Rabu, 29 Mei 2013

Tugas pertama Zahid, KPN baru tangkap

Subky Latif, 29 Mei 2013
SEORANG menteri baru dan mana-mana pemegang jawatan baru diperhatikan akan tindakan pertamanya mengambil jawatan.
Tunku Abdul Rahman Putra semasa menjadi Ketua Menteri Tanah Melayu tahun 1955 tindakan pertamanya memperkenalkan undang-undang pengayuh basikal tidak boleh berpayung.

Tindakan  pertama Dr. Mahathir mula jadi Perdana Menteri membebaskan tahanan ISA yang ditangkap Tun Hussein Onn seperti Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas. Lama kemudian baru dia tangkap orang. Ramai!

Tun Abdullah Badawi pula tindakan pertamanya jadi  Menteri Dalam Negeri, menyekat Harakah dari dua kali seminggu kepada  dua kali sebulan.

Kerja pertama Datuk Najib jadi Perdana Menteri, membenarkan semula Harakah terbit dua kali seminggu. Dia tidak kisah juallah Harakah di mana-mana dan kepada sesiapa.

Mari Zahid Hamidi jadi Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polisnya yang baru, langkah sulung kedua-duanya tangkap pembangkang dan rampas Harakah, KeADILan dan Roket.

Sama ada kedua-duanya berpakat atau  tidak, tetapi mereka memulakan kerja dengan menangkap orang yang pada mereka ada salahnya. Empat tahun Najib jadi Perdana Menteri dengan dua KPN, Tan Sri Musa Hasan dan Tan Sri Ismail Omar, tidak  dipedulikannya kepada siapa Harakah dijual dan  diedar. Tak perasan dia ada menangkap pembangkang.

Tak sampai sepuluh hari Zahid jadi Menteri Dalam Negeri, kurang  seminggu dia ada  KPN baru, ditangkapnya tiga aktivis pembangkang termasuk Tamrin  Ghafar dan Tian Chua atas nama undang-undang. Ketika sama mereka rampas Harakah dll kerana langgar undang-undang.

Begitu banyak jenayah dan pelanggaran undang-undang yang menyebabkan kematian, hilang harta benda, melari anak dan membuang anak, mengedar dadah dll, yang mereka dulukan menyerbu Harakah dari pengedarnya. Benda-benda yang lebih besar tidak didulukan, penjualan  Harakah secara terbuka yang  diutamakan.

Ditanya Zahid tentang kejadian itu, katanya dia tidak tahu kerana ia tindakan polis. Sama ada polis maklumkan tindakan mendulukan benda yang boleh dikemudiankan, tindakan polis itu dilihat mencerminkan dasar dan sikapnya. Tanggungjawab dan akauntibiliti tetap kepadanya.

Polis ada kuasa tangkap sesiapa; sindiket dadah, tipu dll tetapi polis tentu maklumkan kepada menteri terhadap tindakan yang melibatkan politik. Silap polis tangkap perompak dan penyamun tidak banyak melibatkan sikap menteri, tetapi tindakan tepat menangkap orang politik tetap menyentuh kebijaksanaan menteri.

Jika tangkapan ke atas Tamrin dan Tian Chua itu menyebabkan kerajaan dan menteri boleh dicerca, maka menterilah yang lebih banyak dicerca. Dr. Mahathir boleh salahkan Tan Sri Rahim  Nor kerana mempelupuh Anwar  Ibrahim  sampai pengsan, walaupun Rahim Nor pikul akibatnya, tetapi tetap Mahathir  dipersoal atas kekejaman Rahim itu.

Saya tidak mahu menyamakan Zahid dengan Dr. M dan KPN baru dengan Rahim Nor, tetapi mereka telah memulakan tugasnya penuh kontroversi. Payah hendak membela mereka terutama semasa kerajaan, pemimpinnya dan polis dipertikai oleh banyak pihak.

Kedua mereka akan mengambil masa untuk menjadi pemimpin dan pegawai mesra rakyat kerena memerka memilih tindakan yang tidak popular sebagai tindakan pertama.  Mahathir dan Tun  Hanif Omar sebagai KPN banyak tangkap orang di bawah ISA terutama peristiwa Operasi Lallang dan Memali. Tetapi dia memulakan tugas PM dengan membebas tahanan  ISA yang membabitkan dakwaan komunis.

Tidak logik lagi doktor lelaki sambut bayi


Mohd Sabri Said, 29 Mei 2013
KEPALA BATAS: Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri (gambar) menyarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya mengasingkan tugasan perbidanan kepada golongan wanita sahaja.
Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ubat-ubatan Dan Vaksin Yang Tidak Halal: Perbincangan Serta Fatwa Ulama Dalam Penggunaan Dan Pengurusannya' di Konvensyen Perubatan Islam dan isu Fiqh Perubatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Perbadanan Produktiviti Negara, di sini pagi tadi.

Kata beliau, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan agar wanita yang bersalin disambut oleh doktor wanita sahaja bukan lelaki seperti yang berlaku di sesetengah hospital hari ini.

"Saya sarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya buat perubahan besar dalam kaedah perbidanan agar tidak membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi sebaliknya ianya diuruskan oleh doktor wanita," ujarnya.

Beliau yang sering bersiaran di TV Hijrah turut bertanya kepada peserta konvensyen adakah tuan tidak rasa malu tubuh badan isteri anda dilihat oleh 8 orang doktor dan pembantu doktor dalam bilik bersalin.

Katanya lagi, tidak wajar kemajuan negara yang semakin canggih masalah tersebut tidak boleh diatasi lagi.

Lagipun sekarang ini, ujarnya tidak logik sebuah negara yang sudah lama merdeka tidak boleh mengubah perkara sedemikian kerana ia tidak memerlukan akta.

"Masa kini tidak logik lagi sekiranya masalah sambut bayi tidak boleh diberikan tugasan kepada doktor wanita sepenuhnya sebab doktor wanita dah ramai di bahagian perbidanan," tegasnya.

Program anjuran Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara dan International Muslim Aid Malaysia (IMAM ) itu dirasmikan oleh Penolong Pengarah Kanan Perubatan Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sabri Osman.

Rampasan kuasa tentera Mesir merobek demokrasi




Rampasan kuasa tentera Mesir merobek demokrasi

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, 07 Jul 2013

4 Julai 2013 mencatatkan sejarah hitam bagi sejarah demokrasi dunia moden apabila tentera Mesir bertindak merampas kuasa daripada seorang presiden negara yang dipilih secara demokrasi seterusnya menggantung perlembagaan negara Mesir.

Untuk menjustifikasikan tindakan tidak demoratik mereka, tentera Mesir dari awal lagi cuba mengelabui mata antarabangsa dengan 3 tindakan.

Pertamanya, tentera Mesir cuba menggambarkan bahawa tindakan mereka merampas kuasa adalah demi menunaikan kewajipan bernegara dan bukan kerana bermotifkan politik. Justifikasi ini sangat penting kerana tindakan mereka merampas kuasa terhadap kerajaan yang sah dipilih secara demokrasi adalah salah di mata dunia. Ia juga bertujuan mengelakkan Mesir dari disekat bantuan ekonomi oleh negara-negara Eropah dan Amerika.

Kedua, melantik orang awam menjadi Presiden sementara Mesir.
Rampasan kuasa oleh tentera bukanlah cara yang sah untuk mendapat kuasa. Namun sejarah dunia moden menunjukkan banyak kerajaan baru dibentuk menerusi rampasan kuasa oleh tentera seperti pernah berlaku di Libya, Syria, Iraq dan Pakistan. Selalunya Pemerintah tentera melantik jeneralnya sebagai pemerintah baru negara seterusnya berlakulah siri pemerintah autokrasi yang tidak demokratik. Namun, tentera mesir dilihat cuba bertindak bijak apabila tidak melantik jeneralnya yang merampas kuasa sebagai pemerintah sementara. Sebaliknya tentera melantik seorang awam yang mempunyai latar belakang perjawatan kerajaan sebagai presiden sementara iaitu seorang hakim mahkamah.

Meskipun begitu tindakan mereka gagal mendapatkan sokongan bulat negara-negara besar dunia kerana hakikatnya ia merupakan perancangan jahat terhadap sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Hari ini 4 buah negara besar barat iaitu Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman mula mempertikaikan tindakan rampasan kuasa ini kerana ia bercanggah dengan demokrasi yang mereka perjuangkan.
Ketiga, tentera menjanjikan pilihanraya umum terdekat bagi memilih presiden baru.

