Isnin, 23 Januari 2012

Ibnu Hasyim: Islam, Timor Leste & Aku

Ibnu Hasyim: Islam, Timor Leste & Aku: CATATAN PERJALANAN siri 9 Satu-satunya mesjid di bandar utama Dili, Masjid Annur. Malangnya, dunia Islam hampir lupa pada 1% umat Islam ya...

Ibnu Hasyim: Pemisahan T/Leste Sama Pemisahan S'pura-M'sia?

Ibnu Hasyim: Pemisahan T/Leste Sama Pemisahan S'pura-M'sia?: CATATAN PERJALANAN siri 10 BERITA ini membuktikan siapa sebenarnya dalang di belakang pemisahan Timor Leste dengan Indenesia? Samakah den...

Guna kulit pisang untuk merawat kulit anda

Guna kulit pisang untuk merawat kulit anda


Biasanya, kita makan pisang tanpa mempedulikan tentang kulitnya. Kita mengupas kulit kemudian membuangnya terus, tanpa menyedari bahawa kulit pisang itu sebenarnya banyak khasiat.

Sama seperti apabila kita makan buah anggur. Biasanya butirnya akan kita ludah keluar tanpa menyedari bahawa butir-butir anggur itu jika dimamah dan ditelan, insyaAllah boleh menjadi penawar kepada penyakit kanser juga. Banyak sebenarnya rahsia ciptaan Tuhan yang perlu diselongkar dan dipelajari oleh manusia, jangan malas-malas.

Kulit pisang sebenarnya boleh digunakan untuk menghilangkan ketuat, mengurangkan bengkak atau radang akibat gigitan pepijat, dan memperbaiki tekstur keseluruhan dan tonasi kulit.

Ia mengandungi lutein, antioksidan dan banyak kalium. Berikut adalah cara untuk memaksimumkan manfaat kulit pisang.

Bagaimana untuk menggunakan kulit pisang bagi merawat kulit

1 - Gunakan untuk membantu psoriasis (penyakit kulit yang menyebabkan badan bertompok-tompok merah dan berkuping). Sapu bahagian dalam kulit pisang di kawasan yang terjejas dan walaupun ia akan menjadi merah pada mulanya, anda perlu melihat perbezaan pada kulit anda dalam masa beberapa hari.

2 - Gunakan untuk menyembuhkan jerawat. Sekali lagi, hanya gosokkan bahagian dalam kulit pisang ke atas jerawat anda, sama ada di muka atau badan, dan jerawat anda akan semakin hilang setelah digunakan beberapa kali. Adalah dicadangkan agar lakukan pada waktu malam supaya anda tidak berbau seperti pisang sepanjang hari.

3 - Merawat akibat terkena tumbuhan beracun. Sapu bahagian dalam kulit pisang ke kawasan yang terkena racun dan rasa gatal akan berhenti dan keradangan akan turun. Sapukan semula apabila diperlukan lagi. Ini adalah satu sebab yang baik untuk membawa beberapa biji pisang apabila anda mahu pergi berkhemah atau mendaki gunung.

4 - Merawat ketuat. Sapu bahagian dalam kulit pisang pada ketuat setiap malam selama seminggu dan anda akan melihat peningkatan. Ketuat Plantar telah bertindak dengan baik selain ini, dan ketuat lain boleh juga.

[eHow]


Beberapa manfaat lain dari kulit pisang

1. Meredakan sakit

Minyak tumbuhan yang terkandung dalam kulit pisang mempunyai senyawa tertentu yang berkhasiat sebagai pereda sakit. Tampalkan kulit pisang yang bersih dan masih segar untuk mengurangkan rasa sakit pada luka bakar atau tercalar.

2. Mengatasi gatal

Gatal-gatal akibat gigitan serangga atau alahan ringan boleh diatasi dengan kulit pisang. Caranya cukup dengan menampalkannya di permukaan kulit yang terasa gatal.

3. Mempercepat kesembuhan luka

Luka yang sudah mulai kering terasa gatal kerana ia ditutup oleh serpihan kulit mati yang mengeras. Serpihan itu boleh dihilangkan lebih cepat hanya dengan mengoleskan kulit pisang, kerana akan bertindak balas dengan enzim yang terkandung di dalamnya.

4. Menyuburkan tanah

Tidak hanya untuk campuran kompos, kulit pisang boleh langsung ditimbun begitu saja ke dalam tanah untuk menyuburkan tanaman di sekitarnya. Kulit pisang mempunyai kandungan potassium yang sangat diperlukan dalam pertumbuhan tanaman.

5. Menggilapkan tanaman hiasan

Berbagai tanaman hiasan seperti anthurium, gelombang cinta dan seumpamanya akan lebih menarik jika daunnya nampak hijau berkilat. Gunakan sisi dalam kulit pisang untuk menggilapnya, maka daun itu akan berkilat dan lebih tahan lama.

7. Menggilapkan kasut

Tidak perlu panik jika suatu ketika anda kehabisan penggilap kasut, asalkan ada pisang dalam peti sejuk. Kupas buahnya, dan gunakan kulitnya untuk menggilapkan kasut kulit agar nampak berkilat.


[re-nest.com]

Selasa, 17 Januari 2012

Hasan: Antara parasit dengan pelesit..


Hasan: Antara parasit dengan pelesit..

Mohd Sayuti Omar, 17 Jan 2012
Semalam Hasan Ali (Ahsan Akidah) cuba mencari modal dan idea baru untuk menghalalkan tindakan dia menyerang istananya (Pas) selepas dia dihalau dari istana indahnya itu. Sudah nampak semakin jelas Ahsan mulai gelabah dan merasa sepi dengan kehidupan baru - tidak menjadi ahli Pas dan bakal kehilangan jawatan Exco. Pendampingannya dengan tokoh-tokoh Umno mungkin tidak membawa sinar begitu cerah. Beliau terus berbelit dalam pukat basah yang dipsang Umno.

Kalau sebelum ini dia beriya-iya dan mendabik dada mengatakan dia bertindak untuk mempertahankan akidah, untuk membela akidah, untuk mengharmoniskan akidah, untuk mengembalikan akidah kepada akidah sebenarnya, kini nadanya sudah berubah dan bergetar-getar. Semacam ada selumbar tajam dalam halkumnya.

Bekas pesuruhjaya Pas Selangor itu mula menjadikan soal peribadi dengan individu-individu tertentu sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya. Kenapa?

Idea dan modal baru digunakan Hasan ialah menyalahkan Anwar Ibrahim. Beliau meletakkan Anwar sebagai penyebab kegelunsuran dirinya dari wadah Pas. Menghanyutkan dan menjauhkannya dari kerusi MB. Boleh jadi peluangnya untuk jadi MB Selangor masih terbuka kalau dia tetap bersama Pas.

Dalam modal baru itu, katanya dia tidak suka Pas kerana Pas menyokong Anwar, alasannya kerana bakal PM itu memperjuang dan membenarkan gay? Dari mana sumber dan perawi yang beliau dapat untuk mengecapkan Anwar begitu, tidak pasti. Apakah dari Ismail Mina? Tetapi kawan baik Anwar berjubah lusuh itu bukan mempersoalkan soal gay tetapi soal Islam pluralisme agama.

Menghairankan kenapa Anwar yang menjadi sasaran? Apakah Anwar yang memperalatkan Pas dan bertindak membuangnya dari Pas. Naif sekali politik dan bacaan siasah Hasan Akidah ini. Masakan Abdul Hadi Awang dan Naib-Naib presiden Pas termasuk juga Mursyidul Am Pas dan timbalannya Dr Haron Din bersubahat sama dengan Anwar? Begitu sekali rangupnya teras pejuangan mereka dan seolah-olah Hasan seorang yang sangat berprinsip?

Mungkin orang boleh menerima akan keterbukaan dan keikhlasan Hasan dalam memperjuangkan akidah dan juga mengkritik mana-mana pemimpin yang tidak betul ataupun yang tidak obses kepada Islam.

