Jumaat, 26 Oktober 2012

Ulama PAS bukan Ayatullah, tegas Ustaz Harun




Harakahdaily, 25 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ulama PAS berpegang teguh mempertahankan ajaran dan prinsip Islam sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-sunnah dan PAS tidak boleh disamakan dengan Ayatullah sama sekali.

Demikian tegas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) ketika mengulas kebimbangan individu tertentu terhadap pemimpin PAS yang kemungkinan mengambil pendekatan Ayatullah dalam pemerintahan sekiranya diberi peluang menjejakkan kaki di Putrajaya.

"Sejarah Islam membuktikan betapa telusnya corak pemerintahan Islam itu sendiri apabila dikurniakan oleh Allah s.w.t akan tampuk pemerintahan.

"Rasulullah s.a.w sendiri tidak memulakan peperangan Badar kecuali setelah mengadakan perbincangan dengan kaum Ansar, inilah pendekatan PAS yang menjadi pegangan kita selama ini," ujar beliau ketika dihubungi.

Menurut beliau lagi, sudah menjadi tradisi pemerintahan Islam bersikap telus ketika memerintah.

Jelasnya, Saidina Abu Bakar r.a. ketika mula dilantik sebagai khalifah telah mengisytiharkan bahawa beliau sanggup diperbetulkan sekiranya melakukan kesalahan.

Begitu juga, ujarnya Saidina Umar r.a yang mengistiharkan perkara yang sama sehingga rakyatnya menyambutnya dengan keazaman untuk memperbetulkan beliau walaupun dengan mata pedang.

Ulas beliau lagi, pernah berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar r.a. dalam peristiwa memerangi golongan yang murtad.

“Walaupun terdapat perbezaan pandangan pada peringkat permulaan tetapi kerana keterbukaan yang ditunjukkan oleh saidina Abu Bakar r.a. dalam perbincangan diantara hujah-hujah yang berbeza maka para sahabat akur.

“Inilah keterbukaan yang ditunjukkan oleh sejarah berkenaan pemerintahan Islam. Dan keterbukaan penghujahan inilah yang akan terus diperjuangkan oleh para Ulamak PAS.

“Begitu juga pada zaman Saidina Umar ketika seorang wanita menegur beliau berkenaan dengan mahar, beliau tidak melenting bahkan mengakui tentang kesilapan beliau dan mengiktiraf pendirian wanita tersebut,” jelas beliau.

Ustaz Harun yang juga Adun Manir menyangkal sama sekali kebimbangan yang tidak berasas bahawa PAS akan mengikut pendekatan Ayatullah.

Beliau menyifatkan kebimbangan itu seperti Nujum Pak Belalang yang meramalkan sesuatu tanpa bukti.

"Kalau perkara yang ditegur atau dikritik itu betul, PAS tidak teragak-agak untuk menerimanya dengan jiwa yang terbuka dan PAS telah membuktikannya, sejarah telah membuktikan bahawa PAS telah sanggup bermuzakarah dengan Umno , dan sejarah telah membuktikannya," katanya lagi.

Beliau berkata, bermuzakarah dan perbincangan merupakan tradisi yang telah diamalkan oleh PAS sejak dari penubuhannya lagi bukan sahaja dari sudut dalaman parti apatah lagi dengan pihak luar yang tidak sealiran dengannya.

Bekas mufti keterlaluan samakan ulama PAS dengan Khomeini


 

Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, 25 Okt 2012
Soalan yang dikemukakan oleh seorang moderator dalam Wacana Sinar Harian siri ke-15 berhubung dengan pemimpin ulama PAS yang tidak boleh ditegur dan jawapan yang diberikan oleh seorang bekas Mufti terhadap soalan tersebut adalah sangat tidak adil kepada PAS.

Bekas mufti itu ketika menjawab persoalan tersebut berkata bahawa jika PAS menjadi pemerintah dengan mentaliti orang agama tidak boleh disentuh, negara akan menjadi lebih korup daripada apa yang berlaku sekarang. Beliau menyamakan situasi itu dengan pemerintahan Ayatullah Khomeini di Iran yang tidak boleh ditegur dan disentuh.

