Selasa, 13 November 2012

Teuku Adnan sahkan Umno tidak Islam?

Teuku Adnan sahkan Umno tidak Islam?

Mohd Sayuti Omar, 13 Nov 2012
Setiausaha Agung Umno yang dikatakan berhasrat hendak meletak jawatan kerana sudah berbua Umno akan kalah, Teuku Adnan Teuku Mansor mengesahkan bahawa Umno bukan parti Islam apabila parti itu tidak mengambil satu potong ayat al-Quran pun untuk dijadikan panduan atau pun ingatan di dalam parti tersebut.

Pengakuan Adnan itu dikira ikhlas dan benar menepati apa yang terserlah di dalam Umno kini, di mana Umno hanya tahu menyebut Islam tetapi tidak tahu berbuat (melaksanakan) kehendak Islam. Pengakuan Adnan itu juga mengesahkan tanggapan sebelum ini yang Umno sebuah parti sekular yang anti kepada Islam.

Mungkin bertolak dari realiti itulah menyebabkan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan bersedia untuk membubarkan Pas sekiranya Umno mengambil Islam sebagai dasar perjuangan. Nik Aziz sudah tahu bahawa cabaran itu tidak akan tersambut oleh Umno kerana parti itu kering dengan Islam malahan menentang Islam sejati.
Kata Adnan dipetik;  “Umno sebagai parti yang menyokong perjuangan kebangsaan Melayu tidak pernah menggunakan walau sepotong ayat al-Quran pun dalam urusan politik kerana apa yang penting adalah asas dan tujuan parti tersebut ditubuhkan selain usaha-usaha untuk terus memelihara akidah umat Islam." Kenyataan itu beliau itu dilaporkan oleh portal rasmi Umno, Umno online.

Pernyataan Adnan itu bagaimana pun berlaku sedikit kesongsangan dan kontra bila mana di hujung pernyatan itu disebut; "apa yang penting adalah asas dan tujuan parti tersebut ditubuhkan selain usaha-usaha untuk terus memelihara akidah umat Islam".

Dengan pernyataan di akhir itu meragukan, macam mana Umno boleh membela dan menjaga akidah umat Islam sedangkan perkara asas iaitu al-Quran yang mengajar segala macam ilmu dan kaedah termasuk menjaga akidah itu tidak diguna pakai?  Persoalannya macam mana Umno mampu untuk menjaga akidah umat Islam?  Mungkin kaedah yang diambil Umno dalam menjaga akidah umat Islam tidak mengikut kehendak agama, maka itulah dalam masa Umno membangunkan syiar Islam, mereka juga turut membina syiar meruntuhkan Islam.

Dari keadaan inilah dapat dikatakan bahawa Umno hanya berlakon saja untuk membela akidah Umat Islam. Sebab itu Umno lebih cenderung untuk membina syiar Islam daripada cuba mempraktikkan ajaran Islam sebenar. Kalau bercakap fasal Islam Umno akan bercerita perihal masjid, sekolah agama dan sebagainya sedangkan itu hanya lambang-lambang yang tidak mestinya menepati kebenaran Islam.  Bukti paling sahih mengenai silakp dolak dalik dan hipokrasi Umno ini apabila ia menolak hukum Allah (hudud) dengan alasan-alasan yang berbaur kekufuran.

Makanya pengakuan itu seharusnya difahami oleh sekalian orang khasnya orang Melayu yang selama ini menganggap Umno adalah pejuang Islam nombor wahid. Sikap-sikap Umno ke belakangan ini yang kononnya mengambil berat terhadap Islam termasuk 'memalu', menghentam mana-mana kenyataan politik oleh pemimpin pembangkang adalah sandiwara dan wayang Cina saja.

Apabila Umno tidak mengambil sepotong ayat Quran untuk urusan politiknya maka jelas politik Umno termasuk apa yang dicerminkan dalam pemerintahan dan pentadbiran tidak berjejak dan berkonsep kepada suruhan Allah. Jadi tidak menghairankan kalau Umno bersikap rakus, kejam, menipu rakyat kerana mereka tidak mendapat taufik dan hidyah al-Quran. Kerana mereka yang menghadam isi-isi al-Quran tidak akan tergamak berbuat begitu kerana azab Allah ke atas apa yang dibuat itu senantiasa bermain di biari matanya.