Tetapi bila Hasan diam membisu terhadap penyelewengan dan salah akidah dilakukan para pemimpin Umno orang boleh membuat tafsiran lain. Orang jadi konfius tentang kejujurannya. Apakah Hasan sebenarnya yang menjadi talibarut kepada Umno yang bertindak hendak mensucikan Pas?

Saya masih ingat kata Nik Aziz Nik Mat mengikut hukum syarak, air kencing tidak boleh digunakan untuk membersih najis. Umno bukan wadah yang boleh mensucikan Pas sebaliknya Pas boleh menyamakkan Umno. Sepatutnya sebagai seorang anak yang dididik dengan Islam sejak kecil yang dilahirkan dari kedua ibu bapa yang tahu membaca Quran , Hasan tahu menilai ini.

Saya persoalkan ini kerana tidak ada kritikan dan teguran Hasan terhadap akidah projek lembu gemuk (NFC). Tidak ada teguran dan kritikan Hasan terhadap akidah 1 Malaysia dan ucap selamat 1 Malaysia. Tidak ada kritikan Hasan terhadap akidah rasuah berjuta ringgit dalam pembelian kelengkapan perang negara. Tidak kritikan Hasan terhadap rancangan hendak menyenaraikan Felda Global?

Begitu juga tidak kedengaran saranan lunak Hasan kepada kerajaan UBN supaya menggubal undang-undang murtad bagi menyelamatkan akidah umat Islam yang didakwa kini berada dalam situasi parah kerana kegiatan Kristinisasi. Kenapa?

Kalau Hasan ikhlas untuk membela akidah umat Islam, itu dulu yang Hasan kena lakukan. Hasan sendiri kena mengambil inisiatif menganjurkan seminar, konvensyen dan sebagainya ke arah mencari sokongan untuk penggubalan undang-undang murtad atau sebagainya. Dengan kedudukannya sebagai Exco agama Hasan boleh cuba membawanya dalam Dun Selangor. Sama ada ia diterima atau tidak, Hasan perlu mencubanya sebagai menandakan komitmennya.

Tetapi selama memegang jawatan Exco yang bertanggungjawab terhadap agama selama tiga tahun apakah Hasan berusaha ke arah itu? Mungkin saya terlepas pandang dan terlepas tenguk akan usaha Hasan ke atas itu.

Tidak cukup San kalau sekadar menjenguk gereja dari jauh ataupun ikut Tv3 buat serbuan ke sarang-sarang pelacur dan rumah-rumah urut saja. Tidak padan. Dan kerja menjenguk rumah urut itu bukan kerja Umur Ibnu Aziz yang boleh diteladani. Bukan cara itu. Tidak salah kalau saya katakan dengan mengikut Tv3 buat serbuan itu untuk membolehkan kita melepas gian untuk melihat pelacur berkemban saja? Maaf.

Modal kedua digunakan Hasan ialah kononnya dalam Pas ada parasit. Ada lintah darat. Sebenarnya soal parasit ini sudah lama diketahui Pas. Hasan tidak payah dedah siapa mereka. Pucuk pimpinan Pas sudah menyedarinya. Pas menyedari fenomena atau peranan parasit ini sejak tahun 80-an lagi sebelum Hasan menyertai Pas tahun 1997. Gerakan ini sudah lama berjalan dengan menamakan diri mereka dengan pelbagai nama dan mampu menyuburkan organisasi Pas?

Ramai yang dianggap parasit ini berada dalam Pas dan berjaya membina kedudukan. Tetapi satu perkara perlu disedari parasit ini adalah parasit Islam, yang hendakkan kepada Islam. Parasit ini parasit pejuang menegakkan hukum Allah bukan pelesit mengkhianti jemaah mendokong cita-cita Allah.