Moderator tersebut pula seolah-olah dilihat ingin menjatuhkan kredibiliti dan memburukkan persepsi masyarakat terhadap para pimpinan ulama dalam PAS dengan mengemukakan persoalan tersebut. Ini adalah kerana beliau tidak mengemukakan apa-apa contoh, bukti dan fakta atas dakwaan bahawa golongan tersebut dalam PAS tidak boleh ditegur.

Bekas mufti tersebut juga sama dengan moderator ketika menjawab soalan yang dikemukakan tidak mengemukan contoh, bukti dan fakta. Ia adalah tidak adil kepada pimpinan ulama dalam PAS yang dituduh demikian apatah lagi wakil PAS tidak dijemput dalam wacana tersebut. Dipukul dalam keadaan tangan terikat sehingga tidak boleh menjawab terus. Kalau boleh menjawab sekalipun selepas itu, ia dalam keadaan ruang yang sangat terhad.

PAS khususnya para pimpinan ulamaknya sentiasa terbuka untuk menerima segala kritikan dan teguran. Lihat sahaja sikap Datuk Seri Tuan Guru Presiden, pimpinan ulama tertinggi dalam PAS menerima kritikan dan teguran yang keras daripada Prof. Dr. Aziz Bari yang mempertikaikan kepimpinannya. Keterbukaan beliau lebih terserlah apabila beliau sendiri mencadangkan agar dianjurkan seminar khusus bagi memberi peluang kepada Prof. Dr. Aziz Bari mengemukakan kritikan dan teguran tersebut di hadapan ahli dan pimpinan PAS.

Bekas mufti itu juga agak keterlaluan apabila menyamakan pimpinan ulama dalam PAS dengan Ayatullah Khomeini. Semua sedia maklum bahawa PAS berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan Ayatullah Khomeini pula berpegang kepada aqidah Syiah. Dua aqidah yang sangat berbeza antara satu sama lain. Pengikut Syiah menganggap bahawa Ayatullah adalah lebih tinggi martabatnya daripada para Nabi. Jadi tidak peliklah Ayatullah tidak boleh ditegur dan disentuh.

Ada pun PAS tidak pernah mengajar orang ramai untuk berpandangan demikian. Ulamak dalam PAS berpegang kepada kata-kata Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar r.a. apabila menjadi Khalifah dan Amirul Mukminin bahawa mereka sedia untuk ditegur. Bahkan Saidina Umar r.a. sangat berbangga terhadap rakyatnya apabila ada yang menunjukkan pedang kepada beliau untuk menegurnya jika beliau melakukan kesilapan.

Perlu dijelaskan, tulisan ini bukanlah bermakna Dewan Ulamak PAS Pusat tidak boleh menerima teguran apabila disamakan dengan Ayatullah Khomeini tetapi teguran yang dikemukakan mestilah dikemukakan bukti, contoh dan berfakta. Ini adalah kerana tanpanya, ia akan memberikan persepsi buruk kepada para pimpinan ulama dalam PAS dan dianggap sebagai tuduhan yang dibuat untuk menjatuhkan kredibiliti PAS yang bakal melangkah ke Putrajaya, insya Allah. Bahkan bekas mufti itu sendiri juga telah mengemukakan pandangan dalam wacana tersebut agar teguran yang hendak dibuat mestilah profesional.

Dalam masa yang sama PAS sentiasa mengajar kepada semua ahli supaya berani menegur dalam apa jua perkara yang bercanggah dengan syariat Islam termasuk juga menegur mana-mana kesilapan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti. Sejarah ini sangat banyak berlaku di sepanjang perjuangan PAS.

PAS merasakan yang tak boleh ditegur ialah pimpinan Umno dan orang-orang yang bersekongkol dengannya. Orang yang tidak bersama dengan PAS biasanya mereka yang tidak berani berdepan dengan teguran secara terbuka dan tidak mahu menerima pandangan dari orang lain. Sebab itu ramai para ulama yang bergerak bersendirian dan mereka sangat bebas menghentam orang lain saja sesuka hati. Suasana ini amat tidak digalakkan dalam Islam.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Khamis, 25 Oktober 2012

Mahathir tidak pernah mungkir janji?



Aspan Alias, 25 Okt 2012
Semalam Utusan Malaysia dapat RM1.50 dari saya kerana buat pertama kali saya membeli senaskhah akhbar propaganda UMNO itu setelah lima belas tahun tidak membeli atau melanggannya. Saya membeli rokok di sebuah stesyen minyak di Subang Jaya dan saya ternampak ‘headline’ muka depan akhbar itu yang menarik hati saya untuk berbelanja sebanyak RM1.50. Apa yang menarik kepada saya ialah tajuk ‘Dr M tegur Nik Aziz’ di muka depan akhbar itu. Setelah berfikir seminit dua saya relakanlah RM1.50 untuk membeli akhbar ini. Kali ini terpedaya juga saya oleh Utusan kerana tajuknya yang menarik perhatian saya apatah lagi ia melibatkan nama Dr M di muka depan itu.
Dalam liputan Utusan itu, Dr M telah menegur TGNA kerana telah memberitahu rakyat yang Tok Guru itu akan bertanding di dalam pilihanraya yang akan datang. Dr Mahathir menuduh TGNA tidak menepati janji-janji beliau (TGNA) untuk mengundurkan diri dari menjadi calon dalam pilihanraya yang akan datang dan meminta rakyat supaya menolak TGNA. Dr M berkata memilih orang yang tidak menunaikan janjinya akan membawa banyak masalah kepada negara. Apa masalah yang dimaksudkan Dr M itu tidak pula saya ketahui kerana saya tidak membaca laporan itu sehingga habis walaupun saya telah membeli akhbar itu dengan berat hati.

Saya tidak hendak sentuh tentang janji TGNA itu buat kali ini untuk memendekkan tulisan saya ini. Saya mahu memberikan fokus kepada mungkir janji Dr Mahathir yang telah membawa masalah kepada UMNO dan seterusnya kepada rakyat dan negara. Selalunya orang yang sentiasa mengintai-ngintai kesalahan pihak lawan ini akan terlupa kepada janji-janji beliau yang beliau tidak mahu menunaikannya selama ini. Dr M tentu telah terlupa apa yang beliau janjikan kepada rakyat khususnya ahli-ahli UMNO semasa beliau mengambilalih kepimpinan parti itu dari Hussein Onn pada tahun 1981 dahulu.

Semasa mengambilalih pimpinan UMNO dari Hussein Onn dalam perhimpunan agong 1981 itu Dr M telah berjanji kepada ahli-ahli UMNO melalui perwakilan di Dewan Nirwana, Hotel Hilton, yang beliau meminta rakyat memberikan ‘signal’ jika ada tanda-tanda yang ada segelintiran rakyat yang tidak menyukai beliau.  Dengan tanda-tanda itu beliau berjanji akan mengundurkan diri secara terhormat Itu janji beliau secara terbuka yang beliau luahkan semasa ucapan penangguhan sebaik sahaja beliau menjadi Presiden kepada parti yang telah beliau matikan pada tahun 1988 itu.

Tetapi akhirnya beliau tidak menunaikan janji beliau itu dan telah membawa masalah besar yang kita warisi pada hari ini. Beliau tidak mahu berundur walaupun jawatan beliau itu telah dicabar dan beliau hanya mendapat kemenangan yang begitu tipis. Kemenangan tipis ini merupakan tanda-tanda yang jelas orang ramai sudah mula tidak berkeyakinan dengan pimpinan dan mahukan UMNO menyampaikan signal itu kepada Dr M. Beliau bukan sahaja tidak mahu mengundurkan diri tetapi telah meruntuhkan semua institusi demokrasi kerana bertegas ingin melanjutkan keseronokan dan kegilaan berkuasa sebagai PM semasa itu.

Beliau telah mematikan pendaftaran UMNO dan dalam usaha melakukan itu beliau mendapat reaksi keras dari ahli-ahli UMNO maka beliau telah membuang dan memecat beberapa hakim Mahkamah Agong termasuk Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas. Badan eksekutif yang beliau ketuai telah masuk campur dalam hal perundangan dan kehakiman untuk memungkiri janji-janji beliau itu. Akhirnya tindakan beliau itu telah memberikan banyak masalah kepada negara dan rakyat sehingga ke hari ini.

Apa yang beliau katakan dalam Utusan itu benar tetapi beliau sendiri tidak mahu menunaikan janji-janji beliau dan sanggup membunuh semua institusi demokrasi negara semata-mata keinginan beliau untuk berkuasa terus menerus sambil memungkiri semua janji-janji beliau semasa mula-mula mengambilalih kepimpinan dari Hussein Onn pada tahun 1981 itu.

Dr Mahathir telah banyak memungkiri janji-janji beliau sendiri dan beliau tidak boleh menuduh TGNA sebagai pendusta kerana tuduhan itu sepatutnya beliau arahkan kepada diri beliau sendiri. Pada tahun 1985 sebuah parti baru, Parti Bersatu Sabah (PBS) telah ditubuhkan secara tergesa-tergesa beberapa hari sebelum Sabah mengadakan pilihanraya negeri. PBS telah menyertai pilihanraya negeri untuk menumbangkan parti Berjaya. Mahathir telah pergi ke Sabah dan berucap dan berjanji secara terbuka yang beliau akan ‘swim and sink’ dengan Berjaya. Beliau memihak kepada Berjaya pimpinan Haris Salleh dan berulang-ulang kali berjanji untuk berenang dan tenggelam bersama Berjaya.

Tetapi apabila Berjaya tewas termasuk Presiden Berjaya, Harris Salleh yang ditewaskan oleh Kaduh Agundun di Tenom, Dr M telah lari dan memungkiri janji-janji beliau dengan parti Berjaya. Kebetulan saya berada di Kota Kinabalu dan mendengar ucapan beliau secara berdepan dan saya mendengar segala janji-janji beliau kepada Berjaya semasa itu. Dengan tangkas sekali Dr M telah membawa PBS ke dalam BN dan menjadi rakan komponen kepada BN pimpinan Dr M dari peringkat Persekutuan itu. Berjaya tenggelam tetapi Dr M tetap berenang dan meninggalkan Berjaya terumbang-ambing dan hanyut sampailah parti itu mati begitu sahaja. Mahathir terus berenang sampai 22 tahun berenang dan menenggelamkan semua musuh-musuhnya yang menghantui kedudukan beliau.

Janji-janji beliau untuk membangunkan negara tidak sampai ke mana kerana beliau hanya mampu untuk membina bangunan tinggi-tinggi, jambatan yang panjang-panjang di dunia. Beliau hanya mampu membina pembangunan fizikal yang merupakan sebahagian pembangunan negara. Pembangunan fizikalnya pesat kerana ia melibatkan projek-projek runding terus yang mahal-mahal untuk kepentingan kroni-kroni dan kebanyakan projek-projek tersebut adalah projek-projek cadangan kroni-kroni dan bukannya untuk keperluan rakyat dan negara. Projek-projek tersebut hanya memberikan keuntungan kepada segelintiran kroni dan keluarga beliau .

Tetapi dalam pembinaan sikap dan ‘mentality’ terhadap rakyat tidak ada langsung sehinggakan pembangunan infrastruktur yang besar-besar itu tidak ‘commensurate’ dengan pembangunan nilai dan budaya bangsa. Rakyat menjadi ahli masyarakat yang ‘materialistic’ yang mengutamakan pengisian perut dan tempolok mereka yang hampir kepada kuasa dan rakyat dipermainkan dengan gula-gula serta coklat manis-manis untuk melekakan mereka dan meneruskan sokongan terhadap kepimpinan yang tidak jujur dan ikhlas itu.

Dr M ini tidak dapat diikut kerenahnya lagi. Dalam satu masa dia mengatakan UMNO sudah busuk sampai ke usus dan mengatakan UMNO bukan untuk yang pandai, cerdik dan bijak. UMNO hanya untuk yang bodoh-bodoh dan yang tidak mempunyai tulang belakang. Tetapi dalam satu masa yang lain Dr M mahukan rakyat memberikan sokongan berterusan kepada UMNO dan BN.

Dalam keadaan UMNO yang lemah Dr M meninggalkan parti dan apabila partinya hilang sokongan tradisi 2/3 beliau menyalahkan Abdullah Badawi. Dr M menyertai kembali UMNO selepas musuh yang dibencinya Abdullah meletakkan jawatan sebagai PM. Apabila kembali menyertai partinya beliau menuduh UMNO itu parti yang rasuah. Dalam pilihanraya yang lalu beliau berkehendakan sangat rakyat supaya tidak memilih parti tetapi memilih calon.

