Khamis, 22 November 2012

Ingat Umno, ingat rasuah!

Ingat Umno, ingat rasuah!

Ahmad Tajdid, 22 Nov 2012
"Penerima dan pemberi rasuah masuk neraka." (Hadis riwayat At Tirmidzi)

"Allah melaknat mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya." (Hadis riwayat Ahmad)


Ketua penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan baru-baru ini dilaporkan tidak senang hati dengan tuduhan bahawa "Umno sahaja yang terlibat dalam rasuah" sebaliknya berpendapat rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja dan tidak kenal siapa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Dato' Tengku Adnan Mansor beberapa minggu lalu bahawa antara cabaran semasa Umno adalah menangani isu "persepsi rasuah".

"Rasuah tidak boleh dibandingkan antara sesebuah parti, tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu jantina serta tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu bangsa," kata Ahmad.

"Jangan menuduh rasuah hanya berlaku di kalangan orang Umno sahaja. Isu rasuah adalah merentas semua," katanya dalam satu sidang akhbar selepas berkempen di Hentian Jalan Duta, lapor Malaysian Insider.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mendakwa kerajaan BN tegas dalam membanteras rasuah.

Tidak sesiapa pun yang akan menyanggah pandangan Ahmad Maslan bahawa rasuah itu boleh berlaku merentasi manusia, masa dan ruang. Tidak ada sesiapa juga yang boleh mendakwa bahawa parti yang diwakilinya dijamin seratus peratus bersih daripada penyakit rasuah.

Selagi manusia punyai rasa tamak, ketagih pengaruh dan kemaruk kuasa, rasuah menanti masa untuk bertapak dan menjadi budaya yang sukar dibendung.

Persoalannya, setakat manakah komitmen sesebuah parti politik itu untuk menbanteras rasuah? Sehingga mana komitmen parti itu untuk mengenal pasti, menghukum dan menyisih anggota parti yang terlibat dengan jenayah keji itu?

Prinsip utama dalam menyelesaikan masalah adalah mengakui wujudnya masalah. Bagaimanapun Umno sebagai parti teras BN dilihat enggan mengakui wujudnya rasuah dalam parti itu.

Mempopularkan istilah "politik wang" dalam pemilihan parti adalah bukti wujudnya 'sindrom nafi' (denial syndrome) dalam Umno terhadap gejala rasuah. Ia sebenarnya satu usaha kosmetik bagi menggambarkan bahawa "politik wang" tidaklah seberat kesalahan rasuah.

Oleh kerana itulah ada kalangan pemimpin Umno yang terlibat dalam "politik wang" (atau lebih tepatnya rasuah) diberi pangkat kedudukan selepas tamat menjalani hukuman Lembaga Disiplin parti. Contoh paling menonjol ialah bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad yang digantung jawatannya dalam parti dan kerajaan kerana terlibat dalam 'politik wang'. Isa juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan. Selepas bebas dari hukuman gantung jawatan, Isa diberi laluan untuk bertanding dalam PRK Teluk Kemang dan seterusnya dilantik Pengerusi Felda!

Satu lagi contoh tidak seriusnya kerajaan BN pimpinan Umno dalam membanteras rasuah adalah kes suapan rasuah membabitkan calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Raja pada PRU ke-11 (2004), Sanip Isnin.

Sanip mendakwa cuba disogok oleh wakil BN dengan imbuhan RM100,000 sekiranya beliau bersetuju menarik diri dari bertanding. Dua 'orang tengah' iaitu pemimpin Umno Cawangan dan pemimpin Pemuda Umno Kawasan 'ditangkap basah' oleh petugas PAS di rumah Sanip ketika cuba menyerahkan wang pendahuluan berjumlah RM5000.

Kejadian ini berjaya dirakam oleh petugas PAS dan dua orang tengah itu ditahan sehingga pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) tiba. Telefon bimbit yang dimiliki Pemuda Umno terbabit juga mengandungi nombor telefon calon BN, Dato’ Halimah Mohamad Sadique.

Bagaimanapun apa yang berlaku kemudiannya amat mendukacitakan.