Pegangan dan politik Umno ini amat berbahaya. Kejahatan dan kerakusan yang boleh dilakukan tanpa pegangan agama itu akan merebak ke dalam pentadbiran atau kerajaan. Situsi inilah menyebabkan berlaku berbagai penyelewengan dan salah guna kuasa dan rasuah di dalam kerajaan hari ini. Skandal-skandal melibatkan kewangan seperti rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene, ternakan lembu gemuk di kondo, tanah untuk pembinaan pelabuhan darat (PKRZ), penjualan tanah kerajaan dan sebagainya, adalah cermin atau terilham dari politik yang tidak sujud kepada al-Quran.

Disebabkan kerana Umno tidak mengambil sepatah ayat al-Quran itulah juga menyebabkan jelas berlaku kejahilan di kalangan pemimpinnya termasuk ada yang sanggup menghina Nabi Muhammad dan menyindir segala hukum Allah yang dipancarkan dalam Quran seperti mana hudud.  Kesan itu juga menyebabkan ada yang mudah membuat tafsir 'buta' terhadap ayat-ayat Quran yang dibaca oleh pihak lain di mana kerana ianya difahami secara harfiah, dan bukan mencungkil falsah dan makna di sebaliknya.

Justeru mulai hari ini, dengan 'pencerahan' yang diberikan oleh Adnan itu janganlah kita merasa pelik dan aneh kalau Umno tidak menunjukkan keghairahannya kepada Islam termasuk untuk melaksanakan hukum-hakam di dalam Quran. Pencerahan ikhlas Adnan itu juga memberi isyarat jelas kepada orang Melayu untuk menjauh kurafat yang dicipta Umno mengenai Islam.

Disebabkan kesingsangan itu juga tidak pelik juga kalau sesekali pemimpin Umno yang gian hendak bercakap fasal Islam termasuk mentafsir ayat Quran yang dibaca oleh Nurul Izzah Anwar tampak sangat kejahilan dan kesongsangannya. Ini berlaku kerana pemimpin Umno tumpul dengan ajaran Islam sebenarnya.

Memandangkan ini elok kalau Najib Razak turut melakukan transformasi imu ke dalam Umno di masa akan datang. Ajar dan dekatkan generasi Umno dengan al-Quran dan suntikan kefshaman Islam yang betul. Mungkin institusi agama yang berlambak di negeri ini boleh membantu. Institiut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) boleh memain peranan penting. Perseimbangan pengembangan ilmu duniawi dan ukhrawi hendaklah dilakukan bagi mengelak orang Umno terus terjeblos dalam kedurjanaan kejahilan.

Najib jangan saja memperlopari blue ocen di dalam Umno tetapi hendaknya juga mempelopori green ocen (Kalamullah) di dalam Umno. Ini penting kerana tidak ada guna kalau Umno dan negara mencapai kemajuan tetapi ianya tidak disertai dengan amali agama. Kemajuan atau apa juga pemodenan yang tidak berohkan Islam - akidah dan pegangan, ia adalah palsu dan akan membawa kemusnahan besar.

Najib dan sekalian orang harus faham bila menyebut soal agama dan Islam, ilmunya terlalu luas. Islam bukan saja setakat kita mendirikan rukun-rukun Islam yang lima perkara tetapi yang penting memahami, menghayati dan mengamali apa yang termasuk di dalam sesuatu rukun itu. Pengajaran atau perintah di dalam rukun Islam itu bukan saja perlu difahami secara zahiriah tetapi hendaklah mencecah kepada hakikat. Islam perlu ditaat bukan dengan fizikal, seperti mengerjakan sembahyang, puasa, haji dan sebagainya, tetapi Islam perlu ditaati dan disujud dengan hati dan jiwa secara istiqamah.

Hari ini Islam di dalam Umno hanya Islam syariat saja itu pun tidak mendasari, manakala Islam tariqat, hakikat dan makrifat masih terlalu jauh lagi. Mungkin beberapa orang di kalangan pemimpinnya saja yang mengerti hal ini.