Tetapi sekarang Dr M mahu semuanya mengundi sesiapa sahaja yang diturunkan oleh parti untuk menjadi calon. Beliau telah ‘obsess’ dengan kehendak beliau untuk memenangkan BN sehinggakan beliau meminta semua pemimpin bersumpah tidak akan mensabotaj parti dalam pilihanraya yang akan datang ini sedangkan beliau sendiri adalah pensabotaj UMNO yang terbesar dalam sejarah kewujudan parti itu, sehinggakan beliau sanggup membunuhnya. Dr M bukan sahaja setakat pensabotaj parti tetapi beliau adalah pembunuh parti itu.

Habis keliru rakyat dengan kata-kata Dr M ini. Nak diikut nasihatnya nanti beliau akan menasihati kita melakukan perkara yang dulunya beliau tidak suka. Entah yang mana satu nasihat yang patut diikuti dan entah mana satu kata-katanya yang benar. Lidahnya sentiasa berubah dan jika ada kesempatan elok kita minta Dr M membuka mulutnya lebar-lebar untuk melihat apa jenis lidah yang ada di dalam mulut beliau itu. Kalau ia bercabang hendak juga kita tahu berapa cabangnya.

Pendeknya nasihat beliau kepada TGNA itu elok kita abaikan sahaja kerana jika kita terima nasihatnya, nanti dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi Dr M akan menasihati untuk berbuat perkara yang lain pula.

Sesungguhnya Dr M hanyalah seorang yang bermain-main dengan politik yang melakonkan berbagai-bagai watak. Kadang-kadang watak baik tetapi selalunya beliau melakonkan watak sebagai orang jahat yang tidak senang dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang lain.

Tetapi apa pun watak yang dilakonkan oleh beliau, Dr M gagal untuk menjadi negarawan. Beliau tidak mungkin mampu untuk menjadi negarawan lagi kerana beliau hanyalah seorang aktivis politik yang sekarang bermain dengan pihak yang hendak digugurkan oleh rakyat ramai.

Mungkin oleh kerana penyelia kemas dan pegawai penerangan khas gagal untuk melaksanakan tugas mereka maka Dr M lah yang mengambil alih tugas mereka untuk berkata-kata perkara yang mungkar sentiasa.

Tetapi kita tidak harus berasa kesal dengan tindakan Dr M ini kerana beliau dari dahulu sampai sekarang hanya kekal dalam keadaan rakyat berpecah-belah. Dalam keadaan rakyat sedang bersatu di luar BN ini Dr Mahathir nampaknya tidak akan menjadi orang yang relevan lagi untuk negara dan rakyat.

Tidak ada siapa yang boleh membetulkan Dr M ini. Hanya Tuhan sahaja yang boleh melenturnya. Kita abaikan sahaja pandangan beliau. Biarkan beliau bercakap kepada dirinya sendiri semahu beliau.

Ibnu Hasyim: Piala Malaysia: Hadiah Tunai Umrah Suatu Tarbiah.

Ibnu Hasyim: Piala Malaysia: Hadiah Tunai Umrah Suatu Tarbiah.: Pasukan Kelantan meraikan kejayaan bersama trofi Piala Malaysia setelah menewaskan Angkatan Tentera Malays...

Ibnu Hasyim: Fiqh Ibadah korban

Ibnu Hasyim: Fiqh Ibadah korban: Ibadat korban di Kemboja memberi peluang umat Islam di sana menikmati daging sekurang-kurangnya sekali setahun. HUKUM berkorban ada...

Ibnu Hasyim: Loo Jo Yee : Gadis Cina, Mengapa Peluk Islam?

Ibnu Hasyim: Loo Jo Yee : Gadis Cina, Mengapa Peluk Islam?: Loo Jo Yee ketika ditemubual di TV Al-Hijrah.. Kisah Loo Jo Yee : Gadis Cina 17 Tahun Memeluk Islam. Loo Jo Yee adalah seorang ga...

Ibnu Hasyim: 22 Thn K'tan: Semangat Korban Nabi Ibrahim

Ibnu Hasyim: 22 Thn K'tan: Semangat Korban Nabi Ibrahim: Sambutan 22 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kelantan P engajaran dari semangat korban Nabi Ibrahim – bersabar menyampai pe...