Selasa, 30 Julai 2013

Tarikh nuzul al-Qur’an: Suatu perbincangan


Dr Ahmad Najib bin Abdullah Al-Qari, 29 Jul 2013
Pendahuluan:
Nuzul al-Qur’an merupakan satu peristiwa penting berhubung sejarah al-Qur’an itu sendiri. Justeru, ia mendapat tempat khusus dalam karya-karya Ulum al-Qur’an (Ilmu-ilmu berkaitan al-Qur’an). Tumpuan diberikan untuk menjelaskan hakikat nuzul dan tahap-tahap penurunan al-Quran.

Al-Syaikh Muhammad Abd Al-‘Azim al-Zarqani ada menyatakan bahawa Nuzul al-Qur’an adalah asas keimanan terhadap al-Qur’an itu sendiri dan juga keimanan terhadap Nabi SAW.

Nuzul al-Qur’an bermaksud penurunan al-Qur’an. Ia terbahagi kepada dua tahap  utama:
Pertama: Nuzul al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Bait al-Izzah secara sekaligus.
Kedua: Nuzul al-Qur’an dari Bait al-Izzah di langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

Berhubung isu Nuzul Al-Qur’an yang dibincangkan ini, apakah maksud penurunan (Nuzul)? adakah ia bermaksud Nuzul Al-Qur’an pada tahap pertama atau pada tahap kedua?

Jika kita mengumpulkan pendapat para ulama Islam dalam isu ini kita akan memperolehi pelbagai pendapat dan huraian.

Pendapat Pertama:
Pendapat yang agak masyhur memilih tanggal 17 Ramadhan sebagai tarikh Nuzul al-Qur’an.  Pendapat ini dipegangi sebahagian ulama sirah. Antara ulama sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari dalam karyanya; Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah. Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan) wahyu kepada Rasulullah SAW bermula pada hari Isnin, 17 Ramadhan  (dan dikatakan pada 24 Ramadhan). Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, maksudnya:

Al-Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ja’far al-Baqir bahawa dia berkata: Permulaan wahyu kepada Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin 17 Ramadhan, dan dikatakan juga pada 24 Ramadhan.

Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal Nuzul Al-Qur’an. Setelah saya meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” (Bermulanya Penurunan Al-Qur’an), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat  catatan berikut, maksudnya:

Ibn Ishaq berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan Ramadhan. Allah Azza Wajalla berfirman (maksudnya): Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu, juga sebagai pembeza (antara yang haq dan yang batil). Dan Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam al-Qadr …Dan Allah berfirman maksudnya: Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah (yang dimaksudkan) pertemuan (peperangan) Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin di Badr. Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu (memerangi) golongan musyrikin pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadhan.

Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an (pada ayat 185, Surah al-Baqarah) dengan ‘yaum al-furqan’ (hari al-Furqan, pada ayat 41, Surah  al-Anfal) yang merujuk kepada hari Peperangan Badr yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh sebab perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa Nuzul Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.

Pendapat Kedua: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 7 Ramadhan.

Pendapat Ketiga: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 18 Ramadhan.
Pendapat kedua dan ketiga ini dinyatakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya.

Pendapat Keempat:

Syaikh Safiyy al-Rahman sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama lain. Menurut beliau, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 21 Ramadhan. Antara alasan yang dikemukakan seperti berikut:
1.Semua ulama sirah atau majoriti kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi SAW dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadis Abu Qatadah RA dalam Sahih Muslim dan lain-lain.
2.Hari Isnin pada tahun Nabi SAW dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21 Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadis yang sahih ada menyebut bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadhan.
3.Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah dalam ayat 1 Surah Al-Qadr dan riwayat Abu Qatadah tentang penentuan hari Isnin sebagai hari Nabi SAW dibangkitkan serta dipadankan dengan perhitungan taqwim yang tepat bilakah sebenarnya jatuh hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi SAW, jelaslah bahawa baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.

Pendapat Kelima:
Pendapat seterusnya, Nuzul al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan hadis berikut, maksud:

Berkata Imam Ahmad: Abu Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya, katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam memberitakan daripada Qatadah daripada Abi al-Malih daripada Wathilah bin Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada 13 Ramadhan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an) pada 24 Ramadhan.

Hadis di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadis ini sebagai sahih.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadis di atas bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185 dan firman-Nya Surah al-Qadr ayat 1.

Kata beliau,  berkemungkinan Lailah al-Qadr berlaku pada tahun kebangkitan Nabi SAW pada malam tanggal 24 Ramadhan yakni al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 Ramadhan) wahyu pertama diturunkan, iaitu surah Iqra:

Al-Tabari juga ada menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair daripada Ibn Abbas RA katanya: Al-Qur’an diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.

Al-Qurtubi pula menyebut hadith Wathilah bin al-Asqa’ di atas dan menyatakan bahawa hadis tersebut merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hasan al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.

Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada membawa hadis Wathilah ini dalam mentafsirkan maksud ayat 185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan bahawa Ibn Mardawaih ada meriwayatkan hadis daripada Jabir Bin ‘Abdullah RA seumpama hadith Wathilah dengan sedikit perbezaan pada matan hadith berkenaan.] Beliau juga ada menyebut hadis ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah  dan menyatakan bahawa berdasarkan hadis Wathilah ini, sebahagian ulama dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.

Turut menyebut hadis Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana beliau mengambil hadis ini  bagi menjelaskan Nuzul al-Qur’an berlaku pada tanggal 24 bulan Ramadhan.

Kesimpulan yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas berhubung tanggal Nuzul Al-Qur’an seperti berikut:
1.Pendapat yang menyebut Nuzul al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi (m. 207 H), nama penuh beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami  seorang perawi yang sangat lemah (matruk) dan tidak diterima riwayatnya. Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zarqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.

2.Pendapat Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri yang menyatakan Nuzul al-Qur’an jatuh pada tanggal 21 Ramadhan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata berdasarkan penelitian beliau terhadap hadis Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang dipegangi beliau dengan mengambil kira malam ganjil untuk Malam al-Qadr. Malam al-Qadr boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh berlaku pada malam-malam ganjil di 10 hari terakhir Ramadhan.