Ahmad Zahid Hamidi yang dikenali berlatar belakang Islam yang mapan boleh membuka pintu ijtihad di dalam Umno melakukan hijrah besar ke atas parti itu. Kalau Umno menerima konsep Islam keseluruhan saya yakin titik temu yang jelas dan nyata parti itu dengan Pas dan segenap Islami lain akan tercapai. Bukan itu saja penerimaan Islam secara syumul menjamin hayat Umno lebih panjang dari usia pemerintahan Firaun. - http://msomelayu.blogspot.com/

Nurul Izzah teraniaya




Nurul Izzah teraniaya

Subky Latif, 13 Nov 2012
NURUL Izzah telah teraniaya  seperti bapanya Anwar Ibrahim.
Sama ada ucapannya tentang tiada paksaan dalam agama tersilap, keliru atau kurang jelas, maka dia telah dipelupuh hingga hampir  mati oleh orang yang benci kepada anak beranak itu.

Saya mengambil sikap melayan Izzah sebagai mana-mana orang yang didakwa belum bersalah selagi mahkamah belum mendapatinya bersalah.

Sebagai manusia dia terdedah dengan segala macam kelemahan. Dia boleh melakukan kesilapan dan kekeliruan dan dia juga boleh jadi jahat.

Tetapi semua dikehendaki adil terhadap semua sebagaimana kita mahu semua adil terhadap kita.

Pertama dia bercakap tanpa teks. Walaupun ucapan itu dirakamkan tetapi ia  tidak menghalang dia membuat kesilapan. Eloknya rakaman itu memungkinkan kita tahu kesilapan dan boleh dibetulkan.

Sesiapa saja yang berucap khusus yang bukan nabi mesti ada kata-kata tersasul dan kesilapan dan ada yang tidak jelas yang memerlukan penjelasan.

Misalnya seorang ustaz bercakap tentang Firaun dan  Nabi Musa a.s. Dalam ucapannya itu dia terkata Nabi Musa itu kejam. Orang yang mendengarnya tahu cakapnya tidak betul. Biasanya  orang tahu ustaz itu tersasul dan bukan itu yang dimaksudnya. Yang dia hendak kata kejam itu ialah Firaun, bukan  Nabi  Musa.

Jika ustaz itu sedar dia tersasul, dia akan betulkan. Jika dia tidak sedar, dia rasa dia betul. Kecualilah sepanjang ucapannya itu terus menerus  dia kata nabi itu begitu. Yang itu bukan silap tetapi dia benar-benar jahat.

Apabila berlaku tersasul dan kekeliruan biasanya orang akan bertanya minta penjelasan. Jika yang bercakap tidak bermaksud seperti yang dicakapkannya, dia  akan membetulkan kesilapannya dan menjelaskan apa yang kurang jelas.

Tok-tok guru pondok yang mengajar agama pun kadang-kadang  tersasul. Maka itu dia minta murid-muridnya bertanya apa yang kurang jelas.

Saya yang terlatih sebagai wartawan, diminta bertanya kepada orang yang membuat kenyataan apabila ada perkara yang kurang jelas atau salah maksud itu. Tidaklah nanti kita membuat laporan yang tidak betul.

Tidaklah pemberita itu dikira salah lapor apabila  dia melaporkan cakap yang salah  cakap dari seseorang. Beritanya itu betul tetapi dia benar-benar pandir kerana dia tidak minta penjelasan dari orang yang bercakap.

Kekeliruan boleh berlaku bila-bila dan oleh sesiapa. Nabi SAW pernah membuat kenyataan yang mengelirukan seorang tua. Orang tua itu bertanya adalah dia boleh masuk syurga. Baginda menjawab, mana ada orang tua masuk syurga. Lalu menangislah orang tua itu. Nabi pun menjelaskan  maksudnya betapa  dalam syurga nanti   semuanya muda-muda belaka. Orang tua seperti Nabi Nuh a.s. yang seribu tahun usianya, di syurga nanti jadi muda juga.

Jika pemberta dengar cakap Nabi seperti itu dan tidak minta penjelasan, dia buat berita  seperti yang didengarnya, maka huru haralah sekalian orang tua.