Walaupun BPR telah menyiapkan laporan dan fail siasatan dihantar ke pejabat Peguam Negara, namun Peguam Negara enggan membawa kes tersebut ke mahkamah. Keengganan Peguam Negara membawa kes suapan rasuah itu ke mahkamah dicabar bekas calon PAS. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi memutuskan menolak permohonan Sanip kerana hakim berpendapat menjadi hak (prerogatif) kepada Peguam Negara menurut Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Kita juga boleh melihat bagaimana laihnya pihak berkuasa apabila berhadapan dengan salah laku rasuah pemimpin Umno. Di Selangor sebagai contoh, puluhan kes rasuah dan penyelewengan yang didedahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawab dan Ketelusan Selangor (Selcat) tidak diambil peduli SPRM dan polis.

Pengerusi Selcat, Dato' Teng Chang Khim kesal kerana SPRM dan polis enggan meneruskan siasatan hasil daripada pendengaran awam Selcat sedangkan wujud bukti penyelewengan dan rasuah dalam kes-kes yang diperdengarkan.

Menurutnya, SPRM dan polis tidak seharusnya menunggu laporan daripada mana-mana pihak untuk melakukan siasatan kerana mereka boleh mengikuti pendengaran awam yang dibuat Selcat secara terbuka dan disiarkan secara langsung melalui laman web khas.

"Setakat ini saya belum nampak ada tindakan susulan daripada mereka walaupun ada beberapa kes termasuk penyelewengan Balkis yang dipengerusikan isteri mantan MB, Datin Zaharah Kechik," tegasnya.

Begitu juga dengan peruntukan RM500,000 bagi setiap Adun BN Selangor bagi tahun 2008 yang dihabiskan sebelum Mac tahun yang sama. Pendengaran awam Selcat mendapati peruntukan itu diselewengkan untuk aktiviti parti dan kempen pilihan raya.

Banyak lagi tindakan rasuah pemimpin Umno yang boleh disenaraikan. Namun cukuplah kita memetik tulisan mantan Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad dalam blognya Che Det bahawa "Umno sudah busuk sampai ke perut".

Walaupun pun Dr Mahathir hanya memetik kenyataan seorang veteran Umno terhadap apa yang berlaku dalam parti itu, jelaslah bahawa Umno tidak boleh dipisahkan dengan rasuah dan penyelewengan.

Pendek kata, "Ingat Umno, ingat rasuah!"

Malaysia beli kamera AES jauh lebih mahal

Malaysia beli kamera AES jauh lebih mahal

Muhammad Faizal, 22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri didakwa telah membeli kamera perangkap laju AES bagi kegunaan polis pada kadar lebih mahal dari harga sebenar.

Kementerian itu dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar memberitahu, kamera Laser Digicam itu dibeli dengan harga RM173,385 seunit.

Bagi kamera model Laser Truecam pula dibeli dengan harga RM223,500 seunit.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika berucap di peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri mendakwa negara luar telah membeli kamera tersebut dengan harga yang lebih murah.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada dokumen pembekal kepada kerajaan di tiga negeri di Amerika Syarikat antara Oktober 2011 hingga Januari 2012.

"Dokumen yang kita ada ini menunjukkan di negara luar hanya membayar dalam RM15,000 hingga RM19,000 sahaja atau AS$4,995 hingga AS$6,378, kenapa kita berbelanja lebih dari itu," jelasnya.

Beliau yang juga turut mempersoalkan adakah proses pembelian ini dilakukan secarta terbuka atau pun tidak.

"Kita minta kerajaan menjelaskan syarikat manakah yang telah dipilih untuk membekal kamera tersebut," sambungnya lagi.

Dokumen yang didedahkan mendapati kerajaan negeri Montana menawarkan AS$4,995 dan Idaho AS$5,057.44 untuk setiap unit kamera jenis Laser Trucam.

Manakala, negeri Delaware menawarkan AS$6,378 bagi jenis Laser Digicam.

Difahamkan kerajaan membelanjakan sebanyak RM23.5 juta bagi tujuan pembelian kamera tersebut.

Ianya diperolehi secara berperingkat sejak 1995 yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 85 unit bagi model Digicam dan 39 unit bagi Truecam.

