Khamis, 27 November 2014

Ibnu Hasyim: Isteri, Jangan Ada Sifat Ini..

Ibnu Hasyim: Isteri, Jangan Ada Sifat Ini..: MUDAH untuk jadi isteri solehah . Nak jadi isteri derhaka pun mudah juga. Ini sifat-sifat isteri derhaka. Jangan ada sifat-sifat ini.. ...

Umno di hujung kuasa


DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .
KETAKUTAN hilang kuasa dan euforia paranoid sedang menggema hangat di PWTC, seolah tanah leluhur ini sedang diperintah bangsa asing. Ironisnya negara ini diperintah oleh Umno, parti yang lahir pada 11 Mei 1946 dan mempunyai jajaran Perdana Menteri berkeahlian Umno.
Tema bangsa Melayu akan hilang daripada peta kuasa, hilang segalanya sedang disenandungkan dengan sajian melankolik oleh pemimpin-pemimpin Umno dan para perwakilan yang sedang bersidang. Termuntah segalanya melalui pantun, pepatah petitih, seloka bahkan terjahan semangat akan kebimbangan hilang kuasa ini.
PRU13 yang lalu telah menghantar isyarat yang jelas bahawa parti Melayu yang bersalut KKN ini semakin berada dihujung tampuk kekuasaan dan ternyata Umno berkuku di kawasan pedalaman yang tidak akses kepada maklumat dan ilmu yang benar.
Talian hayat Umno dan BN ini juga bergantung dengan Sabah Sarawak, malah ternyata jelas Umno ditolak oleh kelas menengah Melayu negara ini. Cuba kita bandingkan prestasi Umno BN dalam PRU12 dan juga dalam PRU13, maka rakyat dapat menghidu ketakutan Umno ini.
Kedudukan ahli Parlimen juga berlaku perubahan berbeda dengan PRU12 di mana BN mempunyai 140 kerusi, manakala Pakatan Rakyat mempunyai 82 kerusi Parlimen. Kali ini menyaksikan dalam PRU13, BN hanya memperolehi 133 kerusi Parlimen. Kali ini Pakatan Rakyat mempunyai 89 kerusi Parlimen. Keseluruhan kerusi Parlimen yang dipertandingkan ialah sebanyak 222 kerusi.
Di peringkat negeri-negeri juga BN mengalami kemerosotan yang sangat drastik, dalam PRU12 yang lepas, BN mempunyai 344 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala Pakatan Rakyat mempunyai 161 kerusi Dun.
Lonjakan kali ini sangat menarik untuk dibedah apabila PRU13 ini, BN mempunyai 275 kerusi Dun dengan makna BN kehilangan sebanyal 71 kerusi Dun. Pakatan Rakyat yang menyaksikan permuafakatan politik PAS, PKR dan DAP telah memperolehi 230 kerusi Dun. Jumlah keseluruhan kerusi Dun ialah sebanyak 505 kerusi.
Pilihan raya umum kali ini juga menyaksikan pertama kali undi popular memihak kepada Pakatan Rakyat, jika dalam PRU12, BN telah memperolehi 4.0 Juta pengundi, manakala Pakatan Rakyat memperolehi 3.7 Juta undi popular. Dalam PRU13 ini suasana sangat berbeza. BN 5.2 juta, Pakatan Rakyat 5.5 juta (Pakatan Rakyat lebih popular).
Dalam PRU ini juga menyaksikan peningkatan jumlah keluar mengundi yang paling ramai dalam sejarah pilihan raya. Jumlah peratusan ini mengalahkan negara maju dan sangat disangsikan malah dikaitkan dengan undian berganda.
Koordinasi antara JPN dan parti berkuasa telah menjayakan operasi undian berganda. Banjiran warga asing yang mengundi juga menyumbang kepada peratus keluar mengundi yang cukup luarbiasa kepada negara sedang membangun seperti Malaysia.
Peratus keluar mengundi dalam PRU12 ialah seramai 8.0 Juta (76%). Manakala dalam PRU13 pula seramai 10.4 Juta atau 80 peratus yang keluar yang keluar mengundi.
