Selasa, 31 Januari 2012

PAS Kelantan imbau detik cemas 1978

PAS Kelantan imbau detik cemas 1978

Aslani M, 31 Jan 2012
KOTA BHARU, 31 Jan: Mungkin tidak ramai mengetahui detik kejatuhan kerajaan PAS Kelantan pada 1978 kerana pengisytiharan darurat ekoran krisis politik yang berlaku pada 1977.

Bermula dari situlah politik darurat dilakukan pemimpin Umno tanpa mengadakan rundingan dengan kerajaan PAS.

Ekoran itu pada 13 Disember 1977 PAS disingkirkan daripada BN kerana enggan mematuhi Whip BN mengenai penggunaan Akta Darurat di Kelantan.

Pemerintahan darurat di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) hanya ditarik balik pada 1 Januari 1978 dan pada 11 Mac 1978 kerajaan pusat mengisytiharkan pilihan raya negeri Kelantan.

Sebenarnya isu tersebut bermula lebih awal iaitu apabila Dato’ Asri Muda yang juga Yang Dipertua PAS ketika itu menerima pelawaan Tun Abdul Razak Hussin menyertai kerajaan campuran.

Ketika berada dalam kerajaan campuran, Umno menolak calon PAS dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, sebaliknya menerima Dato’ Mohamad Nasir.

Kelibat Mohamad yang dilihat lebih mengikut telunjuk Umno dan Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya mencetus undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, krisis terbabit menyebab berlaku perpecahan PAS.

Dan pada pilihan raya umum 1978 lahir pula Berjasa yang diketuai Mohamad dan bergabung dengan Umno (BN) menentang PAS. Bermula dari detik itulah kerajaan PAS Kelantan jatuh.

Oleh itu bagi mengenang semula detik-detik mendebarkan tersebut PAS Kelantan akan menganjurkan seminar Tiga Dekad Kebangkitan Semula PAS Kelantan (1978-2008) pada 10 Febuari ini.

Seminar tersebut akan diadakan di Pondok Pasir Tumbuh, tidak jauh dari bandar Kota Bharu.

Program bermula dengan kuliah perdana disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Empat kertas kerja juga dibentang pada seminar sehari tersebut. Anggota parlimen Pengkalan Chepa, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman membentang tajuk “Pengalaman Bersama BN dan Kekalahan Pada 1978”.

(ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Andai saya TPM, bagaimana selesai NFC?


Bagaimana selesai NFC?

Harakahdaily, 31 Jan 2012
Kesatuan Fikrah
Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, daripada yang veteran hingga pemuda dalam isu-isu hangat yang membelenggu negara kini.

Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, mewakili suara ulama ialah Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man manakala Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Soalan minggu ini:
Apakah pandangan anda tentang sikap perdana menteri dalam isu Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC)? Jika anda ialah Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, apakah cara terbaik untuk anda menyelesaikan kemelut NFC?


Mohamad Sabu:
Perdana Menteri  hanya bermain sentimen propaganda anti rasuah, akan tetapi, di sebalik dan benda yang sebenar, Perdana Menteri kita adalah ketua kepada pelindung rasuah. Maklumlah, beliau juga amat takut untuk bertindak kerana beliau sendiri diselubungi kes kapal selam dan Altantuya. Inilah yang orang kata, burung gagak sama hitam.

Sekiranya saya ialah TPM, pertama sekali, saya akan menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk menyiasat NFC.
Hasil siasatan saya akan cadangkan diumumkan kepada rakyat… sekiranya ada kes rasuah dan penyelewengan, saya akan mendesak jabatan peguam negara mendakwa segera ke mahkamah.

Tuan Ibrahim:
Perdana menteri tidak boleh bersikap lepas tangan dengan sekadar mengumumkan pembekuan dana NFC, dan menyuruh menteri-menteri yang terlibat dalam skandal ini (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Noh Omar) untuk menyelesaikan perkara ini.

Bagi membersihkan imej kabinet dan menteri-menteri yang terlibat, sepatutnya Perdana Menteri menubuhkan satu badan bebas untuk membuat siasatan terperinci dan mengemukakan cadangan tindakan seterusnya. Ini tidak, Muhyiddin, orang yang meluluskan projek ini kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang mengumumkan tidak perlunya Suruhanjaya Diraja diadakan untuk menyiasat skandal NFC. Nak kata Perdana Menteri tak faham apa itu conflict of interest susah nak terima, ataupun perkara itu disengajakan supaya Muhyiddin tenggelam bersama NFC?

Isu NFC adalah isu pemberian projek bukan kepada yang berhak mendapatnya pada awal-awal lagi. Maka, sepatutnya projek yang tentu gagal ini tidak diberi sejak awal lagi kerana kerajaan mempunyai pelbagai agensi yang boleh dimanfaatkan bagi menjayakan program membekalkan daging untuk negara. Kerajaan sepatutnya menyalurkan dana yang ada kepada jabaran haiwan atau agensi lain yang sedia ada.

Penyaluran dana sepatutnya dibuat berperingkat bergantung kepada progres projek, bukan diberi secara sekaligus, bagi megelak dana awam dari diselewengkan. Jika saya ialah TPM, memandangkan keadaan sudah menjadi bubur, saya mesti bertanggungjawab penuh ke atas projek ini kerana saya yang meluluskan projek tersebut. Saya akan cadangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat perkara ini.
Desakan agar disiasat dan melepaskan jawatan bukan sahaja terhad kepada Shahrizat, tetapi juga saya, supaya tidak mengganggu siasatan kepada penyalahgunaan dana awam ini demi mengembalikan keyakinan awam kepada saya sebagai TPM.

Nasrudin Tantawi:
Isu NFC berkait dengan kepentingan negara dan rakyat. Ia juga satu isu yang mencabar nilai integriti kepimpinan kerajaan yang diberi mandat atau amanah mentadbir dan memimpin negara jika tidak ditangani dengan baik dan bijak.

Jika saya adalah Timbalan Perdana Menteri negara tercinta  ini, langkah pertama yang saya ambil ialah memberi komitmen kepada rakyat dan menggesa kerajaan untuk menubuhkan satu Suruhajaya Siasatan Diraja  bagi menyiasat kes ini tanpa bias sungguhpun ia didakwa melibatkan seorang  yang bertaraf menteri.

Langkah ini untuk menenangkan keresahan rakyat dan serentak itu, memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan komited menangani atau membenteras penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan.

Memudahkan siasatan dilakukan, menteri terlibat akan dinasihatkan agar meletakkan jawatan atau mengambil cuti rehat yang panjang sehingga proses siasatan selesai dan laporan hasil siasatan mestilah dibentang kepada parlimen.

Menyerahkan kepada polis dan hanya membuat dakwaan ke mahkamah tanpa laporan lengkap hasil siasatan ke parlimen dilihat tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat kerana kes ini melibatkan individu dalam kategori high profile.

Andai menteri tersebut didapati jelas bersalah maka tindakan tegas mesti diambil dengan beliau tidak lagi boleh menganggotai kabinet dan jika beliau di dapati tidak bersalah, maka keadilan sewajarnya mestilah diberikan.
Iklan Teks