"Kita tidak tahu kenapa harga kamera yang dibeli oleh kerajaan itu jauh lebih mahal," soal Mahfuz.

Isu doa petanda Umno dalam ketakutan

Isu doa petanda Umno dalam ketakutan

Harakahdaily, 22 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Menghangatkan isu doa menandakan Umno kini berada dalam keadaan ketakutan, kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

“Namun oleh kerana Umno semakin rapuh, menyebabkan doa pun ditakuti. Sepatutnya kalau Umno rasa tak betul (doa itu), mereka doalah pula (yang lain). Semua kita faham doa tersebut bukanlah untuk menghancur atau melaknat manusia. Doa kepada sabuah parti yang menjadi lawan bagi PAS,” kata Tuan Ibrahim.

Isu doa yang dibaca oleh oleh Ustaz Nik Razi Nik Mat dalam Munajat Perdana anjuran PAS Jumaat lalu, kata Tuan Ibrahim, tidak perlu dipertikai oleh mana-mana pihak, kerana doa untuk parti lawan kalah dan dimusnahkan adalah perkara normal dalam mana-mana perlawanan.

Bahkan, katanya tiada pihak boleh menyekat seseorang untuk berdoa demikian.

“Apa yang penting, kalau Umno rasa tertekan dengan doa demikian, Umno boleh berdoa agar parti lawannya musnah atau kalah. Kita yakin Umno juga melakukan demikian. Adakah sesuatu yang pelik untuk berdoa agar parti lawan musnah dan hancur? Adalah aneh untuk menyatakan ianya salah atau bercanggah dengan Islam,” tegas beliau.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang juga mengingatkan bahawa Umno bukanlah parti Islam dan terdapat pelbagai tindakan parti Umno yang terang-terangan bertentangan dengan peraturan dan ajaran Islam.

“Perdana Menteri dari Umno juga secara terang terangan menolak hukum hudud, memberi lesen kepada perkara yang diharamkan Allah, membenarkan amalan riba dalam institusi perbankan serta menambahkan lesen perjudian yang jelas diharamkan oleh syarak dan pelbagai tindakan zalim lainnya.

"Zalim bukan sahaja membunuh dalam tragedi Memali yang sehingga kini belum diadili. Tetapi sebesar-besar zalim bilamana menolak hukum dan peraturan Allah,” tegas beliau.

Hujah beliau, isu doa diperbesarkan oleh Umno kerana  Muktamar PAS berjaya memberi impak politik besar bilamana Ucapan Dasar Presiden PAS diterima oleh orang ramai dan deklarasi harta oleh Ketua Pemuda PAS berjaya menaikkan imej PAS di mata rakyat.

“Isu yang hangat dimainkan media adalah sesuatu yang bukan dasar parti. Ucapan perwakilan, doa oleh seorang imam, dan pertikaian jawatan PM kesemuanya bukanlah dasar parti,” terang beliau.

Adalah pelik, kata Tuan Ibrahim, seandainya sesebuah parti meminta parti lawan menjadi kuat dan gagah, sedangkan PAS telah dizalimi sebegitu lama terutamanya di Kelantan.

“Orang yang bermain bola pun mendoakan pasukan lawannya lemah, dan kalah inikan pula parti politik yang sentiasa berlawan sejak lebih 50 tahun,” sindirnya.

Di penamat kenyataannya, Tuan Ibrahim sekali lagi berkata PAS menyeru seluruh ahli melakukan solat hajat, munajat dan mendoakan kemenangan PAS dan Umno berjaya dikalahkan dalam PRU akan datang di samping doakan untuk saudara Islam di Palestin, Gaza, Myanmar.

Najib tidak boleh samakan buah epal dengan bacang

Najib tidak boleh samakan buah epal dengan bacang

Aspan Alias, 21 Nov 2012
Najib masih menyanyikan lagu lama dengan dendangan yang lama. Najib seorang yang sangat terdesak dan kata-kata nya pun sangat tidak bernilai sebagai satu ucapan pemimpin yang setimpal sebagai kata-kata dan ucapan seorang pemimpin kepada rakyat yang sedang dalam pencarian ini. Najib terpaksa menggunakan ‘testimonial’ orang lain untuk mendapat kepujian dan pengiktirafan dan tidak mampu menunjukkan ‘testimonial’ sendiri bagi meyakinkan rakyat.