Makhluk pertama melakukan maksiat ialah iblis apabila dia enggan sujud kepada Adam. Allah tanya dulu iblis menggapa dia begitu? Allah tidak terus laknat dia. Setelah dia jelaskan mengapa dia memusuhi Adam, maka barulah dia dilaknat.

Tetapi mungkin wartawan pandir itu hendak memberi rezeki kepada Izzah dengan membuat laporan begitu tanpa minta penjelasannya. Izzah lalu menyaman mereka. Jika nasib Izzah baik, dia menang saman  dan dapat bayaran berjuta.

Mesti Lihat! Gambar Tok Guru Nik Aziz Yang Paling Sempoi




Mesti Lihat! Gambar Tok Guru Nik Aziz Yang Paling Sempoi

http://malaysiaberih.blogspot.com, 13 Nov 2012

Pertama kali aku lihat gambar mana mana pemimpin politik memotong rambut. Bagi aku ini antara gambar Tok Guru Nik Aziz yang paling sempoi dan menarik pernah aku lihat selain DI SINI.
Gambar dirakam oleh kakitangan Unit Komunikasi Menteri Besar Kelantan semasa Tok Guru memotong rambut berhampiran Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan pada 6hb. Nov 2012 lalu.
Ada sesuatu yang tersurat dan tersirat dalam gambar di atas. Fikir fikirkanlah ~ Tinta Hijau DKB

Isnin, 12 November 2012

Dasar Pendidikan Negara mahu digugat?




Dasar Pendidikan Negara mahu digugat?

Dr Rajiee Abdul Hadi,
KEMENTERIAN  Pelajaran Malaysia (KPM) terus berusaha mahu memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Malaysia (BM) di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Namun Dong Zong sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam iklan surat khabar Cina tempatan menyeru masyarakat Cina keluar berama-ramai untuk proses menentang Dasar Pendidikan Negara (DPN) pada 25 November ini.

Sama ada MCA pun turut serta mahu menangguk di air keruh atau mahu mensensasikan isu agar dapat menarik perhatian pengundi Cina menjelang PRU 13 sesiapapun boleh menjangkakan sedemikian. Justeru MCA berterusan mahu menjadi 'jaguh' dan kononnya akan menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran bagi menentang tambahan masa untuk pengajaran-pembelajaran BM di SJKC tahun 4. Adakah ini benar? Penulis difahamkan, projek permulaan ini hanya berfokuskan kepada murid-murid  tahun 4 sahaja? Bagaimana jika meliputi semua kelas di SJK?

Khabarnya MCA ada 25 resolusi untuk menentang DPN. lnikah double standard masyarakat Cina khususnya MCA? Bantuan untuk SJKC sering didesak dan diperolehi tetapi menentang pula DPN. Walhal Timbalan Menteri Pelajaran kini, Datuk Dr Wee Ka Siong adalah 'orang MCA'. Adakah Timbalan Menteri Pelajaran daripada MCA ini gagal menerangkan aspirasi negara melalui sistem pendidikan kepada masyarakat Cina? Jika gagal di manakah maruah Timbalan Menteri Pelajaran ini?Penulis yakin, Dr Wee masih rasional dan bijak berhemah.

Kita tidak mahu apabila timbul kelemahan penguasaan BM di kalangan murid-murid SJK maka 'berbuih-buihlah' ada pihak yang  menyalahkan KPM lantaran tidak berusaha mengatasi kekurangan guru dan prasarana. Tetapi apabila KPM mahu meningkatkan dan memantapkan BM di SJK maka di sisi negatif pula yang mereka bersuara. Justeru dengan ayat lain, sampai bilakah kerajaan mesti berlembut dan bertolak ansur?

Oleh itu  sampai bilakah tidak ada ketegasan bagi setiap pelan pendidikan yang baik? Suatu ketika idea sekolah wawasan yang baik pun ditentang kerana di sudut hati mereka penuh dengan sampah-sarap yang busuk,hanyir dan meloyakan. Adakah kemungkinan, jika generasi akan datang tidak ada keharmonian, kedamaian  dan tidak ada perpaduan dalam kehidupan seharian maka barulah mereka akur dan diam terkedu?