3.Pendapat yang menyebut bahawa Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

i.Pendapat ini bersandarkan hadis marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadis. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Qur’an dan hadis. Dalam hal ini, hadis Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya Nuzul al-Qur’an.

ii. Matan hadis dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.

iii.Maksud atau mafhum hadis diterima pakai oleh ulama muktabar dari kalangan ahli hadis dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi Nuzul al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

Penutup:

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam membincangkan tarikh Nuzul al-Quran membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap al-Qur’an al-Karim. Setiap pendapat ada sandaran hujah yang dipegangi. Ruang untuk perbincangan masih terbuka asalkan hati bertekad mencari kebenaran. Dan perbezaan pendapat dalam hal sebegini janganlah sampai membawa kepada pertelingkahan yang boleh meruntuhkan ummah.

* Maqalah ini telah diedit semula oleh penulis (Dr Abu Zaid) pada bulan Ramadhan 1432H

http://abuanasmadani.blogspot.com

Ahad, 28 Julai 2013

Lailatul Qadar Menurut Kajian Saims.


ARTIKEL tentang Lailatul Qadar ini bersumberkan dari buku tulisan Rajendra Kartawiria, Quranic Quotient Centre. Sebahagian isi buku ini kemudiannya dipublikasikan di internet oleh Aulia Muttaqin dan beberapa sumber lain. 
Manfaatkan malam Ramadhan untuk memperluas ilmu dan membangun keyakinan, Mengapa Ramadhan?
Dalam Islam kita mengenali kewujudan 4 bulan suci, iaitu Dzulkaidah, Dzulhijjah, Muharram dan Rejab. Ramadhan yang bererti panas tidak termasuk sebagai bulan suci. Mengapa Ramadhan dipilih untuk puasa sebulan penuh?
Dalam ilmu astronomi, Radiasi Matahari memiliki siklus 11 tahun. Tahun 2007 sendiri merupakan pengakhiran dari siklus ke 23 sejak pengamatan pertama pada abad 18.
Bumi dilindungi Magnestosphere, sehingga kesan gelombang radiasi tidak terjadi pada sisi bumi yang menghadap matahari (siang hari).
Ketika gelombang radiasi matahari datang, kesannya terasa pada bahagian bumi yang membelakangi matahari (malam hari).
Radiasi di malam hari mempengaruhi tahap getaran otak.
Radiasi dan daya tarikan graviti bulan purnama meningkatkan permukaan air laut dan kehidupan makhluk laut di malam hari. Juga menarik air dalam membran otak dan lebih menggetarkan sel-sel otak. Getaran sel otak menggambarkan tahap  kesedaran dan aktiviti otak.
Umat Islam dianjurkan untuk berpuasa sunat 3 hari “shaumul biidh” pada ketika bulan penuh setiap tanggal 13,14, dan 15 bulan-bulan Hijriyah dan menghidupkan malam-malamnya.
Tahap radiasi ini bervariasi antara 0-100,000 dan di skala S1-S5 oleh NOAA
Berdasarkan kajian  , radiasi sebesar 1000 MeV particles s-1 ster-1 cm-2 terjadi 10 kali dalam satu siklus 11 tahun, atau terjadi setiap 13 bulan sekali. Radiasi sebesar1000 MeV particles s-1 ster-1 cm-2 ini digolongkan dalam skala S3, dan mulai berbahaya bagi manusia sebesar 1 chest x-ray.
Radiasi dengan siklus 11.7 bulan (1 tahun hijriyah) adalah sebesar 800 MeV particles s-1 ster-1 cm-2.
Mengarah pada hipotesis malam Lailatul Qadar Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan (QS Al Qadr 97:3).
Building Block
  • Siklus satu tahunan (hijriyah) bernilai 1000 x bulan purnama.
  • Malam yang nilainya 1000 bulan purnama adalah Lailatul Qadr.
  • Lailatul Qadr terjadi di bulan Ramadhan.
  • Jadi siklus badai matahari yang berulang setiap satu tahun (hijriyah) terjadi setiap bulan Ramadhan.
Itulah sebabnya
  • Sejarah para nabi menunjukkan bahawa mereka senang merenungkan hakikat kehidupan, bertapa, pada setiap bulan Ramadhan.
  • Secara
    umum wahyu-wahyu tentang ajaran agama yang memerlukan tahap pemahaman
    yang tinggi, banyak diturunkan di malam-malam bulan Ramadhan.
  • Penataan
    ayat-ayat Al Quran ke dalam surah-surah seperti yang wujud ketika ini,
    dilakukan Nabi Muhammad pada malam-malam bulan Ramadhan.
  • Umat Islam diajak untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan.
  • Lebih utama adalah i’tiqaf di masjid pada 10 malam terakhir, pada malam-malam sebelum dan setelah Lailatul Qadr.
Tenaga tambahan untuk pembelajaran di bulan Ramadhan
  • Untuk dapat beribadah pada malam Ramadhan diperlukan tenaga ekstra.
  • Kenyataannya puasa siang hari bukanlah menyebabkan tubuh kekurangan / kehabisan tenaga.
  • Oleh itu puasa menggunakan 10% tenaga tubuh  kerana tidak digunakan untuk mencerna makanan.
  • Tenaga yang diguna ini sangat membantu pemahaman pelajaran di malam hari.
Three in One di bulan Ramadhan
  1. Efektif memahami Al Quran di malam hari.
  2. Detoksifikasi dan Manajemen Tenaga di siang hari.
  3. Kembali fitrah setelah berpuasa 28 hari berturut-turut.
Manfaatkan malam-malam Ramadhan
  • Untuk dapat
    dengan mudah memahami makna kehidupan secara komprehensif dan benar,
    manfaatkan kecerdassan otak di kesunyian malam Lailatul Qadar.
  • Untuk mendapat pemahaman lebih luas, malam-malam di sekitar Lailatul Qadr (10 malam terakhir Ramadhan).
  • Lebih baik lagi kalau dimulai malam pertama Ramadhan.
  • Hasil renungan malam ini harus dapat kita implementasikan dalam kehidupan sehari-hari.
  • Nikmat hidup akan diperoleh jika kita berkontribusi positif kepada kehidupan dunia dengan berserah diri kepadaNya.
  • Nikmat kehidupan akhirat akan diperoleh bila kita mampu selalu menikmati dan mensyukuri kehidupan dunia.
Sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com, Wallahu'alam bissawab

Ibnu Hasyim: Lailatul Qadar Menurut Kajian Saims.

Ibnu Hasyim: Lailatul Qadar Menurut Kajian Saims.: ARTIKEL tentang Lailatul Qadar ini bersumberkan dari buku tulisan Rajendra Kartawiria, Quranic Quotient Centre. Sebahagian isi...

Demokrasi Mesir, kemenangan untuk segelintir penipu besar


Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 28 Jul 2013
Al-Quran memaparkan bahawa di Mesir tercipta sejarah kemunculan Fir’aun, raja yang memerintah kerajaan paling zalim dan penipu dalam sejarah dunia. Al Quran adalah kitab suci petunjuk sepanjang zaman, bukan sahaja hukumnya, termasuk juga ceritanya. Peristiwa terkini menjadi kenyataan yang berulang bahawa Al-Quran adalah kalam Allah yang membawa petunjuk sepanjang zaman bukannya buku cerita.

Berlaku terkini selepas Arab Spring, satu pendedahan bahawa peristiwa pertengahan abad dua puluh yang baru berlalu oleh buku berjudul: Inside The Muslim Brotherhood, karya bersama Dr Yusuf Nada dan Douglas Thompson, memaparkan kisah benar berlaku di tahun lima puluhan (26 Okt. 1954), apabila regim tentera di bawah pimpinan Presiden Gamal Abdul Nasir ingin mengatasi pengaruh Gerakan Ikhwan Muslimin yang menguasai rakyat kerana dakwah, tarbiyah dan aktiviti politik dan kemasyarakatan dalam tajuk Islam yang sempurna yang sangat adil terhadap semua.  Walaupun adanya kerjasama yang baik dan aman oleh pihak Ikhwan dalam kerajaan bagi membuat perubahan selepas tentera mengambil alih kerajaan Mesir dan sehingga Ikhwan Muslimin bersama membebaskan Mesir daripada tentera British dan pembebasan Terusan Suez. Maka kerana takut dan dengki terhadap pengaruh Ikhwan di kalangan terbesar rakyat, maka satu drama bohong dilakonkan bagi mencipta tuduhan dan fitnah menyingkir Kumpulan Islam ini daripada bersama memimpin rakyat.

Setelah pemimpin pengasasnya Hasan Al-Banna syahid ditembak mati oleh polis kerana terlibat melemahkan tentera Israel dalam perang 1948, langkah yang paling tidak disenangi oleh kuasa Barat dan Timur. Satu langkah diambil bagi menyingkirkan Hasan Al Banna dengan pembunuhan yang kejam itu, kerana jasanya yang baik, bukannya kerana dosa dan kesalahannya.

Drama penipuan dilakonkan pula selepasnya, apabila Presiden Gamal Abdul Nasir yang berucap di pentas sambutan ulang tahun pengunduran tentera British diadakan di Medan Mansyiah bandar Iskandariyyah. Presiden Nasir dipakaikan terlebih dahulu dengan baju kalis peluru. Ketika sedang berucap, seorang ditugaskan untuk menembak ke arah yang tidak mengenai apa-apa sasaran. Apabila beberapa tembakan dilakukan menyebabkan  khalayak yang berhimpun dalam keadaan huru hara. Presiden yang  ditabalkan menjadi hero tampil semula ke hadapan mikrofon sambil mengangkat tangan menegaskan: “Sekiranya Gamal Abdul Nasir mati ditembak, maka seluruh rakyat Mesir adalah Gamal Abdul Nasir”. Tukang-tukang sorak yang dipasang di setiap penjuru berjaya membakar emosi rakyat yang hadir dengan kenderaan percuma dan media upahan mendukungnya di seluruh negara.

Selepasnya Ikhwan Muslimin dituduh terlibat dengan usaha membunuh Presiden hero yang gagah berani. Akhirnya ramai pemimpin dan pengikut yang ditangkap, dibicarakan di mahkamah lakonan dan ramai tokoh yang dihukum mati atau lama dipenjara sehingga dimakan usia setelah dibebaskan, walau pun mereka adalah kawan  bersama pada mulanya namun diperlakukan apa sahaja kerana gila kuasa.


Penipuan besar yang sangat zalim ini didedahkan kepada umum oleh beberapa tokoh kerajaan Mesir setelah tua dan insaf sebelum meninggal dunia, di antaranya ialah Hasan Al Tihami mantan Ketua Perisikan di masa pemerintahan Presiden Gamal Abdul Nasir, juga penghubung  dengan CIA, merangkap mantan Timbalan Perdana Menteri di zaman Presiden Anwar Sadat dan mantan Setiausaha Agung OIC.

Setiap yang membaca sejarah Mesir moden menyaksikan Fir’aun yang dipilih melalui pilihanraya juga, tetapi mesti menang 99% pengundi. Sehinggalah lakonan menipu didedahkan dengan berlakunya Arab Spring, apabila ledakan kebangkitan rakyat yang tidak boleh disekat, memaksa mantan Presiden Husni Mubarak daripada kalangan tentera diundurkan oleh gelombang kebangkitan rakyat yang tidak mampu dihalang.

Akhirnya Mesir memilih demokrasi hak rakyat menjadi hakim yang adil, secara piliharaya yang adil  juga, bebas dan telus, diperhatikan oleh pemantau dalam negeri dan luar negeri. Apabila pilihan raya diadakan, tiba-tiba kumpulan-kumpulan  Islam mencapai kemenangan, mendapat kerusi terbesar dalam Majlis Perwakilan Rakyat dan Majlis Syura. Selepasnya semua kumpulan Islam dan kumpulan sekular sederhana bersama NGO mendukung calon Muhammad Mursi daripada Ikhwan Muslimin, sehingga berjaya ditabalkan menjadi Presiden pertama yang dipilih rakyat secara pilihanraya yang dipantau sepenuhnya.

Presiden Muhammad Mursi menunjukkan sikap yang paling terbuka dan tidak menyalahgunakan kuasanya untuk membalas dendam dan jauh sekali salah laku, sehingga disaksikan oleh seluruh rakyat. Langkahnya menubuhkan kerarajaan campuran teknokrat, melibatkan ahli politik, pentadbir dan akademik, dari kalangan mereka yang bersih daripada salah laku kerajaan dahulu dan terdahulu. Tindakan mengatasi masalah tidak mudah, kerana masih dibebani saki baki kerajaan dahulu dan pentadbirannya daripada atas sehingga ke akar umbi. Masalah yang mencengkam rakyat dan kehidupannya sejak beraja dan republik,  beberapa dekad tidak mungkin diselesaikan oleh manusia paling bijak dalam masa sehari dua atau setahun.          

