|
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,
|
03 Jul 2013
|

“Ustaz Hasrizal taksub Sayyid Qutb!” ujar seorang ahli sebuah forum.
Sayyid
Qutb itu sendiri sudah cukup kontroversi untuk seseorang dikaitkan
dengannya. Apatah lagi perkaitan itu adalah dengan sebuah ketaksuban.
Mungkin disebabkan oleh kekerapan saya memetik pendapat Sayyid Qutb,
saya dilihat taksub kepadanya. Hakikatnya, jika saya taksub dengan
pendapat Sayyid Qutb, sayalah musuh utama Sayyid Qutb kerana taksub
adalah apa yang Sayyid Qutb musuhi.
Saya kerap memetik pendapat
Sayyid Qutb kerana dalam pengucapan, saya selalu memfokuskan perbahasan
kepada mengaitkan mesej al-Quran dengan realiti semasa. Apabila realiti
semasa itu pula banyak berkisar tentang pengaruh idea-idea Barat dalam
membentuk pandangan alam Muslim hari ini, maka datanglah kupasan Sayyid
Qutb. Bagi saya, Tafsir Fi Dzilal al-Quran karya Sayyid Qutb adalah satu
bentuk tindak balas tafsiran al-Quran terhadap idea-idea yang datang
dari Barat. Jika kita biasa dengan idea-idea Barat itu, maka Tafsir
Sayyiq Qutb ini akan lebih dihayati niche yang terkandung di dalamnya.
Sesungguhnya Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang amat mesra bagi mereka yang terjun ke medan dakwah.
Penulisan-penulisannya
menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada para petugas Islam.
Karangan beliau seperti Tafsir Fi Dhilal al-Quran dan Petunjuk Sepanjang
Jalan, menjadi teman akrab pendakwah untuk menyalakan suluhan tarbiah
Islam. Perjuangannya di dalam Ikhwan al-Muslimin bersama rakan-rakan
seperti Hasan Hudhaibi, adalah lanjutan kepada momentum yang telah
dicetuskan oleh pengasasnya al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.
Namun,
tidak ramai yang berpeluang mengenali kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb
secara mendalam. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan kepada pembaca
tentang latar belakang keluarganya yang sudah tentu memberikan kesan
yang besar kepada pembentukan peribadi dan kualiti diri Asy-Syahid malah
kemudiannya turut terkesan dengan ketokohan Asy-Syahid itu sendiri.
Di
dalam kesempatan ini, kita akan mengambil peluang untuk mengenali tokoh
srikandi yang menjadi sendi penting di dalam ketokohan Asy-Syahid
Sayyid Qutb itu sendiri. Semoga ia menjadi dorongan kepada wanita
muslimah hari ini untuk menggembeleng peranan dan potensi mereka ke arah
produksi lebih ramai insan luar biasa seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb di
tengah-tengah gelombang cabaran akhir zaman ini.
Bonda Yang MuliaBonda
Sayyid Qutb berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Beliau berkahwin
dengan Qutb Ibrahim, ayahanda kepada Sayyid Qutb sebagai isteri kedua,
tinggal bersama-sama Qutb Ibrahim seketika di Kaherah sebelum pulang ke
kampung bersama keluarganya.
Bonda Sayyid Qutb mempunyai empat
adik-beradik lelaki, dua daripadanya menuntut di al-Azhar asy-Syarif.
Salah seorangnya dikenali sebagai Ahmad Husain Othman yang lebih
dikenali sebagai Ahmad al-Moushi, nisbah kepada perkampungan Moushah.
Ketika Sayyid Qutb menuntut di Kaherah, beliau tinggal bersama bapa
saudaranya ini, Ahmad al-Moushi.
Sayyid Qutb dibesarkan oleh
bondanya yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita yang
solehah dan berjiwa kental. Beliau seorang yang pemurah dan banyak
bersedekah. Beliau gemar memasakkan makanan untuk pekerja-pekerjanya di
ladang serta tetamu yang datang mengaji di rumah beliau. Bonda Sayyid
Qutb tidak pernah mengganggap semua ini sebagai bebanan kerana beliau
menjadikan amalan ini sebagai usahanya mendekatkan diri kepada Allah
SWT. Amalan seperti ini sememangnya menjadi tradisi isteri kepada
pejuang-pejuang Islam khususnya di rumah-rumah dan pondok pengajian.
Bukan sahaja kesetiaan menuntut ilmu dan bekerja yang terhasil malah
kesemua yang bernaung di bumbung itu terikat dengan perasaan kasih
sayang yang terpercik dari sifat pemurah dan penyayang wanita solehah
yang menjadi srikandinya.