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik)

Pahang royalti; Kelantan dan Terengganu apa?



-, 12 Nov 2012
Pengumuman Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak bahawa Pahang dijangka menerima ‘royalti minyak’ sekitar RM100 juta setahun apabila adanya penemuan kawasan minyak di medan minyak Bertam PM 307 adalah amat menarik perhatian.

Ini adalah kerana kawasan baru ini berada 100% dalam perairan Terengganu dan ia dijangka akan membawa pulangan berbilion-bilion ringgit kepada Petronas dan kerajaan Malaysia.

Dalam kegembiraan kepada negeri Pahang,  timbul persoalan besar, apakah tindakan Perdana Menteri ini tidak akan menjejaskan hak royalti yang berada dalam perairan Terengganu? Begitu juga dengan hak royalti Kelantan yaang terus dinafikan hak mereka untuk mendapatkan hasil minyak dari kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua negeri ini telah menfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menuntut tunggakan pembayaran royalti dan bayaran masa hadapan bagi hasil petroleum diperoleh di luar pantai negeri berkenaan yang tidak dibayar. Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Namun pada awal tahun 2011, setelah Terengganu bertukar kerajaan dari PAS kepada Umno/BN, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said, telah bersetuju untuk menarik balik saman terhadap Petronas. Mereka beranggapan bahawa isu ini telah selesai kerana kerajaan Terengganu telah mendapat ‘Wang Ensan’ dan Dana Khas’ secara terus dari Kerajaan Persekutuan.

Isu royalti minyak ini mula timbul apabila sebaik sahaja Pas berjaya menawan Terengganu pada pilihanraya umum ke 11. Pada 5 September 2000, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu tanpa menyalurkan terus kepada kerajaan negeri lima peratus royalti petroleum yang dibayar sebelum ini.

Tun Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri pada waktu itu telah membuat penegasan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak berhak mendapat ‘royalti minyak’  dan “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan”.

Lebih parah lagi apabila Dr. Mahathir mendakwa bahawa perjanjian di antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas hanyalah merupakan suatu MOU sahaja.

Perlu ditegaskan bahawa Pada 12 November 1975, Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan di Parlimen bahawa semua negeri di Malaysia, telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Mengikut perjanjian itu; “Tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di dalam negeri masing-masing, sama ada yang diperolehi itu dalam perairan ataupun di luar perairan negeri tersebut yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”

Maka sejak dari tarikh tersebut Kerajaan Negeri Terengganu dan Sarawak  telah menerima ‘Wang royalti minyak’ secara langsung dengan tunai tanpa sebarang gangguan dan sekatan sepertimana yang terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Negeri tersebut.

Malah kerajaan negeri Terengganu telah memperolehi wang royalti minyak bernilai hampir RM15 bilion selama 25 tahun.

Namun dengan pengumuman ‘anugerah wang ehsan’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar. Apakah perjanjian asal diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?

Apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri? Dan apakah kesudahan kepada tuntutan royalti minyak kepada negeri Terengganu dan juga Kelantan?

Namun apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan pimpinan Umno/BN terhadap kerajaan negeri Kelantan adalah suatu bentuk kezaliman kepada rakyat. Kenapa mesti mendiskriminasi sebuah negeri yang lebih 95% rakyatnya beragama Islam dan berbangsa Melayu?

Tindakan ini adalah jelas berniat meyiksa rakyat Kelantan yang telah memberi mandat kepada kerajaan PAS sepertimana yang telah berlaku kepada negeri Terengganu pada tahun 2001. Bagi Terengganu, dimanakah pula maruah kepimpinan Menteri Besar Ahmad said apabila hasil minyak yang berada di perairan negeri boleh ‘diserah’ kepada negeri jirannya, Pahang?