Namun, Janji manis tentera untuk mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat tidak mampu mengelabui mata masyarakat antarabangsa. Sebabnya ialah untuk apa dibuat pilihanraya baru sedangkan kerajaan Dr Morsi adalah terpilih menerusi pilihanraya bersih yang sangat demokratik. Tidak ada justifikasi yang kuat untuk tindakan tentera melainkan sekadar memuaskan keinginan pihak tertentu yang inginkan kuasa di kalangan pembangkang Mesir. Tentera hanyalah alat kepada golongan sekular dan liberal yang mencari jalan menjatuhkan kerajaan Ikhwan Muslimin ini atau rakan kongsi strategik yang mempunyai kepentingan politik tersendiri. Jeneral Abas Sisi apabila dilantik menjadi menteri pertahanan oleh kerajaan Dr Morsi, maka beliau juga telah menjadi orang politik. Tanpa dilandasi iman dalam berpolitik seorang ahki politik akan bertindak apa sahaja. Dalam bahasa demokrasi digunakan istilah "binatang politik" (animal ????) Yang akhirnya bertindak menghalalkan apa sahaja cara demi kelangsungan cita-cita politik.

Dalam isu Mesir perspektif negatif rampasan kuasa oleh tentera bertambah negatif kerana ia dilakukan terhadap sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi menerusi pilihanraya yang diiktiraf sebagai bersih. Justeru, tindakan tentera mula menjadi bahan pertikaian dunia barat yang mengagongkan demokrasi. Dunia barat mungkin tidak bersetuju dengan Dr Morsi kerana beliau datang dari sebuah parti Islam. Namun tindakan merampas kuasa kerajaan yang dipilh secara demokrasi merosakkan demokrasi yang mereka perjuangkan.

Tindakan kerajaan Turki yang dipimpin oleh Erdogan menolak tindakan jahat tentera sangat bijak dari sudut politiknya. Ini kerana Turki juga berhadapan dengan usaha menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi menerusi demonstrasi awam yang ditaja oleh pembangkang daripada golongan sekular dan liberal. Dan tidak pelik jika tentera Turki juga campur tangan sepertimana dilakukan oleh tentera mesir dengan hujah kerajaan Erdogan cuba mencanggahi inspirasi perlembagaan sekular yang diasaskan oleh Kamal Atartuk. Namun, menariknya, Bukan sahaja kerajaan, malah pembangkang Turki juga berkongsi pandangan yang sama dengan kerajaan.


Bagaimana "mood" dunia barat yang tidak selesa dengan tindakan tidak demokratik ini dapat dimanfaatkan untuk menggerakkan sokongan antarabangsa terhadap keabsahan kerajaan Dr Morsi? Persoalan ini perlu difikirkan bersama.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

‘huru-hara’ insiden Piala FA


http://www.ekeleh.com, 29 Mei 2013
Berita dari Sinar Harian
Kekecohan para penyokong akhirnya menyebabkan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (JDT) ditangguhkan ke tarikh lain.
Perlawanan sepatutnya bermula pada jam 8.45 malam namun ditangguhkan apabila penonton melimpahi ke kawasan trek dan padang sebelum pasukan keselamatan mengarahkan mereka berundur dan memasuki kawasan tempat duduk.
Meskipun pada mulanya wakil PDRM mengumumkan perlawanan selamat diteruskan, namun kekecohan ditambah pula dengan insiden membaling objek dari luar stadium hingga membahayakan kumpulan penyokong JDT.
Kejadian itu menyebabkan beberapa penyokong JDT cedera kerana terkena balingan objek daripada tempat duduk.
Akhirnya, pihak pengurusan mengumumkan perlawanan ditunda dan ia jelas menghampakan peminat yang hadir di stadium mahupun yang mengikuti siaran langsung di televisyen. – SinarHarian
StadiumDarulMakmur3 StadiumDarulMakmur4StadiumDarulMakmur1 StadiumDarulMakmur2StadiumDarulMakmur5
Seorang penonton terkena objek terbang
Nasib baik bukannya berlaku semasa Himpunan Suara Rakyat 505, kalau tidak tak cukup masa TV3 dan RTM belasah!

Bergambar: Muslimat kung fu tetap tutup aurat


http://greenboc.blogspot.com, 29 Mei 2013

[BERGAMBAR] Apa Yang Muslimat Yang Tutup Aurat Tak Boleh Lakukan?



Muslimat Kung-Fu TETAP tutup aurat.

Muslimat dan pelajar sekolah Umum Bad-Assery

Gambar-gambar berikut telah diambil dari esei foto dalam China Daily: Mereka sangat mahir dan tangkas. Mengagumkan, perkara ini bukan baru di rantau ini, warga India-Muslim di rantau selatan biasanya melibatkan diri dalam pembelajaran pelbagai seni mempertahankan diri.

