Isnin, 14 Januari 2013

Lafaz Allah: Umno tidak mampu tunai amanah

Lafaz Allah: Umno tidak mampu tunai amanah

Abdul Hadi Awang, 14 Jan 2013

Amanah terbesar dalam Islam ialah memerintah negara, di mana UMNO telah diberi kepercayaan sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan sehingga kini, bagi memimpinkerajaan bagi pihak melayu beragama Islam dalam BN, dahulunya Perikatan.

Islam telah diterima oleh semua kaum menjadi agama negara dengan hak yang adil kepada penganut berbagai agama dalam konsep persefahaman sempadan saling mengerti dalam perkara yang berbeza.

Islam wajib diperkasakan sehingga mengatasi yang lain dengan pendekatan yang bijak dan amalan yang istiqamah dan adil terhadap semua, kerana Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan dengan paksaan dan ugutan kosong.

Apabila tercetusnya isu kitab Injil diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, dengan menterjemahkan perkataan God atau Lord atau Tuhan dengan perkataan Allah, UMNO telah gagal bertanggungjawab dengan betul sebagai pihak yang berada di kerusi kekuasaan kerajaan.

Media arus perdana kepunyaan UMNO dijadikan medan perbincangan (tempat bermuzakarah) dalam perkara yang besar ini sehingga melibatkan semua orang, termasuk yang buta ilmu Islam dan hurufnya, setelah hurufnya dihapuskan oleh UMNO.

Padahal urusan kebenaran menerbit buku dan pengedarannya adalah urusan Kementerian Dalam Negeri.

Dalam urusan yang berkait dengan Agama Islam, ianya perlu mendapat nasihat dan kelulusan pihak berkuasa Hal Ehwal Agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Majlis Agama Islam di Negeri – Negeri, di mana keseluruhannya berada di bawah UMNO yang menjadi parti Melayu Islam yang memerintah.

Portfolio kementerian ini di perkuatkan dengan seorang menteri di peringkat Pusat atau exco agama di peringkat negeri.

Mengapa UMNO menangani isu besar ini secara membaling batu sembunyi tangan, dengan mengheret pihak yang tidak patut berbincang dalam urusan Yang Maha Besar iaitu kalimah Allah? Mengapa tidak selesaikan oleh pihak berkuasa di bawah UMNO yang memerintah?.

Patutkah perkara ini dijadikan bahan kempen pilihanraya sehingga menjadi berkecamuk dikalangan rakyat kerana dijadikan perbincangan melibatkan kalangan yang tidak faham?

PAS tampil dengan ilmu Islam dan adabnya. Sebagaimana dalam kenyataan media saya pada 8 Januari 2013 lalu, intipati perkara dua dalam kenyataan media itu adalah jelas dan sangat mudah difahami (hanya yang berniat jahat sahaja tidak membacanya), bahawa kalimah Allah yang Maha Suci dan Mulia, tidak mampu diterjemahkan ke dalam apa-apa perkataan daripada bahasa yang lain, termasuk Bahasa Arab sendiri dengan perkataan yang lain daripada perkataan Allah, kerana tidak ada satu kalimah yang sama erti dengannya.

Lebih jauh lagi, perkataan ber Bahasa Melayu atau apa sahaja bahasa di kalangan bangsa yang menganut agama Islam, sehingga semua bangsa penganut Islam tidak menterjemahkan kalimah “Allah” ke dalam bahasa lidah masing-masing atau bahasa sendiri.

Begitulah juga perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu, God dan Lord dalam bahasa penganut agama Kristian paling ramai, tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan Allah, kerana tidak mencapai maksudnya. Firman Allah menjelaskan makna Allah :

Yang maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat ; "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan Nya".

Mengikut bahasanya perkataan God dan Lord ada plural, male dan female (God, Gods, Goddess, Lord, Lords) dan begitulah juga perkataan Tuhan dalam bahasa lain.

Adapun perkataan Allah adalah Maha Esa seperti dinyatakan dalam surah al-Ikhlas adalah huraian mengikut bahasa al-Quran, sehingga semua nama-nama Allah (Al Asma Al Husna) termasuk dalam nama tunggal Allah.

Maka pihak bukan Islam tidak boleh mengelirukan kalangan penganut Islam apabila menggunakan kalimah Allah (intipati perkara tiga dalam kenyataan media 8 Januari 2013). Bahkan menafsirkan perkataan ar-Rahman pun boleh merendahkan maknanya sehingga laksana maki hamun terhadap Allah. Firman Allah :

Yang maksudnya : Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) ar-Rahman, mempunyai anak.". Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara Yang besar salahnya !. Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, Bahawa ia mempunyai anak. Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing masing akan datang mengadapnya pada hari kiamat dengan seorang diri.

