Minggu
ini saya kembali ke Oxford, United Kingdom setelah beberapa minggu
berada di Malaysia. Di samping menyambut kedatangan ‘puteri baru’,
banyak juga aktiviti yang sempat saya sertai.
Bahang pilihan
raya semakin kuat sehingga segala perkara berbau politik. Semasa seminar
Islam dan Eropah di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), baru-baru
ini, pengarahnya Dr Farhan Nizami bersembang dengan kami. Beliau
memberi pandangannya tentang Malaysia.
Katanya, betapa beliau
tidak menyangka bahawa bangsa Melayu yang kelihatan sopan santun itu
apabila tiba kepada bab politik, mereka berpolitik habis-habisan. Saya
senyum sahaja mendengar ulasannya.
Berkaitan
fenomena pilihan raya juga, beberapa hari lalu saya menerima begitu
banyak soalan berhubung dengan kenyataan “Raja adalah bayangan Allah di
bumi”.
Hadis ini katanya telah diwar-warkan oleh pihak tertentu dalam menjustifikasikan perjuangan tertentu.
Saya
dengar ada yang lebih lantang lagi dengan menyebut lafaz asal hadis itu
– “al-Sultan adalah bayangan Allah di bumi – bagi merujuk sultan
pilihannya. Ada pula yang seakan ingin menyuburkan feudalisme Melayu
dengan hadis tersebut.
Saya bergurau dengan sesetengah pihak yang
berminat menggunakan hadis itu dengan berkata: “Raja yang menjadi
bayangan Allah itu Raja Jordan ke, atau Raja Saudi? Atau Raja Moroko?
Oleh kerana terlalu umum, apakah boleh juga digunakan oleh Raja Siam?
Sebenarnya,
perkataan yang digunakan dalam hadis ‘al-Sultan, bukan al-Malik (Raja).
Jika ia difaham secara bahasa Melayu, mungkin para sultan seperti
Sultan Qabos di Oman atau Sultan Brunei tergambar semasa membaca hadis
ini.
‘Negara Pasir Berdengung’Sudah pasti bukan Sultan Damsyik Jani dari ‘Negara Pasir Berdengung’ dalam filem Do Re Mi arahan allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Sebenarnya
hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang
sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan, ataupun
mungkin boleh mendekati sahih.
Antara lafaz yang palsu atau sekurang-kurang teramat daif (bermaksud):
“Al-Sultan
bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan
wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa,
wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu
keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati
Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam
neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia
tidak akan aman”. (Hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai ‘terlalu daif’ dalam Silsilah al-Daifah/ no 1664.)
Namun
secara kesimpulan penilaian hadis, setakat lafaz “al-Sultan bayangan
Allah di bumi” adalah sahih disebabkan pelbagai riwayat.
Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan, daif, sangat daif dan palsu.
Ada juga riwayat dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut (bermaksud):
“Al-Sultan
bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri
yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya.”Saya
bimbang menjelang musim berkempen ini akan ada yang menggunakan riwayat
yang daif ini untuk melarang orang tinggal di negeri-negeri yang tiada
sultan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Kemudian, di
negara Arab, hanyalah negara Oman yang boleh tinggal dalamnya sebab
masih ada Sultan Qabos. Selainnya sudah tiada sultan. Indonesia pun
tidak boleh tinggal dalamnya kerana sudah tiada sultan.
Hanya Brunei yang sesuai. Jangan sampai begitu pula tafsiran kita.
Apakah maksud al-Sultan?Perkataan
al-Sultan bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran ‘sultan’.
Jika tidak sudah pasti al-Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran
sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa.
Ertinya ia
merangkumi semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira
apa pun gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas
Rasulullah memakai gelaran ‘Khalifah Rasulillah’.
Kemudian
pada zaman ‘Umar mula diperkenalkan gelaran ‘Amir al-Mukminin. Selepas
itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan ‘Uthamaniyyah memakai
gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga yang
memakai al-Malik iaitu ‘raja’ dan sebagainya.
Maka hendaklah
jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri iaitu
mereka yang berkuasa memerintah. Jangan putarkan hadis untuk pemainan
politik.
Ertinya, secara literal dalam konteks Malaysia, perdana
menteri juga zhillu Allah ataupun bayangan Allah di bumi. Demikian
Presiden Mesir, Libya dan sebagainya.
Kini kita wajar bertanya
apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan
literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden
sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin
dijustifikasikan segala tindakannya.
Jika
mereka itu berjudi di London ini sehingga tergadai balak dan minyak di
negara mereka, apakah itu bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti
Assad di Syria, atau mereka rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat
jelata, apakah mereka tetap dimuliakan sebab mereka bayangan Allah?
Bayangan AllahJika
kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil.
Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud manusia mengganti
Allah di bumi.
Ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam al-Baidawi berkata:
“Khalifah
itu dari bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak
yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah
dalam ayat ini adalah Adam AS kerana beliau merupakan khalifah Allah di
bumiNya.“Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan
mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan
manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah
ke atas mereka.” (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64).
Makna
yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di
bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh dibahas dan
dipertikaikan. Sama sekali tidak!
Sebab
betapa ramai manusia ini yang Allah tabalkan menjadi khalifah telah
melakukan kerja yang sebaliknya. Apakah kita tetap mempertahankannya
atas nama khalifah Allah?
Justeru al-Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir maksud: “al-Sultan bayangan Allah di bumi”, beliau berkata:
“Kerana dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari”.
Ya! Demikianlah tugasan penguasa!
Kepentingan politikDalam
masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa berlebihan dalam
menggunakan agama untuk kepentingan politik telah mengorbankan agama itu
sendiri. Inilah yang berlaku di Barat yang diistilahkan sebagai
secularism ataupun lebih mudah difahami sebagai
a movement towards the separation of religion and government.
Walaupun
secularism
itu mempunyai akar yang lama sejak zaman Greek dan Roman tetapi di
Eropah ia subur dan diperjuangkan pada era Enlightenment akibat dari
kesedaran rakyat tentang betapa buruk peranan agama dalam politik. Saya
akan bahaskan nanti.
Islam memandu politik supaya harmoni dan
kudus. Islam bukan alat politik tetapi cahaya yang menerangi jalan
politik yang dibina atas maslahah rakyat.
Sultan
ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti yang
berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya, kerakusan
penguasa mencengkam rakyat dan dihalalkan atas nama Tuhan.
Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam, fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila menjadi khalifah:
"Wahai
manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu,
bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah
aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong
itu adalah khianat.“Orang yang lemah dalam kalangan
kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang
kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil
daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan
kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad,
melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan.“Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku." (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Inilah
insan yang paling faham maksud sultan itu bayangan Allah di bumi.
Jangan kita gadaikan Islam untuk suatu pentafsiran nas yang akhirnya
akan menimbulkan syak manusia terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis. Beliau kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.