Terkini berlakulah peristiwa yang menjadi perhatian seluruh dunia, drama Firaun moden menyihir rakyat yang bodoh diulang lakonan dengan pelakon dan skrip yang berubah mengikut kehendak zaman dan penipunya. Presiden Muhammad Mursi dipecat oleh tentera dan parti-parti politik yang kalah pilihanraya, diangkat memerintah negara dengan kekerasan tentera.  Sebelumnya mahkamah yang masih dianggotai oleh tangan-tangan regim dahulu, membatalkan keahlian Majlis perwakilan Rakyat (Parlimen) sehingga keahliannya tidak mencukupi. Ahli-ahli politik parti-parti yang kalah pilihanraya yang gagal menggunakan politik wang walau pun dengan bantuan jentera kerajaan yang disalahgunakan gagal mencapai kemenangan dengan segala tipu dayanya.

Terdedah kepada umum betapa para pemimpin yang kalah pilihanraya menggunakan duit dengan bantuan negara serantau, menjadi khadam kepada negara yang masih bermusuh terhadap Islam, dengan semangat Islamofobia yang masih menghantui mereka, mengharamkan kumpulan Islam memimpin kerajaan walau pun melalui proses demokrasi.

Drama dilakonkan dengan mengumpan dan mengupah supaya dilakonkan demonstrasi yang diizinkan oleh kerajaan pimpinan Dr Muhammad Mursi, dengan alasan beberapa masalah yang tidak mungkin selesai dengan cepat. Rakyat miskin yang bodoh digunakan dengan wang, khususnya penghuni kawasan setinggan, perkuburan dan kaki lima sejak zaman dahulu kerana kerajaan dahulu sengaja tidak menyelesaikannya, supaya mudah dibeli undi dan menjadi pengundi hantu. Disertakan dengan protes tanda tangan berpuluh juta rakyat yang sangat diragukan kesahihannya kerana buta huruf dan buta akal.

Seterusnya digunakan saki baki angkatan tentera yang berpangkat  tinggi, melakukan rampasan kuasa bertopengkan demokrasi haram bagi membunuh demokrasi yang sah melalui pungutan suara yang adil, semata-mata bagi menyingkirkan kumpulan berkuasa, tanpa mengira bencana buruk mungkin berlaku selepasnya sehingga perang saudara yang berlarutan bagi peluang keemasan kepada peniaga-peniaga senjata mendapat duit Arab jahiliyyah bersama Firaun baru di Mesir.

Keadaan buruk yang tidak harus diundang boleh berlaku, apabila pada asalnya kumpulan Islam radikal yang tidak feqah politik telah berjaya dipujuk oleh para ulama yang bijaksana di Mesir ikut menyertai amalan Demokrasi akan berkata bahawa Demokrasi tidak berguna lagi.  Rakyat yang cintakan keamanan dan hak yang adil juga merasakan pintunya ditutup, maka beranggapan hanya kekerasan sahaja yang boleh memecahkannya. Kesannya, keseluruhan rantau dan negara barat menyokong drama yang zalim itu. Kebimbangan ini teryata apabila banyak kalangan negara barat dan pertubuhan hak asasi manusia mengutuk perkara yang berlaku, serta mendesak supaya Presiden Muhammad Mursi dibebaskan dan pilihanraya yang adil boleh diadakan semula dalam masa yang terdekat sekiranya tidak berpuashati terhadapnya.     

PAS bersama dengan parti-parti Islam dan NGO Islam yang lahir bersama gerakan Islah dan tajidid menyokong protes aman mengikut amalan Demokrasi yang adil dan diikuti dengan pilihanraya bebas adalah terbaik bagi umat Islam menyelsaikan masalah mereka, kerana cara yang lain hanya mengundang mudarat yang lebih besar dan kesempatan kepada musuh negara dan umat.

PRESIDEN PAS
28 Julai 2013

Melayu jangan taruh harapan tinggi pada Umno


Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 28 Jul 2013
Saya menulis sebagai seorang pemerhati politik. Dan sebagai orang Melayu mengenai parti Melayu yang terbesar. Saya dapati berada dalam DAP memudahkan saya bercakap mengenai kepentingan orang Melayu yang tidak berani disuarakan oleh ahli UMNO. Jika Cina DAP tidak menyuarakan kepentingan Melayu, itu tidak jadi masalah kepada saya selagi saya sendiri boleh melakukannya. Apa yang diharap pada bangsa lain untuk menyuarakan kepentingan Melayu? Yang orang UMNO sibuk hendak paksa Cina bercakap dan menjuarai Melayu, mengapa?

Kitalah yang bertanggungjawab atas masa depan bangsa kita. Dan bila saya sebut ‘kita’ tidaklah bermakna, Melayu itu mesti Melayu dalam UMNO. Orang Melayu dalam PAS, PKR bahkan DAP pun berhak menyuarakan hal-hal kepentingan bangsa Melayu.

Yang menyedihkan kita ialah pimpinan UMNO yang mengaku menjuarai bangsa Melayu mengkhianati kepentingan bangsa mereka sendiri. Yang menyedihkan kita ialah pimpinan UMNO yang menggunakan nama bangsa Melayu untuk kepentingan peribadi. Ini kita tak terima.

Najib sebagai pemimpin terrtingi UMNO memperlihatkan betapa lemahnya dia dalam menjaga kepentingan Melayu. Dalam masa pentadbiran PM yang dulu-dulu MIC hanya diperuntukkan satu kerusi menteri. Yang lain hanya layak jadi timbalan menteri. Sudah parti tersebut minoriti, tapi Najib memberi mereka tempat prominent dalam kabinet. Berapa orang India mesti dihadirkan dalam pentadbiran negara?

Mana ada wanita UMNO jadi menteri penuh? Najib meletakkan wanita dari Sarawak jadi menteri penuh yang tak tahu latar belakang di Semenanjung. Apa sudah jadi dengan Najib?