Sekolah muslimat Islam dari pengajian tinggi Maaz di India mengamalkan, wushu-Cina seni mempertahankan diri di dalam kawasan sekolah di bandar selatan India Hyderabad. Muslimat dari umur 10-16 mengambil bahagian dalam sesi mingguan semasa sesi sekolah - (Agensi)








PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Selasa, 28 Mei 2013

8 Sebab Legitimasi Najib Sebagai Perdana Menteri Dipertikai


Terdapat sekurang-kurangnya lapan sebab mengapa sebilangan besar rakyat Malaysia terutama generasi muda mempertikaikan legitimasi Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, bantahan sejuta pengundi Malaysia, kebanyakannya generasi muda daripada pelbagai kaum terhadap keputusan PRU-13 menerusi ceramah “Black 505” di seluruh negara.

Katanya, rakyat tunjuk rasa tidak puas hati mereka kerana menganggap PRU-13 paling kotor sepanjang 13 kali pilihan raya umum negara kerana berlakunya politik wang yang tidak beretika melalui strategi UMNO/BN “Duit Duit Duit”, “Tipu Tipu Tipu” dan “Takut Takut Takut”.

Selain itu, menurut beliau, amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menguntungkan UMNO/BN, yang mana satu undi di Putrajaya (16,000 pengundi) sama nilainya dengan satu undi di Kapar (140,000+ pengundi) hingga menjadi satu penghinaan terhadap prinsip “seorang, satu undi, satu nilai”.

“Sekiranya PRU-13 bersih, bebas dan adil, undi popular yang dimenangi Anwar dan Pakatan Rakyat pasti melebihi 60 peratus malah mencapai dua pertiga jumlah keseluruhan, memberikan majoriti kerusi Parlimen kepada PR (mencecah 125 kerusi Parlimen terdiri daripada 45 untuk PKR dan masing-masing 40 untuk DAP dan PAS) bukannya 89 kerusi untuk PR dan 133 kerusi untuk BN seperti sekarang,” katanya berucap pada makan malam kesyukuran/pelancaran gerakan Impian Rakyat Malaysia DAP Gelang Patah di Sutera Mall, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, pemerintahan Najib kurang legitimasi sebagai kerajaan 1Malaysia meskipun mengangkat sumpah untuk menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum, kerana meningkatnya polarisasi kaum.

“Najib bertanggungjawab memulanya dengan kenyataannya bahawa keputusan PRU-13 adalah “tsunami Cina” sedangkan ia adalah tsunami rakyat Malaysia, bandar, separa bandar dan anak muda.

“Ini diikuti satu siri reaksi provokasi, mengapi-api dan perkauman serta kempen seperti tajuk akhbar lidah UMNO, Utusan Malaysia: “Apa Lagi Cina Mahu”; ucapan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah, merupakan ucapan paling rasis dan menghasut pernah dibuat di Malaysia dalam tempoh 44 tahun.

Beliau berkata, pemerintahan Najib juga kurang legitimasi sebagai kerajaan 1Malaysia meskipun mengangkat sumpah selepas pilihan raya untuk menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum, kerana meningkatnya polarisasi kaum selepas PRU13.

Menurut Kit Siang, Kabinet Najib tidak mewakili semua rakyat Malaysia, satu kesedaran terlewat yang membawa kepada cadangan BN menamatkan parti berasaskan kaum, dengan menggabungkan semua parti komponen dalam satu perikatan menjadi parti berbilang kaum.

“Rejim pemerintahan Najib juga semakin menekan dan tidak demokratik, berikutan kerjasama Menteri Dalam Negeri dengan Ketua Polis Negara yang paling “bersifat politik” dengan menafikan hak asasi manusia dan demokratik pemimpin Pakatan Rakyat serta aktivis sosial lalu apabila menahan, mendakwa dan tindakan keras terhadap kebebasan berhimpun dan bersuara.

“Contoh terkini bergantung kepada penipuan dan pembohongan adalah ancaman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk memburu pengguna media sosial pro-Pakatan Rakyat sama ada di Facebook, Twitter, YouTube atau blog, berikutan dakwaan tidak masuk akal bahawa DAP membelanjakan RM108 juta tentera siber “Red Bean Army” untuk memburuk-burukkan UMNO/BN di alam siber,” katanya.