* Dr. Syed Azman Syed Ahmad adalah Penolong Setiausaha Agong PAS dan Adun  Batu Burok, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk, Twitter; @syedazman

"Fitnah dulu, bayar kemudian"


Ahmad Tajdid, 12 Nov 2012
KETIKA Mingguan Malaysia diarah memohon maaf kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung sebuah cerpen yang memfitnah beliau, ramai di kalangan pembaca Melayu akhbar itu sudah melupai bilakah cerpen itu diterbitkan dan reaksi-reaksi menggila pemimpin Umno dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno terhadapnya.

Ramai juga yang tidak memperdulikan pengakuan penulis cerpen itu, Chamil Wariya bahawa karyanya telah diubah suai pengarang akhbar terbabit sehingga 'membunuh' imej Teresa sebagai wakil rakyat.

Malah ketika Utusan Malaysia diarah membayar ganti rugi kepada beberapa pemimpin PAS yang dilapor fitnah, ramai juga orang Melayu pembaca setia akhbar itu tidak lagi mengingati apakah isu yang diputarbelitkan Utusan Malaysia sehingga mengakibatkan ia menghadapi saman fitnah.

Begitulah hebatnya akhbar milik Umno itu dalam 'membentuk fikiran pembaca' khususnya para penyokong Umno. Mungkin 'tagline' paling tepat bagi digunakan Utusan Malaysia bukanlah 'penyebar fikiran rakyat' tetapi 'fitnah dahulu, bayar kemudian'.

Kini sekali lagi Utusan Malaysia muncul dengan strategi yang sama. Kali ini dengan memutarkan isu kononnya Timbalan Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar menggalakkan orang Melayu murtad.

Secara tiba-tiba media massa pro-BN diketuai Utusan Malaysia muncul sebagai 'pembela akidah Islam' walaupun sebelum ini tidak langsung bersuara terhadap kebiadapan Presiden MCA memperlekeh dan menghina syariah Islam. Malah setelah kenyataan sekutu Umno itu seakan memakan diri, akhbar milik Umno itu menyediakan ruang pula kepada Chua Soi Lek untuk menjelaskan penghinaannya terhadap hukum hudud.

Komen-komen liar pemimpin Umno dan sekutu-sekutu mereka terhadap kenyataan Nurul Izzah juga jelas tidak matang, berniat jahat dan pre-emptive. Lebih memualkan komen-komen tersebut dibuat semata-mata atas laporan akhbar dan tidak memetik langsung kenyataan asal Nurul Izzah.

Di awal isu ini diputarkan, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telah pun mengeluarkan kenyataan media yang menjelaskan perkara sebenar. Bagi panduan bersama disiarkan semula kenyataan media tersebut:

"Saya ucapkan terima kasih di atas pertanyaan lanjutan yang diterima setelah saya menghadiri satu forum bertajuk 'Islamic State: Which version? Whose responsibility?' sebagai seorang panelis.

"Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu. Jawapan saya menegaskan ungkapan – 'Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)...' – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

"Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya kesal kerana ada percubaan memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal akidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad.

"Saya cenderung mendukung program pendidikan dan dakwah untuk memperkukuh akidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.

"Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama."

Begitu jawapan pandat dan ringkas yang diberikan Nurul Izzah yang sepatutnya boleh merungkaikan segala kemunykilan dan salah faham yang sengaja dimainkan media pro-BN.

Namun seperti mana biasa, penjelasan Nurul Izzah tidak langsung diterbitkan oleh media massa pro-BN yang mencetuskan isu ini. Apa yang ada cumalah 'komen-komen menggila' yang diberikan pemimpin tertinggi Umno, NGO-NGO sekutu Umno juga ahli agama yang sengaja membiarkan diri diperbodohkan oleh 'spin doctor' BN.

Nurul Izzah sudah pun memulakan tindakan menyaman dua akhbar pro-BN kerana memutarbelitkan kenyataan beliau. Laporan juga telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Kita yakin jika Utusan Malaysia dan Berita Harian diarahkan membayar ganti rugi kepada Nurul Izzah beberapa tahun lagi, isu ini tidak lagi diingati para pembaca.

Nampaknya pesta 'membodohkan Melayu' ini tetap menjadi agenda Utusan Malaysia. Tanpa menghiraukan impak kehadiran media baru yang mencabar dominasi media konvensional, isu-isu membabitkan pemimpin lawan BN (khususnya Pakatan Rakyat) terus dimainkan Utusan dan media massa pro-BN. Tujuannya satu, untuk memburukkan Pakatan Rakyat dan memastikan sokongan Melayu terus kekal buat Umno dan BN.