Ada orang UMNO yang sanggup mendedahkan rasuah di kalangan pimpinan UMNO? Ada yang sanggup mendedahkan soal kemiskinan di kalangan orang Melayu? Ada orang UMNO berani mendedahkan keperitan hidup orang Melayu? Jika tak berani, ketepi - saya boleh buat demikian. Saya boleh bercakap dan bersuara untuk bangsa saya di mana orang UMNO bacul dan tak berani.

Dari segi perjuagan UMNO sudah banyak menyimpang. Pimpinannya mementingkan diri sendiri. Aset orang Melayu seperti tanah, harta benda, saham tidak dijaga malah dibaham oleh pimpinan UMNO. Saham RM54 billion yang diperuntukkan di bawah DEB habis dijual oleh golongan elit Melayu untuk mengkayakan diri mereka. Pimpinan UMNO tak pandai mengurus aset bagi pihak orang Melayu. Tanah rezab Melayu tinggal sebahagian kecil dari yang asal dan tidak diganti. GLC banyak yang rugi walaupun dikendalikan oleh orang Melayu. GLC rugi tapi pimpinan GLC kaya raya.

PNB misalnya mahu membina menara dan bangunan yang tinggi menelan belanja berbilion ringgit. Perlukah PNB kepada bangunan baru? Kalau berbilion ringgit itu diagihkan dalam bentuk dividen bukankah itu lebih baik untuk orang Melayu?

Komitmen dan dedikasi pada perlaksanaan dasar-dasar yang menguatkan orang Melayu tidak mengiringi deklarasi dan pengucapan. Pimpinan UMNO lebih mengutamakan jeritan dan pekikan slogan daripada memberi isian kepada pengucapan. Najib terutamanya, lebih menyerlah pada segi melaungkan itu dan ini, tapi laungan tersebut tidak berisi.

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Disember ini, pelbagai spekulasi telah dibuat. Adakah Najib akan dicabar?  Jawapan ringkasnya, ya dia akan dicabar. Pencabarnya ialah Muhyiddin Yassin. Walaupun Muhyiddin dilaporkan sebagai berasa letih untuk berlawan, dia tidak ada pilihan lain. Jika dia tidak mencabar, dia akan dipinggirkan sedikit demi sedikit. Bukan rahsia lagi, Najib membarisi tenaga-tenaga untuk mengepung dan mengekang Muhyiddin. Jika Muhyiddin tidak berbuat sesuatu, masa depannya akan gelap dan masa depan UMNO sebagai sumber pengharapan orang Melayu pun akan muram.

Ketika Pak Lah hanya memenangi 140 kerusi parlimen tapi undi popularnya 51%, Muhyiddin mengepalai gerakan untuk mengusir Pak Lah. Akhirnya Pak Lah terpaksa berhenti jadi presiden UMNO dan PM. Menantunya tinggal dalam kegelapan manakala pimpinan setara dengan KJ mendapat tempat dalam pentadbiran negara.

Jika Muhyiddin tidak menggesa Najib berhenti, maka dia akan dilihat sebagai tidak konsisten. Ternyata Najib gagal dalam banyak hal. Twitternya dan blognya tidak akan dapat menyembunyikan kekosongan dalam diri Najib. Dia hanya lebih dari segi bentuk, tapi kurang dalam segi isi.

Dia gagal bila berjaya mendapat hanya 133 kerusi parlimen berbanding dengan Pak Lah 140 kerusi. Undi popular dalam tangan Najib hanya 47% berbanding Pak Lah dengan undi popular 51%. Betul UMNO menang lebih banyak kerusi tapi kemenangan itu disebabkan gerrymandering. Kepadatan pengundi yang kurang dalam kawasan yang ditandingi oleh UMNO membenarkan Najib memenangi lebih banyak kerusi untuk UMNO. Bawah pimpinan Najib, parti MCA hanya menang 7 kerusi parlimen berbanding dengan di bawah Pak lah di mana MCA menang 15 kerusi.

Najib gagal mendapat 2/3 kerusi parlimen. Najib gagal menawan Selangor. Perak hanya menang tipis. Terengganu menang tipis juga. Buat pertama kali di Negeri Pahang, ada 12 Adun pembangkang dalam dewan undangan negeri.

ETP, GTPnya lebih indah khabar dari rupa. Dari jauh kelihatan jelita, bila dekat mendukacitakan. Itu kita bincang di bahagian lain. - http://sakmongkol.blogspot.com/

Sabtu, 27 Julai 2013

Itulah Dia Tuhanku


Tuan Ibrahim Tuan Man, 27 Jul 2013
Tazkirah pagi...
Kata-kata hikmat Almarhum Syeikh al-Tantawi

لايلزم أن تكون وسيما لتكون جميل
Kau tidak perlu berwajah cantik untuk dikatakan sebagai seorang yang cantik

ولا مداحا لتكون محبوبا
Dan tidak perlu memuji-muji kerana mahu menjadi seorang yang disukai

ولا غنيا لتكون سعيدا
Tidak perlu menjadi kaya untuk menjadi seorang yang bahagia

يكفي أن ترضي ربك وهو سيجعلك عند الناس جميلا و محبوبا و سعيدا
Cukuplah dengan membuatkan Tuhanmu redha dan kasih kepadamu, pasti Dia akan menjadikanmu cantik dan indah di mata manusia, disukai dan disenangi oleh semua, serta hidup bahagia

لو أصبت 99 وأخطأت مرة واحدة
Andai kau lakukan 99 kebaikan, tetapi terbuat silap sekali

لعاتبوك بالواحدة وتركوا ال 99

Manusia akan menyalahkanmu dengan kesilapan yang satu itu, dan melupakan semua 99 kebaikan yang lain

هؤلاء هم البشر !
Itulah hakikat manusia!

و لو أخطأت 99 مرة وأصبت مرة
Tetapi andainya kau lakukan 99 kesilapan, dan cuma sekali melakukan perkara kebaikan

لـغفر الله ال 99 وقبل الواحدة
Allah akan ampun semua 99 kesilapanmu dan menerima amal baktimu yang satu itu

ذاك هو ربي
Itulah Dia Tuhanku!