Peratusan sangat tidak logik dengan kadar pertambahan penduduk dan juga tahap pendidikan penduduk, semakin pedalaman, semakin tinggi kadar keluar mengundi.
Sangat ironis sekali, terutama apabila kadar keluar mengundi saluran 1 yang sangat tinggi. Pengundian berganda adalah salah satu senjata BN untuk menang dengan cara yang sangat kotor. Ianya dikesan mula digunakan dalam 3 pilihan raya terakhir ini, bersinergi beberapa jabatan kerajaan dengam modus operandi yang sangat licik.
Dalam isu undi popular, sejarah menyaksikan BN tidak berjaya menawan hati rakyat seluruhnya. Kalau berdasarkan undi popular Pakatan Rakyat mengatasi BN dalam PRU13.
BN cuba menyembunyikan kerja jahat persempadanan pilihan raya yang pernah mereka buat iaitu dibanyakkan kerusi Parlimen di kawasan Sabah, Sarawak dan juga kawasan pengundi bukan Melayu yang ramai, manakala kawasan pengundi Melayu yang ramai tidak dipecahkan kawasan Parlimen.
BN memperoleh 5.2 juta undi popular sedang Pakatan Rakyat memenangi 5.5 juta undi popular. Bererti Pakatan Rakyat memungut lebih kurang 300,000 undi berbanding BN.
Tetapi oleh kerana kerusi Parlimen tidak seimbang dari segi bilangan pemilih, contoh, umpamanya ada kawasan Parlimen yang jumlah pemilihnya lebih kurang 10,000 atau 25,000 (banyak di Sarawak) sedang di Selangor beberapa kerusi Parlimen mencecah lebih 100,000, begitu juga kawasan majoriti Melayu seperti di Baling, Sik, Hulu Terengganu, Kemaman kadar pengundinya sangat tinggi.
Jadi jika sesebuah parti memenangi satu kerusi bilangan pemilihnya melebihi 100,000 orang dan parti yang lain memenangi di empat kerusi di Sarawak masing-masing satu kerusi bilangan pemilihnya 25,000. Dengan jumlah pemilih yang sama Pakatan Rakyat hanya menang satu kerusi sedang parti BN menang 4 kerusi.
Politik Communal sangat menghantui negara kita sejak zaman berzaman. Umno sendiri tegak atas dasar perkauman Melayu.
Kempen PRU13, sarat dengan kempen perkauman malah secara terbuka dengan penggunaan media massa arus perdana yang meracun pemikiran kaum Melayu agar terus menyokong Umno untuk mengelakkan Melayu hilang kuasa.
Usai PRU terus diserombongkan seolah adalah ahli Parlimen Malaysia ramai yang bukan Melayu. Melayu ditakutkan hilang kuasa dan didendangkan bahawa DAP menguasai Parlimen. DAP bertanding di kawasan Cina menghampiri majoriti dan lawannya adalah MCA, MIC dan Gerakan. Logik ini gagal untuk difahami oleh masyarakat Melayu luar bandar yang malas membaca dan dibius hiburan.
Perhimpunan Agung Umno terus meniup bara perkauman, sedang mereka meneriak "hidup Melayu", ekuiti bangsa Melayu makin mengecil dan tanah orang Melayu semakin hilang disambar cukong yang sedang berselingkuh dengan penjerit hidup Melayu.
Nilai akhlak Melayu makin punah dibaham kejahilan sistematik dan juga akibat pembiusan hiburan skala besar tajaan kerajaan. Umno tak perlu menyalahkan orang lain dengan terpuruknya bangsa Melayu dan juga semua bentuk perlecehan terhadap Islam kerana kuasa telah dan sedang digenggaman tangan mereka! - HARAKAHDAILY 27/11/2014
Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Lujnah Politik Pusat.