Begitulah seriusnya kesan apabila kalimah Allah disalahgunakan di hadapan penganut Islam dan Umat Islam wajib mempertahankan aqidah penganutnya, maka penyalahgunaan kalimah Allah dalam masyarakat Islam adalah dilarang . Ada pun kuasa dari segi perundangan berada di tangan parti yang memerintah, bukannya PAS.

Al-Quran juga melarang penganut Islam memaki tuhan yang dipercayai oleh penganut agama lain sehingga menimbulkan ketegangan yang menghina Allah.
Firman Allah :

Yang maksudnya : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Ada pun penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam dalam urusan agama mereka atau sesama mereka atau dalam penggunaan bersama yang tidak menimbulkan kekeliruan, maka al-Quran dan Hadith mengizinkan dengan penjelasan secara lisan dan amalan (intipati perkara nombor empat dalam kenyataan media 8 Januari 2013).
Firman Allah :

Yang maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam".

Rasulullah S.A.W. mengarahkan sahabatnya meletakkan ayat ini ke dalam surat yang dihantar kepada Raja Rom, Mesir dan Habsyah yang menganut agama Kristian supaya menjelaskan penggunaan kalimah oleh mereka dengan betul.

Betapa sucinya kalimah Allah walau pun digunakan oleh penganut agama kitab dengan fahaman mereka yang salah maka dihalalkan penganut Islam memakan sembelihan mereka dengan nas al-Quran:

Yang maksudnya : Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).

Kalimah Allah diterima bersama dalam perjanjian Hudaibiyyah di antara Rasulullah SAW dengan pemimpin Musyrikin Makkah dengan fahaman yang berbeza terhadap kalimah Allah dan bersetuju untuk berdamai.

Para ulama dan pemimipin PAS, bahkan di luar PAS dan para mufti yang majoritinya tidak bercakap kerana ditutup suaranya, adalah bersepakat dalam perkara yang sudah dinaskan dalam al- Quran dan Sunnah. Jangan laga-lagakan para pemimpin PAS dan ulama melalui media dengan cara memutar belitkan laporan, sehingga tersalah langkah membawa padah kerana jahil murakkab.

Malangnya semua kenyataan secara nas ini dilupakan kerana kesilapan UMNO yang tidak mampu mentadbir urusan agama Islam. Jabatan Agama hanya ditugaskan untuk mengawasi kuliah agama, khutbah jumaat dan kegiatan agama yang boleh mendedahkan aurat Umno yang tidak menutup aurat supaya UMNO menjadi parti maha suci daripada segala dosa.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa yang penting bagi UMNO hanyalah kemenangan pilihanraya mendapat kuasa semata-mata tanpa batas –batas iman dan kufur, benar dan salah, dosa dan pahala.

UMNO melakukan kesilapan dan dosa besar apabila menyerahkan urusan kalimah Allah ini kepada pasukan propaganda dan saraf dalam partinya dan jentera kerajaan yang dikhadamkan, maka berlakulah perbincangan yang lebih buruk daripada laksana menyerah bunga d itangan sang kera yang tidak berakal, kemudian diserahkan kepada para ilmuan, ulama dan mufti pengecut berdepan secara muzakarah, tetapi sanggup menjadi terompah kayu kepada UMNO untuk menegakkan hujah laksana mereka yang dinyatakan oleh Allah:

Yang maksudnya: Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

Tuan-tuan, janganlah jadikan PAS terpaksa membasuh kekotoran yang diadakan oleh UMNO, dan dalam masa yang sama PAS pula dipersalahkan atau menjadi kambing hitam yang disembelih kerana mempertahankan khurafat UMNO.

PRESIDEN PAS

Corat coret HKR #KL112

Corat coret HKR #KL112

Dr Azman Ibrahim, 14 Jan 2013



Seorang pemandu teksi berusia awal 50-an yang saya tumpangi dari Stesen Monorel Bukit Nenas untuk ke Central Market pada petang Jumaat 11 Januari 2013 begitu rancak bercerita tentang kebanjiran ramai orang di sekitar Kuala Lumpur hari tersebut. Lumayan sungguh pendapatannya hari ini, dari awal pagi sehingga hampir jam 4.30 petang, kira-kira RM1,000 telah masuk ke poketnya.

Saya hanya memberi komentar ringkas dalam rangka mahu menguji sejauh mana minatnya untuk bercakap tentang himpunan yang bakal berlangsung keesokannya, “Alhamdulillah… syukur atas rezeki kurnian Allah.”

Pak Cik teksi itu bertanya lagi, “Agak-agak esok ada gas tak?” Juga jawapan ringkas saya berikan. “Entahlah Pak Cik, dengar khabarnya himpunan esok mendapat permit polis.”

