Rabu, 5 Jun 2013

Pesanan Untuk Wahai Anakku!!!

Wahai anakku...
Engkau boleh beli rumah yang besar, tetapi kamu tidak boleh membeli kebahagiaan. Engkau boleh membeli tilam yang tebal, tetapi kamu tidak boleh membeli nyenyaknya tidur. Engkau boleh membeli makanan yang sedap, tetapi kamu tidak boleh membeli selera untuk makan. Engkau boleh membayar pekerjamu, tetapi kamu tidak boleh membeli kasih sayang mereka.

Wahai anakku...
Andainya kamu merasa besar apa yang ada di dunia yang fana ini, sesungguhnya engkau telah tertipu dengan dunia. Dunia ini pernah menipu alim ulamak, sehingga rosaklah ilmu mereka. Ia pernah menipu pemimpin, sehingga mereka berperang kerananya. Ia juga pernah menipu sebahagian besar manusia, sehingga mereka dilekakan olehnya.

Wahai anakku...
Katakanlah kepada dunia... “Kalau kamu nak tipu, tipulah orang lain, jangan kamu tipu aku." Tetapi percayalah wahai anakku. Kamu tidak akan selamat dari tipudaya dunia melainkan kamu mengagungkan Allah, ikhlas dalam setiap amalanmu dan merasai dekatnya kematianmu.

Salam sayang buat anak-anakku. Senyumlah kepada dunia nescaya dia akan senyum kepadamu.

Perjuangan perkauman membuang masa


Mohamed Hanipa Maidin, 04 Jun 2013
MASA itu emas. Maka membuang masa ibarat membuang emas. Tidakkah ini kerja bodoh? Begitulah perjuangan perkauman yang Umno menjadi juara dalam menyalak isu perkauman. Ia adalah perjuangan sia-sia.

Saya kadangkala keliru dan kadangkala geli hati memikirkan gelagat sesetengah golongan cerdik pandai Melayu yang menyokong Umno. Kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan tentang perjuagan Melayu mengakibatkan saya membuat kesimpulan begini: apabila bercakap tentang Melayu golongan cerdik pandai dengan tiba-tiba jadi tidak ketahuan. Mereka tidak lagi boleh berfikir dengan jelas dan waras.

Di sinilah perlunya kita mempunyai tasawwur yang jelas tentang bangsa. Kepelbagaian bangsa, keturunan, bahasa dan warna kulit adalah “ma’isyatullah” (Kehendak Allah). Ia suatu pelan asal Allah.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk umat manusia yang pelbagai bangsa ini kenal antara satu sama lain. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Jika kepelbagaian kaum dan bangsa ini menyebabkan kita bergaduh dan saling tidak mempercayai satu sama lain sudah jelas ia adalah kesilapan dalam memahami tasawwur  tersebut.  Ia menunjukkan betapa jauhnya Islam dengan kita.

Sayangi bangsa suatu fitrah yang Allah semat dalam diri setiap insan sebagaimana bapa atau ibu sayangkan anaknya. Apabila ia suatu yang fitri sifatnya membuang masa untuk orang Melayu diingatkan perlunya mereka menjaga dan menyayangi bangsa.

Jika bangsa menjadi taruhan sudah tentu yang paling berhak memperjuangkan bangsa Arab adalah Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w adalah seorang Arab. Bahasa Al-Quran adalah bahasa Arab dan dikatakan bahasa syurga adalah bahasa Arab. Mengapa Rasulullah tidak perjuangkan Arab?

Kita lihat dua insan yang berlainan bangsa dalam sejarah Islam dan lihat siapa yang mulia antara mereka berdua. Kita lihat Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil dan kita lihat pula sahabat Rasulullah Bilal bin Rabah r.a.

Abu Lahab dan isterinya satu bangsa dan satu keturunan dengan Rasulullah s.a.w. Dalam istilah moden sekarang kedua-dua pasangan ini adalah pasangan selebriti. Apa yang tiada pada mereka? Mereka ada rupa paras yang cantik, ada kekayaan material, ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, ada pengikut dan ada pengaruh dan status yang tinggi.. Namun kita tahu kedua-dua insan ini dicela oleh Allah dan ada surah khas dalam Al Quran  untuk mereka yang kita baca dan cela mereka sehingga kini.

