Selasa, 25 Disember 2012

Projek tanah Upayapadu: Umno diminta tanya Awang Adek

Projek tanah Upayapadu: Umno diminta tanya Awang Adek

Harakahdaily, 25 Dis 2012
KOTA BHARU: Beberapa badan bukan kerajaan dan Umno diminta bertanya kepada bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia, Datuk Dr Awang Adek bin Hussin berkaitan pembangunan tanah di Gua Musang.

Ini kerana, beliau yang menandatangani surat sokongan agar projek membabitkan Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan  Upayapadu Plantation Sdn Bhd dilaksanakan.

Demikian kata Ustaz Fadli Shaari (gambar), Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataannya hari ini.

Surat yang ditandatangani oleh Awang Adek adalah kedua selepas surat pertama dari Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui kepada Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005.

Penjelasan Fadli ini merujuk kepada beberapa laporan akhbar yang masih lagi memainkan isu berkenaan sekeping tanah seluas tanah 10,526 hektar milik kerajaan negeri Kelantan yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak agar mereka sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada PAS selepas pilihanraya umum 2008.


(Surat Awang Adek dan Peter Chin yang menyokong projek)

Sekalipun penjelasan telah diberikan panjang lebar dalam kenyataan sebelum ini, tetapi kelihatan pemimpin UMNO bersama beberapa NGO pro UMNO masih belum faham atau 'berpura-pura untuk tidak faham'.

Hari ini, 25 Disember 2012, dilaporkan di dada-dada akhbar desakan NGO Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wira PERKASA dan Pertubuhan Minda Orang Muda (MOM) agar penjelasan dibuat oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

Begitu juga akhbar semalam 24 Disember 2012 di mana Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Haji Mohd Fatmi Haji Che Salleh juga turut mengeluarkan kenyataan yang sama nadanya.

"Kenyataan-kenyataan ini seolah-olah ingin menyebut bahawa projek yang dilaksanakan oleh syarikat ini ialah rahsia sehingga ia terdedah dengan laporan blog pisau.net," katanya.

Menurut beliau, ia bukan projek rahsia kerana telah dimaklumkan kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Surat kelulusan pula telah dihantar kepada pihak Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005 dan ditandatangani sendiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui.

"Salinan surat-surat tersebut saya kepilkan bersama untuk rujukan," kata Fadli dalam kenyataannya.

Justeru, katanya, beliau meminta semua pihak di Kelantan terutama pemimpin UMNO dan NGO-NGO boleh bertanya terus kepada Dato Dr Awang Adek berkenaan isu ini.

Menyentuh kenyataan Pengerusi OMBAK agar YAB Tuan Guru Menteri Besar mendakwa blogger pisau.net jika benar ia merupakan satu fitnah, Fadli menulis, "saya kira OMBAK boleh bersabar."

"Mana tau, jika nasib baik, OMBAK pun boleh dimasukkan bersama dalam senarai defendan nanti," katanya berikutan cadangan Menteri Besar Kelantan agar pihak yang memfitnahnya sebelum ini disaman.

Dalam masa 2 jam, 60 rumah ditenggelami banjir

Dalam masa 2 jam, 60 rumah ditenggelami banjir

Helmi Ibrahim, 25 Dis 2012

(Skuad Banjir PAS Indera Mahkota yang diketuai Ustaz Fadhil Nor [berkopiah] membawa mangsa banjir yang lumpuh di Bukit Pelindung ke tempat selamat)

KUANTAN: Dalam tempoh 2 jam saja hampir 60 buah rumah di tenggelami banjir kilat beserta lumpur yang terburuk dalam sejarah taman yang terletak di kawasan Bukit Pelindung, Beserah dekat sini.

Hujan lebat bermula sebelumnya membuatkan semua penduduk di situ berada dalam keadaan resah memikirkan keselamatan harta benda dan keluarga memandangkan banjir di perumahan tersebut seolah-olah ‘acara wajib’ tahunan.

Pada sekitar jam 7 pagi air mulai naik selepas hujan lebat seketika namun ianya surut segera sebaik hujan reda.

(Taman perumahan Bukit Pelindung ditenggelami banjir lumpur)


Namun pada jam 10 pagi hujan mulai lebat dan dalam tempoh yang singkat, kawasan tersebut bertukar menjadi lautan lumpur di sertai arus yang laju memusnahkan banyak harta benda penduduk.

Kekecewaan penduduk jelas terpampar di wajah mereka lantaran masalah ini telah berlarutan bertahun-tahun lamanya dan pelbagai laporan dan sidang media telah di buat namun tiada perubahan yang di buat oleh pihak berwajib.