“Ada permit pun, bukan boleh percaya sangat dengan polis ni! Esok dia buat perangai gila, habisss..” Bebelnya dengan nada penuh kekesalan atas perlakuan dan tindakan polis semasa himpunan-himpunan yang telah lepas.

“Himpunan Bersih yang terakhir baru ni, Pak Cik pun kena gas. Aduh! Pedih sekali…”

Dengan nada bergurau saya menyampuk, “Pak Cik tahu dah kawasan tu ada demonstrasi, buat apa pergi bawak teksi kat situ?”

Sambutnya…“Ha…ha…ha… bukan Pak Cik pergi bawak teksi kat situ, Pak Cik pun hadir sekali himpunan tu, kena kejar polis, kena air kimia, kena gas…”

“Ha…ha…ha… Kalau begitu, kita senasiblah Pak Cik, saya pun kena kejar, kena gas sama macam Pak Cik jugak…”

“Jadi… adik mari KL ni, nak hadir himpunan esoklah?” soal Pak Cik tu lagi.

“Sudah semestinya!” jawab saya lagi.

“Ha…ha…ha… kita serupa rupanya…” ketawa Pak Cik tu lagi.

“Itulah Pak Cik ni… Polis tak bagi pergi, Pak Cik degil! Pergi jugak… Kan dah boleh rasa ubat resdung.” Gurau saya lagi sehingga Pak Cik teksi itu terus ketawa besar.

Ketika sampai ke destinasi Pasar Seni dan bersalaman dengannya, sempat saya memaklumkan bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS Terengganu yang pernah bertanding mewakili PAS dalam pilihanraya, tangannya mengenggam erat tangan saya sambil berkata, “Insya Allah kita kuburkan BN dalam pilihanraya akan datang!”

Jam 12.30 tengah hari, Sabtu 12 Januari 2013. Ketika pintu Stadium Merdeka mula dibuka, saya diantara peserta awal yang memasuki stadium, berjemur panas di tempat duduk terbuka ketika tempat duduk stadium hanya sekitar ¼ dipenuhi orang ramai.

Dalam ingatan, kali pertama dan terakhir saya menjejakkan kaki ke dalam Stadium Merdeka sebelum ini adalah pada tahun 1992 ketika menuntut di Universiti Malaya. Sekadar untuk melepaskan tekanan belajar, dengan motosikal cabuk Honda Cup buruk, saya datang ke Stadium untuk menyaksikan satu perlawanan Liga Semi Pro ketika itu antara pasukan Brunei dan Tentera.

Kalau tak kerana himpunan HKR KL #112 ini, mungkin benar itulah kali pertama dan terakhir saya mengunjungi tempat di mana kemerdekaan negara diistiharkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Duduk bersebelahan dengan seorang lelaki Cina yang rancak bercerita. “PAS sekalang ini bagus woo… talak macam dulu lagi. Tengok… itu Melayu, Cina, India semua boleh pakai baju PAS! Termasuk saya juga.” Ujarnya dengan sedikit nada bangga apabila memakai t-shirt bertulis ‘Pas Untuk Semua’.
“Dalam isu itu tuhan Allah… saya tengok itu Tok Guru sangat cerdik..” Komennya lagi mungkin mengulas isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

“Saya pun agama kristian, tapi saya boleh terima itu penjelasan Tok Guru.”

Sebagaimana biasa, saya suka menjadi pendengar setia dan cuba untuk menangkap butir-butir bernas yang boleh dijadikan bahan penulisan sambil berfikir bahawa mungkin dia telah meneliti kenyataan akhbar Tuan Guru Presiden dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Uncle agak penuh tak stadium ni hari ni?” soal saya untuk menyambung topik perbualan. “Mesti penuh sesak woo… you tengoklah sendiri nanti!”

“Uncle asal dari mana?” saya ingin mengenalinya lebih lanjut sambil menghulurkan bisness kad saya kepadanya.

“Saya orang KL… Wah! You keleja doktor yaa..! manyak bagus…” “Itu olang-olang cerdik tarak mau sokong BN lagi!”

“Ya lah uncle… saya dah sokong PAS semenjak dalam perut mak saya lagi.” Gurau saya. “Oooo… itu macam kaaa?”

“Ha… ha… ha…!” kami sama-sama ketawa.

“Lepas pilihanraya nanti, kita kasi masuk itu BN dalam nuseum.” Gurau apek itu lagi dengan penuh kemesraan sehingga kehangatan cuaca pada petang itu tak begitu terasa.

Melihat jam masih awal, stadium pun masih banyak kekosongan, saya mengajak uncle Cina tersebut keluar mencari minuman dahulu. Kebetulan yang terdekat ditemui hanyalah minuman dalam tin 100 plus.