Kita lihat pula Bilal r.a.  Orangnya berkulit gelap dan bekas seorang hamba abdi. Tiada harta dan tiada kekayaan. Tiada rupa paras jauh sekali status dalam masyarakat Arab.  Namun sehingga kini nama Muazzin di dunia memakai gelaran Bilal seorang berbangsa Habsyi. Lihat betapa mulianya Bilal r.a 

Menyayangi bangsa adalah fitrah. Tapi memperjuangkan bangsa tanpa mengira bangsa itu zalim atau tidak adalah asabiyyah yang Islam tentang habis-habisan.

Kita tahu fahaman asabiyyah dan qaumiyyah Arab jahiliyyah begitu kuat . Ideologi mereka adalah tolong kaum kami sama ada kaum kami zalim atau dizalimi.

Sebab itu dalam sebuah hadith Rasullullah menyatakan “tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi (mazluman)". Para sahabat terasa pelik kenapakah Rasullullah menyuruh ditolong mereka yang zalim. Secara zahirnya perintah Rasullulah itu dilihat seperti ideology Arab jahiliyyah.

Tapi itulah cara Rasulullah s.a.w membetulkan fahaman salah itu. Menolong orang yang zalim, kata Rasullullah s.a.w adalah dengan kita menghentikan kezaliman mereka. Bukan dengan menyokong sizalim. Lihatlah anjakan paradigm yang Rasullullah s.a.w perkenalkan.

Ini yang perlu Melayu faham termasuk cerdik pandai Melayu. Menolong Melayu Umno yang zalim, salah guna kuasa, rasuah bukan dengan terus menerus menyokong mereka. Itu sokong bawa rebah. Tolong Umno yang zalim adalah dengan menghentikan kezaliman Umno – hentikan kuasa mereka memerintah.

Amat malang orang Melayu termasuk cerdik pandai Melayu menyayangi Melayu dengan cara yang salah. Mereka sayang Melayu dengan biarkan pemimpin Melayu Umno yang zalim, rasuah dan salah guna kuasa terus dengan kezaliman mereka. Ini sokong bawa padah di dunia dan akhirah.


* Penulis adalah anggota Parlimen Sepang, AJK PAS Pusat serta seorang peguam.

Najib sedia ditentang, mengapa?


Subky Latif, 04 Jun 2013
BARU empat tahun Datuk Seri Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, lalu dia menyatakan bersedia ditentang dalam pemilihan pimpinan UMNO yang akan datang, tidak kira bila ia diadakan.
Mengapa dia sedia ditandingi? Jawapannya kerana partinya mengamalkan demokrasi dan dia seperti pemimpin lain-lain parti politik tidak sedia bertanding dan ditandingi. Logiknya partinya juga sebuah parti demokrasi sendiri menggalakkan pertandingan.

Demokrasi itu adalah biasa membenarkan pertandingan, sama ada suka atau tidak, dan tidak sporting jika tidak membenarkan sesiapa mencabar presiden.

Adakah Tunku dan penyokongnya tidak demokrasi menghalang percubaan mencalonkan orang lain  di hujung tempoh pimpinannya? Adakah Tun Hussein Onn dan penyokongnya tidak demokratik apabila melihat sinis apabila Haji Sulaiman Palestin mencabarnya.

Dr. Mahathir  tidak dapat menghalang Tengku Razaleigh mencabar presidennya, tetapi hati dia tidak terbuka, hingga hari ini mencela tentangan Ku Li itu.

Bukan soal demokrasi saja Najib menyatakan kesediaannya itu tetapi dia juga ada maklumat kepimpinannya dan tentang apa orang ramai termasuk UMNO kata tentangnya. Sudah ada orang mellihatnya bukan lagi aset kepada UMNO, BN dan negara. Sejak dia mula disebut-sebut untuk menggantikan PM Abdullah Badawi, sudah ada yang merassakan dia adalah liabiliti kepada UJMNO dan negara.