Seorang wakil penduduk yang di temui berkata mereka memang teramat kecewa dengan sikap yang di tunjukkan oleh pihak agensi yang terbabit dalam menangani isu ini.

Justeru beliau mengharapkan agar Pakatan Rakyat dapat memainkan peranan menekan pihak kerajaan untuk menyelesaikan segera masalah mereka ini walaupun terpaksa meminta campurtangan pihak istana.


(Jalan Pelindung Perdana menjadi kawasan perdana dilanda banjir kilat)

Mengulas isu berkenaan, Timbalan Pengarah Skuad Banjir PAS Indera Mahkota, Encik Mahmud Yaakub menyatakan rasa simpati yang mendalam terhadap kesulitan yang di alami oleh penduduk Taman Pelindung Perdana yang sehingga kini tidak di pedulikan oleh kerajaan BN.
Pihak kami secara konsisten memantau keadaan di sini bermula malam sebelumnya dan pada pagi kejadian dan bertindak semaksimum mungkin dalam membantu penduduk serta menghubungi pihak berwajib.

"Sepatutnya jika pihak kerajaan prihatin sudah tentu ada pemantau dari agensi terlibat berada di sekitar kawasan ini bukan hanya bertindak selepas air surut,” katanya kesal.


(Pasukan Unit Amal bermesyuarat sebelum turun membantu mangsa banjir)

Selain skuad banjir, Unit Amal menjadi tenaga penting dalam menghadapi banjir kali ini.

Mereka bersedia dan mengadakan perbincangan bagaimana mahu membantu mangsa banjir.

Banjir terburuk di Kuantan dalam sejarah

Banjir terburuk di Kuantan dalam sejarah

Harakahdaily, 24 Dis 2012

(Sebelah Berjaya Mega Mall)

KUANTAN: Hujan lebat lebih daripada 10 jam telah menyebabkan bandar Kuantan dilanda banjir terburuk dalam sejarah hari ini.

Pelbagai gambar yang memperlihatkan jalan-jalan utama dan kenderaan ditenggelami air sedang hangat dikongsikan di laman sosial media.

(Kawasan terminal bas Kuantan penuh dengan air)

Antara jalan yang ditenggalami air ialah Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Pasar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Mahkota, Jalan Abd Aziz, Jalan Air Putih, Jalan Haji Ahmad dan Jalan Beserah.

Ombar di Laut China Selatan dilaporkan mencecah 4 meter berdasarkan pengamatan seorang nelayan di Balok yang dihubungi Harakahdaily.

Kawasan-kawasan popular seperti Berjaya Megamall, Sri Dagangan, East Coast Mall and Zenith Hotel diselubungi air dengan kenderaan dilihat di bawah air setinggi paras pinggan.

Bekas Pengerusi NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) Ismail Nihat yang menetap di Taman Tas memberitahu Harakahdaily hujan lebat bermula 2 pagi semalam sehingga tengahari tadi sebelum beransur menjadi gerimis.


(Suasana cemas di bawah sebuah hotel 5 bintang di Kuantan)

“Saya menelefon staf saya di pejabat (Jalan Darat Makbar), mereka memberitahu saya seluruh kawasan sekitar pejabat banjir dan menasihatkan saya agar tinggal di rumah,” katanya.

Hujan, katanya, baru berhenti ketika waktu Isyak, tapi langit masih mendung dikhuatiri akan hujan semula.

Ada laporan berkata banjir kilat di Kuantan kali ini mungkin disebabkan hujan lebat yang bertembung dengan air pasang di laut.

Ismail yang kini berusia 61 tahun berkata ini adalah banjir terburuk di bandar Kuantan setakat ini.

“Banjir besar di tahun 1971 pun bandar Kuantan tak seteruk macam ini,” katanya.


(Jalan Wong Ah Jang di tengah bandar Kuantan)

Seorang lagi penduduk di Semambu, Steven Say berkata beliau dimaklumkan jirannya dalam keadaan cemas kerana air banjir sudah melalui ruang tamu rumah.

“Saya berada di KL. Jiran saya menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan. Jiran saya suruh jangan balik sebab seluruh kawasan perumahan (di Taman Tunas Jaya) ditenggelami air. Ini yang terburuk selama 20 tahun kami tinggal di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang membuat tinjauan daripada udara  untuk melihat  keadaan banjir kilat yang melanda Kuantan.

Beliau menyeru kerajaan Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengkaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan dan perumahan di bandar Kuantan.