“O.k uncle! Hari ni tak ada gas, mari kita minum air gas!”

“Ha… ha… ha…” Apek tu ketawa besar.

Deklarasi HKR #KL112

Deklarasi HKR #KL112

Harakahdaily, 14 Jan 2013
Deklari Bahawasanya, muafakat asas Kebangkitan Rakyat hari ini meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya.

Himpunan Kebangkitan Rakyat beriltizam untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.

Maka kami, yang berhimpun di sini, mewakili anak semua kaum pada petang ini, dengan penuh iltizam, dan berteraskan falsafah bahawa tidak ada warga dari mana-mana bangsa, agama, jantina mahupun fahaman politk akan disisih atau diabaikan dari sudut sosial dan ekonomi, mengajukan tuntutan-tuntutan seperti berikut:

Pertama: Kami menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus yang merangkumi media yang bebas;

Kedua: Kami menuntut agar prestasi, wibawa dan reputasi FELDA diselamatkan demi menjamin kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka;

Ketiga: Kami menuntut Sabah dan Sarawak diiktiraf adil-setara dengan  Semenanjung Malaysia;

Keempat: Kami menuntut 20% daripada hasil royalti minyak dikembalikan kepada negeri yang menjadi pengeluar petroleum;

Kelima: Kami menuntut kerajaan mengiktiraf dan meningkatkan profesionalisme, menjamin kebajikan dan melindungi masa depan kakitangan awam termasuk guru-guru dan anggota keselamatan;

Keenam: Kami menuntut kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih dan menyihatkan;

Ketujuh: Kami menuntut agar bahasa kebangsaan dimartabatkan dan bahasa ibunda kembali dijulang dan bahasa Inggeris dipertingkatkan di dalam sistem pendidikan negara serta pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia;

Kelapan: Kami menuntut pembebasan semua tahanan politik yang ditahan tanpa keadilan;

Kesembilan: Kami menuntut agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan; dan

Kesepuluh: Kami menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia

Dengan ini, kami yang berhimpun di sini, pada petang ini, sesungguhnya berikrar dan bersetia untuk meneruskan perjuangan sehingga kesemua tuntutan-tuntutan kami didengar dan dipenuhi.

Bermula kebangkitan bangsa Melayu menolak Umno

Bermula kebangkitan bangsa Melayu menolak Umno

Tulang Besi ,
Sesungguhnya perhimpunan kebangkitan rakyat semalam adalah satu kejayaan. Dianggarkan hampir 200 ribu rakyat Malaysia telah turun ke Stadium Merdeka tanpa dibayar dan dipaksa mahupun diumpan dengan beras semata-mata mahu menunjukkan kebencian dan betapa meluatnya mereka kepada pemerintahan Umno-Barisan Nasional.

Yang lebih membanggakan adalah 70 peratus yang hadir itu adalah daripada bangsa Melayu/Islam kerana pada perhimpunan kali ini, orang-orang Cina dan India tidak berapa ramai turun. Hal ini kerana perhimpunan kali ini adalah anjuran parti-parti politik dan bukannya anjuran NGO seperti BERSIH 2 dan 3.

Namun, itu tidak bermakna orang-orang Cina telah kembali kepada Umno. Mengikut kajian saintifik yang terbaru, sokongan orang Cina kepada BN hanyalah pada tahap 20 peratus atau lebih sikit.

Hakikatnya, kedatangan ratusan ribu bangsa Melayu kepada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat ini adalah tanda jelas bahawa bangsa Melayu sedang bangkit.

Yakni, bangsa Melayu sedang bangkit menolak dan membuang Umno.

Insya-Allah, Umno akan tumbang kerana ketiga-tiga bangsa di Malaysia sudah menolak parti yang hanya tahu mengkayakan anak beranak pemimpin mereka sahaja.

Syabas Mohamad Sabu

Syabas Mohamad Sabu

Aspan Alias, 13 Jan 2013
Saya masih mahu menulis tentang Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka semalam kerana kejayaannya menarik sejuta rakyat untuk berkumpul di dalam dan di luar stadium bersejarah itu. Pertamanya saya ingin mengambil kesempatan kepada sahabat saya Hj Mohamad Sabu kerana berjaya mengetuai jawatankuasa yang telah berjaya menyempurnakan himpunan itu dengan begitu berjaya dalam sejarah politik negara.
Tidak juga lengkap jika kita tidak mengucapkan syabas kepada pihak Polis yang telah menjaga keselamatan perhimpunan itu. Keadaan aman ini juga telah membuktikan yang menjaga perhimpunan dengan jujur adalah baik dan menjauhi dari melakukan provokasi seperti yang dilakukan pada perhimpunan-perhimpunan yang terdahulu adalah perkara terpuji dan ia sedikit sebanyak memperbaiki imej PDRM dari kaca mata rakyat bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga baik dari segi pandangan masyarakat antarabangsa.