Kit Siang berkata, Najib juga mempengerusikan Kabinet dengan dua Menteri tidak sah (Paul Low dan Abdul Wahid Omar dan tiga Timbalan Menteri tidak sah (P. Waythamoorthy, J Loga Bala Mohan dan Ahmad Bashan Md Hanipah) kerana semua mereka belum mengangkat sumpah sebagai Senator sebelum mengangkat sumpah sebagai sebagai menteri

Katanya, kelima-lima mereka berada di awang-awangan Perlembagaan sejak 11 hari lalu, kerana belum mengangkat sumpah sebagai Senator dan mereka sendiri tidak berani mengakui mereka adalah Menteri dan Timbalan Menteri yang sah.

“Sandiwara perlembagaan yang berpanjangan itu memalukan Yang di-Pertuan Agong dan juga imej negara di peringkat antarabangsa, hanya menggariskan persoalan serius mengenai legitimasi Kabinet dan jawatan Perdana Menteri Najib,” katanya.-Roketkini

Surat terbuka kepada permimpin Umno dan BN

Mahdzir Ibrahim,
UMNO-BN, kami sambut kedatangan anda ke alam politik adil pelbagai kaum

Semenjak “kekalahan” BN dalam PRU13 yang lalu (kerana Pakatan Rakyat mendapat sokongan 51 peratus pengundi), semakin hari semakin ramai pemimpin BN memberikan hujah rasional yang selama ini jarang kedengaran.

Saya difahamkan dua hujah utama, iaitu cadangan agar parti-parti politik dalam BN membuka keahlian kepada pelbagai kaum dan cadangan supaya BN itu sendiri menjadi satu parti pelbagai kaum.

Sebelum ini, pemimpin MCA ada menyuarakan cadangan tersebut, kemudian diikuti oleh pemimpin Gerakan dan terbaru cadangan yang datang dari pemimpin nombor dua UMNO iaitu Muhyiddin Yassin. Umumnya, kita ucapkan tahniah atas niat dan kesedaran beliau ini.

Namun, sebelum apa-apa, adalah wajar untuk para elitis UMNO-BN merenung kembali apa yang telah berlaku selama lebih dari 50 mereka memerintah. Apa pun yang ditanam di bibir, hanya Allah SWT sahaja mengetahui isi hati mereka.

Dalam PRU13 baru-baru ini, Pakatan Rakyat khususnya DAP benar-benar diasak dengan permainan politik perkauman yang mana ini menjadi budaya yang disemai oleh segelintir elit politik UMNO-BN. Persepsi buruk yang diolah dengan cara yang sangat dahsyat.

Initipati kepada pembinaan persepsi buruk dengan cara menabur fitnah ini hanya untuk satu tujuan, iaitu menggagalkan perjuangan DAP dan Pakatan Rakyat. Pada masa yang sama untuk meneruskan hegemoni kuasa politik UMNO agar mereka kekal di tampok kuasa zaman berzaman.

Inilah agenda politik UMNO-BN selama ini. Segala dasarnya, baik dalam aspek ekonomi, sosial dan pendidikan juga dimanipulasi menjadi amalan perkauman dalam kempen-kempennya. Agenda hodoh ini wajar didedahkan kepada rakyat secara berterusan dan besar-besaran.

Dalam aspek ekonomi misalnya, persepsi buruk dibina tentang DAP seolah-olah DAP menentang dasar yang melibatkan kepentingan kaum Melayu khususnya dalam isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), malah dituduh mahu menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Umum tahu pada dasarnya DAP tidak pernah menentang dasar ini, tidak pernah ada satu fakta yang dikeluarkan oleh DAP yang bersabit dengan isu ini. Yang ada hanya tohmahan yang sudah dibuktikan di mahkamah bahawa ianya dakwaan palsu.

DAP bersama-sama dengan Pakatan rakyat, malah bekas-bekas pemimpin UMNO sebelum ini hanya mempertikaikan cara pelaksanaannya yang berat sebelah di mana hanya kroni yang untung sedangkan jutaan orang Melayu masih menderita kerana saham-saham tertentu dibolot oleh pihak-pihak tertentu.

Masalah rasuah, dapat dilihat bagaimana dana peruntukan untuk golongan Melayu miskin hilang entah kemana. Masalah ketelusan,  kita persoalkan peluang perniagaan yang dimonopoli oleh kelompok tertentu walaupun kelompok elit itu dari kaum Melayu sendiri. Kesemua penentangan DAP ini melibatkan soal prinsip dan integriti. DAP tidak mahu orang Melayu menjadi mangsa kerakusan kuasa elit UMNO-BN.