Sampai bilakah strategi 'ketinggalan zaman' yang merugikan bangsa Melayu ini mahu diteruskan. Sudah lebih 50 tahun Melayu dibuai sentimen sedangkan buaian sentimen ini gagal menjadikannya bangsa yang berdaya saing, hatta dengan bangsa sendiri di seberang tambak sana.

Kalau rasa akan kalah, biar Parlimen terbubar sendiri



Aspan Alias, 12 Nov 2012
Ada dua perkara yang saya hendak sentuh sekali gus hari ini. Yang pertamanya ialah tentang program UMNO Seremban yang mengadakan majlis parti di Kem Tentera Sikamat, Seremban, dan yang kedua ialah isu Himpunan Rakyat 1Malaysia yang dianjurkan oleh UMNO dan BN melalui penganjuran oleh beberapa NGO pada 24hb November ini.


Saya tidak berapa perasan bila program itu di adakan tetapi yang nyata ada jemputan Dato’ Ishak Ismail kepada semua penduduk Sikamat untuk mereka hadir di majlis anjuran beliau di dalam kem Rejimen Ke-4, Artileri Di- Raja, Sikamat dan ini amat memeranjatkan banyak pihak kerana ia di benarkan oleh pemerintah Kem tersebut untuk UMNO mengadakan majlis politik itu.

Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, yang berucap dalam majlis itu sepatutnya memberikan penjelasan kenapa UMNO mengheret tentera dalam politik dan jika tentera menjadi aktif dalam politik ini merupakan petanda buruk akan melanda negara dan tidak siapa akan dapat mengenali politik yang sebenarnya dalam tempoh yang terdekat ini. Ini merupakan satu fenomena baru di dalam UMNO dan ini hanya menunjukkan betapa terdesaknya parti yang telah memerintah negara sejak merdeka itu.

Jika tentera di giatkan dalam politik maka kita sudah tidak ada lagi sistem politik yang betul dan ia akan hanya membawa negara kepada keadaan dan situasi yang mana rakyat tidak akan tahu lagi yang mana satu sistem yang betul sebagai sebuah negara demokrasi kerana semua sistem dan tata cara bernegara itu sudah berkecamuk dan tidak menentu lagi. Anak-anak muda tidak akan lagi tahu siapa yang sepatutnya bergiat dan siapa yang sepatutnya duduk di tengah-tengah dengan ‘magnanimous’ kerana setiap rakyat sudah tidak tahu lagi yang mana yang sepatutnya mereka lakukan dan yang mana yang tidak boleh dan beretika untuk dilakukan.

Oleh kerana keadaan ini sudah mula berlaku ia sepatutnya menjadi pengukur kepada kemampuan untuk mempertahankan sistem demokrasi negara ini. Maka tidak boleh kita biarkan perkara seperti ini berlaku justeru pilihanraya inilah sebaik-baik masa untuk memperbetulkan apa yang tidak kena dalam negara kita ini.

Himpunan rakyat 1Malaysia

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, telah membuat sidang media semalam yang beliau sedang mengetuai satu sekatariat untuk menganjurkan himpunan rakyat 1Malaysia pada November ini di Kuala Lumpur. Ia bermatlamatkan untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada kepimpinan pada hari ini dan UMNO sedang menggunakan badan-badan bukan kerajaan untuk menganjurkannya. Menggunakan NGO-NGO seperti ini merupakan satu-satunya jalan untuk mengumpulkan manusia yang sudah menjauhi UMNO dan BN itu.