Najib masih meminta rakyat memberikan sokongan kepada UMNO dan BN kerana memberikan sokongan kepada UMNO khususnya kepada beliau itu tidak akan menjejaskan pelan transformasi beliau yang telah beliau umumkan setiap bulan dan minggu itu. Jika memberikan sokongan kepada pihak lain ia akan menjejaskan pelan pembangunan dan kemajuan negara dan akan membantutkan usaha kerajaan pimpinan beliau untuk menjadikan negara ini sebagai negara yang berpendapatan tinggi dan sebuah negara maju menjelangnya tahun 2020 nanti.

Najib mengambil Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh pandangannya itu. Rakyat AS telah memberikan ‘continuity’ kepada pentadbiran Barack Obama dari Demokrat dalam pilihanraya Presiden baru-baru ini dan rakyat Malaysia perlu mengikut contoh itu dan memberikan sambungan pentadbiran kepada Barisan Nasional. Mendengar ucapan beliau itu, ramai termasuk diri saya hampir jatuh dari kerusi kerana hendak menyamakan beliau sebagai Barack Obama dan beliau tidak nampak bagaimana AS telah melakukan perubahan acapkali dalam pilihanraya Presiden di negara itu.

Di antara Parti Republican dan Demokrat, mereka ini telah bertukar-tukar dan bergilir gilir mentadbir negara kuasa dunia itu sejak negara itu merdeka 200 tahun dahulu. Najib sepatutnya tahu yang Presiden Jimmy Carter adalah dari parti Demokrat dan Presiden  George W Bush dan George Bush (senior) adalah dari Republican. Tidak tahu kah Najib yang Presiden Bill Clinton dan Obama adalah dari Demokrat?. Rakyat AS telah menukar parti-parti memerintah negara itu bergilir-gilir puluhan kali sejak kemerdekaannya dahulu.

Sebaliknya di negara kita, Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Hussein Onn, our great Dr Mahathir, Abdullah Badawi dan sekarang Najib semuanya dari Barisan Nasional. Rakyat Malaysia belum pernah melakukan perubahan ini. Jika benar-benar hendak jadikan rakyat AS sebagai contoh kita mesti lakukan perubahan sekarang sebagaimana yang selama ini dilakukan oleh rakyat negara ‘Uncle Sam itu’.

Rakyat AS ada sebab untuk mengekalkan pentadbiran Obama kali ini seperti mana kita ada sebab untuk mengubah pentadbiran kita di Malaysia ini. Malahan Obama hanyalah merupakan Presiden dari parti Demokrat yang kedua selepas Clinton dalam beberapa dekad ini yang berjaya mengekalkan pentadbiran mereka buat kali kedua berturut-turut. Selain dari itu setiap Presiden dari parti Demokrat hanya mentadbir satu penggal sahaja.

Oleh itu Najib tidak perlu untuk menempel kejayaan orang lain untuk mencapai kejayaan sendiri. Pimpinan kerajaan sekarang elok elakan dari melihat AS dalam situasi ‘double Standard' kerana UMNO selalunya melihat AS sebagai sebuah negara yang tidak bermoral dan sebagai sebuah negara demokrasi yang tidak boleh kita ikuti. Mahathir berkata kita tidak boleh mengikut jejak AS kerana kita mempunyai demokrasi acuan sendiri. Kenapa kali ini pula dipuji rakyat AS kerana mengekalkan Obama sebagai Presiden buat penggal kedua?

Najib patut bergantug kepada kewibawaan sendiri. Tidak payah menumpang kewibawaan Obama. Bagi Najib untuk menjadikan Obama sebagai ‘equation’ dalam politik beliau ia merupakan satu perkara yang agak terlalu jauh dari yang sepatutnya. Jangan kita hendak samakan buah epal dengan bacang.

Di antara buah epal dengan buah bacang amat jauh perbezaannya. Buah bacang ini sangat kuat baunya dan boleh di hidu dari jauh. Baunya itu memeningkan kepala kita. - http://aspanaliasnet.blogspot.com