Saya juga mengucapkan syabas kepada PAS kerana mempunyai Unit Amal yang sangat berkesan untuk menjaga keselamatan peserta perhimpunan kerana memang diketahui umum. PAS adalah parti yang begitu berpengalaman yang telah membentuk dan membina Unit Amalnya yang bekerja dengan jujur dan ikhlas untuk mempastikan perjalanan apa-apa program parti itu berlaku dengan lancar.

Dalam ceramah-ceramah saya di seluruh negara saya melihat Unit Amal PAS ini merupakan unit yang telah membantu parti-parti dalam Pakatan Rakyat dengan begitu baik dan tersusun semua program yang parti itu laksanakan. Malahan parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang lain (DAP dan PKR) mendapat bantuan yang begitu baik dari Unit Amal PAS ini. PAS mempunyai pasarana parti yang begitu baik sekali dan tidak ada parti-parti politik lain yang mempunyai satu unit yang khusus untuk menjaga keselamatan serta lalu lintas dalam sebarang perhimpunan, sama ada besar atau kecil.

Timbalan Presiden PAS itu telah memberi jawapan yang sinis kepada tuduhan UMNO yang mengatakan peserta-peserta perhimpunan itu telah dibayar oleh PAS sebanyak RM150 seorang. Tuduhan UMNO itu amat menjelekkan kerana mereka (UMNO) membuat tuduhan melulu kerana mereka ingat penyokong Pakatan itu sama seperti penyokong UMNO yang sentiasa di bayar untuk hadir dalam majlis keramaian anjuran parti yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir itu.

Jika UMNOlah yang mengumpulkan rakyat seramai itu semalam, tidak salah jika dikatakan mereka (UMNO) terpaksa berbelanja puluhan juta ringgit untuk membekalkan bas dan pengangkutan, karipap-karipap yang tebal-tebal, topi serta baju T untuk peserta. Sebaliknya PAS dan rakan dalam Pakatan pula dibantu oleh rakyat dengan derma sedikit seorang dari peserta-peserta perhimpunan itu dan telah dapat mengumpulkan wang bantuan dari rakyat dengan jumlah yang mencukupi untuk membayar kos sewaan Stadium Merdeka yang begitu mahal itu. Perhimpunan semalam itu adalah perhimpunan rakyat dan sedikit sebanyak rakyatlah yang membantu membiayai kos perhimpunan itu.

Inilah perbezaan di antara UMNO dengan PAS dan PR. Tidak ada siapa yang menanggung kos perjalanan mereka dari Kedah, Kelantan dan tidak kurang ramainya dari Sabah dan Sarawak. Itulah sebabnya perhimpunan ini kecenderungan mereka untuk kekal menyokong Pakatan adalah besar kerana mereka yang hadir itu ada saham dalam perbelanjaan melaksanakan perhimpunan yang begitu besar dalam sejarah perhimpunan politik negara itu.

Dalam suasana perubahan yang wujud pada hari ini tidak ada jentera kerajaan yang mampu untuk mendekati kemampuan yang boleh dilakukan oleh jentera parti-parti dalam Pakatan Rakyat terutamanya PAS. Kalaulah UMNO berniat untuk mengumpulkan seramai ini rakyat UMNO terpaksa menyewa tidak kurang dari lima ke enam ribu buah bas selain dari van-van dan kenderaan-kenderaan yang lain yang di sewa untuk mengangkut peserta perhimpunan mereka.

Saya tetap menyatakan dengan keyakinan yang tinggi yang Pakatan Rakyat tetap mendahului dari segi sokongan yang ‘legitimate’ rakyat kerana mereka (rakyat) menyertai program anjuran Pakatan Rakyat dengan berbelanja sendiri. Pakatan tidak payah menggunakan anggota keselamatan, agensi-agensi kerajaan serta bebagai-bagai pertubuhan untuk membawa manusia kepada himpunan yang di anjurkannya.

Tidak payah ada penyelia untuk makanan seperti nasi bungkus dan kuih muih serta minuman untuk peserta seperti lazim dilakukan oleh BN khususnya UMNO. Ia juga tidak payah membawa kumpulan K-Pop dari Korea atau bidadari dari syurga untuk membuatkan orang ramai hadir di perhimpunan mereka semalam.

