Selasa, 16 September 2014

Umno mahu Pakatan pecah, bukan UG


ZULKIFLI YAHAYA | .
Kerajaan Perpaduan (UG) adalah istilah yang popular muncul dalam krisis Menteri Besar Selangor. Sama ada ia sekadar suatu sindiran atau tuduhan, akhirnya UG terbina dalam persepsi sebahagian masyarakat bahawa krisis yang berlarutan ada kaitan dengan isu UG.

Konsep UG pernah diperkatakan pada awal 2009 dalam. Ada cadangan tidak rasmi dalam PAS supaya difikirkan penyelesaian masalah negara melalui Kerajaan Perpaduan. Sistem demokrasi di Indonesia dan Malaysia adalah berbeza. Apapun asasnya ialah demokrasi. Indonesia berjaya mewujudkan kerajaan perpaduan model mereka, apabila Presiden yang terlantik akan melantik menteri kabinet dari pelbagai parti. Idea itu yang berlegar di peringkat cadangan.

Gabungan UG ini akan menjadikan semua pihak sebahagian dari kerajaan yang memerintah dan tiada pembangkang buat seketika. Dengan itu persengketaan dapat dielak dan semua boleh tumpu kepada persoalan menghadapi dan mengatasi kegawatan ekonomi yang sedang menimpa. Politik perkauman berserta pendekatan pihak berkuasa secara kuku besi akan menyebabkan pertelagahan yang tiada kesudahan sehingga masalah kegawatan ekonomi tidak terurus. Ini akan menyebabkan semua pihak, bukan sekadar parti-parti politik tetapi juga rakyat jelata mengalami kerugian yang amat besar. Maka UG menjadi formula yang boleh diuji.

Oleh kerana konsep UG ini adalah satu konsep yang baru di kala itu, maka ramai yang tidak begitu jelas dengan apa yang dimaksudkan. Ada yang menganggap ianya sebagai pergabungan di antara PAS dan UMNO atau PAS dan BN – satu gambaran yang sangat menakutkan ahli-ahli di semua peringkat.

Dalam muktamar PAS yang diadakan kali pertama di Selangor, UG menjadi isu panas yang tunas cadangannya (jika wujud) telah dibenamkan habis-habisan ke dalam bumi oleh para perwakilan ketika itu. Semua sangat takut akan UG, akhirnya memaksa kepemimpinan utama PAS membuat penegasan bahawa PAS lebih bersedia untuk bersama KeADILan dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Bermakna idea UG telah dibenamkan sama sekali.

Banyak sebab mengapa UG menjadi igauan ngeri yang menakutkan bagi sebahagian besar ahli-ahli PAS. Faktor utamanya ialah separuh abad Umno dimomokkan sebagai musuh durjana PAS yang menolak Islam, asobiyah, sekular dan rasuah. Itu antara kejayaan tarbiyah PAS; iaitu menghayati permusuhan dengan Umno hingga ke tulang sum-sum. Dalam situasi itu tiba-tiba konfrontasi berzaman dengan Umno hendak dilunakkan, maka ia termasuk perkara ajaib yang dianggap mustahil.

Faktor kedua, ialah rasa keperitan sebagai ahli pembangkang juga tersemai kukuh di benak dan sanubari. Ahli PAS terbiasa dianaktirikan oleh kerajaan BN. Penafian kemudahan infrastruktur dan bantuan terhadap penyokong pembangkang adalah biasa. Saban hari media arus pernah tidak pernah bersikap adil terhadap pembangkang. Para penyokong pembangkang yang paling banyak menghirup gas penyesak dada dan meminum air water canon. Bahkan pembangkang juga sentiasa menjadi serangan politik berterusan melalui media. Semua itu membina kekuatan di kalangan ahli PAS untuk membenci Umno.

Faktor ketiganya, ialah bayangan kekuasaan di Pusat yang semakin hampir. PRU 12 pada 2008, kali pertama dalam sejarah Malaysia majoriti dua pertiga BN dinafikan. Empat negeri ditawan Pakatan. Dalam PRU 13, kedudukan BN bertambah parah. Mereka kalah undi popular. Pakatan 53 peratus, manakala BN hanya dapat 47 peratus sokongan rakyat. Dalam keadaan cita-cita menjadi semakin hampir mana mungkin PAS berpatah balik memberi kekuatan kepada BN.

Bagi sebahagian besar ahli-ahli PAS bukan setakat persepakatan dengan Umno menjijikkan, perpecahan dengan Pakatan juga menakutkan. Kecuali Terengganu dan Kelantan, selainnya PAS tidak mampu memperoleh kerusi yang begitu lumayan kalau bukan kerana undi Cina, mengikut hukum akalnya. PAS berkuasa ke Kedah PRU12 lalu difaktorkan undi Cina. Dan pengembeling utama undi Cina untuk menyokong Pakatan ialah DAP dan KeADILan.

Sebenarnya UG sudah semakin jauh dari menjadi agenda PAS. Namun andai sekalipun UG datangnya dari PAS, apakah Umno sudi menyambutnya? Jawapannya, tidak mungkin! Agihan jawatan untuk para pemimpin mereka di semua peringkat sudah tidak mampu ditunaikan. Takkan Umno nak mengurangkan kepentingan untuk dihulurkan kepada PAS. Lagipun bagi Umno, sekiranya mereka membenarkan PAS memerintah bersama, PAS akan tambah berpengaruh dan semakin diterima rakyat. Pendedahan rakyat kepada kemampuan PAS akan menyebabkan kuasa Umno/BN akan hilang dari genggaman mereka sedikit demi sedikit.

Umno cuba bersikap lunak terhadap PAS sekarang hanyalah bertujuan untuk memecahkan Pakatan. Selepas pecah (waliyazubillah), PAS akan dibiarkan bersendirian. Ada idea nakal dari segelintir anggota supaya PAS bersendirian, tanpa Pakatan dan jauh sekali dari bersama Umno. Hakikatnya itu juga ‘idea UG’. PAS bersendirian, bermakna memecahkan undi pembangkang. BN akan menang selesa walaupun bertanding dalam keadaan tidur nyenyak kerana perpecahan pembangkang membantu mereka. Maka siapa yang mencadangkan supaya PAS bersendirian bermakna dia sedang menyempurnakan agenda Umno.

Apabila Umno terus berkuasa maka khazanah kekayaan negara terus teragih sesama para ‘penyamun’, rakyat hanya dapat sisa-sisa makanan dan kemungkaran politik, ekonomi dan sosial akan terus bermaharajalela tanpa batas sempadan.

Kerja keras Umno sekarang ialah memecahkan dalaman PAS dan cuba mengasingkan PAS dari Pakatan. Hasutan batu api mereka ialah PAS jangan tunduk kepada tekanan KeADILan dan DAP. Jika ada ahli PAS termakan dakyah tersebut, bermakna mereka sedang menjayakan agenda Umno. - HARAKAHDAILY 16/9/2014
Share on Myspace