- Jan 08, 2014
-
TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Firman Allah:
أَمَّا السَّفِينَةُ
فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ
أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:
Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah
kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku jadikannya rosak,
kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal
yang tiba.”
Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا
الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ
فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ
سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95)
آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ
قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ
عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan
Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya
Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami)
dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan
mereka?" (94)
Dia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan
kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah
aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan
mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (95)
"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia
terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia
pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan
alat-alat kamu." Sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala
seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan
atasnya." (96)
Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam,
supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan di antara
kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya
tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khaidir merosakkan
kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula
kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama
Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya
surplus, sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.
sumber kewangan negara
Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep
mengumpul sumber kewangan negara yang dilaksanakan dalam sistem ekonomi
di peringkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa dan
inter negara-negara, Islam menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan.
Dalam hal ini, Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga
berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan.
Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik
dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan
kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing di kalangan
orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa. Batas halal dan haram
dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan,
adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis
tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuanuntuk
menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang
bermasyarakat madani.
Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam
mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada
penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan
sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan konsep yang
adil seperti zakat juga.
Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam
rukun agama dan ibadat yangtidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak
boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam kerana hak yang berbeza
dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada
penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat
dan bernegara. Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh
ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber
kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.
golongan tidak diwajibkan zakat
Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan
dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka
hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan
nisob. Dimana
nisob
ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan
pengurusan, dengandikecualikandaripada perkiraannya. Mereka yang
berpendapatan tidak mencapai
nisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakir dan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut
haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.
Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan
rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan
konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada
cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta
menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.
Khalifah Umar bin Al Khattab r.a. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan
jizyah,
kharaj dan
usyur,
daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak
membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan
terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa
atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan
daripada pihak lain seperti paderi dan sami atau yang berkhidmat kepada
negara dan masyarakat.
cukai boleh dihapuskan
Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidak
seperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut
Islam kerana ianya dimasukkan dalam perkara ibadat sepanjang masa.
Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan
dengan zakat. Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku
tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi
kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi
menunaikan tanggung jawab terhadap pembayar.
Contohnya Abu ‘Ubaidah (pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai
jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada
kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera
Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang
terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.Cukai juga dikurang
bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya
Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan
Usyur (cukai
perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat
di tahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan
negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan
beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.
Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh
yang paling ideal kerana memerintah di zaman paling majmuk, wilayah yang
luas dan mencabar. Di antara arahan mereka adalah melarang
sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya. Mereka
menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa
membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang
menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menunjukkan tidak berkemampuan
mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.
krisis kewangan
Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak
kerajaan sentiasa menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang
telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan
GST, cukai terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku
adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin
menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah
salah tafsir terhadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.
Adil mengikut takrif Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya,
bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah
pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit
penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan
inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam
kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya-raya dan
tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya
mengambil tanggung jawab cukai tambahan.
Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri
secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada
dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus
bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukan
islah(reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa
Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.
Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara
aulawiyyat
(keutamaan) bagi rakyat menyebabkan keborosan dan pembaziran. Masih
berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan
menggagalkannya. Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada
peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan
lain- lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan
penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada
kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.
Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah,dengan
menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga
barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol
yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskantetapi dijadikan
kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.
menyekat ketirisan
Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya.
Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas.
Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan
sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelintir manusia,
digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat. Memayungi rakyat yang
lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak,
saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan
cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan
dan keuntungan pihak tertentu.
Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira
nisob nya, adapun GST tanpa
nisob
mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin,
sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa.
Kalau zakat mengikut
haul (tahun) dan musim, maka GST setiap
hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada
zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada
raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak
dirampas. Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil,
Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai
kerana kewangannya
surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.