Banyaklah fakta yang belum dijawabnya mewajarkan dia dikira liabiliti tetapi UMNO dan penyokongnya  tidak mempedulikannya. Jangan kata Mahathir tidak berfikiran begitu. Tetapi kerana dia sudah mengutuk pimpinan Abdullah Badawi, maka dia terpaksa mnyimpan dalam perut, biar meletup ia dalam perut, tidak meletup dari mulut.

Mahathir berupaya menyergah Najib atas sebab kebenaran,  tetapi ada risiko jika berterus terang lagi. Orang kira Mahathir buruk kalau dia berkata tentang Najib. Akan ada persepsi, pada Mahathir orang lain semua tidak betul. Orang akan kata, dia saja yang betul.

Sudah banyak yang orang hendak buktikan Najib itu bukan aset bahkan liabiliti. Hanya Tan Sri Abdullah Kok Lanas saja sangka Najib itu elok semua.

Dengan prestasi BN pimpinannya lebih uzur dari pencapaian buruk Tun Abdullah, tidak mustahil ada yang akan mencabarnya. Kita tidak tahu orang lain, tetapi Ku Li dijangka akan menawar diri untuk menjadi Presiden UMNO. Kalau Najib tidak dapat dipertahan lagi, siapa saja boleh menang mencabarnya, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin  akan menyesal jika tidak merebut peluang itu.

Najib tahu dia adalah liabiliti. Jika dia tidak bersedia pun,  dia mungkin dicabar. Sebelum ada orang yang bersedia menyatakan kelemahannya, maka dia  suarakan itu dulu supaya dia dapat maklum balas apakah dia dikehendak lagi atau cukuplah setakat yang ada.

Daripada kalah  dalam pilihan raya umum, adalah lebih baik dia menerima cabaran dalam partinya sendiri. Kiranya digantikan oleh orang lain, maka mungkin UMNO sebagai tulang belakang kerajaan dapat dipertahan lagi.

Tiada hujah demokrasi boleh mengubah 51 peratus undi popular yang menolak BN  dan pimpinannya akan berpatah balik ke belakang. Justeru itu, eloklah dia menggunakan hujah demokrasi bersedia untuk ditentang.

Ada pun pemimpin lain-lain parti politikyang disindirkan tidak sedia ditandingi, rasanya masih menjadi aset kepada parti dan penyokongnya. Mungkin Tok Guru Haji Hadi ada kelemahan, tetapi beliau belum menjadi liabiliti pada PAS. Walaupun Anwar Ibrahim dikata macam-macam, tetapi dia aset pada Pakatan. Kit Siang pula adalah aset yang belum turun nilai bagi DAP.

Semuanya masih menjadi aset kepada parti masing-masing. Nilai aset yang  merudum hanya Najib. Ia bukan pesepsi lagi.

Perjuangan Umno sudah tidak bertenaga


Harakahdaily, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Selepas keputusan PRU13, parti komponen BN nampak gelabah sehingga ada cadangan untuk menjadikan BN parti tunggal.
Selain itu, ada cadangan membubarkan semua parti komponen menjadi satu sahaja seperti yang disuarakan pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.


Mesyuarat MT UMNO, Jumaat lalu, bersetuju mewujudkan makmal khusus bagi memperincikan cadangan itu dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli di seluruh negara.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini ditambah pula kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mengatakan Umno menang bukan kerana kuat,  tetapi kerana Melayu berjaya ditakutkan sehingga mereka mengundi Umno pada PRU13.


“Sampai bila Melayu hendak ditakutkan kerana Melayu yang berjaya ditakutkan sudah tidak ramai, sebagaimana orang Melayu sudah tidak ramai yang takut kepada  hantu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Umno berada pada situasi yang merbahaya jika hanya mengharapkan Melayu menyokong berdasarkan emosi kerana Melayu yang celik maklumat dan faham agama tidak diserang dengan budaya takut.