Tetapi masalahnya UMNO menggunakan cara yang sama yang di gunakan oleh Pakatan Rakyat dan ia bukan cara UMNO yang lazim mereka lakukan. UMNO terpaksa menciplak dan mengadakan perhimpunan seperti yang dilakukan oleh pembangkang. Tetapi perbezaannya amat jauh di antara UMNO dan pembangkang kerana UMNO sudah pasti terpaksa menggunakan badan-badan NGO dan tentulah ia memakan belanja yang banyak untuk menyempurnakannya. Saya tidak menjangka yang orang ramai akan memberikan sokongan padu terhadap perhimpunan ini kerana mereka di jemput dengan semua persediaan yang mahal-mahal dengan karipap dan minuman serta tambang menambang serta bas-bas percuma untuk mengangkut manusia yang kebanyakannya terdiri dari pelajar-pelajar dan budak sekolah.

Berlainan dengan pihak PR yang hanya mengumumkan tempat dan waktu perhimpunan di adakan tanpa perlu membayar dan menyediakan makanan dan khemah-khemah untuk menarik orang ramai untuk datang. Kita telah melihat berapa ramainya kedatangan serta kehadiran rakyat jelata dalam perhimpunan rakyat di Senawang, Seremban pada 3hb Nov yang lepas. Mereka datang dalam hujan lebat dan berpayung dan berbaju hujan yang tidak di berikan oleh PR. Mereka berbelanja sendiri kerana yang memberikan motivasi mereka untuk hadir itu adalah semangat dan perasaan ingin kepada perubahan kerajaan dalam pilihanraya yang akan datang.

UMNO atau BN tidak mungkin mampu untuk memanggil kehadiran yang besar tanpa disediakan makanan, pengangkutan, topi serta baju T yang mahal-mahal.  Sebaliknya bagi  UMNO, mereka akan  diberikan kontrak untuk membekalkan baju T dan topi. Mereka  tentulah mendapat habuan yang besar dan mereka yang mendapat kontrak itu tentulah mereka yang hampir dengan pejabat setiausaha agung dan setiausaha kerja UMNO Pusat. Satu perhimpunan rakyat anjuran BN itu akan memakan belanja yang berjuta-juta.

Bagi UMNO ia hanya untuk menunjukkan kepada ramai yang mereka juga mendapat sokongan tetapi rakyat tahu tujuan pimpinan BN hanyalah untuk merawati jiwa mereka yang tertekan dalam menghadapi pilihanraya yang hampir tiba ini. Mereka (UMNO) hanya hendak menunjukkan dan menempelkan imej sokongan sahaja tetapi ia hanyalah ibarat seorang wanita yang mengenakan bedak sejuk di muka mereka sahaja. Bedak sejuk di muka-muka mereka akan hilang setelah baru bangun dari tidur dan selepas mandi. Bedak sejuk itu tidak kekal melekat di muka-muka mereka.

Mengikut kata-kata Ahmad Maslan di antara mereka yang berucap nanti adalah mereka yang mewakili berbagai-bagai bidang masyarakat. Beberapa professor kangkong serta mereka yang bergelar dan bernama yang mewakili berbagai pihak akan berucap. Mereka termasuklah Chandra Muzaffar dan Lee Lam Thye. Apa yang akan mereka perkatakan tidaklah dapat kita jangkakan kerana selalunya mereka akan memberikan retorik dan ucapan mengungkit-ngungkit tentang apa yang BN telah lakukan kepada rakyat dan sebagainya.

Mereka tidak akan berani bercakap tentang segala kemungkaran politik, ekonomi dan sosial yang BN telah lakukan oleh mereka selama ini. Satu yang pasti perhimpunan anjuran BN akan menggunakan belanja yang besar untuk menjayakannya. Untuk mengekalkan BN memerintah rakyat terpaksa berbelanja terlalu mahal tetapi tidak juga mendapat perhatian ramai.

Bagi pandangan peribadi saya jika BN tidak berkeyakinan dengan diri sendiri untuk menghadapi PRU ini biarkan sahaja penggal ini terbubar dengan sendirinya pada 28hb April yang akan datang. Mengadakan perhimpunan besar pun bukannya memberikan faedah apa-apa pun. Apa perbezaan di antara 29hb April dengan Mac? Yang pasti Najib merupakan satu-satunya PM yang belum mendapat mandat sehingga hari ini.

Kalau UMNO sudah masuk kem tentera untuk mengadakan ceramah, itu adalah petanda yang UMNO tidak relevan lagi kepada rakyat biasa. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/