Jumaat, 26 Julai 2013

Perang Hunain (3)


Ustaz Abu Muhammad Harits, 26 Jul 2013
Kaum Anshar dan Ghanimah

Al-Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, beliau berkata, maksudnya:

“Ketika Rasulullah SAW mulai membahagi-bahagikan ghanimah kepada beberapa tokoh Quraisy dan kabilah ‘Arab; sama sekali tidak ada dari mereka satu pun yang dari Ansar. Hal ini menimbulkan kejengkelan dalam hati orang-orang Anshar hingga berkembanglah pembicaraan di antara mereka, sampai ada yang mengatakan: “Rasulullah SAW sudah bertemu dengan kaumnya kembali.”

Kemudian masuklah Sa’d bin ‘Ubadah menemui Rasulullah RA, katanya: “Wahai Rasulullah. Orang-orang Ansar ini merasa tidak gembira terhadap tuan melihat apa yang tuan lakukan dengan harta rampasan yang diperoleh dan tuan bahagikan kepada kaummu. Engkau bahagikan kepada kabilah ‘Arab dan tidak ada satu pun Anshar yang menerima bahagian.”

Rasulullah RA bertanya: “Engkau sendiri di pihak mana, wahai Sa’d?”

Katanya: “Saya hanyalah sebahagian dari mereka.”

Kata Rasulullah SAW: “Kumpulkan kaummu.”

Lalu datang beberapa orang Muhajirin tapi baginda biarkan mereka, dan mereka pun masuk. Datang pula yang lain, tapi beliau menolak mereka. Setelah mereka berkumpul, Sa’d pun datang, katanya: “Orang-orang Ansar sudah berkumpul untukmu wahai Rasulallah.”

Rasulullah SAW pun menemui mereka, lalu beliau memuji Allah dan menyanjung-Nya dengan pujian yang layak bagi-Nya. Kemudian beliau bersabda: “Wahai sekalian orang Ansar, apa pembicaraanmu yang sampai kepadaku? Apa perasaan tidak gembira yang kalian rasakan dalam hati kalian? Bukankah aku datang kepada kalian dalam keadaan sesat lalu Allah memberi hidayah kepada kamu melalui aku? Bukankah kamu miskin lalu Allah kayakan kamu denganku? Bukankah kamu dahulu bermusuhan lalu Allah satukan hati kamu?”

Kata mereka: “Bahkan Allah dan Rasul-Nya lebih banyak memberi kebaikan dan keutamaan.”

Rasulullah SAW menukas: “Mengapa kamu tidak membantahku, wahai kaum Ansar?”

“Dengan apa kami membantahmu, wahai Rasulullah? Padahal kepunyaan Allah dan Rasul-Nya semua kebaikan serta keutamaan,” jawab orang-orang Ansar.

Kata Rasulullah SAW: “Demi Allah, kalau kamu mahu, kamu dapat mengatakan dan pasti kamu benar dan dibenarkan: ‘Engkau datang kepada kami dalam keadaan didustakan, lalu kami yang membenarkanmu. Engkau datang dalam keadaan terhina, kamilah yang membelamu. Engkau datang dalam keadaan terusir, kamilah yang memberimu tempat. Engkau datang dalam keadaan miskin, kamilah yang mencukupimu. Apakah kalian dapati dalam hati kamu, hai kaum Ansar keinginan terhadap sampah dunia, yang dengan itu aku melunakkan hati suatu kaum agar mereka menerima Islam, dan aku serahkan kamu kepada keislaman kamu. Tidakkah kamu redha, hai orang-orang Ansar, manusia pergi dengan kambing dan unta mereka, sedangkan kamu pulang ke kampung halamanmu membawa Rasulullah? Demi yang jiwa Muhammad di Tangan-Nya, kalau bukan karena hijrah, tentulah aku termasuk salah seorang dari Ansar. Seandainya manusia menempuh satu lembah, dan orang-orang Ansar melewati lembah lain, pastilah aku ikut melewati lembah yang dilalui orang-orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak kaum Ansar, dan cucu-cucu kaum Ansar.”

Mendengar ini, menangislah orang-orang Ansar hingga basah janggut-janggut mereka, sambil berkata: “Kami redha bahagian kami adalah Rasulullah.”

Kemudian Rasulullah SAW pergi, dan kami pun bersurai.


Perang Thaif

Sebahagian besar pasukan Hawazin dan Tsaqif yang melarikan diri akhirnya masuk ke benteng Thaif bersama panglima mereka, Malik bin ‘Auf An-Nadhari. Maka Rasulullah SAW pun bergerak mengejar mereka setelah mengumpulkan ghanimah di Ji’ranah bulan itu juga.

Khalid bin Al-Walid bersama 1,000 perajurit mendahului di barisan hadapan. Kemudin Rasulullah SAW menyusul ke Thaif. Dalam perjalanan itu pasukan muslimin diperintah menghancurkan benteng Malik bin ‘Auf yang ada di Liyyah. Setelah tiba di Thaif, mereka mengepung benteng tersebut hingga beberapa hari. Ada yang mengatakan 40 hari, tapi ahli sejarah menyebutkan sekitar 20 hari.

Dalam pengepungan ini terjadi saling lempar batu dan panah. Pada awal pengepungan itu, kaum muslimin diserang dari dalam benteng bertubi-tubi sehingga menyebabkan beberapa orang terluka dan sekitar 12 orang gugur. Akhirnya mereka pindah ke tempat yang sekarang dibangun masjid Thaif dan bermarkas di sana.

Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan untuk melemparkan manjaniq (peluru besi berapi) hingga melubangi dinding benteng. Beberapa pasukan berusaha menerobos masuk dari bawah dinding, tetapi disambut dengan ranjau-ranjau besi yang membara. Akhirnya kaum muslimin keluar, dan mereka diserang lagi dengan panah sehingga beberapa orang muslimin gugur.

Melihat ini Rasulullah SAW memerintahkan agar menebang dan membakar ladang-ladang anggur mereka. Hal ini membuat cemas orang-orang Tsaqif, lalu mereka meminta kepada Nabi SAW agar beliau membiarkan tanaman tersebut. Baginda pun membiarkannya.

Setelah itu, Rasulullah SAW memerintahkan agar diserukan bahwasanya siapa saja budak yang keluar dari benteng dan datang kepada Rasulullah SAW maka dia merdeka. Mendengar ini, keluar 23 orang budak termasuk Abu Bakrah. Dia memanjat dinding benteng dan turun dengan timba bulat yang dipakai untuk mengambil air minum lalu menemui Rasulullah SAW. Oleh Rasulullah SAW, dia pun diberi kuniah Abu Bakrah. Rasulullah SAW membebaskan mereka dan menyerahkan masing-masing mereka kepada seorang muslim untuk dijaga. Hal ini semakin menyusahkan penghuni benteng.