Katanya, mereka sedar, Melayu musnah semuanya angkara Umno.

Beliau berkata, golongan ini mula mempersoalkan kenapa setelah 57 tahun merdeka, Melayu semakin tertinggal ke belakang.

Ini, katanya kerana Umno telah khianat amanah untuk membantu orang Melayu.

“Berapa banyak projek yang dikhas untuk orang Melayu gagal diselenggarakan dengan baik.

“Kenapa Umno hendak mengkambing hitamkan kaum lain, supaya Umno terus selamat?” tanya beliau.

Beliau menambah, Melayu terpelajar sudah menganggap, Umno mesti bertanggungjawab terhadap musibah yang menimpa kepada orang Melayu.

“Mereka mahu Melayu yang bermoral dan telus untuk memimpin negara. Umno telah meninggal rekod yang terlalu buruk kepada sejarah perjuangan orang Melayu di negara ini,” ujarnya lagi.

Masalah Umno bukan lagi persepsi tetapi realiti


Abdul Aziz Mustapha, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Masalah utama Barisan Nasional (BN) bukan persepsi tetapi realiti yang kian menjerumuskan negara ke arah mala petaka, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Apa yang dilihat dan dirasai oleh rakyat akibat pemerintahan BN bukan lagi persepsi tetapi realiti.

"Rasuah yang makin parah adalah realiti, penipuan dalam pilihan raya adalah realiti, kematian demi kematian dalam tahanan polis adalah realiti, perbuatan Umno api-apikan perkauman adalah realiti, semuanya bukan persepsi," katanya.

Begitu juga, kata Mahfuz, apabila Malaysia dilaporkan terlibat dengan penyeludupan steroid selepas dilaporkan terlibat dengan penggubahan wang haram, semua itu adalah realiti.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui kelemahan utama kerajaannya adalah dalam mengurus dengan lebih baik persepsi negatif yang disebarkan secara meluas di dalam talian yang dikuasai oleh elemen anti-BN.

Mahfuz menolak pandangan itu dengan menekankan apa yang disebarkan oleh rakyat yang tidak mahu lagi menerima pemerintahan BN bukanlah persepsi tetapi realiti penyelewengan dan salah guna kuasa BN yang sebenarnya berlaku.

"Bila rakyat bangkitkan isu lembu dan kondominium umpamanya, itu bukan persepsi tetapi realiti yang diakui oleh orang-orang Umno sendiri.

"Tanyalah (bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri) Rafidah Aziz umpamanya, isu lembu itu realiti atau persepsi?' Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata.

Persepsi, kata Mahfuz, ialah apa yang disebut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai punca kemenangan Umno.

"Dr Mahathir kata, kemenangan Umno dalam pilihan raya baru-baru ini disebabkan orang Melayu takut Pakatan Rakyat yang turut dianggotai oleh DAP menang.

"Maknanya, Dr Mahathir mengakui kejayaan Umno mendapatkan kemenangan di sebahagian besar kerusi-kerusi majoriti Melayu adalah kerana persepsi orang-orang Melayu," katanya.

Mahfuz menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu sebagai pengakuan secara tidak lansung tentang kejayaan Umno menghasut orang Melayu dengan persepsi yang berasaskan pembohongan serta kejayaan parti itu mengapi-apikan perkauman.

"Amat malang bagi mereka yang mengundi Umno semata-mata kerana dirasuk persepsi berasaskan pembohongan yang dijaja oleh Umno serta hasutan dan perbuatan mengapi-apikan perkauman," katanya.

Beliau mengingatkan, masa hadapan negara tidak boleh dibina dengan persepsi berasakan pembohongan.

Ketika megulas prestasi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.

"Kemenangan Umno kali ini bukan kerana kekuatan Umno ataupun perpaduan dalam Umno, kemenangan Umno kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia," Bernama memetik beliau berkata Isnin lalu.

Selasa, 4 Jun 2013

Rakyat Beritahu Najib, Yang Ini Bukan Persepsi, Tetapi Realitilah!



Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan salah satu kelemahan yang harus diperbaiki jenteranya ialah dalam aspek menangani 'perang persepsi'.

"Ini yang mungkin kita boleh perbaiki, bagaimana kita harus menangani perang persepsi - bukan realiti tapi persepsi," ujarnya dalam ucapan sempena himpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, semalam.

Dana Najib berkata lagi:

"Namun masih ada pihak yang hendak pertikai keputusan pilihan raya...," ujarnya lagi.

Benar, Pakatan pertikaikan keputusan pilihanraya sepertimana Najib katakan, tetapi Pakatan akan memfailkan 35 petisyen sedangkan UMNO BN akan memfailkan lebih 50 petisyen. Sekarang siapa yang lebih mempertikaikan keputusan pilihanraya jika bukan kamu UMNO BN sendiri?

Apa yang disampaikan oleh Najib itu seperti satu sindrom penafian bahawa sekalipun UMNO BN berjaya membentuk kerajaan dengan 133 kerusi di parlimen, tetapi hakikatnya telah berlaku pengurangan sebanyak 7 kerusi bagi pihak UMNO BN yang telah dirampas oleh Pakatan Rakyat. Di peringkat DUN pula, secara keseluruhannya, UMNO BN kehilangan 71 kerusi yang dirampas oleh Pakatan.

Lebih buruk lagi sekali BN berjaya merampas Kedah dari PAS, tetapi ketiga-tiga negeri PR yang lain - Selangor, Penang and Kelantan - kesemuanya menang dengan majoriti lebih 2/3:

Selangor - Pakatan 44, BN 12
Penang - Pakatan 30, BN 10
Kelantan - Pakatan 33, BN 12

Sementara BN tidak mempunyai 2/3 majoriti di negeri-negeri berikut:

Perak BN 31 PR 28
Terengganu BN 17 PR 15
Kedah BN 21 PR 15
Negeri Sembilan 22 PR 14

Pertama kali dalam sejarah, BN kehilangan deposit di dua kerusi DUN di Pulau Pinang iaitu

DUN Pengkalan Kota - Pakatan 15,403 BN 1,803
DUN Berapit - Pakatan 16,995 BN 2,230

Jangan lupa, di kerusi parlimen, UMNO BN sudah kalah di Semenanjung dan hanya diselamatkan oleh kerusi dari Sabah dan Sarawak:

Pakatan : 80 BN : 76


Menarik juga untuk diberikan perhatian: Kelima-lima pegawai Datuk Seri Najib Razak kalah di kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali ini. Mereka ialah dua pegawai khas beliau tewas kepada calon PAS di Kedah, Datuk Shahlan Ismail dan Datuk Latt Shariman Abdullah. Shahlan tewas dengan majoriti 3,935 kepada calon PAS Datuk Mahfuz Omar di kerusi Parlimen Pokok Sena, manakala Latt Shariman pula tewas kepada calon PAS Mohd Nasir Mustafa dengan majoriti 1,044 di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kubang Rotan. Setiausaha Politiknya di Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Shafei Abdullah tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong dengan majoriti yang lebih besar sebanyak 5,511 berbanding keputusan yang diperoleh pada tahun 2008. Dua lagi pegawai khas beliau yang tewas di kerusi Parlimen adalah Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di Kota Baru dan Datuk Mohamed Suffian Awang di Kuantan.

Dan di dalam senarai TOP 20 Majoriti Tertinggi, hanya satu sahaja untuk BN, sementara 19 yang lain dikuasai Pakatan.
,br>

Dan yang menarik dan yang amat tidak disukai Najib, beliau sebenarnya sudah tewas di tangan Anwar Ibrahim!