(Suasana di tengah pusat bandar)

Kata baginda, banjir kilat bukan disebabkan oleh paras air sungai yang meningkat atau sistem perparitan yang tersumbat tapi banyak parit dan longkang yang terlampau sempit menyebabkan air tidak boleh keluar.

PAS Pahang dan Unit Amal turut telah turun ke padang untuk membantu penduduk. Bagi yang memerlukan bantuan, boleh hubungi PAS Pahang : Sharudin 0139191721 Fadli 0199111163.

Isnin, 24 Disember 2012

Pengesahan SPRM untuk calon PM

Pengesahan SPRM untuk calon PM

Syahir Sulaiman, 24 Dis 2012




Pengumuman oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, bahawa semua calon pilihanraya Barisan Nasional perlu ditapis oleh SPRM disambut dingin di kalangan kebanyakan ahli partinya sendiri.

Pengumuman tersebut dilihat sebagai respon kepada cadangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah supaya setiap parti politik yang bertanding perlu menyerahkan senarai calon untuk dinilai oleh SPRM.

Apa yang saya setuju


Saya bersetuju secara prinsip bahawa setiap calon yang bertanding pada pilihanraya ke-13 yang digelar sebagai ‘mother-of-all election’ ini, terdiri daripada lelaki dan wanita yang beramanah, penuh integriti dan kompetensi.

Ini kerana kekayaan dan khazanah negara dan negeri yang akan diamanahkan pada tiap ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri adalah amat tinggi nilainya, dan dalam banyak keadaan ianya boleh menggelapkan mata si pemegang amanah tersebut.

Apa yang saya tidak setuju

SPRM tidak perlu dilibatkan dalam proses pra-penilaian ini.

Pertama, SPRM tidak diberikan tauliah dan kuasa untuk menilai calon-calon pilihanraya. Apa yang mereka boleh lakukan adalah untuk menyiasat dan mendakwa dengan bukti yang kukuh terhadap manamana pihak yang terlibat dengan kesalahan yang boleh dihukum di bawah bidangkuasa SPRM.

Timbul persoalan kelak tentang apakah tindakan yang akan diambil oleh SPRM terhadap calon-calon yang mereka telah sahkan terlebih awal sebelum pilihanraya sebagai ‘bersih’, namun selepas itu, mereka menerima bukti kukuh untuk disabitkan dengan kesalahan di bawah akta pencegahan rasuah yang berkaitan.

Kedua, laporan SPRM ini nanti, pastinya mengandungi ayat penafian (disclaimer) yang berbunyi, “Laporan penilaian ini disediakan berasaskan makluman yang dibekalkan oleh pihak calon, sehingga tarikh laporan ini. SPRM tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan dan kesilapan dalam menjalankan prosedur penilaian ini”.

Timbul persoalan tentang kualiti laporan tersebut, samada ianya cukup komprehensif untuk menilai setiap sumber pendapatan dan harta yang terkumpul oleh pihak calon tersebut.

Ketiga, SPRM perlu selesaikan kes-kes tertunggak yang bertimbun, bukan sekadar mendakwa ‘ikan bilis’, tetapi perlu komited untuk mendakwa ‘si jerung’ dan ‘syaitan-syaitan yang dikenali’ daripada terus bermaharajalela.


Apa yang perlu dilakukan


Nilai kebertanggungjawaban terpikul di bahu pihak calon itu sendiri.

Tiap calon perlu membuat pengisytiharan harta secara sukarela untuk rakyat mengukur dan menilai tahap kekayaan yang dikumpul oleh mereka, sebelum dan selepas menjawat jawatan.

Sudah tiba masanya untuk budaya politik baru di Malaysia. Calon-calon bukan sekadar mengisytiharkan janji dan manifesto, tetapi turut mengisytiharkan harta mereka. Tiada alasan untuk mengelak daripada tindakan ini. Seorang yang beramanah dan berintegriti tidak perlu takut pada cadangan ini.

Hanya yang sebaliknya, takut untuk menyahut cabaran ini. Untuk rekod, semua EXCO Pemuda PAS, telah mengisytiharkan harta mereka secara sukarela pada muktamar tahunan baru-baru ini. Walaupun bukan semua akan bertanding, ini adalah satu langkah pencegahan awal agar budaya rasuah tidak menyelinap masuk sesama ahli PAS yang kelak bakal menjadi parti terpenting dalam pakatan kerajaan memerintah.