Pelesit jauh bezanya dengan parasit. Parasit menumpang dan bekerjasama dengan induknya. Parasit sejenis tumbuh-tumbuhan. Manakala pelesit pula sejenis belalang berwarna hijau sebesar kelingking dan dipercayai membawa hantu. Kerjanya ialah merasut dan menganggu orang, menyusahkan kawan dan ada kalanya mengelecahkan akidah orang agar mengikut akidahnya. Ia ternyata lebih jahat dari parasit.

Bagi saya tindakan dan peranan parasit ini jauh lebih baik dengan cara pelesit itu. Kalau hendak dikira cara Hasan itu lebih kejam dan sadis dan mirip kepada gerak kerja pelesit. Hasan kelihatan tidak amanah kerana bertindak seolah-olah hendak membakar kelambu kerana kegagalan membunuh seekor nyamuk. Hasan mulai bersikap seperti musang menuduh anggur yang dimakannya selama ini sebagai masam selepas gagal untuk memiliki anggur yang duduk dijulai tinggi. Apakah itu bukan hipokrit?

Orang boleh menilai kerja Hasan sejauh mana Islamik atau tidak berbanding dengan nyamuk parasit yang masih bertahan untuk bersama Pas. Di sinilah saya tampak Hasan tidak fatanah dan bersikap 'tasamuh' di dalam politik.

Pada saya parasit ini ada beberapa jenis yang bukan semuanya membawa keburukan dan kecelakaan. Kalau parasit itu boleh memberi oksigen atau nitrat kepada pokok ia tidak salah malah dialu-alukan. Dalam banyak-banyak jenis parasit ini ada yang berfahaman sosialis, komunis, kapitalis atau egois. Ada juga parasit yang berfahaman Islam tetapi fiil macam syaitan.

Adapun parasit yang ada dalam Pas yang hendak didedahkan dan dicemburi Hasan itu adalah parasit Islam yang mengakui Allah dan Muhammad sebagai Rasul. Yang menyertai atau menumpang Pas untuk berganding bahu dengan Pas menginfakkan profesional yang mereka ada. Ini adalah satu kebaikan kerana Pas perlukan perubahan tanpa meninggalkan asas perjuangan. Hasan sendiri boleh dianggap sebagai parasit yang memberi untung kepada Pas kerana ilmunya boleh dimanfaatkan Pas. Tidak dinafikan sedikit sebanyak ilmu Hasan turut membantu mentuburkan Pas.

Saya suka mengambil pandangan Dr Haron Din yang menegaskan Pas ada prinsip dan dasarnya sendiri yang dimaktubkan dalam perlembagaan. Pas ada Majlis Syura Ulamak yang menjadi pemantau perjalanan Pas. Ertinya selagi Majlis Syura Ulamak tidak memberi apa-apa pandangan dengan kaedah dan uslub yang diambil Pas kini anggaplah ia betul dan benar. Terimalah ianya syariat yang dihalalkan.

Apakah kita sudah tidak mempercayai kepada Majlis Syura Ulamak? Bukankah badan ini tertinggi dalam Pas. Majlis Syura Ulamak juga bukan badan yang memiliki kuasa mutlak. Ahli-ahli Pas seluruhnya yang berkuasa menentukan hala tuju perjalanan dan perjuangan Pas. Ahli pula akan berpegang kepada kitab, hadith, ijmak ulamak dan qias. Apakah pandangan Hasan mengenai hal ini mengatasi pandangan atau pendapat pihak-pihak itu semua? Tidak mungkin Hasan berada dalam makam yang betul sedang makam-makam atau pendapat dan badan rasmi lain tidak bersamanya.

Tuduhan yang Hasan lakukan itu jelas dangkal dan ia modal murahan untuk mempertahankan dirinya yang kini sudah mulai hendak rapat ke dinding.

Dalam pada itu saya ingin berpesan kepada pemimpin Pas terutamanya Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Mohd Rani Osman (insyaAllah akan mengganti tempat Ashan) supaya tidak menjawab apa-apa juga kenyataan dari Hasan. Usahlah minta dia mendedah siapa yang dianggap parasit itu. Hasan atau orang politik yang menjadi penasihatnya boleh mencipta apa saja modal untuk berbuat demikian. Seorang motivator akan bercakap selagi lidahnya tidak kejang atau dipotong.