Semakin lama pengepungan semakin berat dan menyusahkan pasukan muslimin. Terlebih lagi para penghuni benteng telah menyiapkan bekal untuk bertahan selama setahun. Akhirnya Rasulullah SAW bermusyawarah dengan para sahabatnya untuk meninggalkan benteng tersebut.

Naufal bin Mu’awiyah Ad-Daili menyarankan kepada Rasulallah: “Mereka itu seperti pelanduk di lubangnya. Kalau tuan tetap mengepungnya nescaya tuan dapat menangkapnya. Tapi kalau tuan membiarkannya, maka dia tidak akan merugikan tuan.”

Saat itulah Rasulullah SAW bertekad meninggalkan benteng. Beliau memerintahkan ‘Umar bin Al-Khathab bahawa mereka akan pulang esok. Tetapi ada sebahagian sahabat yang tidak menerima dan berasa keberatan, kata mereka: “Kita pergi dari sini padahal kita belum menaklukkan mereka?”

Rasulullah SAW pun menukas: “Kita berangkat untuk perang.” Maka keesokan paginya mereka berangkat untuk menyerang, tetapi mereka malah mendapat serangan hebat hingga ada yang terkorban. Akhirnya Rasulullah SAW berkata pula: “Kita bersiap untuk pulang besok, Insya-Allah.” Tentu saja hal ini menyenangkan para sahabat. Mereka pun tunduk menerima dan mulai bertolak untuk pulang, sedangkan Rasulullah SAW tertawa.

Ada yang mengatakan kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, doakanlah kejelekan terhadap Tsaqif.”

Kata Rasulullah SAW: “Ya Allah, berilah hidayah kepada Tsaqif dan datangkanlah mereka.”

Akhirnya Rasulullah SAW kembali ke Ji’ranah menunggu beberapa hari sebelum membahagi-bahagikan ghanimah dengan harapan Hawazin akan datang dalam keadaan taubat dan menerima Islam, lalu beliau akan menyerahkan kepada mereka harta dan keluarga mereka. Akan tetapi tidak ada seorang pun dari mereka yang datang menemui beliau hingga beliau pun membahagi-bahagikan ghanimah tersebut.

Utusan Hawazin

Setelah membahagi-bahagikan ghanimah, tidak berapa lama datanglah utusan Hawazin seramai 14 orang dipimpin oleh Zuhair bin Shurad termasuk Abu Burqan, bapa saudara susuan Rasulullah   SAW. Mereka masuk Islam dan berbai’at lalu berkata: “Wahai Rasulullah. Sesungguhnya di antara yang jadi tawanan anda ini adalah ibumu dan saudara perempuanmu, ‘ammah (bibi dari pihak ayah) dan khalah (bibi dari pihak ibu, yakni dari susuan).”

Rasulullah SAW berkata kepada mereka: “Yang bersamaku adalah seperti yang kamu lihat. Yang paling aku sukai adalah perkataan yang paling jujur. Anak isteri kalian yang lebih kalian sukai untuk dikembalikan ataukah harta kalian?”

Kata mereka: “Kami tidak akan menukar anak-anak dan isteri-isteri kami dengan harta sedikitpun.”

Baginda pun berkata: “Seusai solat zuhur datanglah dan katakan: ‘Kami mencari syafaat kepada Rasulullah SAW menghadapi kaum muslimin dan mengharap syafaat kepada kaum muslimin menghadapi Rasulullah SAW agar mengembalikan kepada kami tawanan yang ada’.”

Selesai solat zuhur, mereka berdiri dan mengucapkan hal itu. Rasulullah SAW pun berkata: “Adapun yang di tanganku dan Bani ‘Abdil Muthalib maka itu dikembalikan kepada kalian. Aku akan mintakan hak kalian kepada kaum muslimin.”

Mendengar perkataan beliau, kaum Muhajirin dan Anshar berkata: “Apa yang ada di tangan kami maka itu untuk Rasulullah SAW.”

Al-Aqra’ bin Habis berkata: “Adapun saya dan Bani Tamim, tidak akan menyerahkan tawanan kami.”

‘Uyainah bin Hishn juga menukas: “Apa yang di tangan saya dan Bani Fazarah tidak akan kami serahkan.”

Al-’Abbas bin Mirdas juga berucap: “Yang di tanganku dan Bani Sulaim tidak akan kami serahkan.” Tetapi Bani Sulaim justeru mengatakan: “Apa yang di tangan kami maka itu milik Rasulullah SAW.”

Mendengar ini, Al-’Abbas bin Mirdas berkata kecewa: “Kalian memalukanku.”

Rasulullah SAW pun berkata: “Sesungguhnya mereka ini datang dalam keadaan muslim. Aku sudah menjauhkan tawanan mereka dan memberi mereka pilihan. Tapi mereka tidak akan menukar anak isteri mereka dengan apapun. Maka siapa yang masih menahan tawanan dan rela hatinya serta mahu mengembalikan, itu adalah haknya. Dan siapa yang mahu menahan haknya hendaklah dia mengembalikannya juga kepada mereka dan akan diganti haknya itu setiap bahagiannya dengan enam kali lipat dari fai’ yang pertama Allah anugerahkan kepada kami.”

Akhirnya kaum muslimin pun berkata: “Kami lebih suka menyerahkannya kepada Rasulullah SAW.”

Kata Baginda: “Kami tidak tahu siapa di antara kamu yang rela dan yang tidak. Kembalilah hingga cerdik pandai di kalangan kamu menyerahkan urusannya kepada kami.”
Akhirnya, mereka pun mengembalikan anak-anak dan isteri-isteri orang-orang Hawazin tersebut. Tidak ada yang tertinggal kecuali ‘Uyainah bin Hishn yang akhirnya menyerahkan juga seorang wanita tua yang jadi tawanannya. Rasulullah SAW pun memberi pakaian kepada setiap tawanan.