NAJMAN DELIMA: IdaMan: Protes Secara Senyap Terhadap Kenaikan Har...

NAJMAN DELIMA: IdaMan: Protes Secara Senyap Terhadap Kenaikan Har...: IdaMan: Protes Secara Senyap Terhadap Kenaikan Harga Minya... : ‘Silent protest’ bahaya untuk kerajaan [sinar]- Protes secara senyap terha...

Sabtu, 18 Oktober 2014

IdaMan: Protes Secara Senyap Terhadap Kenaikan Harga Minya...

IdaMan: Protes Secara Senyap Terhadap Kenaikan Harga Minya...: ‘Silent protest’ bahaya untuk kerajaan [sinar]- Protes secara senyap terhadap kenaikan harga minyak lebih berbahaya buat pemerintah, k...

Apakah cara paling sesuai PR cari jalan ke Putrajaya?


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Oleh kerana isu yang sedang dihadapi oleh negara begitu besar, maka memilih kepimpinan yang berwibawa untuk membawa perubahan ini wajar dilakukan tanpa segan dan silu lagi.

"Alangkah baiknya jika dapat diketemukan semua parti-parti politik yang berbeza untuk bersama-sama membangunkan politik dan negara," tulis Aspan Alias dalam blognya.

Justeru, menurutnya jika semua pemimpin politik dari parti-parti PAS, DAP, PKR serta parti-parti di Sabah dan Sarawak diketemukan dengan jujur maka sekali gus dapat diusahakan penyelesaian segala kemelut negara kita.

Tulisan penuh beliau seperti di bawah.

Setelah kita memahami apakah masalah-masalah besar sehingga PR tidak mampu untuk ke Putrajaya, sedang UMNO yang memerintah sudah hilang segala pedoman mentadbir negara, apakah tindakan rakyat untuk memperbaiki keadaan politik tanahair kita. UMNO dan BN hanya bergantung kepada situasi yang PR tidak akan mendapat dan berjaya ke Putrajaya itu. UMNO hanya kekal ‘by default of Pakatan Rakyat’.

Kalau kita hendak bertanya, jika Pakatan Rakyat mempunyai kelemahan yang jelas untuk melayakkan mereka untuk menjadi parti alternatif kepada BN, apakah formula terbaik bagi memperbaiki keadaan dan untuk keadilan demokrasi dan semangatnya. Bolehkah DAP dan mana-mana parti yang ingin berjuang untuk ke Putrajaya dan menjamah kuasa di sana?

Jika secara ‘direct assault’ terhadap UMNO itu tidak memungkinkan DAP dan PKR mahu pun PAS mampu mendekati kuasa di Putrajaya, apakah cara yang paling sesuai untuk mencari jalan ke Putrajaya itu? Seperti yang saya sebutkan dalam posting-posting saya yang baru-baru ini, UMNO dalam keadaan apa sekali pun tetap akan memerintah negara walaupun dengan majoriti kerusi yang kecil.

Tetapi ahli-ahli UMNO tidak mempunyai kudrat untuk menukar kepimpinan mereka yang berimejkan korupsi dan menyalahgunakan kuasa itu sedangkan ‘urgency’nya ialah untuk menukar kepimpinan mereka bagi memberikan keselesaan siasah bagi negara kita. Kita tidak boleh mengharapkan ahli-ahli dan pemimpin UMNO untuk menukar kepimpinan mereka.

Jika UMNO itu amat sukar untuk digantikan pemimpin-pemimpin mereka, maka kaedah menukar kepimpinan UMNO itu wajar dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dari luar parti itu. Sistem secara konvensyen yang Presiden UMNO itu secara ‘automatic’ menjadi Perdana Menteri sudah menjadi ‘obsolete’ dan telah terbukti membawa kehancuran kepada negara.

Lagi pun untuk menggantikan kepimpinan UMNO dengan memilih barisan kepimpinan yang ada sekarang ini sememangnya menakutkan kita. Menggantikan Najib dengan Muhyiddin, atau Zahid Hamidi, Hishammuddin serta Shafie Apdal, ‘is no change’. Mereka adalah dari kumpulan dan budaya yang sama, seperti yang saya suka menggunakan istilah acuan yang sama.

Kita akan dilihat sebagai bersikap dayus politik jika mereka yang berkuasa ini masih diberikan sokongan oleh UMNO itu. Negara kita sedang melalui proses kejatuhannya dan ia sedang menghampiri keadaaan itu dengan pantas dan deras.

Itulah sebabnya blog ini tidak jemu-jemu mencadangkan agar kita perlu memulakan politik dan siasah yang baru semata-mata untuk menyelamatkan negara dari terjerumus ke lembah kehancuran yang begitu ‘imminent’ akan berlaku itu.

Kita terpaksa menerima hakikat yang kita mesti melakukan tindakan ‘drastic’ dan ‘unconventional’ tetapi yang dibenarkan oleh perlembagaan negara untuk dilakukan.