Ternanti respon daripada Pemuda Umno? Jauh panggang dari api. Apapun, rakyat pasti teruja untuk melihat Datuk Seri Najib menunjukkan tauladan dengan membenarkan SPRM bebas menilai harta-harta yang dikumpul oleh beliau dan Datin Seri Rosmah, untuk dinilai dan diukur oleh rakyat jelata. Integriti berkait rapat dengan tindakan, bukan sekadar ucapan.

Secara peribadi, saya lebih bersetuju untuk pihak SPRM menilai calon-calon untuk jawatan perdana menteri. Itu yang lebih utama. Apa pandangan anda? Ucapan adalah murah, tindakan adalah berharga.



*Penulis adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM. Beliau mendokong agenda Mencorak Masa Depan berdasarkan gagasan Membangun Negara Berkebajikan.
Terjemahan daripada tulisan asal di dalam Bahasa Inggeris. 24 Disember 2012

Ranking Wikipedia - Bekas PM Malaysia bukan lagi kedua terkaya

Ranking Wikipedia - Bekas PM Malaysia bukan lagi kedua terkaya

http://wasukalu.blogspot.com, 24 Dis 2012


Ranking bagi bekas pemimpin kerajaan yang terkaya di dunia telah berubah. Bekas perdana menteri Malaysia tidak lagi menduduki tempat kedua tetapi Hosni Mubarak iaitu bekas President Mesir.

Tempat ketiga diduduki oleh Suharto (indonesia) dan diikuti oleh Ferdinand Marcos (Filipina). Untuk mengetahui kedudukan kekayaan bekas perdana menteri Malaysia sila ke  wikipedia

Ahad, 23 Disember 2012

Isunya sekarang ni berapa lama Umno BN patut dihukum?

Isunya sekarang ni berapa lama Umno BN patut dihukum?

http://cenangau.blogspot.com, 23 Dis 2012
Walaupun semua isu-isu lampau tu berlaku sebelum tahun 2008, sangat-sangat wajar Pakatan Rakyat membangkitkan isu-isu tu supaya rakyat bukan saja di Selangor tapi juga di Penang dan Kedah supaya rakyat di negeri-negeri tu menghukum Umno BN dihukum lebih lama macam di Kelantan.
Kelmarin Malaysiakini ada melaporkan:
Penyelaras BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menggesa DAP agar tidak mengungkit isu-isu lampau berkaitan pentadbiran BN di Selangor sebelum tahun 2008.

"Mengapa (DAP) perlu mengungkit semua isu ini? Segala yang silap berlaku sebelum 2008.

"Kami (BN) berhadapan pelbagai isu dan ya, rakyat telah menghukum kami pada tahun 2008, PM juga telah mengaku silap dan kami juga mengaku kelemahan dan memohon maaf," katanya. - Mkini.

Terima kasih untuk Mohd Zin pasai mengaku Umno BN memang perompak hak rakyat. Dan secara tak langsung mengaku rakyat memang patut menghukum Umno atas dosa merompak hak rakyat.

Jadinya rakyat negeri-negeri lain macam Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak jugak patut bersama rakyat Selangor, Penang, Kedah dan Kelantan menghukum Umno BN di negeri masing-masing.

Pasainya Umno BN di Selangor lebih kurang sama ja macam Umno di negeri-negeri lain, memang jenis merompak duit rakyat.

Takkan kut rakyat di 7 negeri lain tu bangang sangat tak nampak dan tak sedar yang pemimpin Umno BN di negeri depa jugak merompak harta rakyat.

Walaupun semua isu-isu lampau tu berlaku sebelum tahun 2008, sangat-sangat wajar Pakatan Rakyat membangkitkan isu-isu tu supaya rakyat bukan saja di Selangor tapi juga di Penang dan Kedah supaya rakyat di negeri-negeri tu menghukum Umno BN dihukum lebih lama macam di Kelantan.

Dan yang paling cantiknya rakyat perlu menghukum Umno BN bukan setakat di peringkat negeri tetapi jugak di peringkat persekutuan.

Kekayaan milik Dr. Mahathir membuktikan memang pemimpin Umno BN merompak duit rakyat macam bukti kat bawah ni.

Semua pemimpin lain yang berdosa dihukum rakyat tapi Dr. Mahathir belum sempat dihukum



Mulut celupar: Muhyiddin wajar cermin diri

Mulut celupar: Muhyiddin wajar cermin diri

Harakahdaily, 23 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai ‘bermulut celupar’ kerana mengatakan bahawa orang Melayu yang menyokong Umno adalah mungkar.


“DPPNK melihat kenyataan terbaru Muhyddin ini sebagai satu kenyataan yang melampau dan tidak berasas.

