Ahad, 15 September 2013

Aplikasi pintar IKIM.FM


SETELAH 12 tahun menerajui radio berkonsepkan Islam pertama negara, Institusi Kefahaman Islam Malaysia mengorak maju selangkah ke hadapan melancarkan aplikasi telefon pintar IKIM.FM.
Aplikasi telefon pintar IKIM.FM yang yang dimuat turun oleh para pengguna iOs (iPhone/iPad) dan Android adalah satu pembaharuan radio itu dalam menyebar syiar Islam di negara ini.
Menerusi perkembangan teknologi berkenaan, pengenalan aplikasi telefon pintar itu bakal memberikan satu lagi pembaharuan kepada para pendengar bukan dengan mendengar radio, tetapi boleh menonton saluran TV IKIM dan lain-lain lagi.
Yang menariknya, pencapaian berkenaan merupakan aplikasi sosial radio pertama dibangunkan di negara kita ini dengan para pengguna boleh berinteraksi sesama sendiri menerusi memberikan komentar dan maklum balas dalam setiap program disiarkan.
Berkonsepkan radio mendidik, menghibur jiwa dan bermaklumat serta bertemakan Pilihan Utama Anda, pencapaian itu bakal mendekatkan hati pendengar dengan pengisian yang disampaikan oleh IKIM.FM.
Untuk memuat turun aplikasi berkenaan, para pengguna boleh melakukan secara percuma di App Store atau Google Play dengan carian IKIMfm Radio.
Pelancaran produk terbaru oleh Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini membuktikan bahawa keluaran berkonsepkan Islam seperti radio IKIM.FM tidak ketinggalan dalam mempelopori arus perkembangan teknologi seperti mana stesen hiburan lain.
Jika sebelum ini, siaran IKIM.FM didengari melalui corong radio atau laman web, www.ikimfm.my, perkembangan terbaru itu bakal merancakkan persada seni dakwah khususnya menyebarkan hiburan nurani mendidik jiwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan