya tidak seperti yang ditohmah terhadapnya. Mengapa penjelasan itu tidak mahu didengar?

Jika penjelasannya belum memuaskan, maka dilanjutkan soalan terhadapnya, tetapi tidak boleh dia dicap sebagai orang Islam yang sudah tidak boleh dipakai lagi.

Sekalipun Nurul Izzah betul berkata begitu dan dia berdosa kepada Allah atas kejadian itu, Allah tidak menutup pintu taubat kepadanya.

Dia boleh bertaubat dan Allah memang suka kepada hambaNya yang bertaubat. Tidakkah Allah itu maha menerima taubat orang-orang yang dikehendakinya.

Kalau pun dalam apa yang ditohmah itu Izzah dikira murtad, hukum murtad yang disabitkan ke atas seseorang tidak terus dipancung saja. Dia diperintah taubat dulu oleh hakim. Jika dia sudah bertaubat, maka hukum tidak dijalankan ke atasnya.

Apakah taubatnya Allah terima atau tidak, bukan kita sebagai makhluk boleh mendahului bagi mengatakan taubatnya  diterima atau tidak. Hanya Allah yang berkuasa menentukannya. Bagi manusia, apabila  diketahui seseorang itu bertaubat, maka tidaklah wajar ia ditakwil lagi.

Jika puteri Anwar itu sah berdosa dalam tohmah terhadapnya, dosa itu adalah terhadap Allah, bukan terhadap manusia. Dosa terhadap Allah, Allahlah yang mengampunkannya. Dosa hamba terhadap Allah adalah lebih mudah terampun dari dosa terhadap manusia. Dosa terhadap manusia, kita terpaksa cari manusia itu sampai dapat untuk minta maaf kepadanya. Kalau orang itu mati sebelum kita minta maaf, maka bagaimana kita mahu lepas dari dosa itu. Tetapi dosa kepada Allah,  Ia ada  di mana-mana kita boleh bertaubat.

Cuma kalau dosa yang kita buat itu menyebabkan orang lain terbabit, misalnya dia berdosa disebabkan oleh anjuran kita, maka taubat kita mesti  dibuat di khalayak umum, umumkan apa dosa yang kita buat? Tidak boleh kita bertaubat kepada Allah saja seorang diri.

Izzah telah minta peguamnya menyaman pihak yang mengikutnya telah memutar belit kenyataannya. Sebelum mahkamah memutuskan Izzah bersalah, kita anggap  dia orang yang benar.

Apapun kalau dia ada dosa, dosanya bukanlah rasuah, menggelap duit negara, membunuh orang dan sebagainya, dosa seperti itu tidak selesai dengan bertaubat, tetapi mestilah diserahkan kepada keputusan mahkamah. Bagi orang Islam mestilah mengikut perundangan Islam.

Mursyidul Am Tok Guru  Nik Aziz, Presiden PAS Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang  dan Ketua Dewan Ulama, Dato’ Harun Taib mengelak dari menghukum Nurul Izzah  tanpa usul periksa kerana  tidak mahu mengata murtad kepada orang yang tidak diketahui murtadnya  dan tidak mahu mengkafirkan orang yang tidak pasti kafirnya.

Pengisian maklumat atas talian membebankan guru

Pengisian maklumat atas talian membebankan guru

Guru dedikasi,
Saya merupakan guru data sekolah yang bertanggungjawab menyelaraskan data dan maklumat guru di atas talian.

Yang mengecewakan ialah terdapat pelbagai aplikasi yang berbeza-beza dan guru perlu mengisi maklumat yang sama berulang-ulang kali. Contohnya, seseorang guru perlu melaporkan kursus dan seminar yang dihadiri dalam aplikasi eSPLG, e Operasi dan Emis Online.

Tiga aplikasi yang berbeza namun maklumat yang diminta lebih kurang sama sahaja. Di sini saya senaraikan pelbagai macam aplikasi yang diwujudkan oleh KPM untuk diisi oleh guru-guru.

1. Emis Online (Maklumat peribadi pegawai, bilangan murid, kelas dan sekolah untuk statistik dan analisa )
2. E operasi (Untuk kiraan hak perjawatan guru dan pertukaran guru )
3. E pangkat (Untuk kenaikan pangkat )
4. E SPLG (Laporan kursus dan bacaan ilmiah)
5. OPMEN (Operasi Menengah / untuk pengiraan hak guru di sekolah-sekolah))
6. HRMIS (Untuk kegunaan rawatan di klinik atau hospital kerajaan)

Setiap tahun guru-guru perlu menyemak dan mengemaskini maklumat masing-masing iaitu maklumat peribadi, perkhidmatan, gaji, elaun, kursus, sinopsis bacaan buku dan banyak lagi. Yang membebankan ialah sebahagian daripada aplikasi ini hanya boleh diakses untuk tujuan pengemaskinian data oleh guru data sahaja. Guru data perlu mengisi perkara yang sama berulang-ulang kali dengan capaian internet yang sangat perlahan di sekolah. Memanglah jumlah waktu mengajar bagi seorang guru data ialah separuh daripada guru-guru biasa, namun bagi sekolah yang bilangan gurunya 150 orang ke atas sangat membebankan.

Prosesnya sangat remeh iaitu mencetak maklumat guru dari sistem, menyerahkan kepada setiap guru untuk semakan dan mengemaskini data. Setelah data selesai dikemaskini, guru data perlu mencetak semula untuk setiap orang guru dan staf sokongan bagi tujuan pengesahan data.

Kenapa tidak diwujudkan satu sahaja sistem data yang selaras yang dapat dihubungkan kepada aplikasi lain yang diperlukan oleh unit lain di kementerian? Saya percaya semua guru yang memegang jawatan sebagai guru data sebolehnya ingin melepaskan jawatan ini kerana beban tugas yang melampau dan kami tidak mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran dan pembelajaran. Ini tidak termasuk statistik dan analisa data yang diminta oleh pihak Pejabat Pelajaran dari semasa ke semasa. Tumpuan kami terhadap P & P sangat terganggu kerana guru-guru sering merujuk dan bertanya hal-hal yang berkaitan dengan ICT, aplikasi di atas talian dan lain-lain perkara diluar bidang tugas seorang guru data.

Sepatutnya seorang pegawai dilantik khas (kerani) disetiap sekolah bagi menjalankan tugas ini. Minat saya hanya untuk mendidik anak-anak di sekolah
dengan sepenuh jiwa dan raga dan memberikan sepenuh tumpuan terhadap mereka.

Saya yakin pihak Pakatan Rakyat akan membela nasib para pendidik apabila berjaya menakluki Putrajaya selepas PRU13 nanti.

Gambar PM Israel lari tak cukup tanah...

Gambar PM Israel lari tak cukup tanah...

http://shalehudin.blogspot.com, 19 Nov 2012
TV Israel:
"Hamas mengejutkan kita kali ini dengan serangan terhdap Tel Aviv dan yang lebih jauh kemampuan mereka menyerang jajahan Israel di utara (Al-Quds)."
Sumber: Qassam Media
Gambar Benjamin Netanyahu sedang lari tak cukup tanah menyelamatkan diri...

Dikhabarkan juga roket Al-Qassam ini telah sampai menghampiri parlimen Knesset. Roket HAMAS ini juga telah sampai ke rumah Menteri Luar Israel. Sementara Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak pula kini sedang bersembunyi apabila roket yang dilancarkan Briged Al-Qassam banyak mengenai sasaran di Tebing Barat.

Allahu Akbar...

Ahad, 18 November 2012

Boleh murtad jika perlekeh Islam

Boleh murtad jika perlekeh Islam

Harakahdaily, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad (terkeluar dari Islam).

Katanya, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.

"Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagitau dia.

"Umno tolak Islam maka nampak dia telah memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi dia tak faham," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, bagaimana PAS boleh percaya dengan ajakan Umno untuk bersama-sama mereka membela Islam sedangkan sejarah membuktikan Umno sendiri menolak ulamak dalam biro agama Umno waktu perjuangan kemerdekaan dahulu.

"PAS bukan dicipta oleh orang PAS tapi oleh biro agama Umno. Kami hanya jaga sahaja.

"Sekarang (Umno) nak ajak PAS (bersama-sama) bela Islam. Alim ulamak kamu pun kamu tolak, takkan kamu nak terima ulamak kami pula. Itu logiknya," tegasnya memberi analogi.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut ditanya wartawan berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang mengaitkan Umno dengan murtad.

Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, huraian berhubung murtad boleh dirujuk dalam Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri.

"Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang memperlekehkan Islam. Itu kitab yang ditandatangani Tun Dr Mahathir," katanya tidak mahu mengulas panjang.

Carian Harakahdaily terhadap kitab dimaksudkan itu mendapati, bahagian kedua di bawah tajuk 'Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam', menyebut;

Melalui percakapan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengecil dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh rasul-Nya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

1. “Hukum apa ini?”

2. “Hukum ini sudah lapuk.”

3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana mnghalangi kemajuan.”

4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wania tak perlu dibungkus-bungkus.”

5. “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”

6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”

7. “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”

8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju.”

9. Berkata: “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w selepas makan: menjilat sisa makanan dijarinya.

10. Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.

11. Berkata: “Si anu dah mulai menyalak” – semasa ia mendengar azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim

Selepas 25 tahun buat dosa SB minta maaf pada PAS

Selepas 25 tahun buat dosa SB minta maaf pada PAS

Salmiyah Harun, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Seorang bekas polis yang bertugas dengan Cawangan Khas (SB) selama 25 tahun, Abdullah Omar memohon maaf atas segala dosa yang beliau lakukan terhadap PAS sepanjang bertugas sebagai polis.

"Dosa apa yang saya tak buat terhadap PAS sepanjang lima pilihan raya yang lepas...saya tidak mahu sebut di sini, biar saya dan Allah sahaja yang tahu.

"Tetapi maafkanlah saya, saya sudah bertaubat," katanya yang tampil sebagai perwakilan Taiping yang menyokong usul Pilihan Raya yang dibawa PAS Pusat.

Abdullah juga merupakan bekas OCPD Taiping pernah bertugas sebagai SB selama 25 tahun berterima kasih kepada PAS kerana sanggup menerima beliau yang pernah berdosa dengan PAS dan rakyat.

"Saya berbesar hati hari ini diangkat untuk berucap di Muktamar walau pun baru dua tahun bersama PAS, paling terharu PAS boleh terima orang yang berdosa seperti saya," katanya.

Cabar Majlis Fatwa

Pada masa sama beliau yang juga bekas OCPD itu turut mencabar Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa tentang gaji yang diperoleh oleh mana-mana calon yang menang pilihan raya melalui penipuan pilihan raya.

"Saya nak cabar Majlis Fatwa dan Mufti, kalau menipu dalam pilihan raya kemudian menang. Jadi Perdana Menteri, jadi menteri-menteri, bagaimana dengan gaji mereka.

"Saya tanya tuan-tuan gaji yang mereka dapat halal atau haram?" soal Abdullah terus dijawab para perwakil 'haram'.

"Kalau haram, kenapa Majlis Fatwa tidak keluarkan Fatwa?"

"Ya gaji yang mereka dapat tidak halal, jawablah di akhirat esok," soalnya balik ketika berucap menyokong usul pilihan raya oleh PAS Pusat.

Tambahnya, daripada banyak-banyak pilihan raya negara diadakan Malaysialah yang paling teruk.

Ditambah pula katanya, pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing seperti Thailand, Bangladesh, Myanmar dan paling malang mereka ini didaftarkan sebagai pengundi.

Beliau juga membayangkan jika pilihan raya negara ini dijalankan dengan bersih sudah lama Umno BN terkubur.

"Kalau bersih! sudah tentu kita sapu bersih Umno BN. Kita sudah lama jadi pemerintah," tegasnya diringi takbir para perwakilan.