Bonda Sayyid Qutb juga amat gemar
mendengar bacaan al-Quran malah beliau amat mudah terkesan dengan
ayat-ayat yang dibacakan itu. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di
dalam bukunya at-Tasweer al-Fanni fi al-Qur’aan:
“Setiap kali
engkau asyik mendengar tilawah al-Quran dari belakang tabir oleh para
Qurra’ yang datang mengaji ke rumah kita di sepanjang bulan Ramadhan,
seandainya aku tercuai dan ingin bermain-main seperti kanak-kanak yang
lain, engkau akan mengisyaratkan kepadaku dengan tegas sehingga aku
terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan itu. Dari situlah jiwaku
mula meneguk irama al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil,
belum mampu memahami makna bacaan itu…
Ketika aku membesar di
dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke Madrasah Awwaliyyah di kampung.
Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan
kemudahan bagiku oleh Allah untuk aku menghafaz al-Quran dan direzekikan
kepadaku suara yang lunak untuk membacanya. Sesungguhnya semenjak itu
aku sentiasa membacakan al-Quran bagimu di setiap masa dan setiap
ketika…
Kini engkau telah pergi meninggalkanku, wahai bonda
tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang sentiasa segar di ingatanku
adalah samar-samar dirimu yang sering duduk di hadapan radio, mendengar
keindahan bacaan-bacaan al-Quran. Amat jelas pada lekuk-lekuk wajahmu
yang mulia, tanda-tanda mendalamnya ertimu terhadap makna yang tersurat
lagi tersirat kalimah al-Quran itu, dengan hatimu yang agung dan
perasaan halusmu yang merenung.” [ms 5, at-Taswir al-Fanni fi al-Quran, Dar ash-Shurooq, tanpa tarikh].
Mematangkan AnakSayyid
adalah anak sulung lelaki beliau di samping anak-anaknya yang lain
iaitu Aminah, Hamidah dan Muhammad. Wanita berjiwa besar ini telah
membesarkan anaknya, Sayyid, dengan penuh ketelitian. Pada diri anaknya
Sayyid beliau letakkan segala harapan, lantas anaknya ini dibesarkan
dengan iman, kemuliaan dan latihan pendedahan memikul tanggungjawab.
Malah bonda Sayyid Qutb mahukan anaknya ini menjadi dewasa lebih awal
dari masa biasanya. Sayyid sentiasa ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga
beliau acapkali menjauhkan diri dari suasana kebudak-kebudakan yang
mengiringi zaman kanak-kanaknya.
Sesungguhnya bonda Sayyid Qutb
telah menggabungkan dua unsur penting yang membina keperibadian mujahid
dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih sayang dan
kemanjaan seorang ibu kepada anak, tetapi kasih sayang itu disiram
dengan keakraban al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang
membinasakan proses pembinaan syakhsiah jati diri anaknya kerana di
dalam kemanjaan itu, bonda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang
tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar sebagai seorang yang
berjiwa tinggi.
Bonda Sayyid Qutb kembali ke rahmatullah pada
tahun 1940. Kematiannya memberikan impak yang amat besar kepada Sayyid
Qutb. Ia dibayangkan menerusi ungkapan beliau di dalam tulisannya
al-Atyaaf al-Arba’ah ms. 168 [oleh Sayyid Qutb dan adik beradiknya,
terbitan Beirut 1967M tanpa nama penerbit]:
“Bonda..
Siapakah
selepas ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku,
seakan-akan ia suatu peristiwa yang baru semalam berlaku? Siapakah lagi
yang akan membayangkan kepadaku zaman muda untuk dibawa kembali
bayangannya kepada kehidupan dan diundang semula kepada alam wujud ini
buat kali yang seterusnya?
Engkau telah memberikan gambaran
terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa semenjak aku masih
di dalam dodoian buaian kehidupan. Kau sering hikayatkan kepada diriku
tentang impianmu yang lahir dengan kelahiranku, yang merangkak-rangkak
terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia. Ia telah
tergalas di atas diriku sebagai suatu tanggungjawab yang besar dan semua
ini adalah dari tatih impianmu terhadapku dan ‘wahyu’ bisikan hatimu.
Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang
membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam
hatiku..?.”Amat benarlah bagai yang dikata pepatah:
“tangan yang mengayun buaian itu bisa menggoncang dunia”. Sentuhan
tarbiah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid seperti
Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa
pejuang Islam, di sepanjang zaman…
- Diolah semula dari kitab
Sayyid Qutb: Min al-Meelaad ilaa al-Istisyhaad karangan Solah Abdul
Fattah al-Khalidi [Darul Qalam, Damascus, 1994M]
http://saifulislam.com/