Semangat yang seperti ini sudah pasti tidak dapat ditanam dalam UMNO kerana segala pergerakkan mesti dilancarkan dengan penggunaan wang yang besar. Itulah sebabnya saya selalu menyatakan yang untuk mengekalkan UMNO sebagai parti yang memerintah kita terpaksa berbelanja dengan banyak dan segala perbelanjaan itu ditanggung oleh jabatan-jabatan kerajaan.

Ahli-ahli dan pemimpin UMNO hanya bersatu semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja. Selepas nyanyian itu mereka akan kembali bercakaran dan berusaha mengenepikan pengaruh mereka yang berlawanan untuk mendapat tempat khususnya semasa pemilihan calon pilihanraya nanti.

Himpunan rakyat semalam benar-benar merangsangkan semangat pihak yang mahu melakukan perubahan dan keyakinan mereka telah bertambah berganda-ganda dan semangat ini lah yang akan membakar semangat rakyat untuk melakukan perubahan dengan sukarela dan dengan komitmen yang tinggi.

Selalunya pihak yang mempunyai semangat sebeginilah yang akan menempa kejayaan, insyaallah. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Ahad, 13 Januari 2013

Masya Allah! Perhimpunan apakah ini?

Masya Allah! Perhimpunan apakah ini?

http://cikgupj.blogspot.com, 12 Jan 2013





















Perhimpunan apakah ini? Malangnya, ramai orang kampung tak tahu...

HKR yang memeningkan kepala media PB

HKR yang memeningkan kepala media PB

http://msomelayu.blogspot.com, 12 Jan 2013
CATATAN DAN PERISTIWA
Saat ini sudah tentu bilik berita beberapa agensi berita PB kalut dan para wartawannya sibuk sedang menyiapkan berita atau laporan mengenai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang baru berakhir sekejap tadi untuk disiarkan malam atau pagi esok.

Nik Aziz berdoa menutup himpunan.
Sudah tentu ada wartawan yang tergaru-garu kepala untuk membuat intro berita masing-masing mencari sudut atau angle mana yang hendak diambil agar ia menarik dan menyeronokkan hati taukeh mereka dan dalam masa sama menyakiti hati penyokong Pakatan Rakyat.

Yang penting juga berita itu nanti memberi damage kepada Pakatan Rakyat dan biarlah kalau boleh rakyat membenci Pakatan Rakyat. Kalau perlu direka, mereka perlu merekanya sebaik mungkin kandati najisnya 'berbolot sampai ke atas belakang. Itu tidak menjadi masalah, dalam dunia media massa di negara ini soal kebenaran, sumber yang sahih dan kod etika itu tidak penting itu adalah perkara nombor dua.


Sekumpulan peserta berbaju "R" juga berjalan sopan.
Berjalan melenggang sambil membawa sepandu tanpa gangguan.
Jamil pun boleh bawa beruknya dengan rileks.
Sesekali helikopter sesekali meraung di langit.
Sebahagian dari 160,000 berada di stadium.
Terpaksa rukas bukit kerana stadium sudah penuh.
Pemandangan dari satu sudut dalam stadium.
Ada peserta mengelap air mata kerana sebak dan terharu.
Anwar mengangkat tangan kepada peserta yang tak dapat masuk.
Pandangan dari sudut tengah. Padat.
Berdiri atas pagar, di dalam sudah penuh.
Sudah keletihan golongan veteran ini.
Berita bohong atau pun kurang tepat isinya tidak mengapa janji ia menyeronokkan pihak tertentu mendengarnya. Begitulah yang diajarkan oleh kerajaan hari ini terhadap dunia media massa negara ini. Maruah atau laporan beberapa media massa di negara ini tidak lagi mempedulikan soal moral dan integriti.

Soal kebenaran dan kejujuran di dalam laporan tidak perlu difikirkan. Yang penting ialah mereka harus mengambil angle yang boleh memberi damage kepada Pakatan Rakyat.

Boleh jadi juga sudah ada wartawan berkali-kali menulis dan menyiapkan berita tetapi ditolak oleh pengarang berita kerana ia tidak sesuai dan memuaskan hati mereka (editor) tatakala membacanya kerana tidak membawa roh dan aspirasi taukeh mereka yang tutup mangkuk najisnya mereka tutup.

Perkara paling dipertikaikan mungkin mengenai angka kehadiran dalam himpunan berkenaan. Mungkin ada wartawan yang melapor dan menulis angka yang munasabah sekitar lebih 100,000. Tetapi sudah tentu juga angka itu ditakuti oleh editor yang sedia menjadi hamba dan pengkhinatan kepada maruah kewartawanan maka ia perlu diperkecilkan.

