Jumaat, 19 Julai 2013

Krisis berterusan di Mesir


Dr Mujahid Yusof Rawa, 19 Jul 2013
Tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawa krisis di Mesir akan berakhir dalam jangka masa yang pendek. Seperti yang dijangkakan sejak dari awal lagi Mesir tidak akan mencapai kata sepakat mudah kerana beberapa faktor yang menjadi penghalang kepada proses demokrasi serta faktor dinamika politik dalaman, walaupun langkah awal ke arah proses pendemokrasian itu sudahpun bermula.

Artikel saya sebelum ini tentang Mesir, khususnya di bawah tajuk ‘Tahrir Square Sekali Lagi‘ telah mengandaikan beberapa perkara antara lainnya ialah antik (saki baki) Mubarak masih berkuasa termasuklah tentera, keraguan politikal Islam menguasai keadaan dan isu referendum tentang perlembagaan. Krisis akan terus menghantui Mesir jika isu sebenar belum dapat digarap dengan dengan tuntas. Isu yang terpenting selepas revolusi rakyat ialah pemulihan ekonomi dan rekonsialisasi nasional bagi membuka jalan kepada suasana stabil di Mesir.

Kuasa Tentera

Faktor utama ialah penguasaan tentera yang hingga kini masih lagi berkuasa. Revolusi 25 Januari 2011 terbentuk dengan hasrat menggulingkan Mubarak melalui sokongan tentera yang berpihak kepada rakyat. Walaupun pada zahirnya rakyat dilihat berjaya melaksanakan tugas ini namun hakikatnya kuasa tentera yang menentukan siapa yang naik dan siapa yang turun.

Malah ada teori yang mengandaikan tentera melihat Mubarak perlu ditukar dan mereka melihat orang baru diperlukan. Apabila tentera melihat Morsi tidak banyak membantu penguasaan mereka kerana Morsi mahu mengurangkan penguasaan tentera yang mempunyai kepentingan yang banyak maka tiba giliran untuk menggulingkan Morsi pula. Ini dibuktikan dengan berita di Le Monde dan International Herald Tribune masing-masing pada tarikh 5 dan 6 Julai 2013  yang memberitahu tentang keputusan untuk menurunkan Presiden Morsi melalui perbualan antara Jeneral al Sisi dan Morsi.

Morsi enggan tunduk dan tentera terpaksa menimbulkan berbagai masalah yang menekan rakyat seperti kekurangan gasoline dan masalah bekalan makanan sehingga rakyat bangkit. Tentera hanya perlu campur tangan setelah isyarat dari rakyat disampaikan dan ia seoalah-olah dilihat sebagai kehendak rakyat dan Morsi pun digulingkan. Hakikatnya ialah tentera masih memerintah Mesir melalui topeng awam.

Keperluan Strategik Tentera

Terlalu ramai pihak yang berkepentingan terjejas dengan kejatuhan Mubarak. Pertama ialah tentera dan kerana itu kejatuhan Mubarak hanyalah merupakan ‘changing of guard’ kepada generasi baru jeneral-jeneral yang lahir di atas dulang emas. Kepentingan 40% penguasaan ekonomi Mesir dan bantuan tahunan US 1.5 Bilion yang disalurkan terus kepada tentera sukar untuk dilepaskan oleh kuasa tentera.

Amerika pula memerlukan tentera untuk melaksanakan dasar mesra dengan Israel. Kemenangan Morsi tidak banyak membantu memelihara kepentingan ini. Memastikan tentera terus berkuasa di Mesir adalah keperluan strategik utama kuasa besar di rantau ini. Amerika dilihat berhati-hati untuk tidak menyebut bahawa apa yang berlaku di Mesir ialah sebuah kudeta kerana ini bertentangan dengan dasar demokratik Amerika dalam menentukan pemimpin negara, mereka menggunakan istilah ‘regim change’ bagi menggambarkan apa yang berlaku walaupun sebenarnya penggulingan Morsi yang tidak demokratik itu memenuhi kehendak strategik Amerika.

Politikal Islam Teruji

Penglibatan politikal Islam dalam proses demokrasi bukanlah baru di dunia Arab dan Islam. Sebelum ini, Algeria menyaksikan kemenangan FIS (Front Islamic Salvation) kemudian dirompak kemenangan rakyat itu melalui penglibatan tentera lalu mengheret Algeria kepada peperangan saudara yang panjang. Kemenangan Parti Refah di Turki yang digulingkan setahun kemudian juga mengisyaratkan bahawa penglibatan politikal Islam sentiasa dicurigai.