Dalam perlembagaan Persekutuan seorang mana-mana ahli Legislatif Persekutuan yang mendapat kepercayaan dari dewan yang mulia itu adalah yang paling layak untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri. Dengan mengenepikan konvensyen biasa yang menetapkan hanya presiden UMNO menjadi Perdana Menteri itu wajar dikaji semula.

Ini adalah kerana dengan cara konvensyen biasa itu sudah tidak relevan lagi disebabkan kegagalan UMNO untuk menonjolkan kepimpinan yang bersih yang layak untuk diberikan sokongan untuk memimpin rakyat yang sedang dahagakan seorang pemimpin yang terhindar dari isu-isu peribadi yang menjengkelkan kita semua.

Asalkan yang dipilih oleh Dewan Legislatif Persekutuan itu adalah seorang Melayu, sesiapa sahaja boleh dipilih oleh Dewan Parlimen itu seperti yang tertulis dengan jelas dalam perlembagaan Persekutuan kita sekarang ini.

Pilihan itu mesti dilakukan terhadap seorang pemimpin Melayu yang ‘viable’ sebagai Perdana Menteri kerana Melayu itu merupakan rakyat majoriti negara ini. Ini adalah untuk menjaga kestabilan politik negara agar tidak ada peluang untuk mana-mana pihak untuk melanggar semangat perlembagaan negara dan realiti politik tanahair kita.

Biarlah yang dipilih itu seorang yang mempunyai kewibawaan dan berpengalaman serta berkemampuan untuk berunding dengan semua pihak untuk mewujudkan sebuah negara yang berwajah politik yang baru dan mewujudkan ‘ambience’ politik yang baru.

Biarlah pemimpin yang dipilih oleh Dewan yang mulia itu mampu untuk memahami masalah negara dengan sebenarnya kerana jika pemimpin itu tidak tahu apa masalah sebenarnya tidak akan ada jalan keluar untuk membetulkan keadaan buruk itu. Negara kita telah terbiar oleh pemimpin yang lalai terhadap tanggungjawab mereka.

Kelalaian pimpinan kita sejak tiga dekad yang lalu telah menyebabkan negara kita berada dalam situasi seolah-olah kita tidak mempunyai kerajaan lagi, kerana kita dipimpin oleh pemimpin yang memimpin negara seperti pemimpin persatuan sepak takraw sahaja. Tidak dinampakkan ‘seriousness’ mereka untuk mengharmonikan kehidupan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Isu perkauman merupakan isu yang sangat besar yang jika tidak diselesaikan dengan segera ia memungkinkan kita berhadapan dengan perkelahian di antara kaum yang amat kita takuti. Selain dari itu dengan memulakan sebuah negara yang ditransformasikan politiknya dengan besar-besaran maka isu yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak juga boleh dibawa bersama untuk mencari penyelesaiannya.

Oleh kerana isu yang sedang dihadapi oleh negara begitu besar maka memilih kepimpinan yang berwibawa untuk membawa perubahan ini wajar dilakukan tanpa segan dan silu lagi.

Alangkah baiknya jika dapat diketemukan semua parti-parti politik yang berbeza untuk bersama-sama membangunkan politik dan negara. Jika semua pemimpin politik dari parti-parti PAS, DAP, PKR serta parti-parti di Sabah dan Sarawak diketemukan dengan jujur maka sekali gus dapat diusahakan penyelesaian segala kemelut negara kita.

Dengan memilih pemimpin yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk membawa semua pihak duduk dan bersembang secara serius bagi membina negara dengan politk dan siasahnya yang baru dengan ‘ambience’ yang baru yang menyegarkan. - HARAKAHDAILY 18/10/2014

Selasa, 16 September 2014

Umno mahu Pakatan pecah, bukan UG


ZULKIFLI YAHAYA | .
Kerajaan Perpaduan (UG) adalah istilah yang popular muncul dalam krisis Menteri Besar Selangor. Sama ada ia sekadar suatu sindiran atau tuduhan, akhirnya UG terbina dalam persepsi sebahagian masyarakat bahawa krisis yang berlarutan ada kaitan dengan isu UG.

Konsep UG pernah diperkatakan pada awal 2009 dalam. Ada cadangan tidak rasmi dalam PAS supaya difikirkan penyelesaian masalah negara melalui Kerajaan Perpaduan. Sistem demokrasi di Indonesia dan Malaysia adalah berbeza. Apapun asasnya ialah demokrasi. Indonesia berjaya mewujudkan kerajaan perpaduan model mereka, apabila Presiden yang terlantik akan melantik menteri kabinet dari pelbagai parti. Idea itu yang berlegar di peringkat cadangan.