Sebagai wartawan saya dapat mengagak apa yang akan dihighlightkan oleh media PB mengenai himpunan sekejap tadi. Pertamanya mengenai angka, dan kedua mengenai suasana himpunan berkenaan dan juga impaknya kepada UBN. Mereka akan tulis angka yang diluar logik manusia yang waras manakala akan melaporkan himpun itu kurang berjaya dan tidak bersemangat - UBN dan pemimpinnya tidak perlu gusar.

Kalau sebelum ini mereka akan mengangkat kejadian buruk, provokasi dan sebagainya, tetapi kerana kejadian itu tidak berlaku menyebabkan mereka kehilangan modal untuk dikarai dan dibohongkan kepada rakyat. Di sepanjang himpunan tadi yang bermula sejak malam tadi hingga berakhir petang ini tidak ada satu pun kejadian buruk dilaporkan berlaku. Usahkan setitik darah gugur ke bumi seperti selalu, sebutir kelongsong peluru asap pun tidak jatuh ke bumi.

Bukan saja topi polis terjatuh, kepala peserta juga tidak bengkak dengan paluan cota dan handasan tapak senapang seperti di himpunan atau demonstrasi sebelum ini.

Apabila sesuatu yang diharapkan itu tidak berlaku wartawanlah yang menjadi mangsa. Wartawanlah yang akan disuruh mereka-reka dan mengarang berita karut. Mana-mana wartawan yang beriman dan menghormati kod etika dan maruah kewartawanan akan merasa kekok dan berada dalam keadaan dilema. Ketika ini juga timbul perasaan ingin bertukar kerja di syarikat lain ataupun meninggalkan dunia kewartawanan yang zalim kerana menjadi PB kerajaan.

Ini beberapa intro yang mungkin boleh membantu para wartawan yang kini sedang kalut untuk menyiapkan berita yang tidak benar itu tetapi demi menyeronokkan hati tuan masing-masing. Mungkin mereka boleh menggunakan intro di bawah ini;

KUALA LUMPUR: Himpunan Shamsidar anjuran Pakatan Rakyat yang mensasarkan 1 juta rakyat hari ini gagal apabila hanya kira-kira 15,000 saja yang hadir. Stadium Merdeka yang boleh memuatkan penonton 30,000 masih kelihatan lompong di mana-mana.

Kebanyakan yang hadir juga mereka yang diimport dari negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu. Kanak-kanak bawah umur juga turut sama hadir. Difahamkan setiap yang hadir menerima upahan di antara RM200 hingga RM350.

Seorang peserta yang tidak mahu disebutkan namanya mengakui beliau mendapat wang RM400 daripada seorang pemimpin Pakatan Rakyat di Kelantan untuk membawa 20 hingga 30 orang peserta.


atau pun begini;

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat yang mahu menjadikan himpunan di stadium Merdeka sebagai momentum menghadapi pilihan raya dan menunjukkan kekuatan mereka petang ini kecewa kerana jumlah yang hadir tidak mencecah angka yang mereka ingin. Himpunan dikenali dengan 'Perhimpunan Shamsidar' itu mensasarkan 1 juta hadirin tetapi yang hadir sdekitar 5,000 sahaja.

Kehadiran yang jauh dari sasaran itu mengecewakan. Gara-gara itu Anwar yang selalu berucap memakan masa lebih satu jam hanya meringkaskan ucapan sekitar 23 minit saja.

atau pun begini;

KUALA LUMPUR: Pihak penganjur himpunan Shahsidar hari ini gagal memenuhi syarat-syarat berhimpun yang diberikan kepada mereka. Apa paling jelas penggunaan kanak-kanak kecil yang boleh mendatang kemudaratan kepada mereka masih berlaku.

Kegagalan ini menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak menghormati undang-undang dan suka melaklukan masalah kepada orang ramai.

Kegagalan mematuhui syarat berhimpun itu juga membuktikan pakatan itu tidak mampu untuk mentadbir negara ini kerana untuk menguruskan peserta seramai 20,000 pun tidak mampu.

Atau pun mungkin ada intro lain lagi.  Tetapi yang pastinya intro atau angle yang dihighlightkan dari sudut negatif buat Pakatan Rakyat. Manakala editor juga akan memilih gambar atau mengedit gambar untuk menggambarkan sambutan itu tidak mendapat sambutan.

Itulah apa yang mungkin dilakukan oleh media massa terhadap himpunan kebangkitan rakyat tadi. Apabila himpunan itu berjalan lancar dan aman menyebabkan mereka terpaksa mereka cerita untuk menimbulkan kemarahan rakyat. Mereka menjadi hilang akal untuk melakukan kejahatan dan menipu rakyat.