3 comments:
View Comments/Post a Comment

3 comments:

Anonymous said...
pasti kematian atunya dan kes scorpene adalah realiti bukan persepsi kegelisahan majoriti rakyat Malaysia adalah realiti bukan persepsi
Anonymous said...
adalah realiti bhw kemenangan PR dlm pilihanraya umum 13 telah disamun dan dirompak oleh perompak2 dan penyamun UMNO/BN.....
Anonymous said...
Kalau bukan kerana undi pos, undi hantu yg undi lebih sekali contoh yg nyata papagamo disenaraikan 2 tempat mengundi tapi akhirnya deleted 1 bila dihebohkan di alam maya. Pengundi warga CIMB yang jelas terkapai bila disoal oleh petugas PR. Tapi umno BN kata mamak. kalau mamak mestilah boleh betah balik bila di soal. Ini sengap jer.. warga M'sia ker?. Lani satu blog melaporkan Perdana Menteri Bsngladesh mrngesahkan warganegaranya mengundi di PRU Malaysia...apa macam beb. Jika bukan kerana pengkhianat ni saya jangkakan undi majoriti BN setakat 25% jer. Memang patut PR memerintah Malaysia selepas PRU13. WAJARLAH PETISYEN PRU13 TERTINGGI DALAM SEJARAH HINGGAKAN BN PUN TURUT BUAT PETISYEN LEBIH BANYAK DRP PR. DGN PETIYEN BN MENJELASKAN LAGI KEBENARAN PENIPUAN DLM PRU13. TAPI AWAS WAHAI PR ...UDANG DISEBALIK MEE PETISYENNYA BN NI.

Lebih 80 Petisyen Bakal Dikemukakan, Pilihanraya Akan Diadakan Semula?



Pakatan Rakyat semalam sebulat suara mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan.

“Dalam sejarah ada satu atau dua kes pernah difailkan. Tetapi belum pernah sampai 80 hingga 90 kerusi.

“Ini saja sudah cukup untuk pengerusi (SPR) dan timbalannya letak jawatan segera,” tegas Anwar ketika sidang media semalam.

Lebih 80 petisyen membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 merupakan bukti Aziz dan Wan Ahmad cuai serta terlibat dalam kecurangan pilihan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun lalu memberitahu media bahawa BN turut memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan sekurang-kurangnya 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Manakala Pakatan Rakyat setakat ini dilaporkan akan mengemuka 35 petisyen dengan 18 daripadanya adalah dari KEADILAN, 14 bagi PAS dan 3 dari DAP.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan bantahan terhadap keputusan PRU-13 dari BN membuktikan kegagalan SPR.

“Apabila BN pun failkan petisyen maknanya mereka pun ada yang tak puas hati dengan perjalanan pilihan raya, itu jelas menunjukkan kegagalan SPR menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Ulasan GB

Pakatan Rakyat telah mengumumkan 35 petisyen akan dikemukan manakala BN pula nak kemukakan lebih dari itu, iaitu sekurang-kurangnya 50 petisyen.

Nampaknya UMNO BN lebih sukar untuk menerima keputusan pilihanraya 2013 yang lalu, walaupun yang dituduhnya Pakatan.

Seandainya mahkamah membenarkan petisyen-petisyen ini, bererti akan berlaku satu "pesta pilihanraya kecil" tidak lama lagi dan rasanya adalah lebih wajar keputusan PRU13 dibatalkan dan satu lagi pilihanraya umum dipanggil.

Apa-apa pun ia sudah cukup mencemarkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan sepatutnyalah kedudukan dan status SPR dikaji semula dengan perlantikan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat segala penyelewengan dan salahlaku pesuruh-pesuruhjaya SPR yang ada kini.

Tetapi aneh, sejak perhimpunan BERSIH 1.0 sehinggalah BERSIH 2.0 diikuti dengan BERSIH 3.0 yang menuntut Suruhanjaya Diraja ditubuhkan tetapi Perdana Menteri, Najib Razak memekakkan telinganya dan tidak melayan tuntutan-tuntutan tersebut.

Mengapa Najib terlalu takut untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk SPR ini?

Apakah beliau hendak melindungi perbuatan salahlaku SPR selama ini atau beliau sendiri ada peranannya di dalam penipuan dan salahlaku SPR tersebut?

Rakyat perlu bangkit bagi mempastikan Suruhanjaya Diraja untuk SPR ini ditubuhkan segera. Yang bersalah akan tetap perlu dihukum!