Ingatlah suara Hasan tidak pun sebesar mana. Ia hanya pelakar di siang hari sahaja yang tidak akan menampak secalar cahaya pun. Bunyi mungkin kuat mengeger seantero alam tetapi cahaya tidak sedikit pun mampu mencerahkan kandati sekerat jalan. Apa yang lebih baik, diam jangan peduli dan biarkan Hasan bercakap bersendirian. Lama kelamaan Tv3 atau Utusan akan jemu juga menyiarkan kenyataan Hasan yang dari hari ke hari sudah tidak ada nilai berita. Bila lengguh mulut akan berhentilah dia tanpa sesiapa menyuruhnya.

Ahsan... Ahsan. [wm.kl.1:52 t/hari 17/01/12]

Isnin, 16 Januari 2012

Kalau kaki kencing manis, tidak potong merugikan


Kalau kaki kencing manis, tidak potong merugikan

Subky Abdul Latif, 16 Jan 2012
Pofesor. Madya Atorry Hussein kata, PAS telah rugi kerana memecat Datuk Hasan Ali.

Saya kata, memang tokoh akademik itu telah berkata betul seperti yang dirakamkan  dalam surah al-Asri yang bermaksud, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian.
Ketika dia dipecat,  dia adalah ADUN PAS Gombak Setia. Apabila dia dipecat dari parti, maka PAS sudah tidak ada wakil rakyat di situ.
Siapa pun yang hendak menjaga kepentingan rakyat  dan kawasan itu sesuai dengan kepentingan politik PAS di situ? Benar Hasan masih wakil rakyat di situ. Jika dia menjalankan tugasnya, maka dia sudah tentu tidak menjalankannya mengikut kepentingan PAS.
Seorang wakil rakyat PAS telah ditetapkan oleh PAS di zaman Dr. Burhanuddin al-Hilmy dulu mesti mendermakan 20 peratus dari elaunnya kepada parti. Bagi Anggota Parlimen kepada PAS Pusat dan bagi ADUN kepada PAS negeri. Apabila mereka pencen, maka caruman itu tinggal lima peratus saja.
Begitu juga kalau dia Menteri Besar atau Exco. Maka setiap bulan PAS dapat  wang masuk 20 peratus dari elaun mereka dan lima peratus setelah pencen hinggalah mereka mati. Jika mereka dipecat peruntukan itu tentu hilang. Tidakkah rugi namanya?
Maka sebagai parti politik, PAS tidak sunyi dari kerugian. Ia juga rugi bila wakil rakyatnya kalah. Kalau ia menang, potongan elaun itu 20 peratus, tetapi bila kalah, PAS dapat lima peratus saja. Rugi juga.
Setelah Ustaz Hassan Shukri tidak jadi senator, dia bagi elaun pencennya setiap enam bulan sekali. Sebelum dia meninggal dia beri elaun untuk enam bulan yang akan datang. Didahulukannya pemberiannya itu. Bila dia mati, PAS tidak lagi dapat duit. Tidakkah PAS juga rugi?
Demikian apabila sekalian bekas wakil rakyat dan bekas senatornya mati. Banyak kerugian yang ditanggung oleh PAS?
Manusia itu begitu. Universiti melabor banyak terhadap profesornya untuk kepentingan kampusnya. Cukup kalau profesor itu lari ke universiti lain atau berhenti. Tidak rugikah universiti. Seperti Atorry  Hussein, katakan tiba-tiba mati belum bersara. Tidak rugikah universiti? Tentulah rugi.
Kerajaan mengeluarkan beratus ribu belanja untuk menanggung seorang pelajar perubatan. Setelah tamat tempoh kontreknya berkhidmat dengan kerajaan dia letak jawatan bagi membuka klinik sendiri. Kerajaan telah kerugian dan terpaksa menanggung pelajar perubatan yang baru bagi mengganti doktor yang pergi itu.
Logiknya semua profesor itu diperlukan khidmatnya oleh universiti. Tetapi setengah profesor yang baik itu cenderung pula pada politik. Mereka pun berpolitik bersama pembangkang. Mereka sudah melanggar akta universiti. Universiti terpaksa buang mereka. Tentulah universiti rugi. Walau pun rugi tetapi universiti terpaksa buang juga mereka. Mengapa?
Antara profesor itu amat sayang pada isterinya. Tetapi isterinya sakit tenat. Menderita lama di hospital. Harapan pulih tidak ada. Dari menderita begitu, maka profesor redha,  mati adalah lebih baik baginya. Profesor sayang padanya, apabila mati profesor kehilangan orang yang dikasihi. Rugi isteri mati, tetapi di sebaliknya memungkin profesor beristeri lain pula.
Semua manusia sayang akan kakinya. Tetapi apabila  dia terkena sakit kencing manis, kakinya terpaksa dipotong. Apabila dipotong rugilah kakinya. Dia juga rugi kerana sudah tidak berkaki. Dia sayang pada kakinya. Tetapi kalau tidak dipotong kaki itu, dia pula akan mati cepat.
Oleh itu biarlah dia tidak berkaki asal dapat meneruskan hidup dalam keadaan cacat tetapi dapat lagi beribadat. Sesayang mana pun dia pada kakinya, tetapi dia terpaksa menerima hakikat membuang kakinya yang sudah tidak berguna dan memudaratkan jiwanya lebih baik.
Membuang kaki yang begitu lebih baik dari berkaki yang tidak berguna lagi.
Bukan PAS tidak sayang pada Hasan Ali. Tetapi politik itu, kata Tok Guru Haji Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di muktamar lalu, ada fiqahnya. Mufti Perak mahir fiqah lain tetapi tidak mahir fiqah politik.
Yang PAS bertindak terhadap Hasan itu adalah mengikut kehendak fiqah politik. Kalau kaki kencing manis terpaksa dipotong, tidak memotongnya lebih merugikan.