Perhimpunan tadi mencatat sejarah buat negara ini kerana ia berjalan lancar, aman dan penuh harmonis. Himpunan yang dihadiri lebih 150,000 itu tidak mendatangkan apa-apa masalah seperti mana dibayangkan sebelum ini. Apa yang berlaku tadi menjelaskan bahawa sekiranya himpunan awam anjuran pembangkang begitu jika tidak diganggu ia akan berjalan dengan baik. Himpunan berlangsung selama kira-kira 4 jam tadi juga menyenangkan pihak polis.

Apa yang berlaku hari ini menjawab persoalan yang di'tabuh' selama ini siapa yang menjadi dalang berada di sebalik kekecohan dan kekecauan dalam setiap himpunan membabitkan PR sebelum ini.
Apa yang berlaku hari ini memberi moral dan kualiti kepada PR. Rakyat menilai sendiri akan kemampuan dan juga kejujuran Pakatan Rakyat yang menuntut hak-hak rakyat menerusi demokrasi.

Mungkin dari jumlah kehadiran yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Tetapi pihak PR perlu merasa berpuas hati kerana dapat mewujudkan sebuah himpunan yang harmoni yang sekaligus menunjukkan integriti dan keikhlasan PR.

Sepanjang himpunan tadi orang ramai memberi kerjasama baik dan benar-benar menjaga adat dan juga alam sekitar. Setiap arahanh spontan yang dibuat diikuti dengan baik. Contohnya pengerusi meminta agar trompik tidak dibunyikkan semasa pidato, semua mematuhi. Satu ketika keadaan riuh dengan trompik tetapi setelah 'dilarang' ia kemudian menjadi senyap sunyi.

Begitu juga dengan kebersihan alam sekitar. Semua sampah atau bekas makanan dan minum diletakkan di satu tempat. Ada pula pertugas khas yang membawa plastik menghampiri orang ramai bagi memudahkan sampah dimasukkan. Suasana begini tidak wujud pada mana-mana himpunan dan keramaian UBN di mana tanggungjawab menjaga dan mengawal kebersihan tersangkut di bahu petugas PBT atau pihak penguasa sepenuhnya.

Mungkin pihak UBN tidak perlu risau dengan jumlah kehadiran kerana ia tidak mencecah sejuta. Tetapi melihat kepada semangat, displin yang ditunjukkan himpunan tadi boleh menjadi gambaran awal akan kesungguhan rakyat berbilang kaum bernaung di bawah PR untuk menumbangkan UBN. Dalam anggaran saya jumlah tadi sekitar 160,000 termasuk yang terkandas di Bukit Bintang atau pun mereka yang tidak sempat berhimpun dan memasuki stadium. Sekiranya setiap mereka mewakili tiga orang pengundi ini bermakna kekuatan himpunan itu ialah sebanyak 480,000 iaini hampir setengah juta.

Berada di stadium menyaksikan puluhan ribuan manusia dengan pelbagai warna utama; kuning, hijau, oren dan merah, yang mewarnai stadium tadi telah memberi gambaran kepelbagaian warna kulit, anutan agama dan ideologi politik boleh bersatu atas semangat untuk menumbangkang UBN. Sorakan dan tepukan bersemangat yang berkumandang dan menyelinap ke dalam telinga menjadi darah menyirap kebanggaan.

Gerakan ombak yang dilakukan oleh orang ramai menunjukkan mereka cukup understanding dan sepakat untuk membawa pembaharuan politik negara ini. Rangkaian ombak manusia beralun-alun itu menggambarkan mereka sudah sedia untuk menenggelamkan Umno.

Semua pimpinan utama Pakatan Rakyat hadir dan memberi ucapan. Sebelum itu sebanyak 15 wakil-wakil NGO berucap barang seminit dua untuk menyatakan tuntutan dan juga memberi suntikan semangat dan komitmen bagi menumbangkan UBN. Pemimpin utama yang berucap Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng manakala Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat menutup himpunan dengan doa.

Semua yang hadir mengaminkan doa Tokguruku itu tidak kira bangsa. Menitis air mata tatkala melihat seorang pemuda Cina bersama pasangannya merautkan tangannya ke muka setelah doa habis dibaca seperti mana dilakukan umat Islam.

Apa yang berlaku hari ini boleh disimpulkan ia memberi keyakinan perpaduan dan nekad Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya tidak tergugat sedikit pun walaup pakatan itu diserang dan cuba dipecahkan oleh UBN dengan berbagai cara. Seolah makin ia diserang dan difitnah, ikatan dan jabat salam sesama mereka makin erat. Seakan mereka sudah berjanji sehidup semati, akan bersama selagi UBN tidak hancur.

Seharusnya UBN khasnya Najib Razak kena membuat post mortem himpunan hari ini sebaik mungkin sama ada hendak bubar Parlimen hujung Januari ini ataupun merapatkan pilihan raya hingga ke akhir April. [wm.kl.7:02 pm 12/01/13]