Setelah selesai membahagi dan mengembalikan tawanan, Rasulullah SAW menuju Ji’ranah dan bersiap ‘umrah lalu kembali pulang ke Madinah. Beliau tugaskan ‘Attab bin Usaid mengatur urusan kaum muslimin di Makkah.

Pada bulan Zulkaedah tahun ke-8 hijrah, rombongan kaum muslimin mulai bertolak kembali ke Madinah.

Utusan Tsaqif

Sebelum tiba di Madinah, salah seorang pemuka Tsaqif yaitu ‘Urwah bin Mas’ud datang menemui Rasulullah SAW setelah usai perang Thaif, pada bulan Zulkaedah. Dia masuk Islam lalu kembali kepada kaumnya untuk mengajak mereka masuk Islam. Karena kedudukannya sebagai pemuka yang ditaati di tengah-tengah kaumnya, ‘Urwah mengira mereka akan mengikuti pula jejaknya masuk Islam.

Tetapi, setelah dia mengajak mereka, ternyata mereka menembakinya dengan panah dari segala penjuru sampai akhirnya dia terkorban.

Penduduk Tsaqif kembali seperti biasa selama beberapa bulan. Kemudian mereka bermusyawarah melihat kenyataan bahwa mereka tidak mungkin sanggup melawan kabilah ‘Arab di sekitar mereka yang sudah masuk Islam dan berbai’at. Akhirnya mereka ingin mengutus ‘Abd Ya Lail bin ‘Amr.

Tapi ‘Abd Ya Lail menolak. Dia bimbang kejadian yang menimpa ‘Urwah akan dialaminya juga, dia pun berkata: “Aku tidak mahu kecuali kalian utus juga beberapa orang bersamaku.”

Mereka pun mengutus beberapa orang termasuk ‘Utsman bin Abil ‘Ash yang paling muda di antara mereka.

Ketika mereka menemui Rasulullah SAW, beliau sediakan kemah buat mereka di sudut masjid agar mereka mendengar al-Qur’an dan melihat kaum muslimin mengerjakan solat.

Akhirnya, mereka tinggal di sana silih berganti menemui Rasulullah SAW yang selalu mengajak mereka kepada Islam. Hingga suatu ketika, pemimpin rombongan itu meminta agar Rasulullah SAW membuat kesepakatan antara beliau dengan Tsaqif. Mereka minta agar beliau mengizinkan mereka berzina, minum khamr, memakan riba, dan membiarkan al-Latta tetap menjadi sembahan mereka serta tidak mengerjakan solat. Mereka juga minta agar berhala mereka tidak dihancurkan oleh tangan mereka sendiri.

Tapi, semua keinginan mereka itu ditolak oleh Rasulullah SAW. Melihat ini, utusan Tsaqif kehabisan akal dan melihat tidak ada jalan lain kecuali mereka harus menerima dan tunduk kepada Islam. Akhirnya mereka masuk Islam dan minta kepada Rasulullah SAW agar menugaskan orang lain menghancurkan al-Latta.

Rasulullah SAW mengabulkan permintaan mereka dan mengangkat ‘Utsman bin Abil ‘Ash sebagai pemimpin mereka. Hal itu kerana utusan tersebut setiap pagi datang kepada Rasulullah SAW dan meninggalkan ‘Utsman. Apabila mereka kembali dan tidur pada waktu siang, maka ‘Utsman datang menemui Rasulullah SAW minta dibacakan al-Qur’an dan bertanya tentang Islam. Kalau dia dapati Rasulullah SAW sedang tidur, dia datang menemui Abu Bakr dengan maksud yang sama, belajar tentang Islam.

Kemudiannya, ‘Utsman menjadi orang yang paling besar sumbangan kepada kaumnya pada zaman riddah (murtadnya beberapa kabilah). Ketika penduduk Tsaqif juga terikut-ikut ingin murtad, dia berkata kepada mereka: “Wahai penduduk Tsaqif. Kalian adalah orang yang paling akhir masuk Islam, maka janganlah kalian menjadi orang yang pertama murtad.” Akhirnya mereka pun tetap di atas Islam.

Para utusan itu kembali tetapi menyembunyikan kenyataan yang sebenarnya. Mereka menakut-nakuti penduduk lain bahawa mereka akan diserang dan dibunuh. Mereka nampakkan kesedihan dan kepedihan, bahawa Rasulullah SAW meminta mereka meninggalkan zina, arak, riba dan sebagainya, kalau tidak dia akan memerangi mereka.

Hal itu mendorong bangkitnya sentimen jahiliah penduduk Tsaqif, maka mereka menolak hal itu. Mereka tenang selama dua atau tiga hari bersiap untuk perang. Kemudian Allah SWT masukkan ke dalam hati mereka rasa takut. Mereka pun menemui para utusan itu dan berkata: “Kembalilah kepadanya (Rasulullah SAW) dan berikan apa yang dimintanya.”

Saat itu juga para utusan itu menyampaikan apa yang sebenarnya. Mereka menunjukkan kesepakatan yang telah ditetapkan antara Rasulullah SAW dengan mereka. Akhirnya, penduduk Tsaqif masuk Islam.

Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW mengirim beberapa orang untuk menghancurkan al-Latta. Beliau melantik Khalid bin Al-Walid sebagai pemimpin rombongan.

Sesampai di sana, Al-Mughirah bin Syu’bah memukulkan palu yang ditangannya, kemudian dia terjatuh. Ini membuat penduduk Thaif kecoh, dan berkata: “Semoga Allah jauhkan Al-Mughirah, semoga dia dibunuh dewi itu (al-Latta).”

Al-Mughirah melompat dan berkata: “Semoga Allah memburukkan kamu. Dia hanyalah benda hina, sebongkah batu dan bulu.”

Dia pun menghancurkan pintu dan naik ke tembok tempat pemujaan. Lalu naik pula beberapa orang dan meruntuhkan bangunan itu serta meratakannya dengan tanah sampai mencabut tapaknya. Mereka keluarkan kain dan perhiasan pemujaan itu. Sementara orang-orang Tsaqif terdiam, melihat pujaan mereka tidak berdaya apa-apa.

Setelah itu, rombongan Khalid kembali dan menyerahkan perhiasan tempat pemujaan itu dan dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah SAW hari itu juga sambil memuji Allah SWT atas pertolongan-Nya kepada Nabi-Nya dan agama-Nya.

http://www.salafy.or.id