Jumaat, 13 Januari 2012

dedah misteri dakwat kekal PRU12


Rashid, Husam dedah misteri dakwat kekal PRU12

Harakahdaily, 13 Januari 2012
KOTA BHARU, Jan 13: Misteri pembatalan penggunaan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum ke 12 telah terburai semalam di Wacana Perdana 9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” yang diadakan di sini malam tadi.
(Gambar: Wacana Perdana di KTC malam tadi)

Forum yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh pensyarah UKM, Datuk Dr Mohd Agus Yusuf dengan tiga panelis – Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS, Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam hujahnya, Rashid berkata beliau dan SPR telah berusaha untuk memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, sebelum ia dibatalkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang PRU-12.

“Usahlah cakap pasal dakwat kekal, saya dulu pun dah nak buat kalau orang tak sekat… (tepukan gemuruh), undang-undang dah buat, tapi ada orang yang tidak bersetuju dia sekat.

“Jadi ini nak buat pula, baguslah, buat lah, memang itu patut dibuat… SPR tak tipu, kalau ada penipuan, itu orang lain tipu. Jangan salahkan SPR. Orang lain saya tak tahu. SPR ikut undang-undang 100 percent, jangan salahkan SPR. Kalau undang-undang itu bodoh macam lembu, bodoh macam lembulah,” kata Rashid dalam forum itu.

Pada masa ini, Husam mencelah, “Tan Sri, kalau parti-parti lain itu menipu, SPR duduk sana buat apa?”

Rashid pula membalas, “SPR tak ada kuasa.” Balasan Rashid itu membuatkan hadirin yang penuh sesak dalam dewan itu tidak kering gusi dengan gelak ketawa.

Menjawab Rashid, Nazri mengaku bahawa beliaulah antara orang yang mempertikaikan penggunaan dakwat kekal kerana berdasarkan perlembagaan negara, perkara yang melayakkan seseorang itu mengundi hanya dua – berumur 21 tahun dan berdaftar sebagai pengundi.

“Jadi, kalau ada seorang yang tak mahu dakwat kekal dicalit di jari dan mahu kertas undi, apa yang berlaku? Syaratnya cuma dua, berumur 21 tahun dan berdaftar. Disebabkan itu, dan waktu PRU dah dekat, SPR ambil pendekatan untuk batal penggunaan dakwat kekal,” terang Nazri mengenai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan.

Mengenai persoalan mengapa dakwat kekal digunakan sekarang pula, Nazri berhujah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan baru sahaja memberikan lampu hijau untuk penggunaan dakwat kekal dan peguam negara bersetuju untuk tukar perlembagaan untuk membolehkannya.

“Sekarang Majlis Fatwa baru umum benarkan, maksudnya dulu tak pernah umum lah, kalau tak mengapa nak umum dua kali,” sindir Nazri.

Menjawab dakwaan Nazri mengenai halangan perlembagaan, Rashid secara sinis menjawab, “Saya tak setuju bantahan Peguam Negara pada 2007. Dalam perlembagaan pun tak kata mesti tunjuk kad pengenalan (IC) sebelum mengundi. Tapi kita suruh tunjuk IC, kalau tak dia tak boleh mengundi. Itupun dipatuhi. Kalau nak mengundi kena patuhi peraturan dan cara-cara mengundi.”

Dalam kontroversi Majlis Fatwa Kebangsaan, Husam mengingatkan Nazri bahawa fatwa sudahpun dikeluarkan pada 2007, dan semua ini boleh disemak melalui web e-fatwa di Internet.

“Tan Sri Rashid baru berbisik kepada saya, SPR ada menerima surat daripada Majlis Fatwa mengenai hal itu pada tahun 2007. Macam mana seorang menteri tak tahu mengenai hal ini? Wallahuaklam,” kata Husam.

Kemudian, exco kerajaan Kelantan turut mengingatkan Rashid mengenai alasan yang diberikannya kepada rakyat ketika pembatalan dakwat kekal bahawa terdapat laporan ada pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya dengan menyeludup sejumlah besar dakwat kekal ke negara ini.

“Pada 5 Mac 2008, Tan Sri keluar di kaca TV memberikan 2 sebab mengapa dakwat kekal tak jadi guna. Dia memberi sebab keselamatan kerana ada orang ditangkap membawa dakwat ini termasuk di Kelantan.

"Ketua Polis Tan Sri Musa Hasan pula mengesahkan adanya dakwaan tersebut. Dan kemudian ditanya ahli parlimen Pakatan Rakyat selepas Mac 2008, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan tiada tangkapan tersebut dan tiada dakwaan dibuat. Bermakna, Tan Sri Rasyid telah dipaksa berbohong,” selar Husam.

Husam turut berkata keputusan menggunakan dakwat kekal kini adalah hasil perjuangan Bersih 2.0.

“Yang berikan hujah yang kata dakwat kekal boleh digunakan untuk PRU akan datang ini ialah Tan Sri Abdul Ghani Patail, yang dulunya memberikan nasihat yang sama tak boleh pakai. Peguam Negara yang sama yang dulu kata tak boleh pakai, tetapi kini boleh pakai, bermakna ada sesuatu yang lompang kepada sistem piliharaya ini.

"Yang lebih penting ialah, bila Tan Sri Ghani Patail kata boleh pakai sekarang, ini adalah hasil daripada Bersih. Kalau tak ada Bersih, tak adalah dakwat kekal kini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Rashid berkata undang-undang pilihanraya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana SPR tidak diberikan kuasa sepenuhnya.

“SPR kena share kuasa, jadi demokrasi negara tak lengkap. Orang lain berkuasa, polis berkuasa, kementerian penerangan berkuasa... bukan Umno berkuasa (gelak hadirin), tapi mereka tak bebas,” kata beliau.

Keterangan Rashid dipersetujui Husam.

“Setuju kuasa SPR tak mencukupi, jadi pemulihan PSC (Jawatankuasa Terpilih Parlimen) tidak kena pada core (tunjang) nya (memberikan kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk laksana undang-undang pilihanraya).”