Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga Malaysia sekali lagi memberi jaminan majoriti pengguna biasa tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif elektrik bermula Januari tahun depan.

Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pelanggan) Bahagian Pengedaran Ir Kamaliah Abdul Kadir berkata rekod TNB menunjukkan 4.6 juta atau 70 peratus akaun pengguna akan tetap membayar harga lebih kurang sama dalam bil bulanan mereka.

Beliau berkata struktur domestik tarif TNB telah direka semula dengan mengecilkan 9 jalur kepada 5 jalur akaun. Perubahan ini adalah selaras dengan usaha berterusan TNB untuk meningkatkan reka bentuk tarif serta meringkaskan struktur tarif kepada pelanggan.

Beliau berkata, pengguna dengan jalur penggunaan bawah 300kWj atau yang membayar bil bulanan semasa antara RM3 hingga RM 77 tidak akan membayar lebih dari biasa kerana kenaikan tarif tidak mengenai akaun mereka.

Manakala mereka yang bawah jalur penggunaan antara 301-600kWh atau bil semasa antara RM77.40 hingga RM 198.80 hanya mengalami kenaikan antara RM0.12 hingga RM33 setiap bulan.

"Lagi banyak pakai elektrik, lagi tinggi kenaikan," kata beliau di Sesi Penerangan Penetapan Tarif Elektrik Di Semenanjung Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Kamaliah berkata pelarasan semula tarif elektrik turut mengambil kira impak kepada golongan peniaga dan komersial.

"Contohnya kedai runcit Panchu di Pulau Pinang. Panchu ada kedai dua tingkat dam tidak ada pendingin hawa dan buka dari 8 pagi hingga 9 malam. Sebelum ni dia bayar RM172 sebulan dengan penggunaan elektrik sebanyak 400kWj. Untuk bil sekarang, naik 9.9 peratus jadi RM189," katanya.

Tarif perindustrian khas disemak semula

Selain itu Kadar Tarif Perindustrian Khas (SIT) akan disemak semula pada 18.85 peratus selaras dengan usaha kerajaan pusat untuk mengurangkan secara berperingkat subsidi kepada pelanggan SIT.

Dengan langkah serampang dua mata ini, kata Kamaliah, pelanggan SIT mampu terus menikmati diskaun berbanding pengguna perindustrian biasa.

Malahan diskaun 10 peratus diteruskan kepada institusi pendidikan tinggi dan sekolah, rumah kebajikan berdaftar dengan kerajaan, rumah ibadat dan hospital.

Kamalah berkata TNB sejak 2009 turut mengecualikan sebarang bayaran kepada hampir sejuta pengguna domestik yang bil mereka di bawah RM20.

"Pada 2009, belanja subsidi ini ialah RM 116 juta, 2010 ialah RM 123 juta, 2011 RM 126 juta, 2012 RM 124 juta dan 2013 ialah RM 147 juta.

"Jadi kita tahu memang ada mereka yang dapat subsidi ini," kata beliau.

Pada 2 Disember lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili mengumumkan berkuat kuasa 1 Januari, purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan naik sebanyak 4.99 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj.

Tarif semasa sebanyak 33.54 sen/kWj.

Sebelum ini presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata tarif elektrik baharu itu sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk mengukuhkan fiskal dan perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara.