DHAKA:
Hanya 500,000 daripada 1.4 juta rakyat Bangladesh yang layak bekerja di
Malaysia dalam sektor perladangan berdasarkan kepada pangkalan data
kerajaan negara ini.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh
Norlin Othman berkata sejak Malaysia dan Bangladesh menandatangani
perjanjian persefahaman pengambilan pekerja asing dalam sektor
perladangan pada hujung tahun lepas, kira-kira 1.4 juta rakyat
Bangladesh mendaftar untuk bekerja di Malaysia.
"Setelah membuat
tapisan, hanya 500,000 yang layak kerana terdapat permohonan yang tidak
memenuhi kelayakan seperti usia yang terlalu tua dan terlalu muda,"
katanya kepada pemberita Malaysia di sini.
Norlin berkata ada juga permohonan yang ditolak kerana terlebih kelayakan seperti siswazah.
Namun, pihaknya hanya menerima 10,000 permintaan untuk pekerja perladangan daripada majikan di Malaysia.
Mengikut rekod, kira-kira 320,000 pekerja Bangladesh bekerja secara sah dalam pelbagai sektor di Malaysia ketika ini.
Sejak
2010, rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia menghantar pulang wang
sebanyak RM3 bilion, jumlah tertinggi berbanding pekerja Indonesia
(RM2.9 bilion), Nepal (RM1.9 bilion), India (RM625 juta) dan Filipina
(RM561 juta).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di sini untuk lawatan rasmi sulung beliau mulai 17 Nov hingga 19 Nov.
Najib,
yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala
dengan rakan sejawatannya Sheikh Hasina hari ini bagi meningkatkan lagi
hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh. - Bernama