Dalam semua keadaan penglibatan dan kemenangan Politikal Islam yang kemudiannya digulingkan muncul dalam suasana kerangka negara yang terlalu kuat sekularnya. Kemunculan Morsi dilihat sebagai siri penglibatan politikal Islam yang sentiasa diragui apatah lagi Ikhwanul Muslimin (IM) yang diwakili oleh Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) pimpinan Morsi dilihat sebagai ibu kepada segala gerakan Islam sedunia.

Morsi atau IM Yang Berkuasa?
Tanggapan bahawa IM berada dibelakang untuk mempengaruhi keputusan Presiden adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Struktur IM yang mempunyai kuasa syura yang kuat sering dilihat sebagai bayangan yang menentukan keputusan Morsi. Seperkara lagi ialah kemenangan Morsi dilihat tidak mewakili hasrat semua segmen dalam masyarakat Mesir yang rencam itu.

Malah ada dakwaan yang mengatakan pembentukan perlembagaan baru Mesir yang menimbulkan kocakan awal tempoh hari tidak melibatkan pelbagai pihak dan ia dilakukan secara tergesa-gesa dengan mengunakan kuasa dekri Presiden yang turut dianggap sebagai penyalahan guna kuasa Presiden. Dakwaan tiada kesepakatan nasional untuk menentukan perlembagaan negara juga telah menimbulkan bangkangan terhadap kepimpinan Morsi.

Kesemua tindakan Morsi yang yang dipertikaikan tidak boleh dipandang ringan dengan hanya teori konspirasi. Apa yang lebih pantas untuk diambil kira ialah sejauh manakah pemikiran politik IM dalam membawa dasar keterangkuman (inclusiveness) dan menyediakan wahana mewujudkan rekonsialisasi nasional bagi membentuk masadepan Mesir yang lebih mewakilis semua pihak. Tapak pemulihan ekonomi juga gagal digarap oleh Morsi yang dilihat lebih sibuk menjenamakan semula IM yang selama ini bergerak secara bawah tanah.

Ikhwan Akan Bangkit

Ikhwan sepanjang sejarahnya telah membuktikan bahawa ia sebuah organisasi yang mampu hidup dalam semua situasi dan keadaan. Ini memandangkan bahawa ia mempunyai rangkaian yang kukuh dari semua segmen masyarakat termasuklah di kalangan tentera sendiri. Rahsia keupayaan Ikhwan ini ialah kerana mereka mengambil ideologi mereka dari akar umbi Islam itu sendiri. Sukar untuk mereka didiamkan apatah lagi menghapuskan mereka. Mereka akan terus menggunakan legitimasi Morsi yang dilantik secara sah sebagai slogan penentangan Ikhwan.

Hujah ini akan mendapat simpati dari berbagai pihak dan tanggapan revolusi dikhianati akan mengukuhkan lagi simpati orang ramai terhadap ikhwan malah ia akan mengumpulkan kekuatan baru para simpatian.

Anti-Amerika dan Keganasan

Selain itu sentimen anti-Amerika akan terus meningkat dan tanggapan Amerika menjadi dalang tidak dapat dielakkan lagi. Ini amat bahaya kerana di kalangan kelompok Islami ada yang agak radikal dan mungkin kepentingan Amerika akan terus terjejas dan tentera akan ditanggap bersengkongkol dengan kuasa besar untuk menghancurkan kehendak rakyat.

Alasan ini akan memberi laluan percuma kepada kebangkitan radikal dan militan Islam. Keupayaan kumpulan radikal Al Gamaah Al Islamiyah yang terkenal dengan keganasan di Mesir berkemungkinan akan bangkit semula malah pengalaman Algeria awal 80an mungkin akan berulang di Mesir. Lebih buruk ialah implikasi kudeta di Mesir akan menyuburkan lagi keganasan merentasi sempadan walaupun dunia memerangi habis-habisan unsur-unsur keganasan.

Al-kisah sebuah rumah


Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, 19 Jul 2013
Petang itu kedengaran rungutan tangga sudah tidak terbendung lagi. Dia terus berleter.

“Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak. “

Mendengarkan kata kata tangga. Atap terus bersuara.

"Hoi tangga. Aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas. Tak kena hujan. Tak kena pijak.”

Mendengarkan kata atap, tiang terus bersuara.

“Mana kamu tahu? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas. Tak kena pijak.”

Mendengar kata-kata tiang, lalu dinding menjawab.

“Akulah pelindung khazanah rumah ni. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa jaga sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna,“ jawab dinding dan semua tersenyap.

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau bahawa setiap manusia mempunyai tugasnya sendiri. Kamu buatlah kerja yang diamanahkan padamu sebaiknya. Jangan sesekali engkau berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya dikurniakan penglihatan daripada segi zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang kamu lihat di minda. Jadilah diri sendiri, jangan cuba jadi orang lain.

Senyum.