Gabungan UG ini akan menjadikan semua pihak sebahagian dari kerajaan yang memerintah dan tiada pembangkang buat seketika. Dengan itu persengketaan dapat dielak dan semua boleh tumpu kepada persoalan menghadapi dan mengatasi kegawatan ekonomi yang sedang menimpa. Politik perkauman berserta pendekatan pihak berkuasa secara kuku besi akan menyebabkan pertelagahan yang tiada kesudahan sehingga masalah kegawatan ekonomi tidak terurus. Ini akan menyebabkan semua pihak, bukan sekadar parti-parti politik tetapi juga rakyat jelata mengalami kerugian yang amat besar. Maka UG menjadi formula yang boleh diuji.

Oleh kerana konsep UG ini adalah satu konsep yang baru di kala itu, maka ramai yang tidak begitu jelas dengan apa yang dimaksudkan. Ada yang menganggap ianya sebagai pergabungan di antara PAS dan UMNO atau PAS dan BN – satu gambaran yang sangat menakutkan ahli-ahli di semua peringkat.

Dalam muktamar PAS yang diadakan kali pertama di Selangor, UG menjadi isu panas yang tunas cadangannya (jika wujud) telah dibenamkan habis-habisan ke dalam bumi oleh para perwakilan ketika itu. Semua sangat takut akan UG, akhirnya memaksa kepemimpinan utama PAS membuat penegasan bahawa PAS lebih bersedia untuk bersama KeADILan dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Bermakna idea UG telah dibenamkan sama sekali.

Banyak sebab mengapa UG menjadi igauan ngeri yang menakutkan bagi sebahagian besar ahli-ahli PAS. Faktor utamanya ialah separuh abad Umno dimomokkan sebagai musuh durjana PAS yang menolak Islam, asobiyah, sekular dan rasuah. Itu antara kejayaan tarbiyah PAS; iaitu menghayati permusuhan dengan Umno hingga ke tulang sum-sum. Dalam situasi itu tiba-tiba konfrontasi berzaman dengan Umno hendak dilunakkan, maka ia termasuk perkara ajaib yang dianggap mustahil.

Faktor kedua, ialah rasa keperitan sebagai ahli pembangkang juga tersemai kukuh di benak dan sanubari. Ahli PAS terbiasa dianaktirikan oleh kerajaan BN. Penafian kemudahan infrastruktur dan bantuan terhadap penyokong pembangkang adalah biasa. Saban hari media arus pernah tidak pernah bersikap adil terhadap pembangkang. Para penyokong pembangkang yang paling banyak menghirup gas penyesak dada dan meminum air water canon. Bahkan pembangkang juga sentiasa menjadi serangan politik berterusan melalui media. Semua itu membina kekuatan di kalangan ahli PAS untuk membenci Umno.

Faktor ketiganya, ialah bayangan kekuasaan di Pusat yang semakin hampir. PRU 12 pada 2008, kali pertama dalam sejarah Malaysia majoriti dua pertiga BN dinafikan. Empat negeri ditawan Pakatan. Dalam PRU 13, kedudukan BN bertambah parah. Mereka kalah undi popular. Pakatan 53 peratus, manakala BN hanya dapat 47 peratus sokongan rakyat. Dalam keadaan cita-cita menjadi semakin hampir mana mungkin PAS berpatah balik memberi kekuatan kepada BN.

Bagi sebahagian besar ahli-ahli PAS bukan setakat persepakatan dengan Umno menjijikkan, perpecahan dengan Pakatan juga menakutkan. Kecuali Terengganu dan Kelantan, selainnya PAS tidak mampu memperoleh kerusi yang begitu lumayan kalau bukan kerana undi Cina, mengikut hukum akalnya. PAS berkuasa ke Kedah PRU12 lalu difaktorkan undi Cina. Dan pengembeling utama undi Cina untuk menyokong Pakatan ialah DAP dan KeADILan.

Sebenarnya UG sudah semakin jauh dari menjadi agenda PAS. Namun andai sekalipun UG datangnya dari PAS, apakah Umno sudi menyambutnya? Jawapannya, tidak mungkin! Agihan jawatan untuk para pemimpin mereka di semua peringkat sudah tidak mampu ditunaikan. Takkan Umno nak mengurangkan kepentingan untuk dihulurkan kepada PAS. Lagipun bagi Umno, sekiranya mereka membenarkan PAS memerintah bersama, PAS akan tambah berpengaruh dan semakin diterima rakyat. Pendedahan rakyat kepada kemampuan PAS akan menyebabkan kuasa Umno/BN akan hilang dari genggaman mereka sedikit demi sedikit.

Umno cuba bersikap lunak terhadap PAS sekarang hanyalah bertujuan untuk memecahkan Pakatan. Selepas pecah (waliyazubillah), PAS akan dibiarkan bersendirian. Ada idea nakal dari segelintir anggota supaya PAS bersendirian, tanpa Pakatan dan jauh sekali dari bersama Umno. Hakikatnya itu juga ‘idea UG’. PAS bersendirian, bermakna memecahkan undi pembangkang. BN akan menang selesa walaupun bertanding dalam keadaan tidur nyenyak kerana perpecahan pembangkang membantu mereka. Maka siapa yang mencadangkan supaya PAS bersendirian bermakna dia sedang menyempurnakan agenda Umno.

Apabila Umno terus berkuasa maka khazanah kekayaan negara terus teragih sesama para ‘penyamun’, rakyat hanya dapat sisa-sisa makanan dan kemungkaran politik, ekonomi dan sosial akan terus bermaharajalela tanpa batas sempadan.

Kerja keras Umno sekarang ialah memecahkan dalaman PAS dan cuba mengasingkan PAS dari Pakatan. Hasutan batu api mereka ialah PAS jangan tunduk kepada tekanan KeADILan dan DAP. Jika ada ahli PAS termakan dakyah tersebut, bermakna mereka sedang menjayakan agenda Umno. - HARAKAHDAILY 16/9/2014
Share on Myspace

Sabtu, 30 Ogos 2014

Sejarah menuntut merdeka bukan bermula 1946


MUHAMMAD FAIZAL | .
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu sejarah negara ini banyak yang disembunyikan terutamanya tentang perjuang asal menuntut kemerdekaan.

Berucap pada Wacana Kemerdekaan di Universiti Selangor (Unisel) hari ini, beliau berkata perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan semula untuk pengetahuan generasi akan datang.

"Perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan, ingat ia bukannya bermula pada tahun 1946 tetapi sejak dari awal lagi.

"Sejarah-sejarah awal perlu kita kaji semula dan kita kena tahu apa yang berlaku sebelum ini, sepertimana perjuangan menentang penjajahan Portugis dan Inggeris di Melaka sewaktu ketika dulu," katanya.

Beliau menekankan nilai kemerdekaan dari perspektif Melayu dan Islam berkata, peranan Islam amat penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

"Di sini peranan perjuangan Islam amat penting dalam menuntut kemerdekaan, ia melibatkan semua tempat dan kedudukan. Ini perlu digali semula dan diperbetulkan, janganlah kita dibohongi dengan sejarah sendiri.

"Kita kena tahu dan jangan lupa sejarah sebenar, kita menghargai mereka yang sebenarnya berjuang tetapi dilupai," ucap beliau.

Ahli Parlimen Marang itu juga meminta semua pihak dalam mengisi semangat kemerdekaan mesti bersikap adil dengan semua kaum.

"Banyak perkara timbul dalam suasana sekarang, masalah politik, ekonomi dan paling ketara pengisian dalam masyarakat majmuk.

"Kita kena berlaku adil dengan semua kaum, masyarakat madani dalam Islam perlu diterap dalam masyarakat majmuk sekarang.

"Masing-masing mempunyai kelebihan dan kita perlu saling menghormati serta ketengahkan jangan mengabaikannya.

"Kita punyai titik persamaan, titik persamaan ini digabungkan untuk masyarakat majmuk dalam mencarikan satu kebaikan," sambung beliau.

Sebelum itu, wacana kemerdekaan dibarisi ahli panel Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar (UM), Prof Dr Kamarulzaman Yusoff (UTM), Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Mohd Fadli Ghani manakala Prof Dr Badlisham Mohd Nasir (Ilmuan) sebagai moderator. - HARAKAHDAILY 30/8/2014