Ia dihamburkan semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dilontarkan oleh Menteri Besar Kelantan itu,” kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar) dalam satu kenyataan.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai ‘bermulut celupar’ kerana mengatakan bahawa orang Melayu yang menyokong UMNO adalah mungkar.

Kenyataan Muhyiddin tersebut disiarkan oleh beberapa akhbar termasuk Berita Harian dan Sinar Harian hari ini 23 Disember 2012.

DPPNK melihat kenyataan terbaru Muhyddin ini sebagai satu kenyataan yang melampau dan tidak berasas. Ia dihamburkan semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dilontarkan oleh Menteri Besar Kelantan itu.

Apa yang patut difahami oleh Muhyiddin ialah kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bermaksud perjuangan UMNO yang berterusan menentang PAS khususnya di Kelantan dan berusaha menjatuhkan kerajaan Kelantan yang jelas melaksanakan dasar-dasar pentadbiran Islam adalah satu perbuatan yang mungkar.

Ini kerana jika PAS diganti dengan UMNO di Kelantan, sudah pasti dasar-dasar mesra syariat yang diperkenalkan di Kelantan akan dirombak semula dan Kelantan akan kembali ditadbir sebagaimana negeri-negeri lain di bawah pentadbiran UMNO/Barisan Nasional.

Ini belum mengambil kira budaya rasuah dan pecah amanah yang sudah mendarah daging di dalam perjuangan UMNO. Justeru, meletakkan parti sebegini sebagai pemerintah adalah merugikan negara dan jelas merupakan perkara mungkar.

DPPNK menyeru Muhyiddin agar bercermin diri terlebih dahulu sebelum melabelkan pihak lain sebagai celupar. DPPNK ingin mengingatkan Muhyiddin keceluparannya sendiri ketika berkempen di Pilihanraya Kecil DUN Tenang pada 22 Januari 2011 yang memberikan amaran kepada MCA tentang ‘negara Islam yang menjadi matlamat PAS’. Bahkan Muhyddin menyokong tindakan MCA yang memainkan isu negara Islam atas asas ‘untuk mengingatkan masyarakat Cina’. Kenyataannya ini direkodkan sendiri oleh Jabatan Penerangan Malaysia dan jika Muhyddin lupa, beliau boleh merujuk kepada pautan berikut : (http://eakhbar.penerangan.gov.my/eakhbar/berita/cetakberita.php?idk=346444)

Untuk lebih jelas, DPPNK menukilkan kembali sebahagian daripada petikan yang terdapat di dalam kenyataan penuh beliau, “Since years ago, PAS has never said it will amend the party constitution, the establishment of an Islamic State is still there..” (Sejak dulu, PAS tidak pernah berkata ia akan meminda perlembagaan parti, cita-cita untuk menubuhkan Negara Islam tetap masih ada..")

Apakah matlamat daripada kenyataan Muhyiddin di hadapan pemimpin MCA ini jika tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina tentang negara Islam? Dalam masa yang sama, Muhyiddin di ucapan pembukaaan Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO yang lalu melabelkan PAS sebagai ‘Lebai Malang’ kerana kononnya terpaksa menggadaikan prinsip negara Islam. Inilah lidah bercabang yang dimiliki oleh Muhyiddin yang wajib diketahui oleh orang Melayu Islam keseluruhannya. Sifat hipokrit inilah yang menjadi senjata UMNO sekian lama untuk meraih sokongan orang-orang Melayu.

Merujuk kepada kenyataan Al-Mursyidul Am PAS yang menyebut perkataan ‘mungkar’ dan didakwa oleh Muhyddin sebagai fatwa, bagaimana pula dengan kenyataan ulama muktabar UMNO di Kelantan, Abdullah Saamah yang mengeluarkan fatwa bahawa berdosa menyokong PAS? Kenyataan ini disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 21 Februari 2012. Ini belum mengambil kira kenyataan Menteri Besar Terengganu yang melabel PAS sebagai ‘parti ajaran sesat’. Tidakkah ini juga boleh disebut sebagai ‘fatwa’ pemimpin Barisan Nasional?

Justeru, dalam hal ini DPPNK menyeru Muhyddin sekali lagi agar berfikir terlebih dahulu sebelum melontarkan kata-kata. Perlu diingatkan bahawa sejarah politik Malaysia menyaksikan tidak semestinya seorang Timbalan Perdana Menteri akan menjadi Perdana Menteri. Cita-cita Muhyiddin barangkali tinggi melangit, tetapi nasib jatuh bangun kerajaan Barisan Nasional masih belum diketahui.