DAP menuntut UMNO-BN menjelaskan ke mana hilangnya sahama Bumiputera bernilai RM52 bilion; DAP menuntut UMNO-BN bertindak tegas terhadap pemimpin-pemimpin BN daripada MCA, MIC, UMNO dan sebagainya yang terlibat dalam pelbagai skandal termasuk PKFZ dan NFC yang mencabul amanah wang rakyat.

Kita tidak perlu merasa pelik mengapa dasar integrasi kaum juga masih menjurang hingga ada kumpulan yang tidak tahu menghormati agama dan adat resam sesuatu kaum yang lain. Malah ada segelintir pemimpin yang secara terang-terangan bukan saja menafikan hak sesuatu kaum, malah menghinanya.

Contoh-contoh seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, kumpulan pendesak Perkasa yang secara terang-terangan menghina kaum India dan Cina. Malah ada di kalangan profesional Melayu yang mengatakan bahawa kaum India dan Cina ini sebagai kaum pendatang. Kesemua gaya politik ini membiak dari amalan politik perkauman elit pemimpin UMNO.

Inilah latar politik Malaysia yang dibentuk oleh perangai elit pemimpin UMNO yang dibiarkan oleh para pemimpin BN, malah disokong pula sejak zaman berzaman.

Sebelum berubah mahu menjadi parti pelbagai kaum, adakah para pemimpin UMNO-BN sedar akan semua ini?

Namun demikian, yang jelas hari ini politik perkauman nampaknya sudah tidak lagi popular di kalangan rakyat Malaysia. Buktinya dapat dilihat apabla dengan segala tipu helah, segala tohmahan dan segala manipulasi media massa dalam kempen UMNO-BN, ia gagal menipu semua rakyat. DAP bersama PKR dan PAS terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, undi popular dimenangi oleh PR.

Yang menyokong dan mengundi adalah rakyat Malaysia, sudah tentu termasuk juga sokongan dari kaum majoriti di Malaysia iaitu Melayu. Sokongan ini tidak datang dari pekerja undangan dari Bangladesh, Filipina atau Indonesia.

Hakikat yang perlu diketahui adalah, kaum Melayu merupakan kaum yang terbukti dari segi sejarah boleh menjadi bangsa yang maju setaraf dengan bangsa-bangsa lain didunia ini. Tamadun Johor Lama, Pembukaan kota Singapura dan Empayar Melaka telah membuktikan bahawa kaum Melayu bijak, boleh berdikari dan bersaing bebas dengan kaum dari empayar besar yang lain.

Jadi mengapa politik hari ini, seolah-oleh mahu menjadikan Melayu sebagai satu bangsa yang berjiwa kecil, takut pada bayang-bayang sendiri dan bergantung kepada ehsan kerajaan? Atas semua senario ini, UMNO-BN sudah tidak punya banyak pilihan kecuali kembali kepada prinsip asas demokrasi iaitu ‘dari rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat’.

Jika benar UMNO-BN mahu berubah:

* Ia mesti membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada semua parti politik yang difitnah selama ini, mintalah maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas amalan politik perkauman anda.

* Ia mesti bebaskan semua dakwaan hasutan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis rakyat.

* Ia mesti mengambil tindakan amhkamah terhadap semua yang terlibat dalam politik perkauman termasuk Utusan Malaysia dan sesiapa sahaja yang  menyebarkan hasutan untuk membenci kaum lain.

Jika tidak, niat murni UMNO-BN untuk menjadi parti pelbagai kaum hanya akan menjadi lawak gelap demokrasi Malaysia. Rasa insaf perlu menjadi prasyarat untuk membasmi perkauman. Politik perkauman yang berdasarkan warna kulit dan sebagainya, hanya akan merosakan masa depan anak-anak kita.

Jangan kita lupa, sungguhpun tune nada pada piano itu terletak pada mata hitam dan putihnya sahaja, bunyi dan iramanya yang tergabung memberikan seribu satu warna yang lain. Itulah lambang kepelbagaian kita, rakyat bangsa Malaysia.

Buat elitis UMNO-BN, kita ucapkan selamat tinggal kepada politik perkauman mereka.

Penulis ialah Setiausaha Politik kepada Pengarah Biro Pendidikan Politik Liew Chin Tong.